Tuesday, 14 December 2010

Artikel panjang: PRU awal?

Petanda yang ada seperti mengiyakan....

Semalam DAP mengisytiharkan penangguhan proses pemilihan parti sehinggalah ke tahun 2012, seterusnya menyertai UMNO dan MCA yang sebelum itu telah mengisytiharkan penangguhan pemilihan parti mereka, hingga ke suatu tarikh yang dirasakan ‘sesuai’.

Sungguhpun pengisytiharan menagguhkan proses pemilihan parti bukanlah suatu perkara yang luar biasa, namun ia tidak pula berupaya untuk mengendurkan cakap-cakap bahawa pilihanraya umum (PRU) bakal diadakan awal – tahun 2011.

Cakap-cakap ini semakin kuat bergema, terutama setelah menyaksikan BN kembali mendominasi keputusan beberapa pilihanraya kecil (PRK) mutakhir ini, dengan pencapaian yang begitu memberangsangkan.

Bersandarkan faktor ini jugalah, Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Najib Razak serta barisan kepimpinan BN yang lainnya merasakan bahawa sokongan rakyat terhadap BN telah kembali pulih, bukan sahaja sokongan orang-orang Melayu kepada UMNO, malah sokongan bukan Melayu kepada BN.

Faktor lain yang dilihat turut menyenangkan hati para pemimpin BN ketika ini adalah dengan goyangnya rumah tangga yang dihuni oleh Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim setelah kembali diheret oleh pelbagai isu dan permasalahan peribadi dan dalaman parti.

Tidak hairanlah jika setiap hari, pagi-petang, siang-malam, rakyat akan didendangkan dengan kisah mengenai Anwar Ibrahim dan PKR.

Sebermulanya isu pemilihan parti dan penguasaan ahli keluarga di dalam parti, pengunduran Zaid Ibrahim, ‘anugerah tuhan’, penyisihan agenda ketuanan Melayu, diikuti titah amaran Raja-Raja Melayu, dan yang terbaru, pendedahan Wikileaks yang mengaitkan Anwar dengan ‘aktivitinya’.

Sebagaimana dijangka, strategi melemahkan Pakatan Rakyat (PR) tidak memerlukan usaha yang menyeluruh bagi mengucar-kacirkan PAS dan DAP, cukup dan memadailah dengan hanya mengganggu-gugat rumah tangga PKR dan kredibiliti beberapa pemimpinnya, melalui propaganda media.

Oleh sebab itulah, kebelakangan ini agak jarang didengari adanya kritikan dan cerita buruk mengenai PAS dilaporkan oleh media-media pro-kerajaan (kecuali laporan ‘cakap lepas’ beberapa menteri pusat semasa ‘kempen dalam banjir’ di Kedah baru-baru ini).

Sesungguhnya, media (televisyen dan akhbar), mahu tidak mahu, perlu diakui masih menjadi senjata paling ampuh jika pandai dimanipulasikan, untuk menyampaikan sesuatu berita.

Persoalan sama ada pelaporan yang dibuat itu cermat, berfakta, seimbang dan bebas provokasi, bukanlah menjadi keutamaan. Apa yang penting, “rakyat hanya perlu tahu apa yang ingin diberitahu, dan tidak perlu tahu apa yang tidak perlu diketahui”.

Justeru, adalah lebih adil dan selamat jika kita boleh menggunakan kemudahan dan kecanggihan teknologi yang ada di sekeliling kita untuk membuat ‘semak dan imbang’ terhadap sebarang bentuk maklumat dan berita yang kita terima.

(bacaan tambahan: PRU dan pilihanraya Sarawak, serentak?)


Dalam yakin pun tetap ada gusarnya....

Di sebalik cakap-cakap mengenai kemungkinan PRU ke-13 bakal diadakan di dalam bulan-bulan tertentu tahun hadapan, muncul komen oleh mantan PM, Tun Mahathir yang menegaskan bahawasanya BN (Najib) tidak perlu menyegerakan PRU.

Hujah Tun ini bersandarkan tempoh kepimpinan Najib yang masih lagi ‘baru’, dengan pelbagai janji transformasi sedang dan baru mengambil tempat, sehingga impak sebenar segala usaha ini masih belum kelihatan kepada rakyat.

NKRA dan ETP masih diperingkat awal perlaksanaan dan memerlukan masa untuk ‘matang’ agar rakyat dapat melihat hasilnya.

Sewajarnyalah, mandat 5 tahun yang telah diberi perlu diisi sepenuhnya oleh kerajaan yang ada sekarang untuk menunaikan sebanyak mungkin janji dan manifesto mereka.

Namun, suka saya ingatkan bahawa politik juga adalah mengenai kelicikan dan ujian persepsi.

Cerdik sahaja tidak cukup untuk seseorang itu hinggap lama di kerusi kekuasaan. Elemen ‘cunning’ atau kelicikan perlu juga bergerak seiring.

Kelicikan yang saya maksudkan adalah licik membaca peluang yang terhidang. Aroma politik ketika ini (jika menurut tv dan akhbar arus perdana) semakin berpihak kepada BN. 

Mana tidaknya, setiap malam, mata dan minda rakyat tidak putus-putus dipersembahkan dengan pelbagai pencapaian kerajaan untuk rakyat (pelancaran klinik bergerak 1Malaysia, Amanah Hartanah Bumiputra, program permata, etc.)

Tambahan pula, parti pembangkang terutama PKR serta ketua pembangkang sendiri digambarkan pula sebagai sedang berkecamuk dengan dibebankan oleh pelbagai persepsi buruk.

Aroma keselesaan ini bagaimanapun, masih belum diyakini mampu dizahirkan melalui sokongan di atas kertas undi semasa pilihanraya.

Nada berhati-hati Presiden UMNO yang juga PM dapat diperhati semasa ucapan beliau mengenai Felda, di mana pihak-pihak yang mempertikaikan peranaan dan jasa Felda  dilabelkan sebagai 'pengkhianat bangsa'.

Begitu juga di dalam isu Ketuanan Melayu, yang mana semasa ucapan penutup beliau di Persidangan Agung UMNO yang lalu, Najib memberi jaminan bahawa segala hal berkaitan hak dan keistimewaan Orang Melayu telahpun tersimpul mati (terpateri kemas), tidak akan boleh diubah, walau siapapun yang berkuasa.

Jaminan beliau sendiri nampaknya masih belum diyakini oleh orang-orang Melayu sendiri, terutama setelah presiden PKR menimbulkan isu (ketuanan) ini dengan pelbagai NGO berteras Melayu terutama Perkasa yang telah membantah dan membuat laporan Polis.

(Cuma apabila Presiden MCA bercakap mengenai ‘tuan’ dan ‘hamba’ semasa konvensyen BN, tidak pula Perkasa buat apa-apa).

Bahkan, ada pula pihak-pihak tertentu yang berkepentingan, terus meniupkan bara agar kembali menjadi api apabila mengetengahkan respon oleh institusi Raja-Raja Melayu berkenaan isu yang sama.

Jika setelah 53 tahun merdeka isu ini masih belum dapat diredakan, bagaimana untuk menjamin ianya dapat diselesaikan (ertinya semua kaum dapat menerima hal ini berpandu kepada konteks perlembagaan).

Cuma daripada cakap-cakap saya dengan beberapa rakan (yang Melayu dan bukan Melayu), jawapan yang dicari sebenarnya telah mencipta lebih banyak persoalan terutama bagaimana orang yang sama bercakap mengenai dua agenda yang begitu berbeza (Ketuanan Melayu - Presiden UMNO) dan (‘Ketuanan’ 1Malaysia - Perdana Menteri).

Sikap berhati-hati kerajaan juga dapat difahami memandangkan ketika ini wujud beberapa isu yang jika gagal diredakan, mampu mempengaruhi persepsi (dan mood) rakyat.

Di antara isu terbabit adalah peningkatan kos sara hidup yang tidak berpadanan dengan pendapatan dek tindakan kerajaan yang mengurangkan subsidi (a.k.a kenaikan harga dan kos) barang keperluan utama rakyat iaitu bahan api, gula dan gas memasak.

Tidak sebagaimana amalan di zaman Pak Lah, kenaikan yang berlaku kali ini seperti tidak dijangka-jangka di mana rakyat seakan ‘terperanjat’ dan tidak sempat membuat persediaan. 

Tambah menyedihkan, esokannya pula, berita mengenai pengurangan subsidi ini seperti sengaja ‘dihilangkan’ daripada dada-dada akhbar, dengan hanya memberikan liputan secara minima dan jaminan pak menteri yang 'flip-flop'.

Isu lain adalah pendakwaan rasuah terhadap bekas MB Selangor, Khir Toyo. Anda ‘google’ sajalah, lihat banyak komen berkaitan isu ini oleh pelbagai pihak, termasuklah komen oleh Khir sendiri (Hey! What the.....)

Natijahnya?

Jika Khir sabit bersalah, ia menandakan rasuah memang menjadi amalan pimpinan tertinggi parti, seterusnya mengesahkan lagi pandangan Tun Mahathir mengenai 'UMNO dan rasuah'.

Dan jika Khir tidak sabit kes serta dibebas, ianya akan dicanang (dijadi modal kempen) pembangkang bahawa pendakwaan ini tidak lebih sekadar ‘lawak-jenaka’ pihak kerajaan di dalam membuktikan kesungguhan mereka membanteras rasuah.

Isu lain yang tidak begitu diminati media arus perdana, tetapi mendapat liputan khas akhbar Harakah baru-baru ini adalah berkenaan pengaruh isteri PM, Rosmah Mansur. 

Kecenderungan Rosmah ‘membantu’ Najib mentadbir Negara jelas kelihatan apabila hampir setiap malam di dalam warta berita akan diberi liputan khas aktiviti beliau di sana-sini.

Penutup: Kerajaan silih-berganti

Apakah Orang Melayu itu bangsa yang takut dengan perubahan? 

Sejarah telah terlalu banyak, bahkan berulang kali melampirkan bukti bahawa proses tukar-ganti, jatuh-bangun sesebuah kerajaan adalah perkara yang biasa, bahkan sebahagian daripada proses pembinaan tamadun.

Turun yang korup, naik yang bersih.
Yang bersih pula, lama-kelamaan akan berdaki juga.
Mula-mula bolehlah dikikis (ditegur), tetapi lama-kelamaan jadi daki mati (korup).
Tiba masanya, turunkan yang korup, naikkan yang bersih.

Apakah bangsa Melayu takut tidak lagi menjadi 'Tuan' jika berlakunya angin perubahan?

Begitupun proses kekal, atau tukar kerajaan perlulah dibuat mengikut peraturan dan cara yang betul. Bukan sahaja pembangkang yang perlu betul, bahkan kerajaan yang sedang memegang kuasa juga tidak terkecuali.

Dan di dalam pilihanraya, bukan pemimpin yang menentukan mereka dan parti mereka yang akan kekal dan berkuasa, melainkan para pengundi jualah yang berhak sepenuhnya menentukan.

Sekian.

(nota: lama tidak merapu panjang...)

No comments: