Saturday, 25 July 2009

Pendapat: Dasar Teknologi Hijau Negara

Sewaktu Perdana Menteri yang baru mengumumkan rombakan kabinet dan penstrukturan beberapa kementerian, adalah besar keinginan saya untuk melihat adanya usaha serta tindakan berkesan supaya komitmen ke arah pencapaian agenda pembangunan mapan (sustainable development), diterjemah kepada tindakan yang bermakna.

Syukur, kerajaan mengumumkan Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Air - distruktur semula menjadi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Perkataan HIJAU itu begitu bermakna kepada saya. Bermakna satu langkah besar lagi amat bermakna telah dibuat oleh kerajaan.

Dengan terbentuknya suatu kementerian yang fokusnya secara khusus bertujuan menerapkan agenda teknologi hijau, penyertaan Malaysia pada Persidangan Bumi di Rio (Brasil), 1992 nampaknya tidak lagi sia-sia.

Teknologi Hijau

Pada pandangan saya, teknologi hijau adalah teknologi yang dibentuk bagi menjamin segala aktiviti manusia untuk kesejahteraan manusia (alam binaan), tidak membawa kesan negatif dan ketidakseimbangan dengan biodiversiti (alam sekitar) dan sosio-budaya masyarakat.

Teknologi hijau adalah sebahagian daripada sub-sistem dalam pembangunan hijau/ pembangunan lestari/ pembangunan mapan/ pembangunan tak mampos (sustainable development).

Dalam suasana kehidupan yang begitu mencabar saat ini, "pembentukan-penerapan-penerusan" teknologi hijau/mapan menjadi aspek yang sangat kritikal bagi memastikan usaha membawa kesejahteraan kepada kehidupan manusia, tidak membuka pintu kemusnahan kepada alam sekitar dan nilai budaya masyarakat, atau tidak mengheret kepada terbentuknya permasalahan yang lain pula (jikapun tidak menyelsaikan permasalahan yang sedia ada).

Persoalannya, mampukah Malaysia sebagai sebuah negara membangun, memastikan teknologi hijau dapat benar-benar dibentuk dan digunakan bagi memastikan sumber dan tenaga digunakan sebaik mungkin? Atau ianya hanya sekadar satu lagi retorik yang "indah di mata, pedih di hati"?

Untuk lebih memahami situasi ini, kita sama-sama lihat daripada konteks yang lebih luas.

Pembangunan Mapan

Suruhanjaya Brundtland (sempena nama bekas PM Norway), di Persidangan Dunia bagi Alam Sekitar dan Pembangunan (UNCED) di Rio de Janeiro 1992 telah mencetuskan istilah "sustainable development" (pembangunan mapan).

Apa itu pembangunan mapan? Ringkasnya bermaksud pembangunan yang berkekalan (tidak mampos), pembangunan yang membawa kesejahteraan untuk generasi hari ini, tanpa mengambil hak generasi akan datang memperoleh kesejahteraan hidup yang sama.

Pembangunan mapan menekankan peri pentingnya sebarang tindakan dan aktiviti pembangunan dijalankan secara berseimbang di antara tuntutan ekonomi, sosial dan alam sekitar (kemudiannya elemen institusi dimasukkan sebagai elemen ke-4).

Semangat yang dibawa oleh idea pembangunan mapan ini begitu "mempersonakan" ramai pihak, terutama kalangan ahli politik, pemimpin dan penggubal dasar, untuk bersama-sama melahirkan komitmen ke arah merealisasikan penerapan idea ini kepada tindakan yang bermakna.

Bukan sahaja ahli politik dan penggubal/pembuat dasar yang terkena "panahan asmara" oleh pembagunan mapan ini, malah bidang-bidang yang sebelum ini "sunyi" daripada menerimapakai kepentingan mengambilkira hubungan 3 elemen ini, mula "terpana" dengan idea ini.

Maka, lahirlah bidang Senibina Hijau (Green Architecture), Pelancongan Hijau, Industri Hijau, Pengangkutan Hijau dan banyak lagi yang hijau-hijau kesemuanya.

Malah, sektor yang sebelum ini dilihat begitu kontradik (berlawanan) dengan kemapanan seperti perbandaran (urbanisation), juga turut "menumpang sekaki" dengan pengenalan idea bandar mapan (sustainable city).

Persoalan yang begitu besar, yang belum dapat dijawab sesiapa jua dan belum memuaskan hati saya ialah, bagaimana bandar yang tidak pernah stabil dari segi ekonomi (kaya terlalu kaya, miskin ramai yang merepat dan menghuni setinggan bandar), sosial (kadar jenayah dan sosial di bandar-bandar) dan alam sekitar (penghapusan kawasan hijau untuk pembangunan komersil, banjir kilat, pencemaran udara, air, bunyi dan pemandangan) - dapat menjayakan idea pembangunan mapan ini?

Bagaimana bandar dapat "sustain" hubungan berseimbang di antara ketiga-tiga elemen (ekonomi, sosial dan alam sekitar) ini?

Saya tiada jawapannya, dan saya sentiasa mencari jika telah ada pengkaji yang mampu menjawabnya di mana-mana buku, jurnal dan sebagainya. Tetapi masih hampa...

Penutup: Lembu

Sama ada pembangunan mapan, mahupun teknologi hijau, kedua-duanya membawa mesej yang sama iaitu "membangunkan - di satu pihak : memelihara/mengawal - di satu pihak".

Saya gembira dengan langkah yang diumumkan kerajaan ini (sumber) dan (sumber), tetapi di masa yang sama, saya takut kalau-kalau perihal "lembu" ini tidak difahami dan diambilkira pegawai terlibat.

Saya ingin menarik perhatian anda kepada kisah 3 jenis lembu iaitu:

1) Lembu Suci (Sacred cows) - iaitu idea yang secara penampilannya (contoh pembangunan mapan, teknologi hijau, etc) begitu diterima dengan meluas, sehingga ianya terus diterima tanpa banyak dipersoalkan.

Ini kita tidak mahu, iaitu pemimpin, pegawai, bijak pandai, masyarakat hanya menerima apa yang mungkin baik dan sesuai di negara maju, untuk terus diterimapakai dalam konteks negara membangun, tanpa dipersoal sama ada ianya betul atau tidak, sesuai atau tidak.

2) Lembu untuk tunai $ (Cash cows) - bilamana label "mapan" ataupun "hijau" digunakan hanya untuk melonjakkan populariti, margin keuntungan atau untuk menarik segmen pasaran yang baru.

Pengkaji barat kata eco-tourism adalah salah satu bentuk "green tourism" iaitu tidak mencemar alam. Idea ini kemudiannya dicabar dan dipersoal kerana ianya lebih bersifat "melariskan pakej pelancongan" oleh para pemain industri, dan apabila pelancongan yang ramai masuk kampung dan taman negara, persekitaran semulajadinya tidak dapat tidak, akan rosak dan terhakis.

Jadinya, label green bukanlah jaminan untuk mewujudkan sustainability!

3) Lembu gila (Mad cows) - ini peringkat paling kasihan!

Merupakan terma yang sedap dan lunak bunyinya (seperti slogan-slogan), tetapi kosong dari segi idealisme dan semangatnya - ibarat laungan slogan yang kosong.

Atau terma yang menjadi terlalu tidak realistik untuk dilaksanakan, malah jika ianya cuba dilaksanakan, bakal menambah parah dengan menjadikan masalah yang sedia ada bertambah buruk (memang lembu gila!) - tikus cuba baiki labu.

Harapan

Harapnya, pembentukan jawatankuasa Dasar Teknologi Hijau Negara akan dapat dikekalkan dalam tempoh yang panjang (menteri nak berubah pun, pastikan DTHN kekal) dan perancangan ke arah penerapan teknologi hijau dan pembangunan lestari dapat dilancarkan dan diterapkan secara bermakna.

Sudah tiba masanya Malaysia menjadikan dahulunya mimpi, yang kemudian suatu impian, dan kini menjadi realiti di alam nyata.

Dan harapnya, pencarian saya terhadap jawapan bagaimana pembangunan mapan dapat direalisasikan di bidang-bidang lain (bandar, luar bandar, etc), bukanlah pencarian "lembu yang hilang".

Wassalam.

1 comment:

Faiz Noor said...

Dr Sepet,

Buat kajian dalam bidang teknologi hijau? Saya baru memulakan kajian di dalam teknologi maklumat hijau (Green IT). Mungkin boleh saya minta tunjuk ajar Dr. sedikit dan berkongsi pendapat serta pandangan