Sunday, 27 January 2013

Baling bola salji kepada sang singa untuk keseronokan di China (foto)

Sekitar waktu tengahhari, 5 Januari yang lepas, bertempat di kandang singa Zoo Hangzhou, sebaik melihat kelibat sang singa Afrika muncul dari kandangnya, para pengunjung zoo mula mengepal salji untuk dijadikan bebola.

Sang singa masih mundar-mandir seperti biasa tetapi mula mengesyaki sesuatu. Sang singa kemudian cuba menyorokkan dirinya di sebalik binaan kayu dan si jantan menggunakan pelepah pokok sebagai pelindung, sambil matanya mengawasi pergerakan para pelawat.

"Zuppp!" Seorang pemuda kemudian bertindak membaling bebola sajli kepada si singa. Ia mengelak dan lontaran terbabit telah tersasar. Pun begitu, aksi tangkas sang singa itu turut mengundang gelak-ketawa pelawat yang menyaksikannya. 

Kemudian, pengunjung mula menghasilkan bebola yang lebih besar serta "menembak" sang singa dengan menggunakan kudrat yang lebih laju. Sang singa panik lalu berlari mengelilingi kawasan kandangnya. Kemudian dia dan pasangannya bersembunyi di satu sudut pada kandang tersebut. Sebagai usahanya mempertahankan diri daripada serangan para pengunjung, sang singa mengaum dan matanya memandang tajam kepada kumpulan yang bergembira membaling bebola salji itu sehingga mereka beredar mencari "mangsa seterusnya".

Ironinya, musim salji di zoo tersebut, biarpun menghadirkan kegembiraan buat manusia, ianya mengundang perkhabaran duka buat haiwan yang menghuni zoo tersebut. Bukan sahaja singa, bahkan penghuni lain seperti monyet, zirafah, harimau, lain-lain haiwan kecil telah turut menjadi mangsa "balingan untuk keseronokan" oleh sesetengah pengunjung zoo.

Kalau nak nampak lebih berani, mengapa tidak lepaskan sahaja singa-singa itu, dan biarkanlah keduanya (singa dan pengunjung yang baling) itu sama-sama "bersuka-ria"?!


Laporan asal: Chinasmack

No comments: