Friday, 30 April 2010
Mencelah sikit: Pasca Hulu Selangor
Saya dok dengar-dengar (lah), selepas PRK Hulu Selangor tempoh hari, dah ada yang dapat jadi Senator dan dah ada yang dapat wang peruntukan beberapa juta untuk sekolah. Cuma yang belum saya dengar apakah ganjaran (yang spesifik) untuk orang-orang yang siang-malam dok berkampung, bersesak dan berserak tekak melaungkan sokongan kepada YB Kamalanathan tempoh hari...
Nak lah juga dengar, kan? Jika orang yang terbukti 'kurang' menyokong pun diberikan imbuhan, inikan pula orang yang sah-sah bersedia dan rela menjadi 'benteng' sepanjang PRK berlangsung.
Thursday, 29 April 2010
Welcome to Lagos
Bagi mereka yang belajar tentang pembangunan komuniti, jururancang bandar atau pembaca umum yang berminat tentang manusia, bandar dan sistem yang menghubungkannya, inilah sumber rujukan tambahan bagi membantu anda (secara visual) bagi memahami tabiat manusia dan bagaimana manusia yang berbagai keperluan menggunakan ruang bandar.
Ironinya, kehidupan komuniti di tempat pembuangan sampah ini sekali imbas hanyalah kewujudan satu lagi tempat yang kotor, sarang jenayah dan tempat orang yang terbuang dan orang yang tiada harapan.
Tetapi yang indahnya, di dalam dokumentari ini dihuraikan bagaimana setiap orang yang hidup dan menggunakan sumber serta ruang bandar/petempatan (tidak kira sekecil manapun peranannya) adalah saling melengkapi umpama 'bakteria pengurai' yang bersama-sama mengambil peluang untuk menjana kehidupan dan untung.
Pemungut sampah bergantung hidup dengan hasil jualan barangan kitar semula seperti tembaga, plastik, kaca, etc.
Manakala, di petempatan sampah itu ada para peniaga yang membuka gerai makan, kedai mengunting rambut, hatta perkhidmatan memotong dan mencuci jari tukang kutip sampah.
Semua orang ambil peluang untuk cari wang dan wang itu bergerak/berpindah bagi meneruskan hidup setiap orang di situ.
Hal yang sama semasa di pasar menjual lembu. Penternak ingin menjual lembu. Ada 'broker' yang akan mendapatkan pembeli dengan harga terbaik. Tukang sembelih turut dapat untung, ada yang ambil kepala lembu.
Perut dan najis menjana rezeki kepada pembuat baja. Hatta darah lembu turut diproses sebagai makanan ayam - pendapatan kepada orang lain.
Ringkasnya, perniagaan di pasar bukan hanya melibatkan lembu, tetapi lihatlah bagaimana kompleksnya dan peranan 'bakteria pengurai' ini yang hidup secara simbiotik dan saling melengkapi.
Saya telah kesemua episod - ada 3 episod sahaja. Semalam ditayangkan episod yang terakhir - setinggan tepi pantai. Episod pertama berkisar kehidupan komuniti tempat pembuangan sampah dan kedua, berkisar setinggan di atas air.
Semua episod saya suka dan memang saya tertunggu-tunggu. Selain menambah pengetahuan terhadap ilmu perancangan komuniti, perancangan bandar, ianya sedikit sebanyak membuatkan saya bersyukur dengan apa yang 'masih' dikekalkan di Malaysia.
Memang ada banyak yang belum sempurna, tapi kita juga haruslah mainkan peranan, biarpun kecil bak kata pepatah, jika tidak dapat buat semua, jangan tinggal semua.
Jika kita tidak mampu menyumbang kepada penyelesaian sesuatu masalah, sekurang-kurangnya janganlah pula kita menambahkan lagi kerumitan pada masalah yang ada.
Akhirnya, saya amat-amat cadangkan anda melihat videonya di sini (klik). Setiap episod juga boleh dimuat-turun (download). Ianya bagus untuk digunakan sebagai 'alat bantu mengajar' buat rakan pensyarah yang berminat.
Moga beroleh ilmu, manfaat dan pengajaran. Wassalam.
Wednesday, 28 April 2010
Email kawan: saya nak pegi kangkang!
------------------------
“Saya nak pergi kangkang . Kamu nak ikut?”
Ini mungkin ayat yang sangat pelik dan luar biasa yang keluar dari mulut seorang gadis ayu, sopan dan bertudung litup apabila mengeluarkan perkataan yang mungkin agak kurang enak didengar dek telinga. Dan mungkin ayat ini yang akan terkeluar dari mulut ku;
“Hah? kamu nak pergi apa????”
Dengan selamba pula dia menjawab,
“Itu Nak pergi kangkang kat tepi jalan sana tu haaaa~” sambil menuding jari ke arah bangunan ditepi jalan yang berhampiran.
Ya Allah! Apa sudah jadi? Betul lah sekarang ini dunia memang sudah hampir kiamat! Apa sudah hilang akal kah gadis ayu dihadapanku ini hingga boleh berkata seperti itu? Sudah sakit mental kah gadis ini? Dengan serta-mertanya aku menepuk kepala yang tidak dihinggapi nyamuk, lalu berkata:“Astarghfirullah’alazim! Apa yang kamu nak buat nih? Sejak bila kamu terpesong? Aper dah tak tahu malukah kamu? Ya Allah… kesianlah dekat mak ayah kamu tu… dari kecil mereka ajar kamu jadi anak yang sopan. Dah besar panjang macam nih, nak buat benda tak senonoh pula?” Jerkah ku.
Puas hati! Orang yang sudah tidak sedarkan diri perlu diingatkan. Agar tidak menjadi fitnah dikemudian hari. Tapi, lain pula jadinya. Dengan muka hairan dan tidak puas hati, si gadis ayu menjawab;“Eh! Apa yang kamu merepek nih? Bila pula saya kata, saya nak buat benda tak senonoh?”
Aduh, bertambah ‘panas’ hatiku! Beria-ria aku marah dan cuba hendak mengingatkan dia, dikatanya aku merepek pula!
“Apa pula saya yang merepek? Kamu tu yang merepek! Yang kamu nak pergi mengangkang kat tepi jalan tu buat apa?”
“Kah~kah~kah~” Kata-kata ku dijawab dengan deraian tawa dari gadis ayu tersebut. Ketawanya kelihatan hampir pecah perut..
"Sah lah… memang dah tak waras agaknya gadis didepan aku nih. Kesian~ muda-muda lagi, sudah sakit mental…” kata hati kecil ku.Selepas ketawanya reda, si gadis terus menarik diriku ketepi jalan, lalu menuding jari ke arah sebuah kedai. Terkesima aku melihat kedai tersebut.......................
“Hah, inilah Kang Kang nya! Kamu fikir saya nak buat apa???” Jerkah gadis tersebut kepada ku pula. Dengan perasaan yang sangat bengang bercampur geli hati, aku pun menjawab.
“Alah! Cakaplah nak pergi KEDAI KASUT !! Ini, nak pergi KANGKANG … nak pergi KANGKANG … Haishhh!!!~”
-----------------------------
p/s: Kedai Kasut Kang Kang ini adalah kedai kasut yang popular di Bukit Gambir, Muar. Sebelah dengan kedai baju yang saya jaga waktu bulan puasa yang lepas. Ianya bukan saja popular kerana potongan harga kasut yang sering ditawarkan. Malah ianya lebih popular kerana nama kedainya yang agak lawak bila disebut… huhu~
Cerita diatas adalah rekaan semata-mata~ Tidak ada kena mengena dengan sesiapa pun~ hehe~
Tuesday, 27 April 2010
Makhluk asing? Pulak dah...
Dua hari lepas sewaktu mentelaah bahan bacaan di ruang tamu, saya menonton TV (sementara tunggu mata mengantuk).
Saya biasanya membaca sambil tengok TV, tiada masalah kepada saya. Cumanya apabila mengalihkan siaran SKY ke saluran 315 Film4 menjadikan mata lagi lambatlah nak tidur.
Ada filem 'back 2 back' - Predator dan Predator 2.
Filem pertama memang meletakkan tanda aras yang tinggi kepada filem si-fi bertemakan makhluk asing (Predator 2/3 kurang menarik sikit).
Sungguhpun kesan grafik dalam filem pertama tidaklah secanggih AVP dan AVP: Requiem, sekurang-kurangnya rasa 'cemas' dan 'thriller' tu ada.
Ada juga terbayang jikalau benar-benar makhluk sebegini wujud di suatu planet lain di alam semester ini dan datang 'memburu' ke bumi setiap kali bumi mengalami musim panas.
Dan, tidak ke naye manusia kena lawan makhluk yang bersenjatakan pelbagai gajet canggih dan mampukah kita menandingi keupayaan fizikal makhluk ini?
Akhbar pula ada memetik pendapat Stephen Hawking, pakar astrofizik yang berpendapat makhluk asing sememangnya wujud di suatu tempat di alam semester yang terbentang luas ini.
"Makhluk asing wujud - Hawking (sumber)"
Saya bukanlah pakar UFO. Tetapi dengan alam semesta yang terdampar luas, yang tiada pun dapat mencari penghabisan (dinding) alam ini, adalah tidak mustahil ada hidupan ciptaan Allah.
Cuma mungkin ianya maju hingga mampu mengembara, ataupun seperti kita yang tinggal di bumi, adalah diluar pengetahuan kita yang lemah ini.
Saya secara peribadi sedikit berbeza dengan Hawking dalam hal makhluk asing ini. Bukan disebabkan pengaruh filem The Predator.
Saya berpandangan 'makhluk asing' ini mungkin merupakan bangsa manusia sendiri yang datang dari masa hadapan (zaman itu teknologi kita dan segalanya sudah teramat maju, tetapi di masa yang sama bangsa manusia turut mengalami evolusi (fizikal mungkin) akibat pencemaran dan kerosakan di bumi yang bakal tercetus kelak), dan mereka datang ke zaman kita, menziarah kita melihat bagaimana manusia zaman dahulunya hidup. Kedatangan mereka ini adalah melalui teknologi pengembaraan rentas masa (time travel).
Emmmm....Tetapi ada perkara yang tidak logik jika mengambilkira sudut / pandangan agama. Di dalam Islam, kematian adalah pasti dan adalah tidak logik boleh wujud 'time travel' iaitu datang sebelum seseorang itu mati dan membawanya ke dimensi lain yang bererti seseorang itu 'tidak jadi mati'. Dengan itu, 'teori' saya terus sahaja tertolak!
OK, katakan kita bersetuju dengan teori Hawking. Apa perlu kita buat? Beliau sarankan kita berdiam diri sahaja supaya tidak dijumpai makhluk itu yang mungkin datang menakluk dan membunuh dan mengambil segala sumber bumi ini...
Saya sekali lagi berpendapat, sebelum apa-apa eloklah kita mula bersenam dan mengamalkan budaya hidup sihat melalui senaman dan aktiviti lasak agar dapat 'body' macam Arnold Schwarzenegger tu.
Lepas tu, simpan losyen lumpur banyak-banyak kat rumah...hoho...
Sunday, 25 April 2010
SENAK berhujung minggu
Semalam kami ke Carboot (macam biasalah). Berbeza dengan minggu sebelumnya, rezeki tidak begitu baik minggu ini.
Barang yang dicari, tidak ada. Jikalau adapun, keadaannya tidaklah begitu menyenangkan hati untuk membelinya.
Di dalam masa yang terhad, sempatlah menjemput beberapa kenalan yang tinggal berdekatan untuk sama-sama di dalam SEsi Ngeteh Antara Kawan (SENAK).
Motif utamanya adalah menjemput Ustaz berdemo.
Demo kaedah pemakaian ihram sempena pemergian kami sekeluarga menunaikan Umrah ke Tanah Suci, insyaAllah awal bulan Mei nanti.
Terima kasih juga kepada Rosly dan Ruslan sekeluarga yang sudi datang SENAK dan sesi sembang-menyembang tadi.
Bukan setakat sembang kosong, internet pun ade kat tepi sambil-sambillah melihat keputusan PRK Hulu Selangor.
Tahniah kepada kedua-dua pihak. Tetapi bak kata seorang sahabat, dalam kegembiraan pihak yang menang merayakan kemenangan mereka, di masa yang sama juga kejayaan UMNO membantu MIC ini harus juga dilihat (secara rasionalnya) sebagai menghilangkan satu lagi suara MP Melayu/Islam di Parlimen.
Natijahnya, pada masa hadapan jikalau wujud apa-apa situasi dan sebarang keputusan untuk mempersoal/mengurangkan/menghapuskan hak orang Melayu/Islam kelak, 'anda-anda' yang mengundi pemimpin hari inilah yang turut perlu bertanggungjawab.
Sahabat saya buat contoh (ini contoh sahaja): Jika tidak lama lagi akan ada usaha membuka MARA kepada bukan Melayu, dan ianya dibentang dan (malangnya akan) diluluskan di parlimen, setelah bilangan undi MP bukan Melayu lebih ramai bersetuju berbanding yang menentang.
Akan hilanglah satu lagi 'tongkat'. Maka terima kasihlah kepada para pengundi Melayu di bawah sana hari ini yang 'memilih' untuk sedikit-sebanyak membantu proses 'membuka' MARA (contoh sahaja).
Sahabat saya ini bukan ingin bangkitkan hal perkauman, dan tidak juga berniat mempersoal niat baik dan komitmen sesetengah pemimpin bukan Melayu/bukan Islam di dalam hal membela Melayu/Islam ini, tetapi saya secara peribadinya berpandangan hal orang Melayu/Islam, adalah lebih wajar ianya diserah kepada pemimpin Melayu/Islam.
Sahabat ini bagi lagi contoh: Katakanlah seorang pemimpin Melayu/Islam itu pernah melakukan dosa seperti minum arak, berjudi, ada simpan perempuan, etc.
Jika kita tanya pada dia "apakah anda sanggup membakar masjid?". Tentu jawabnya dia "tidak sanggup!". Biarpun hidup dengan dosa (dan mungkin ada yang telah bertaubat), tetapi di hati kecilnya masih terdetik rasa takut untuk berbuat sedemikian. Namun, apakah pula jaminannya pada pimpinan yang tiada 'attachment' hatinya dengan Islam (yang tidak pernah melafazkan Syahadah)?
Bukannya berminat nak masuk Perkasa, cuma di peringkat awal-awal ini amatlah wajar rasanya Perkasa ini diterangkan secara jelas kepada masyarakat memandangkan buat masa ini ramai melihatnya sebagai NGO yang bersifat 'perkauman' dan 'pro-UMNO'.
Pada saya, jika Perkasa mahu 'bebas dan dihormati', ketuklah kelemahan UMNO di dalam 'menguruskan' orang Melayu di Pulau Pinang dan ketuklah kelemahan PAS di dalam mengurustadbir perihal Melayu di Kelantan. Ketuklah juga isu-isu yang menggugat keperluan orang Melayu, biarpun ianya datang daripada rakan UMNO dalam BN.
Baru ada akai! Terima kasih.
Friday, 23 April 2010
Takat mana nak kaya?
Tidaklah juga saya tahu setelah hampir 14 tahun bertakhta sebagai manusia paling kaya di dunia, Bill Gates akhirnya menyerahkan takhtanya di tahun 2010 ini kepada saudagar telekomunikasi terkemuka dari Mexico, Carlos Slim Helu (sumber).
Helu bagaimanapun hanya $(bn) 0.5 lebih kaya berbanding Gates yang berada di tangga ke-2 dengan kekayaan terkumpul $(BN) 53.
Tiadakah orang Islam yang kaya? Ada. Berada di tangga ke-19 dengan kekayaan $(bn) 19.7, adalah Putera Alwaleed Bin Talal Alsaud dari Arab Saudi.
Lain-lain saudagar kaya dari Liga Muslim adalah Azim Premji dari India dengan kekayaan semasa $(bn) 17 (sumber).
Cumanya, saudagar yang tidak masuk di dalam mana-mana senarai adalah 'saudagar mimpi' macam saya...hoho...
Wassalam.
Thursday, 22 April 2010
Sebarkan ia...
Tajuddin Kata: Dengar ni anak-anak Kelantan, orang Melayu Pulau Pinang dan yang sokong DAP di Selangor...
Monday, 19 April 2010
Hulu Selangor: Tewas tanpa berjuang
Hari semalam, Hulu Selangor telah mencatatkan satu lagi sejarahnya yang tersendiri i.e. di dalam menuju proses sebuah pilihanraya kecil (PRK).
Dalam satu hari sahaja, semua calon bebas (2 orang) telah 'tumbang' a.k.a. mengaku tewas melalui pengesahan penarikan diri daripada menjadi calon dan seterusnya bertanding di PRK Hulu Selangor.
Sama ada takut 'skandal' terbongkar atau sebaliknya, tiadalah dapat saya pastikan. Tetapi kata orang faktor 'wang' telah digunakan bagi 'melincirkan' tindakan penarikan diri mereka, dan anggapan ini, pada saya, tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja kerana mungkin ada relevennya juga.
It's just a good business
Cuma persoalannya sekarang, apakah motif sebenar mereka (calon bebas) ini yang pada awalnya begitu kepingin sekali menjadi calon?
Mungkinkah menjadi calon bebas hari ini suatu 'business yang bagus?' (Emmm....I wonder laa).
Mana tidaknya, parti-parti besar/kaya yang turut menghantar calon pastinya tidak ingin 'dikacau' atau digeli-gelikan oleh calon-calon 'anak ikan', yang mana calon bebas ini awal-awal lagi sudah nampak tiada harapan untuk melawan, apatah lagi nak menang.
Cuma potensi mereka adalah 'mencuri' serba-sedikit undi.
Dan dalam pertandingan secara demokrasi, setiap 1 undi adalah amat signifikan. Perbezaan 1 undi pun sudah cukup untuk memisahkan siapa yang menang, dan siapa yang kalah.
Justeru, adalah begitu wajar untuk seboleh mungkin meminimakan bilangan 'pengacau' dan 'pencuri undi' - dengan mewujudkan suasana pertandingan 1 lawan 1. Dan lebih melegakan jika dapat menang tanpa bertanding.
Melihat foto di atas, adalah tidak salah untuk para pengundi khasnya dan rakyat amnya bersangka buruk kepada seseorang calon bebas (samalah juga dengan YBebas yang berhijrah 'kerana prinsip' tapi masih sayangkan jawatan YB).
Bayangkan, dalam satu hari, dia boleh jadi seperti kata orang putih - "from Hero to Zero" atau kata orang Melayu, dari Macho kepada Hampeh.
Pagi buka/rasmi bilik gerakan, petang tutup bilik gerakan buat selama-lamanya.
Itulah jenaka dalam politik Malaysia. Tiada angin, tiada ribut pun tiba-tiba pokok boleh tumbang...
Sunday, 18 April 2010
PRK: Melebarkan Perpecahan Melayu?
2) Pokok pangkal cerita dan pengajarannya adalah sama, iaitu setiap kali berlangsungnya pilihanraya.
3) Lihatlah pelbagai gelagat pemimpin Melayu dan penyokong Melayu di sana. Jika gelagatnya tidak sama, mungkin bertambah parah pula adanya.
4) Implikasinya? Calon yang disokong dan menang, akan tetap menang (tidak kira bangsa apa). Tetapi para pemimpin dan penyokong Melayu yang bagai nak tercabut anak tekak berceramah dan berkempen, semakin lama semakin berpecah-belah pula.
5) Sudahlah sebelum adanya PRK pun orang Melayu sukar berpadu dan bermuafakat sesama mereka. Kini jiran benci jiran, malah ada yang tidak mengaku saudara.
6) Hendak dibicarakan tentang 1Malaysia? Buang masa sahaja. Bicara 1Melayu pun tidak nampak ke mana. Maaf kata, tapi inilah senario semasa.
7) Hulu Selangor pula kini jadi topik hangat yang semua orang dok kata. Dalam blog, akhbar semua dok bercerita.
8) Dulu ada kata, kita tak serang calon (peribadi) mana-mana. Kini, janji ke mana, yang nyata londeh-melondeh dah ada di sini-sana.
9) Orang Melayu, baik makcik tua, baik bebudak muda, ke hulu ke hilir dok junjung bendera. Waktu solat berlalu begitu sahaja. Macam tiada apa-apa.
10) Semangat Melayu tu semangatlah juga. Tapi kalau nak Syurga, dengan Melayu sahaja tidaklah kemana.
11) Sebelum PRK kita dengar lantangnya Perkasa. Pejuang bangsa, pejuang agama. Menuntut yang hak untuk anak bangsa.
12) Kini di Hulu Selangor, sokong bukan calon sebangsa.
13) Melayu sama Melayu berperang sebab nak menang pilihanraya. Rela tak pulang semua berkampung di sana.
14) Soalnya pula, Soi Lek dan MCA-nya di mana? Kit Siang dan DAP-nya pun jarang jumpa. Baik jadi macam orang Cina. Suara tak serak, tangan tak kotor tapi poket penuh juga.
15) MIC, Samy dan Palanivel pun seronok memerhati pelbagai gelagat dan gaya. "Untung aku orang lama", pusing mana-mana MIC akan dapat tempat juga esok-lusa.
16) Inilah orang Melayu kita. Baik yang kiri mahupun yang kanan macam sama sahaja. Kata P. Ramlee dua kali lima. Bercakap nak membela, tapi sendiri yang bubuh tuba.
17) Akhirnya....baik juga jadi orang India dan Cina. Lawan-lawanlah juga. Tapi bab untung janganlah buat-buat lupa.
18) Sekianlah adanya.
Terkenang daku
Mawaddah
Headington, Oxford
Pabila duduk saja-saja dan mengemaskini telefon bimbit (membuang pesanan-pesanan yang tidak perlu, etc.), terlihat foto-foto 'lama' yang telah bersarang di dalam telefon ini.
Daripada terperam begitu saja, eloklah juga rasanya dikongsi bersama. Harapnya pakcik dan makcik yang berminat, kelak boleh 'save as' foto-foto mereka sebagai kenang-kenangan.
Sebagai anak saudara sulung kedua-dua belah keluarga, makanya saya mendapat perhatian yang baik daripada pakcik dan makcik.
Semasa pulang ke tanah air, kami sekeluarga turut meluangkan masa bercuti ke Cameron Highland bersama Atok dan Nenek.
Semasa di sana, ayah dan ibu 'balun' durian tak ingat punye...maklumlah lepas gian.
Berdekatan dengan hotel (equatorial) tempat kami menginap, ada taman rama-rama dan serangga.
Berhujung minggu
Alhamdulillah, disebalik kegusaran ramai terhadap letusan gunung berapi di Iceland 3-4 hari lepas yang dijangkakan boleh berterusan hingga berbulan lagi, cuaca hujung minggu ini nampaknya cerah, panas dan indah sekali.
Seperti biasa, hari yang indah jangan disia-siakan dengan tidur, makan hot dog dan menonton F1 semata. Luas lagi alam ini untuk kita teroka dan bermacam benda boleh dibuat dan dipelajari.
Sebagaimana lazim jugalah apabila tibanya hujung minggu buat saya dan ayah-ibu, kami akan meluangkan masa dengan kerja-kerja 'belakang rumah'.
Jam 11.00 pagi tadi kami ke Ferry Sport Centre kerana ayah sudah tempah gelanggang badminton.
Berbaloilah meluangkan masa bersukan sedikit. Keluar peluh dan dapat juga buang toksin yang tidak diperlukan tubuh.
Bukan main nak menang, sekadar bersama keluarga. Semua yang ada di dewan besar tu pun bersama keluarga.
(nota: patutnya Kelab UMNOxford dapat buat aktiviti seperti ini - main badminton hujung minggu. Bukan susah mana pun, reket boleh disewa. Nak tempah dewan pun ada 4 orang boleh tolong. Satu kepala GBP 3/jam. Kalau kelab tidak berduit, rasanya boleh keluar duit sendiri. Kalau boleh berbelanja di carboot, takkan nak berkira keluar duit untuk berhujung minggu bersama jiran sekampung...)
SABTU: semalam ayah bawak pakcik Ruslan ke carboot di bicester. Tunjuk jalan dan kenal-kenal tempat supaya jika berkelapangan lain kali, dah tahu tempat yang elok dituju.
Cuaca semalam juga indah. Ramailah orang berdatang. Kami juga ada memborong beberapa lukisan (oil on canvas) terutama untuk dihadiahkan kepada ayah sempena pindah rumah baru.
Banyak lukisan yang cantik (tapi banyak pemandangan UK dan negara Mediterranean).
Apapun, jika nak dibanding kualiti dengan harga, kata orang tua-tua "alah membeli, menang memakai".
Jumpa lagi!