Monday, 10 January 2011

Interlok

Saya ada terbaca beberapa laporan di akhbar online berkenaan novel 'Interlok' karangan Sasterawan Negara, Abdullah Hussain.


Sekalipun amat jarang membaca novel Melayu, khasnya yang dihasilkan oleh seorang Sasterawan Negara, tidak pernah lagi saya dengar dan lihat adanya pihak tertentu yang bukan sahaja sanggup menolak kandungan novel tersebut, malah telah bertindak pula secara provokatif, membakar novel terbabit, berserta gambar penulisnya.

Kritikan terhadap sesuatu karya itu memang biasa. Ini kerana semua orang mempunyai pendapat serta pandangan mereka masing-masing, sekalipun di dalam mengupas perkara yang sama.

Satu novel kontroversi, yang juga karangan Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad yang berjudul 'SHIT', tidak lama dulu juga tidak terlepas daripada kritikan.

Begitupun, tidaklah sampai ada pihak-pihak yang 'panas telinga' dan 'hangat hati' tergamak menganjurkan upacara membakar karya tersebut.

Berbalik kepada karya Interlok. Saya mengharapkan ada di kalangan rakan-rakan yang telah dan akan membaca novel berkenaan, dan dapat dibuat rumusan mengenainya.

Saya ingin cuba untuk bersikap adil dan berbaik sangka kerana tidak elok sekiranya sesuatu ulasan yang berlandaskan fakta itu terpaksa diselindung dan dipadam dari sejarah, hanya disebabkan ego dan emosi.

Sepahit manapun sesuatu fakta sejarah itu, ianya wajar 'dibenarkan' oleh orang yang rasional. Bahkan, boleh juga dijadikan pengajaran berguna buat tatapan generasi yang akan datang, untuk mengenal diri (setelah tahu sejarah).

Badan berwajib terutama penerbit, DBP pastinya akan bertindak mengkaji perkara ini dan perlulah segera tampil menjernihkan suasana dengan memberikan penjelasan yang terbaik kepada semua pihak.

Saya tidak mahu terus dikelirukan oleh 'fakta' sejarah yang tidak benar, namun di masa yang sama, tidak juga saya mahu melihat fakta sejarah terpaksa 'digelapkan' daripada pengetahuan dan tatapan generasi kita yang akan datang.

No comments: