Friday, 4 May 2012

Dr MAZA: Ayahanda Fickry! Saya Tangisi Pemergian Ini

Sumber asal: SINI


AYAHANDA FICKRY! SAYA TANGISI PEMERGIAN INIProf Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Aduhai, kesedihan ini meresap ke dalam setiap penjuru nafas. Ia mengalir dalam darah bersama sebak di dada. Airmata memenuhi pandangan. Betapa mengejut dan menusuk kalbu berita kematian Dato Fickry Yaacob, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf.
Benar-benar saya tidak sangka beliau meninggalkan kami. Lebih dukacita lagi saya berada di UK ketika ini. Tidak sempat untuk mengiringinya buat kali terakhir. Saya masih terbayang senyuman, gurauan dan jenakanya. Hubungan saya dan beliau bagaikan keluarga yang amat rapat.
Demikian setiap kehidupan ada pengakhiran. Setiap kita akan melalui cerita yang sama. Hari ini kita terkejut dengan kisah kematian orang yang kita kasihi. Besok orang juga mungkin terkejut dengan berita kematian kita pula. Demikian kehidupan tidak sunyi dari kematian. Setiap kita menunggu giliran dan alam akan terus berjalan.
Sayyid Qutb sebelum digantung kerana perjuangannya, menulis surat kepada adiknya Aminah Qutb. Beliau antaranya menyebut:
“Matahari terbit, matahari juga tenggelam. Bumi pula beredar mengelilinginya. Kehidupan itu bercambah di sana dan sini. Setiap sesuatu itu terus bertambah. Ini bertambah pada bilangan dan jenis. Ia bertambah dari segi jumlah dan cara. Jika kematian itu dapat berbuat sesuatu, sudah pasti kehidupan (alam) ini terhenti. Namun kematian hanya kekuatan yang kerdil dan halus dibandingkan kehidupan yang besar, merata dan mendasar. Dari kekuatan Allah Yang Maha Hidup, kehidupan itu bercambah dan berkembang. Apabila kita hidup untuk diri kita semata, maka kelihatan kehidupan ini singkat dan kerdil. Ia bermula sejak kita sedar dan berakhir bersama umur kita yang terhad. Adapun, jika kita hidup untuk orang lain, iaitu hidup untuk sesuatu idea maka sesungguhnya kehidupan itu panjang lagi dalam. Ia bermula dari mana bermulanya keinsanan. Ia terus melebar selepas kita meninggalkan muka bumi ini..”
Saya Mula Kenali
Saya mula mengenali Dato Fickry sejak saya masih belajar di UIAM di peringkat Ph.D. kira-kira sebelas tahun yang lalu. Dia belum bergelar Dato masa itu. Di usia saya menuju 30an ketika itu, saya amat muda di bandingkan beliau. Sebaya dengan anaknya. Saya dijemput oleh beliau dan kawan-kawannya di Taman Tun Dr Ismail untuk memberi kuliah bulanan. Beliau bersama kawan-kawan yang lain bertungkus lumus menyiapkan dewan, mengatur kerusi-kerusi dan pelbagai lagi. Sikap rendah diri beliau amat mengkagumkan. Saya selalu teringat baju melayu putih lusuh yang selalu beliau pakai ketika itu. Seorang jutawan dengan segala tawaduknya.
Kuliah bertambah ramai, dewan yang lebih besar terpaksa disewa. Maka beliaulah orang yang banyak menyumbang bukan sahaja tenaga tetapi juga wang ringgit. Hubungan kami makin rapat. Saya makin mengenali beliau dan keluarganya. Sering saya berada di rumahnya apabila ke KL. Beliau juga kadang-kala turun bersama sahabat-sahabat yang lain ataupun keluarganya ke rumah saya di Bukit Mertajam. Beliau agak ‘kukuh’ ‘kekelantanan’nya. Maka kami juga ketika itu sering ke Kelantan untuk makan dan ‘ambil angin’. Hubungan kami amatlah baik. Perkahwinan keluarganya, biasanya saya akan ada bahagian yang terlibat. Demikian kami pernah pergi umrah bersama dan lain-lain.
Sebagai orang media, bahkan ‘taukeh media’ beliaulah yang menampilkan saya dalam media-medianya di peringkat awal. Majalah i antara usaha beliau untuk perkembangan Islam. Demikian Karya Bestari untuk penerbitan buku agama. Pelbagai seminar dan wacana agama beliau usahakan. Debat antara saya dan Astora Jabat di Dewan Bahasa juga, antara hasil usahanya. Saya tidak dapat membilang lagi segala usaha dakwah, bantuan dan pelbagai lagi yang beliau hulurkan kepada pelbagai pihak. Dewan al-Imam Ibn Qayyim di Bukit Mertajam, antara saksi sumbangan beliau. Semoga Allah memberikan beliau pahala yang besar.
Menjadi Mufti
Apabila saya menjadi Mufti Perlis, saya agak sibuk. Hanya sekali-sekali singgah ke rumah beliau. Namun sering menghubungi beliau melalui telefon. Hubungan persahabatan kami terus. Beliau pengimbang saya. Beliau penasihat saya dalam politik. Mungkin ramai tidak tahu, dari segi politik aliran pemikiran beliau ‘tidak berpihak kepada UMNO’. Parti itu tidak mendapat tempat dalam perasaannya disebabkan pengalamannya. Beliau dahulu memiliki Akhbar Watan dan Akhbar Ekslusif. Pengalaman pahitnya dengan UMNO menjadikan beliau serik dan kritis terhadap parti itu.
Namun beliau bukan fanatik pembangkang. Beliau seorang yang agak tajam analisis politiknya. Dalam Akhbar Sinar, beliau memakai nama samaran Dr Aisar Yee. Selama ini, beliau antara perunding penting pandangan politik saya. Saya akan banyak berbincang dengannya. Beliau amat waras dalam politik dan kritis. Walaupun begitu, beliau sering menyebut kepada saya “kena nilai sikit pandangan ana ni, sebab UMNO ini dah terlalu negatif pada ana“. Namun, beliau sebenarnya waras dan sederhana. Apabila ada isu besar, beliau antara orang awal yang saya akan hubungi. Beliau bagi saya, bagaikan ayah dan guru dalam politik.
Apabila Karangkraf menerbitkan Akhbar Sinar Harian, banyak nilai-nilai positif yang beliau suntikkan supaya akhbar itu lebih adil dan seimbang. Ya, saya tahu, Sinar Harian juga sentiasa terancam dari pihak ‘yang mencekam kuasa lesen akhbar’. Juga bukan suara beliau seorang dalam penerbitan itu. Apapun sekurang-kurangnya Sinar Harian lebih baik dari yang lain. Ada ruang untuk pihak lain juga bersuara. Hari ini Sinar bertambah maju. Wacana-wacana yang dianjurkan oleh Sinar Harian telah mengangkat akhbar itu. Pastinya, sikap kritis Dato Hj Fickry Yaacob mempunyai yang besar.
Jemput Ke Rumah Baru
Rumah beliau di Taman Tun Dr Ismail. Apabila beliau membeli satu rumah lagi yang besar di Sg Buloh, beliau menelefon saya memaklumkan kepada saya: ‘Ana baru beli rumah baru di Sg Buloh, ana siapkan bilik khas di tepi swimming pool untuk ustaz apabila datang ke KL’. Saya rasa terharu. Saya terfikir, apakah beliau beritahu saya kerana saya sudah lama tidak bermalam di rumah beliau sejak saya menjadi Mufti dan selepas itu. Ini kerana, sejak saya ‘menjadi sibuk’, biasanya saya akan tinggal di hotel yang disediakan oleh pihak-pihak tertentu apabila berada di KL. Apabila beliau memberitahu saya demikian, saya terfikir apakah sahabat-sahabat lama merasakan saya telah renggang dengan mereka sejak kebelakangan ini.
Alhamdulillah, saya sempat duduk di rumah baru beliau beberapa kali. Kali terakhir semasa kenduri anak perempuannya Alwani. Saya turut menjadi wakil jurucakapnya semasa majlis perkahwinan tersebut. Segalanya indah dan meriah. Anak-anak beliau juga sering singgah ke rumah saya. Malangnya, kenduri anak lelaki beliau Dr Azri saya tidak sempat hadir kerana berada di UK.
Tergamam
Semasa saya pulang ke Malaysia baru-baru ini saya ke rumah beliau. Seperti biasa, menikmati hidangan yang menarik. Dr Maszlee Malik juga turut hadir. Saya simpati beliau uzur, dan kehabisan ‘kuota makan’. Beliau tidak dapat makan seperti dahulu lagi. Dua minggu lepas, anak perempuan yang belajar di Mesir menghubungi saya meminta saya memujuk beliau untuk melawat UK, khususnya Oxford. Minggu lepas beliau tweetedkepada saya gambar makanan beliau di Kelantan. Saya membalas tweetnya bergurau ‘mai la makan nasi ulam kat Oxford’.
Semalam, saya masih lagi membaca tweet beliau. Tiba-tiba hari ini berita kematian beliau diberitahu. Saya tergamam. Saya pulang bersendirian di bilik berdoa dan bersedih atas kehilangan yang besar, seorang insan yang amat baik dengan saya. Saya tahu beliau juga baik dengan ramai orang. Sumbangan wang dan harta kepada dakwah bukannya sedikit. Kasihnya kepada agama ini bertambah dari hari ke hari. Jika ada ruang kebaikan, beliau berusaha untuk menghulurkan.
Saya sugul. Apatah lagi saya tidak dapat mengiringi jenazahnya ke perkuburan. Saya ingin melawatnya apabila pulang nanti. Saya harap rohnya akan terus mengenali saya dan suka dengan kedatangan saya nanti. Ini bak dalam satu riwayat:
“Tiada seorang yang melintasi kubur saudaranya yang mukmin yang dia kenalinya dahulu di dunia, lalu memberi salam, melainkan dia (si mati) mengenalinya dan menjawab salamnya” (riwayat Ibn ‘Asakir dll, dinilai sahih oleh Ibn al-Mubarak, ‘Abd al-Barr, ‘Abdal-Haq al-Ashbili, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan lain-lain).
Semua kita akan melalui perkara yang sama. Kematian. Amalan kita akan dibawa dan ditimbang. Sesiapa yang kebaikannya mengatasi keburukannya dia berjaya. Firman Allah: (maksudnya)
“Sesiapa yang berat timbangan kebaikannya, maka dia dalam kehidupan yang senang lenang” (al-Qari’ah: 6-7).
Demikian kita harapkan diri kita dan diri sahabah-sahabah kita yang pergi terlebih dahulu. Kita telah bersahabat di dunia ini. Semoga Allah mengekalkan persahabatan ini di kehidupan yang akan datang. Kita tidak berjumpa dengan sahabah-sahabah di dataran maksiat ataupun kejahatan. Kita mengenali mereka kerana perjuangan dan Islam. Kita harap dan berdoa agar ada habuan kita seperti hadis Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba Allah adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada Hari Kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi Allah”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?”. Jawab Nabi: “Mereka itu golongan yang cinta mencintai dengan roh Allah, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi Allah, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita”. Lalu baginda membaca ayat al-Quran: (maksudnya) “Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita” (Hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).
Ayahanda Fickry telah pergi. Kami masih di sini. Menunggu giliran hari. Kita berpisah, tapi tidak selamanya. Akan ada harinya, jika diizinkan Allah, kita akan berjumpa. Moga kita direzekikan bertemu di tempat yang baik. Saya menangis. Saya pasti terus menangis kerana beliau telah pergi ke destinasi. Saya belum lagi. Tapi saya tahu, saya juga akan ke sana. Namun, antara bahagia dan derita hanya Allah Yang Maha Tahu. Sebagai sahabat saya doakan untuknya. Namun, siapakah nanti yang sudi doa untuk saya yang hina?! Ya Allah! Ampunkan saya, ampunkan sahabat lagi ayahanda saya Fickry Yaacob, dan ampunkan kami semua.

No comments: