Tuesday, 3 August 2010

Siri 2: Less Meat = Less Heat?

Kos Untuk Dunia Bebas Daging

Saya tangguhkan Siri 1 yang lalu dengan persoalan berkaitan kos-kos yang perlu ditanggung jika masyarakat dunia sepakat meninggalkan pemakanan berasaskan daging dan menjadi vegeterian, dalam usahanya mengurangkan kesan pemanasan bumi.

Siri terakhir ini akan mengupas berkenaan kos-kos (tekanan/stress) yang bakal terhasil jika kita percaya akan "less meat = less heat".

1) Pembaziran tanah-tanah yang tidak produktif/terpencil, yang tidak ekonomikal bagi diusahakan/dibangunkan.

Foto hiasan

Jika dipandang dari sudut sejarah, penternakan lembu, kambing dan biri-biri lazimnya dijalankan di atas tanah yang tidak subur/sesuai untuk diusahakan pertanian skala komersil - rujuk foto. Contoh sebegini masih dapat dilihat dengan banyaknya di pedalaman Scotland, Sub-Sahara dan di banjaran tengah Amerika Selatan. Dengan penternakan, tanah-tanah sebegini telah dimanfaatkan untuk menukar rumput yang subur kepada daging dan susu yang organik dan baik.

Di dalam situasi banyak negara yang kurang aksess untuk mendapatkan bekalan daging, kembali mengabaikan tanah-tanah sebegini dilihat hanya akan memburukkan lagi krisis bekalan makanan. Tambahan pula, kegiatan penternakan di kawasan terpencil, 'semi-arid' dan di kaki-kaki gunung, pada skala yang sederhana, dilihat menunjukkan kesan yang terkawal terhadap alam sekitar, berbanding jika kita menukarkannya kepada ladang bagi tanaman komersil.

2) Dilema terhadap usaha kitar semula sisa makanan rumah/domestik.

Foto Hiasan

Menurut Tara Garnett dari University of Surrey, UK "your household pig was your useful dustbin. You give your leftovers to the pigs, they deal with your rubbish, and you get meat".

Kajian mendapati 30 hingga 50% daripada makanan di rumah kita, akan berakhir di tong sampah (dibuang/dibazirkan). Bayangkan jika buangan ini dimanfaatkan sebagai makanan si babi, atau ayam kampung yang diternak di sekitar rumah (seperti di kampung), dan bayangkan pula jika tiada lagi ayam-ayam dan babi, sisa buangan domestik ini akan kembali ke tong dan bakal memberi tekanan (stress) kepada kapasiti tempat pelupusan sampah (kualiti alam sekitar akan terjejas).

3) Tiada lagi produk-produk berasaskan haiwan di pasaran.

Dunia tanpa daging akan perlu mencari ganti kepada 11 juta tan kulit dan 2 juta tan bulu yang dihasilkan sektor penternakan saban tahun. Bukan setakat itu sahaja, para petani pastinya 'merindui' bauan baja haiwan. Baja bakal menjadi penyumbang yang kecil untuk nitrogen di negara-negara pertanian di masa hadapan. Dan tanpa baja haiwan ini, bayangkan kos yang bakal ditanggung oleh petani terutama di negara membangun dan miskin.

4) Keperluan bagi negara miskin.

Seseorang yang Vegeterian sekalipun masih setuju bahawa daging adalah sumber makanan yang penting di negara-negara miskin/mundur. Sekalipun tidak menolak andaian bahawa dengan mengurangkan pengambilan daging akan dapat membantu memperbaiki kualiti alam sekitar, namun di masa yang sama adalah tidak adil mengambil hak golongan miskin bagi memenuhi keperluan diet harian mereka.

Bagi berbilion penduduk miskin luar bandar, memiliki seekor atau dua ekor haiwan seringkali manawarkan harapan untuk mendapatkan lebih pendapatan (melalui penjualan haiwan tersebut), dan dengan sekali-sekala mampu makan dagingpun sudah pasti membawa perbezaan yang besar (rahmat dapat merasa daging) terhadap isirumah mereka.

5) Tiada daging, tiadalah susu dan telur.

Jika masih ada yang beranggapan bahawa kita masih boleh menukar diet kita daripada makan daging kepada diet yang berasaskan susu (milk diet), anda ternyata silap. Menurut Helmut Haberl, ahli sosio-ekologi daripada Institut Sosio-Ekologi di Vienna, Austria, "you cannot produce milk without meat" - tiada susu akan terhasil, tanpa adanya daging iaitu haiwan yang hidup. Pendapat yang sama turut terpakai di dalam kes ayam yang dibela bertujuan mendapatkan telur. Menolak makan daging akhirnya bermaksud menamatkan sumber bekalan untuk susu dan telur!

Penutup

Sekalipun gagasan 'dunia bebas daging' begitu menarik di atas kertas, tidak semestinya ia mampu mewujudkan masa depan yang diidam-idamkan (utopia). Di dalam keadaan masyarakat yang sibuk mempromosikan gaya hidup sebagai 'Vegeterian' (diet berasaskan susu dan telur), mahu tidak mahu, terhasilnya susu dan telur adalah dengan adanya daging (iaitu haiwan yang hidup).

Persoalan sebenar di sini adalah; berapa banyakkah daging yang kita perlukan dan bagaimana kita mampu hasilkan bekalan yang secukupnya.

Jawapannya, terserah kepada bagaimana kita mendekati (approach) persoalan terbabit. Jawapan yang paling ringkas adalah, dunia akan menyaksikan permintaan terhadap daging terus bertambah. Ini yang pasti jika mengkaji senario semasa/hari ini.

Di bawah senario ini, matlamat kita adalah untuk memastikan penghasilan daging dibuat pada kos yang minima terhadap alam sekitar.

Dan caranya, menurut Walter Falcon, ahli ekonomi-pertanian dari Stanford University, California, adalah dengan membataskan ternakan secara 'free-range' dan menggalakkan amalan penternakan secara 'feedlots' dan di dalam persekitaran berdensiti tinggi, yang terasing daripada persekitaran luar. Tambah beliau lagi "if you are going to keep some livestock system, I think the ones you'll want to keep are the intensive ones".

Penternakan skala besar pastinya memberi tekanan terhadap alam sekitar terutama dalam penghasilan nitrogen dan baja/najis haiwan. Begitupun, dengan insentif yang bersesuaian, seperti contoh di US, najis haiwan ini boleh diproses untuk mengurangkan penghasilan gas rumah hijau - kepada biomass, di mana 100 juta tan telah diproses dan menyumbang kepada kira-kira 4% sumber elektrik negara terbabit.

Jika ingin diperdebat isu ini, memang tiada penghujungnya. Di satu pihak mahukan pengurangkan daging, yang juga bermaksud pengurangkan kapasiti sektor penternakan. Tetapi sebanyak mana yang patut dikurangkan? Tiada siapa yang tahu.

Justeru, masa depan sebenarnya memerlukan perubahan yang besar terhadap cara bagaimana kita mengamalkan diet dan pilihan menu pemakanan kita.

Pengambilan daging wajar dikurangkan, terutama di kalangan orang yang tipikal makan daging. Kita pastinya tidak mahu memasukkan lemak, dan lain-lain punca penyakit ke dalam tubuh kita dan isirumah kita. Namun, dapatkah masyarakat kita menerima cadangan makan daging dua kali dalam seminggu?

Mungkin tidak sanggup untuk masa ini (belum lagi bersedia), tetapi perubahan itu tidak mustahil berlaku setelah kita sendiri menyaksikan hutan ditebang, hakisan tanah berleluasa, pencemaran air terus berlaku hanya kerana permintaan terhadap daging yang semakin meningkat pada masa hadapan.

Ramai orang kini sudah berkira-kira untuk menjadi kurang makan daging (eat less meat), dan kesimpulannya di sini adalah 'kurangkan makan daging, dan bukannya tidak makan langsung!'. And for the best results, meat should be medium-rare - Bob Holmes, Edmonton, Canada, 2010.

Sekian.

No comments: