Friday, 22 August 2008

Intipati Ceramah Jumaat - 22/08/08

Assalamualaikum wbt

Saya ingin berkongsi ingatan yang masih tersisa dari ceramah sebelum solat jumaat disampaikan seorang pendakwah di Masjid Cowley.

Beliau menyentuh berkenaan Holy-Quran dan mengaitkannya dengan semangat Ramadhan yang bakal kaum Muslimin lalui tidak lama lagi.

1. Katanya ada 2 jenis buku/kitab di dunia ini. Jenis pertama adalah buku yang bila dibaca, ianya perlu difahami kerana barulah pembacanya beroleh manfaat dan kefahaman. Buku jenis ini tergolong dalam jenis hasilan manusia seperti buku akademik, majalah dan bahan rujukan yang lain. No point untuk dibaca jika ia tidak difahami oleh pambacanya (ini alasan yang digunapakai).

2. Buku jenis kedua adalah buku/kitab yang wajib juga dibaca, biarpun kita tidak memahaminya. Iaitulah Al-Quran! Menurut beliau lagi, apabila kita membaca 1 ayat Quran (sama ada kita faham atau hanya baca), Allah s.w.t akan kurniakan kita 10 pahala, menghapuskan 10 dosa dan angkat 10 darjat.

3. Itulah keunggulan Al-Quran berbanding kitab ciptaan/olahan/hasilan manusia yang terhad kandungan ilmunya.

4. Buktinya, jika kita menulis buku atau tesis PhD sekalipun, di hujungnya kita akan tulis sumber rujukan dan jika kita present hasil karya kita, biasa kita nyatakan "jika terdapat sebarang kemusykilan, sila hubungi saya di email ini, etc". Namun, Allah Maha Berkuasa, HANYA AL-QURAN SATU-SATUNYA KITAB YANG TIADA SENARAI RUJUKAN (tidak seperti tesis PhD kita) DAN SATU-SATUNYA KITAB YANG TIADA KEMUSYKILAN DI DALAMNYA! (100% benar). Allahu-Akbar!

5. Sebagai Muslim, kita dianjurkan untuk memperbayakkan bacaan Al-Quran tidak kira masa, biarpun tidak memahami maksudnya. Menurut beliau lagi, Nabi SAW pada awalnya pun diutus Allah bagi mengajar ummat Islam (1) 'membaca'-Iqra', dan diajar adab-adab kerana dengan mengaji, jiwa dan hati kita akan bersih; dan kemudiannya baru (2) menghayati dan mendalami maksudnya.

6. Ajaran Islam nyata berbeza dengan Kristian dimana Kristian akan menyuruh kita belajar dan mendalami agamanya, kemudian baru penganutnya disuci/dibaptiskan. Manakala, Islam pula menekankan aspek penyucian jiwa terlebih dahulu, baru disusuli dengan pengertian ajarannya.

7. Tambah beliau lagi, orang yang membaca Al-Quran dan menghayatinya bukan sahaja akan beroleh kemanisan iman, tetapi terdapat aura/nampak dari wajah dan keperibadian yang baik. Tambah beliau, terdapat 4 golongan yang perlu kita tahu:

i-Mukmin yang patuh kepada Allah dan membaca Al-Quran = Jika kita berdampingan dengan golongan pertama ini kita akan melihat kedua-dua iaitu kemanisan dalaman (iman) dan aura luaran yang baik.

ii-Mukmin yang patuh kepada Allah tetapi tidak menghayati Al-Quran = Hanya mendapat 1 sahaja iaitu kemanisan iman (kerana taat), tetapi tiada aura luaran.

iii- Orang Islam yang munafik, tetapi membaca Al-Quran = Hanya mendapat 1 sahaja iaitu manis luaran (apabila kita lihat luaran, dia adalah seorang yang Islam dan orang yang baik), tetapi dia pahit iman (amalan ada, tetapi Allah tidak terima).

iv- Orang Islam yang munafik dan tidak juga membaca Al-Quran = Kategori ini adalah pahit kedua-dua, pahit iman dan pahit/buruk luarannya. Na'uzubillah!

Bersamalah kita renungkan dan harap beroleh manfaat menerusi ingatan yang sedikit ini.

Wassalam

No comments: