Monday, 11 March 2013

Renungan: "you can walk straight to hell with the smile"?

"you can walk straight to hell with the smile" - begitulah secebis rangkap yang terkandung di dalam lagu "meletop" bertajuk Hall of fame dendangan The Script ft. Will.i.am.

Saya sebenarnya layan lagu ini kerana suka dengan The Script dan kerana kerancakan dan energi iramanya terutama ketika memandu kereta dalam keletihan apabila pulang dari tempat kerja.

Pun begitu rangkap seperti yang saya petik di atas itu juga pantas mengingatkan saya kepada syarahan Ustaz di dalam kuliah Zuhur sewaktu bersolat di masjid UTM Kuala Lumpur pertengahan minggu lepas, iaitu mengenai "Sumbu dan Kepanasan Api Neraka".

Menurut Ustaz, nyalaan neraka itu bermula dari sumbunya di pusat neraka. Bilakah sumbu itu dinyalakan? 

Menurut Ustaz lagi, Allah Jalla Wa'ala telah memerintahkan malaikat untuk memulakan pembakaran sumbu neraka dan menjaga api (menambah bahan bakar/gas) tersebut selama 1,000 tahun. Setelah cukup tempoh 1,000 tahun yang diperintahkan maka malaikat datang mengadap Allah dan melaporkan bahawa tugasnya menyala dan menjaga nyalaan sumbu telah cukup 1,000 tahun. 

Setelah 1,000 tahun sumbu neraka dihidupkan, apinya berwarna merah.

Bagi Allah Jalla Wa'ala, nyalaan itu tidak cukup panas lalu memerintahkan malaikat untuk kembali ke neraka dan memanaskan lagi nyalaan bagi tempoh 1,000 tahun yang kedua.

Setelah cukup tempoh 1,000 tahun yang kedua, datanglah malaikat mengadap Allah bagi melaporkan bahawa tugasnya menjaga nyalaan api neraka telah cukup 1,000 tahun (yang kedua). 

Berakhir 1,000 tahun yang kedua (atau setelah 2,000 tahun dinyalakan), api neraka yang merah telah bertukar kepada warna putih.

Bagi Allah Jalla Wa'ala, nyalaan itu juga masih tidak cukup panas lalu memerintahkan malaikat untuk kembali ke neraka dan memanaskan lagi nyalaan bagi tempoh 1,000 tahun yang ketiga.

10 tahun, 50 tahun, 500 tahun sehinggalah 1,000 tahun yang ketiga, maka kembalilah malaikat mengadap Allah Jalla Wa'ala memberitahu tugasnya menjaga api neraka telah cukup 1,000 tahun yang ketiga (atau 3,000 tahun keseluruhan waktu).

Setelah 3,000 tahun sumbu neraka dinyalakan, api yang menghuni neraka kini bertukar kepada warna hitam.

Lalu sahabat r.a pun bertanya "Wahai Rasulullah, sehitam manakah api neraka itu?". Lalu jawab Baginda "sehitam malam yang tiada berbintang dan bulan (gelap pekat)". Rupa-rupanya, apabila api itu terlalu panas, maka sifatnya yang merah itu bertukar kepada putih dan akhirnya hitam.

Lalu sahabat bertanya lagi "Wahai Rasulullah, bagaimanakah panasnya api neraka itu?". Jawab Baginda "Sekiranya terpercik setitis (api itu) maka hancurlah apa yang ada di antara langit dan bumi".

"Setitis" yang dimaksudkan oleh Baginda Nabi SAW percikan api neraka yang bersaiz seluas LUBANG JARUM

Sumber foto: google images

Boleh anda bayangkan luas mana lubang jarum itu?

Saya jangka lirik "you can walk straight to hell with the smile" adalah bagi menggambarkan kesengsaraan hidup seseorang di dunia dan "tidak ambil pusing" dengan kesusahan yang ditempoh itu.

Namun bagi orang Islam, kita kena melihatnya juga dari dimensi akhirat. Insan ini kadang-kala berbuat dosa di atas kelemahan diri. Namun janganlah sampai meremehkan suruhan agama dan mencabar perintah Allah Rabbul Jalil. 

Kalau kita merasakan diri ini terlalu banyak dosa, terpesong sudah jauh, maka ingatlah bahawa rahmat dan keampunan Allah itu amatlah luas sehingga mengatasi murkaNya. Kerana itulah orang yang berbuat jahat-pun Allah masih memanjangkan nyawanya, memberinya harta. Mudah-mudahan dia melihat kebesaran penciptaan Allah dan kembali kepada fitrah diri (kepada agama).

Sesungguhnya kedahsyatan api neraka itu amatlah tidak terbayang. Dan ia cuma menanti "penghuninya" sahaja.

No comments: