Tuesday, 8 May 2012

"Kita" dan budaya "kena memberi"

Media arus perdana yang "enggan merdeka"?

Sebenarnya sudah lama hendak dibingkiskan kisah mengenai tajuk di atas, tetapi disebabkan terlalu banyak berita sampah disiarkan di Buletin Utama, rasa malas...dan makin malas...untuk menulis.

Bukan apa, kehendak hati insan ini yang kepingin sekali melihat, mendengar dan "mempercayai" berita-berita yang seimbang, yang "tidak dajjal" (yang tidak melihat dengan hanya sebelah mata/laporan satu pihak) masih belum dapat direalisasikan (kena lihat dengan guna kedua-dua mata).

Namun, apakan daya. "Kebebasan" yang dicanangkan kepada media tidak berupaya jua "memerdekakan" para pengamal media untuk menzahirkan laporan dan kisah yang lebih telus, lebih adil dan tidak memihak.

Sekadar foto hiasan (google image)

Media arus perdana (TV, akhbar dan radio) tidak sepatutnya mengamalkan pendirian "memihak", kerana tugas untuk memihak itu perlu diserahkan kepada penonton untuk menilai dan membuat keputusan (untuk memihak yang mana kelak). Sebaliknya, media hanya perlu meyakinkan masyarakat bahawa merekalah wadah atau saluran yang (sepatutnya) "terbaik" di dalam menyiarkan berita-berita yang seimbang dan telus untuk tatapan para penonton, seterusnya memberikan gambaran sebenar secara keseluruhan mengenai sesuatu isu (secara arus perdana).

Justeru, mengapa media seperti yang saya perhatian saban malam kelihatannya seperti "enggan" untuk menjadi wadah yang telus? Apakah dek kerana terlalu lama dengan perbuatan memihak (sehingga menjadi terlalu takut), pengamal media menjadi seolah-olah sudah pasrah dan tidak nampak cara untuk keluar (merdeka) dari belenggu mentaliti yang memihak itu?

Apakah media arus perdana bimbang masyarakat akan tersalah menilai berita, seterusnya memihak kepada kelompok yang "tidak sepatutnya"? 

Berpandukan pengamatan saya, media hari ini tidak perlu risau lagi kerana masyarakat telah bijak untuk menilai. Sekalipun tidak semua orang sama tahap dan cara mereka menilai, bersamalah kita meletakkan keyakinan bahawa civil society sedang bergerak ke arah itu. Dan media seharusnya membantu proses memperkasakan civil society yang bijak menilai dan akhirnya "memihak" kepada pihak yang betul. 

Media arus perdana juga tidak perlulah terlalu rasa terancam dan khuatir kerana "perang media alternatif" yang berat sebelah juga sudah terlalu rancak di antara penyokong kerajaan dengan pembangkang, yang sama-sama menjual, memperjuang dan menegakkan ideologi perjuangan parti masing-masing.

Kena beri - sudah menjadi budaya "orang kita"?

Hari ini saya terkesima, bukan kerana mendengar pengumuman, tetapi angka yang diumumkan - mendapat tahu warga FELDA seluruh negara dihadiahkan "wang runtuh" dalam angka yang besar iaitu RM15,000 per keluarga (KIR, Isteri dan anak), selain insentif-insentif lain yang amat menarik.


Di pihak pengurusan FELDA juga tidak terkecuali bilamana Perdana Menteri Dato' Najib turut mengumumkan pengurniaan bonus 2 bulan setengah kepada kakitangan FELDA.


Akhbar yang sama turut melaporkan sejumlah RM1.689 billion perlu disediakan bagi merealisasikan pengumuman tersebut, angka yang terbesar selain BR1M yang diperuntukkan kepada isirumah berpendapatan di bawah RM3000, yang telah dilaksanakan sebelum ini.


Saya melihat dari satu sudut, keupayaan kerajaan/PM menyediakan durian runtuh kepada warga FELDA (a.k.a pengundi luar bandar) ini merupakan petunjuk bahawa kewangan kerajaan masih di tahap yang baik, kerana berupaya menghadirkan peruntukan tersebut.

Dari sudut yang lain pula, timbul persoalan sama ada rakyat sebenarnya telah membayar "up-front" di atas pengumuman yang sungguh luar biasa ini (saya jangka wang tersebut akan bertahan untuk jangka pendek, tetapi budi Dato' Najib tentunya akan "dikenang").


Contoh dokumen ini telah tersebar di Facebook

Atau dengan kata mudah, wang yang dibelanjakan sekarang sebenarnya akan "dituntut kembali" oleh kerajaan selepas menang besar pada PRU13 nanti di dalam bentuk "kenaikan" segala macam cukai dan "penurunan" segala macam dividen dalam pelaburan wang rakyat seperti Tabung Haji, KWSP, Amanah Saham, pendapatan GLC dan sebagainya.

Tentunya juga ramai yang akan mencongak kemungkinan berlakunya peningkatan harga bahan api dan seterusnya risiko kenaikan harga barang, kos pengangkutan dan sebagainya, sekiranya kerajaan perlu "top-up" kantung perbendaharaan negara yang surut ketika ini.

Sekadar foto hiasan (google image)

Justeru, dengan perasaan "gembira dalam bimbang" ini masih gagal dikikis, mengapakah kaedah "kena beri" itu seolah-olah sudah menjadi budaya, bahkan terus disuburkan terutama di waktu hampir dengan pengundian. 

Sindrom "kena beri - kalau nak undi" ini tidak hanya menjangkiti pihak kerajaan, bahkan dijangkiti sama pihak pembangkang melalui pelbagai agensi dan program di negeri yang mereka telah tadbir.

Barangkali skala pemberian dan pemimpin yang memberi sahaja yang mungkin tidak sehebat apa yang dibuat kerajaan, namun pada rupa dan reka bentuknya, keduanya sama sahaja.

Satu soalan yang saya ingin para pembaca renungkan: Apakah asalnya pemberian oleh pemerintah itu kerana berkehendakkan undi rakyat? Atau di pihak rakyat sendiri telah wujud persepsi bahawa pemerintah kena beri (habuan) sekiranya nakkan undi mereka (rakyat)?

Ini kerana di pihak pemerintah, lazimnya kita akan dengar "bantuan diberi di atas keperluan dan kepentingan rakyat", bermakna pemerintah menyediakan "apa yang rakyat minta".

Semestinya tidak saya nafikan pemberian mana-mana kerajaan, baik kerajaan BN mahupun PR itu menampakkan manfaat seperti bantuan pendidikan (biasiswa, bina dan baiki sekolah), rumah ibadat, infrastruktur, kebajikan dan sebagainya. Tetapi ada sesetengah pemberian itu juga boleh mengundang perdebatan (soal 'timing', metod pemberian dibuat, tujuan, matlamat pengagihan dan skala agihan, etc.).

Renungkan

Sebagai pengakhiran, saya tamatkan posting ini dengan soalan berikut: 

Jika sekiranya itu (budaya kena beri) adalah permintaan rakyat, bagaimanakah dapat kita rencanakan masa depan negara dan pemerkasaan civil society seandainya ditakdirkan satu hari nanti kita berjaya mengangkat pemerintah (tidak kira pihak mana satu) yang jujur dan cekap, tetapi di masa yang sama, keberatan untuk menyuburkan budaya "kena beri" ini, apakah ada kemungkinan mereka juga akan dihukum (tidak diundi rakyat)?

No comments: