Monday, 26 July 2010

Berita dari kampung: musim durian dan pencuri laki-bini

Murah rezeki Mok-Ayoh tahun ini. Apa tidaknya, durian di dusun Ayoh begitu menjadi, begitu juga dengan dokong (duku-langsat).

Empat biji buah durian yang besar dijual dengan harga RM20, manakala yang kecil dilonggok 3 biji, RM10. Buah dokong pula mulai kuning. Bulan puasa nanti bolehlah merasa hasilnya.

Namun, semakin banyak buah yang luruh, semakin keraplah Ayoh perlu berulang-alik ke dusunnya. Bukan apa, selain Ayoh, dusun tersebut turut dilawati oleh pasangan pencuri laki-bini.

Menurut Mok, si pencuri laki-bini itu tinggalnya tidak berapa jauh dari dusun Ayoh. Makanya, waktu lawatan beliau dan isterinya boleh jadi lebih 'flexible' daripada Ayoh yang tinggal agak jauh di samping Ayoh perlu membahagikan masanya dengan kerja-kerja lain di sekitar rumah.

Foto hiasan

Inilah kali pertama saya mendapat tahu mengenai kegiatan pencuri laki-bini tersebut. Orangnya saya kenal, tua sikit daripada saya.

Budak sekampung, dengar kata ayahnya bukanlah orang susah, kerbaunya banyak sampai tak terbela. Maksudnya, apabila hendak ditangkap kerbau tersebut, perlu diupah orang menembak ubat pelali kerana lama hidup meliar di ladang sawit Felda berhampiran, hinggakan tidak lagi kenal tuannya.

Yang menambahkan jelasnya kegiatan mencuri pasangan ini adalah umum orang kampung tahu yang mereka tidak memiliki dusun. Dan sepanjang musim buah tahun ini mereka sering dilihat 'lalu-lalang' melawat kebun dan dusun milik penduduk kampung yang lainnya.

Bab lawatan itu satulah. Yang lebih dipersoal pasangan ini begitu rancak dengan aktiviti menjual durian, sedangkan semua jiran mereka tahu yang si polan ini tidak memiliki sebatang pohon durian pun.

Saya kasihan apabila Mok beritahu yang Ayoh terpaksa balik petang (malam pun kadang-kala) memandangkan waktu Maghrib itu jugalah si pencuri aktif mengadakan lawatan.

Saya hanya menasihatkan supaya tidak perlulah Ayoh sampai nak menyusahkan diri. Mana yang dapat itulah rezeki kita dan mana yang terlebih dahulu dicuri, bukanlah rezeki kita.

Kalau saya masih budak-budak, hendak saja ajak adik-adik menyorok dalam semak dan lepas tu pakat sergah ramai-ramai jika terserempak dengan pasangan pencuri tu dalam dusun. Haha....

No comments: