Friday, 1 July 2011

9 Julai: pertimbangkan baik-buruk


Nota: Pertamanya saya ingin mohon maaf jika ada dari kalangan pembaca, yang juga bakal peserta perhimpunan 9 Julai, terasa hati dengan penulisan saya kali ini.

Sejarah bakal berulang?

Sama ada pihak yang ingin berhimpun, mahupun yang menentang mereka-mereka yang akan berhimpun, semuanya menggunakan alasan "keamanan" bagi menjustifikasikan perbuatan mereka.

Tiadalah dapat dijamin bahawasanya perarakan itu nanti "bersih" daripada sebarang bentuk provokasi dan kekacauan.

Tiada juga dapat dijamin yang ianya terhindar daripada berlakunya perbuatan merosakkan harta benda, malah lebih buruk lagi, kehilangan nyawa.

Harapnya tiada perkara yang buruk berlaku. Harapnya hanya berjalan dengan aman hinggalah memorandum tersebut dapat diserahkan.

Di dalam posting sebelum ini saya menulis berkenaan peranan YDP Agung untuk menggunapakai segala bentuk "wisdom" baginda untuk mereda dan mendamaikan pihak-pihak yang terlibat agar "sakit tidak melarat" dan menjadi lebih parah.

Jika para pembaca perhati foto di atas, ia adalah alasan mengapa posting susulan ini saya tulis. 

Sejarah boleh berulang, malah sejarah selalu berulang. Cuma sama ada kita mampu mengambil iktibar atau sebaliknya, itu perkara yang lain.

Kalau sejarah itu yang indah, betapa gembiranya kita. Tetapi kalau ianya celaka, berdukalah kita.

Artikel ini, pada saya, berguna untuk anda baca, sekalipun ianya mengupas isu Mei 13 daripada perspektif seorang (penulis dan pengkaji) Cina - baca dengan fikiran terbuka.

Ianya bukanlah penulisan lekeh atau tanpa fakta seperti diterbit dan boleh dibaca di sesetengah blog. Ianya dikeluarkan oleh Jurnal Berwasit "Race & Class" (2007), Vol 49(3): 33-53.

Sekiranya diteliti laporan ini, timbul soalan kepada diri sendiri kerana takut sejarah hitam tersebut akan berulang. 

Ini kerana bibit-bibit ke arah itu semakin nyata kelihatan dari hari ke hari.

 Gambar "penyapu" pun dah keluar...sejarah lama?
Sumber foto: sini

Cuma, jangkaan saya, andainya (harapnya saya silap dan harapnya tidak berlaku), mungkin tidak berlaku di Kuala Lumpur, mungkin di salah sebuah negeri di utara Semenanjung. Wallahua'lam, tiada siapa yang tahu.

Kita hanya merancang, namun tuhanlah yang menentukan. Segelintir kita mungkin merancang untuk benda baik, tetapi tidak dinafikan kemungkinan ada juga yang merancang untuk benda tidak baik.

Lebih yang buruk berbanding baik?

Pesanan saya, kepada anda yang bersemangat untuk menyertai "perjalanan aman" pada 9 Julai nanti, masih ada masa untuk duduk seketika dan menghitung kebaikan dan keburukan. 

Beratkanlah mana yang lebih utama (baik atau buruk) dan bermohonlah petunjuk Allah Taala.

Pastikan aspek keselamatan dititikberatkan semasa di sana nanti dan moga Allah sejahterakan tanah air kita walau apapun hasilnya selepas 9 Julai nanti.

Wassalam.

No comments: