Tuesday, 5 January 2010

Hari-hari sejuk

Bertemu kembali,

Sekadar ingin 'update' keadaan kami sekeluarga di sini. Alhamdulillah, semua sihat belaka dan urusan-urusan kerja ayah dan ibu mula berjalan (perlahan-lahan).

Cuaca di UK (Oxford terutamanya) sangatlah sejuk. Semalam, indikator suhu pada kereta ayah menunjukkan suhu -3.5 celcius. Waktu malam mungkin lebih sejuk.

Rumput dan beberapa batang sayur di belakang rumah nampaknya keras macam batu. Manakala pokok-pokok semuanya botak.

Waktu solat pula macam tahun sudah iaitu Zohor 12.11 tengahari, Asar jam 1.53 petang, Magrib jam 4.10 petang dan Isya' jam 6.07 petang.

Sewaan rumah sekarang ini juga Alhamdulillah berjaya disambung buat 1 tahun lagi tanpa pertambahan kadar sewa yang signifikan oleh Adam.

Hohoho...saya budak baru belajar.

Pemandangan depan rumah, frost menyeliputi rumput dan pejalan kaki

Frost lambat cair...

Penat juga nak mengikis lapisan ais atas kereta tuh!

Rumput pada laman belakang jadi keras macam batu

Kami masih menunggu-nunggu kalau bulan ini snow turun. Mesti seronok meranduk kat dalam snow dan buat snowman.

Bye!

Sunday, 3 January 2010

Beriman kepada Allah Yang Satu

Sehari dua ini masyarakat Melayu di Malaysia terus heboh memperkatakan isu berkenaan penggunaan perkataan Allah pada akhbar the Herald Tribune.

Memandangkan secara tradisinya perkataan Allah itu telah digunakan oleh penganut Islam di Malaysia sejak zaman bermula, tindakan mahkamah yang meluluskan akhbar Kristian terbabit menggunakan juga perkataan Allah di dalam artikel dan penerbitan mereka, telah mendapat bantahan yang meluas dari masyarakat.

Ramai pemimpin (baik dalam kerajaan, agamawan, orang politik, badan NGO, etc) secara terbuka menyatakan kerisauan mereka terhadap perkembangan terbaru ini (sumber). Perkara ini juga (memorendum bantahan) telah tiba ke tangan Perdana Menteri.

PM juga telah berjanji untuk membawa hal dan bantahan masyarakat terhadap isu sensitif ini kepada pengetahuan Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, selain akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah (sumber) dan (sumber).

Justeru, bersama-samalah kita memerhatikan apakah pendirian serta tindakan Yang Dipertuan Agong serta Sultan-Sultan Negeri selain pemimpin Islam, berkenaan perkara ini kelak.

Apakah mereka yang Allah angkat sebagai pemimpin ini akan berjuang dengan melaksanakan amanah yang diberikan ke atas mereka selaku pemimpin umat Islam di Malaysia?

Pastinya juga, banyak artikel dan komentar mulai terpapar di laman-laman blog, tidak kira pro kerajaan, mahupun yang pro pembangkang mengenai isu ini. yang pastinya, masing-masing akan berhujah untuk memenangkan pihak yang disokong dan menyindir di sebelah sana. Sudah adat dan sifirnya begitu.

Apapun, saya di sini hanya seorang yang biasa, tidak ingin berhujah dari konteks agama dan politik kepartian. Hanya setelah membaca bait akhir penulisan saudara AminAhmad di blog beliau:

"kegelapan itu tidak boleh dihalau, nyalakan lampu!"

Sekarang ini benda sudah berlaku (tinggal saja rayuan untuk dibuat). Bagi saya, awan gelap mula berarak kepada golongan Muslim di tanah air.

Kita sebagai orang biasa pun sukar bertindak dan membawa perubahan, jika pemimpin kita sendiri seperti enggan terkehadapan menangani isu ini, sedari awal lagi.

Betullah dengan ungkapan di atas itu: kegelapan tidak boleh dihalau. Masakan kita mampu menolak awan hitam yang berarak di atas kepala kita sekarang ini?

Justeru, langkah segera kita adalah dengan menyalakan lampu. Iaitu mahu atau tidak mahu, perlu membudayakan kembali cara hidup Islam kepada diri sendiri, anak isteri, kaum keluarga dan jiran tetangga kita.

Doakan agar generasi muda kita untuk kembali menghayati Islam yang sebenar. Agar nanti tidak timbul salah erti atau salah faham akan perkataan Allahu-Ahad (Allah Yang Satu). Bukan dua dan bukan tiga!

Kambalilah kepada Islam sebagai panduan hidup agar ianya menjadi 'lampu' yang akan menyuluh kita dalam menghadapi 'kegelapan malam' (zaman kejahilan).

Wahai pemimpinku, jikalau masih berdegil untuk menerima Islam, tunggulah ujian Allah yang pelik-pelik selepas ini.

Berfikirlah selepas membacanya


Menjawab Tulisan Awang Selamat Di Mingguan Malaysia
Posted on Sunday, January 03 @ 03:38:18 PST
Dilulus untuk paparan oleh pwm_pelatih06

Open Artikel Oleh: nuraflah

"Teringat satu dialog dalam drama Nur Kasih.

Pada waktu itu, Adam menyalahkan Nur Aminah kerana menurut sahaja kehendak orang tuanya yang mahu mengahwinkan mereka.

Kata Nur Aminah : Salah saya ke?
Jawab Adam : Ya, salah awak..tahu tak! Sebab awak tak menolak!

Sesiapa yang pernah menonton drama ini tentu sudah tahu; siapa yang bersalah dalam hal itu, siapa yang ikhlas dalam menurut kata orang tua dan siapa yang benar-benar redha dengan takdir.

Jadi, apa yang Adam ungkapkan itu seperti meludah mukanya sendiri. Dia yang sepatutnya dipersalahkan kerana dia sendiri yang tidak berani untuk menolak perkahwinan yang diaturkan bapanya sendiri.

Hari ini saya terbaca tulisan Awang Selamat (Mingguan Malaysia) di The Malaysian Insider yang bertajuk ANGKARA SIAPA?

Tulisannya berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan Herald-The Catholic Weekly.
Kata penulis itu, mengapa larangan penggunaan perkataan Allah yang pernah ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, boleh dicabar di mahkamah? Dan benarlah seperti kata Mufti Perak, Harussani Zakaria dan Sarjana Islam, Profesor Dr Mahmood Zuhdi, semua ini terjadi berpunca daripada kelemahan dan perpecahan umat Islam.

Disebabkan perbalahan dan kebodohan berpolitik, Islam makin tergadai. Adalah sesuatu yang memalukan parti-parti Islam tidak boleh bersatu dalam menjamin survival Islam. [sumber asal]
Penulis yang menggunakan nama Awang Selamat itu cuba mengaitkan keputusan mahkamah itu dengan perpecahan politik umat Islam di negara ini sehingga pendakwah bukan Islam berani menuntut sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Bila membaca tulisannya itu, saya teringat dialog Nur Kasih tadi. Pada saya, Awang Selamat seperti Adam yang terpelajar tapi sebenarnya bodoh untuk membuat penilaian.

Mana mungkin fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan boleh mengatasi perlembagaan Malaysia yang sekular? Bahkan mana-mana undang-undang yang didapati bercanggah dengan perlembagaan pun boleh dikira terbatal kerana perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara. Jadi, di mana letaknya kekuatan Majlis Fatwa dalam perlembagaan negara?

Takkanlah Awang Selamat yang terpelajar itu masih tidak tahu tentang perkara ini?

Keegoan Awang makin terserlah bila dia cuba menyalahkan pihak lain atas keputusan mahkamah itu. Kononnya, kekuatan Islam di negara ini terletak pada UMNO semata-mata. Biarpun dia tidak menyatakan perkara itu dengan jelas namun cara dia mengolah artikelnya itu sudah menampakkan maksud tersirat yang cuba disampaikannya.

Jika dipinjam dialog Adam, seperti Awang Selamat mahu menyatakan begini:

“Ya.. salah awak! Tahu Tak? Sebab awak tak menolak parti itu..”

Memang menyedihkan bila Awang yang mempunyai kolum di sebuah akhbar yang mempunyai ramai bilangan pembacanya tidak tahu menggunakan kesempatan itu untuk mengajak para pembacanya supaya bersatu agar perlembagaan negara ini dirombak semula untuk benar-benar memertabatkan kedudukan Islam di negara ini.

Mana-mana lubang kecil yang wujud dalam perlembagaan negara hendaklah ditutup serapat-rapatnya agar segala unsur yang boleh menggugat kepentingan Islam di negara ini tidak dapat menyelusup masuk melalui kekebalan perlembagaan negara.

Persoalannya kini, mengapakah parti Awang yang sudah memerintah negara ini sejak merdeka lagi masih lagi tidak berani untuk memertabatkan Undang-Undang Islam di negara ini?

Adakah mereka takut kehilangan kuasa jika menegakkan perkara itu? Adakah mereka tidak yakin bahawa kekuasaan sebenarnya datang dari keizinan Allah?

Jika anak sendiri pun mesti dipukul jika tidak bersembahyang bila mencapai usia 10 tahun, apakah yang perlu kita lakukan pada parti yang sudah lebih 50 tahun gagal menegakkan kedaulatan Islam di negara ini?

Read more: http://nuraflah.blogspot.com/2010/01/menjawab-tulisan-awang-selamat-di.html

-------------------------------------------------------
Dr. Sepet:

Harap
anda yang membacanya dapat berfikir sejenak. Mungkin anda memiliki hujah tersendiri yang selari atau tidak selari dengan apa yang ditulis penulis artikel ini.

Bagi saya, untuk menyokong 100% kebenaran tulisan ini pun tidak boleh juga atas alasan yang tersendiri. Namun, beberapa hujahan dan logik yang penulis tersebut kemukakan memang ada asas dan benarnya.

Selamat membaca - petikan di atas adalah tanpa suntingan.

Periha Facebook

Maahla sebak entri kali ni ditulih dengang bahase orang Teranung. Bosang dengang tulisang standerk, ni skali-skala kena uboh care menulih la pulok.

Kali ning benda yang menarek perhating saye adelah berkaitang Facebook, saloh sebuoh lamang sembang hok terkenal di dunia hari ning.

Beratuh jute doh pengikuk facebook, termasoklah berjute ahlinye hok dok aktif macang saye ning.

Namung, ape yang menarek perhatiang saye adelah care orang Melayu kite menggunekang facebook untuk pelbagai tujuang.

Saye memang setuju dengang tujuang suci facebook sebaga tempak kite menghubungkang persaudaraang dan perkenalang sama ada dengang kawang lama, ataupong orang baru.

Dalam facebook juge kite boleh tengok foto-foto aktiviti terkini rakang-rakang kite. Baik foto tentang pekerjaang, foto kehidupang (bertunang, berkahwing, ade anok, dapak menantu, kematiang, etc).

Facebook memang menjadi salurang komunikasi yang pantas dang menjimatkang.

Namung, semaking lame saye tengok, facebook juga turut dijadikang tempat untuk sesetengoh kite 'menyoho', a.k.a menunjuk-nunjuk hinggekang bende hok kecik, bersifat peribadi dang sensitif juge turut dipapar secara bebah kepada umung melihaknye.

Mungkin niak dia baik nok menyoho hok baik. Tapi bende gining memang kerapkali disalohertikang pembace. Yelah, kalu hal dalang kaing mung pong mung nok heboh, dok kesiang ke kat tok laki mung? Haduuu..

Kadang-kale saye naik jelek melihatkan telatah dang sikap kebudak-budakang, selaing bermegah-megah dengang ape yang dimiliki. Rasenye dulu tak dok bende-bende macang ini.

Ade juge yang menjadikan facebook sebaga tempat untuk spy, a.k.a mengintip apekah perkembangang terbaru kawang mereka, bekas awek mereka atau janda-dude mereke.

Daripade pengintipan tersebuk, akhirnya merebok kepade kate-mengate kat belakang member dang turut menanang perasaang hasad dengki dang pelbagai bende hok dok baik lagi.

Eh! Manelah orang dok mengate kalu mase mung balik kampong pakai macang uztazah, tapi foto mung dalang facebook sume dok paka tudung, paka baju getak gelemak dang mung kaki kelab karaoke?

Pahtu, kat facebook pulok mung jemput kawang-kawang sekampong jadi member. Mujurla mok-ayoh mung dok tengok foto-foto sebenor mung, kalu dok mau sakit jantung!

Makenye, berhati-hatilah kite semue di dalam menggunekang teknologi. Teknologi kalu betul care gune, banyoklah manfaatnye. Tetapi kalu diselewengkang, banyok la yang burok dari baik dia.

Dang juge, kurangkanglah memasukkang foto-foto yang buleh menjelekkan orang yang melayari facebook. Kekalkanlah fungsi nye sebagai lamang sembang dang menyampaikang maklumat serta perkembangan terbaru kite kepade sahabak-sahabak kite secara yang kurang kontroversi.

Selamak.

Saturday, 2 January 2010

Majlis perpisahan: Makan dan bersembang

Pertamanya, selamat kembali ke tanah air dan selamat maju jaya diucapkan buat Saudara Amin dan keluarga. Moga dipermudahkan oleh Allah Taala akan segala urusan dan pekerjaan saudara dan isteri pabila berada di tanah air selepas ini.

Terima kasih juga diatas jamuan perpisahan yang dibuat semalam, dapat juga saya bertemu mata dan bersembang dengan rakan-rakan, setelah 2 bulan meninggalkan kampung Oxford.

Majlis makan

Majlis makan semalam nampaknya meriah dan dihadiri ramai orang. Ada tetamu yang biasa nampak, dan ada juga beberapa saudara baru yang baru tiba.

Juga tidak dilupakan rakan-rakan yang mempunyai anak - semua semakin membesar, sihat dan gembira, alhamdulillah.

Sembang

Sebagaimana lazim, apabila lama tidak berjumpa akan adalah sessi sembang sambil makan-makan.

Pelbagai topik (politik tanah air semestinya) dibentang dan telah diperdebatkan semalam yang pada saya, yang semalam itulah sesi menyembang yang paling konstruktif pernah saya ikuti di mana telah ada elemen 'kritikal' dalam berhujah dan melontarkan pandangan.

Sebagai seorang pengkaji, sudah menjadi 'tabiat' saya untuk gemarkan perbincangan di mana setiap orang yang duduk bersembang boleh berbeza pandangan terhadap perkara yang sama, tetapi ianya didengari (biarpun mungkin tidak diterima hujahnya, itu tidak mengapa).

Berbeza pendapat bukan bererti kita ingin cari gaduh atau buat rakan sakit hati, tetapi mungkin 'sudut pandang' masing-masing yang berbeza - kerana sumber maklumat juga mempengaruhi hujah kita.

Satu objek itu mungkin dihuraikan secara berbeza oleh individu yang berbeza - itulah indahnya dalam bersembang.

Bagusnya lagi, apabila pelbagai orang berilmu yang mengupas sesuatu perkara, orang yang cetek ilmu seperti saya banyak beroleh manfaat dan pendedahan.

Jujurnya, saya tidak minat politik, tetapi saya minat untuk ambil tahu hal-hal berkaitan politik kerana ianya berkait langsung dengan bidang kepakaran saya iaitu perancangan, polisi, dasar, rangka strategi dan sebagainya.

Ketidakupayaan seseorang perancang mengambil tahu perkembangan semasa politik bukan sahaja menimbulkan kontradiksi dalam tindakan perancangan dan kawalan pembangunan, malah menjadikan kita seperti katak di bawah tempurung.

Justeru, 'mengambil tahu' itu adalah penting.

Apapun, bercakap mengenai politik kepartian adalah suatu perkara yang bersifat amat subjektif. Setiap orang menampilkan 'sudut pandang' yang berbeza, biarpun dari parti yang sama.

Cukuplah sekadar ditampilkan persoalan seperti "mana hendak didahulukan? - Islam dulu, atau Melayu dulu?"

Biarpun banyak perkara yang dibincang dan disembang masih dibiar terbuka - jawapan terbuka, sessi sembang yang konstruktif seperti semalam wajar diperbanyakkan.

Bukan untuk menge-cop seseorang itu pro-Umno atau pro-Dap, juga perbezaan pendapat bukanlah bukti si polan itu tidak sayang Melayu-Islam dan tidak cinta negara, kita sebagai pendengar yang setia atau 'penyampuk', sedikit sebanyak memperoleh maklumat dari pelbagai sumber, sudut dan dimensi untuk membantu kita sendiri membuat keputusan yang terbaik buat diri kita.

Persoalan siapa yang betul dan siapa yang salah juga tidak membantu kita ke mana-mana kerana di atas kertas, anda hanya boleh beri 1 undi dan saya juga 1 undi. Yang penting adalah bagaimana anda dan saya boleh gabungkan undi tadi menjadi 2 undi.

p/s: itu belum dikira undi golongan muda dan profesional, yang bekerja swasta, yang ramai mereka ini tidak pergi kursus BTN.

Sekian.

Thursday, 31 December 2009

Kereta Proton yang 'spacious'*

* spacious = ruang yang luas dan selesa.

Apa gunanya ruang yang luas dan selesa dalam kereta? Inilah yang dibuktikan oleh foto di bawah bahawa langkah Proton menyediakan kereta yang 'spacious' adalah bertepatan dengan keperluan 'mereka'.

Sumber: berita harian online

Nota: kedua-dua entiti (iaitu lembu) terbabit bukanlah mangsa tangkap khalwat, tetapi sebenarnya menjadi mangsa culik dan dilarikan, sebelum berjaya diselamatkan pihak berkuasa. Huhu...nangis lembu tuh!

Hadiah Tahun Baru 2010

Sumber: klik sini

Gula naik 20 sen sekilo hari ini

PUTRAJAYA 31 Dis. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen kepada RM1.65 sekilogram di Semenanjung, serta RM1.75 sekilogram di Sabah dan Sarawak berkuat kuasa 12 tengah malam ini.

Kementerian itu pada masa sama menarik balik subsidi ke atas harga roti putih yang sebelum ini dikategorikan sebagai barang kawalan.

Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom berkata, kenaikan harga gula tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan harga gula mentah dunia terutama sejak Ogos lalu.

Beliau berkata, kerajaan bagaimanapun masih menanggung kos subsidi gula yang besar sebanyak RM1.008 bilion walaupun selepas harga gula dinaikkan sebanyak 20 sen.

“Berdasarkan anggaran penggunaan gula dalam negara pada 2010 sebanyak 1.26 juta tan metrik, tanggungan subsidi gula oleh kerajaan akan meningkat kepada RM1.26 bilion pada 2010 berbanding RM720 juta pada 2009 jika harga gula dikekalkan.

“Mengambil kira senario ekonomi pada masa ini, kerajaan bersetuju untuk mengekalkan pemberian subsidi gula dengan hanya menaikkan harga gula sebanyak 20 sen,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun harga gula di Malaysia dinaikkan tetapi ia masih rendah jika dibandingkan dengan negara lain di rantau Asia Tenggara.

“Harga baru gula di Semenanjung ialah RM1.65 sekilogram berbanding Thailand (RM2.50), Singapura (RM3.05), Indonesia (RM3.40) dan Filipina (RM3.62),” katanya.

Mohd. Zain menegaskan, kenaikan harga gula sebanyak 20 sen hanya akan membawa kesan kenaikan harga yang minimum ke atas produk berasaskan gula termasuk makanan dan minuman.

“Kenaikan tertinggi melibatkan krimer pekat manis seberat 505 gram dengan anggaran kandungan gula 228 gram, kosnya cuma naik 4.6 sen sahaja atau kurang daripada 5 sen.

“Secawan teh tarik dengan anggaran gula 40 gram hanya akan mengalami kesan kenaikan 0.8 sen, iaitu kurang daripada 1 sen,” katanya.

Mengenai roti putih pula, beliau berkata, barangan makanan tersebut akan ditarik keluar daripada skim kawalan harga juga mulai 1 Januari ini.

“Roti putih dikawal pada 2009 dan diberi subsidi supaya harganya berada di tahap tertentu, kerajaan bagaimanapun tidak beri subsidi lagi mulai 2010.

“Peniaga (roti) tidak boleh naik harga roti putih pada malam ini tetapi boleh naik selepas 1 Januari berdasarkan pertimbangan mereka dan keadaan pasaran,” katanya.

Dr Sepet: Baru naik 20 sen. Selepas ini, bersama-samalah kita amalkan budaya hidup yang sihat dengan mengurangkan pengambilan gula dalam makanan. Juga kurangkan makan-minum di kedai mamak, jangan lagi membantu usahawan bumiputra yang menjaja kuih-muih di pasar malam, yang pastinya akan menaikkan harga barang jualan mereka.

Sumber: berita harian online

Mungkin untuk melengkapkan lagi pesta naik harga tahun 2010, harga semasa tepung dan minyak petrol wajar dinaikkan juga.

Tuesday, 29 December 2009

Kembali ke UK

Alhamdulillah, setelah lebih dua bulan berada di tanah air untuk tujuan kajian lapangan (dan pulang bertemu keluarga dan rakan), kami bertiga akhirnya perlu kembali semula ke kampung halaman kami di Oxford.

Insya-Allah, penerbangan kami dijadualkan jam 2 pagi ini (Khamis 31 Dis 2009) dan akan tiba di Heathrow, London jam 11 pagi (Khamis 31 Dis 2009 juga).

Kepada seluruh ahli keluarga dan rakan-rakan, terima kasih kami ucapkan atas segala bantuan dan jasa baik kepada kami sepanjang di tanah air, dan ampun maaf kami pinta jikalau ada tersalah dan tersilap.

Moga bertemu lagi tahun hadapan (bulan Mei, Insya-Allah) dan doakan kesihatan, keselamatan, kemudahan atas setiap urusan, kewarasan dan kejayaan kami di sini. Wassalam.

Saturday, 26 December 2009

Hanya 'UMNO Juara Rakyat'?

Seperti yang saya dengar menerusi laporan berita Astro Awani semalam, bermula awal Januari 2010 (9 Jan jika tidak silap), UMNO akan mula menggerakkan program raksasa, bersepadu dan menyeluruh, yang membawa tema "UMNO Juara Rakyat".

Penjelasan tersebut telah dibuat oleh SU Agung UMNO, D.S. Tengku Adnan (KuNan) sewaktu menghadiri majlis rumah terbuka xmas anjuran Parti Progresif Penduduk (PPP) (ini yang dipimpin oleh Kayveas, bukan Murugiah).

Rumusan pernyataan beliau adalah, program tersebut adalah bermatlamat untuk memperingatkan rakyat akan jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh parti UMNO terhadap negara sedari sebelum kemerdekaan, hinggalah tertubuhnya negara 1Malaysia yang semua kita nikmati hari ini.

Begitupun, apakah bentuk dan pengisian program raksasa tersebut masih belum ada hitam-putihnya. Cuma 'promosinya' sedang giat dijalankan ketika ini.

Apapun, jalan ke arah menjadi juara sebenar bukanlah sekadar ungkapan manis di bibir yang tidak mencerminkan apa-apa tindakan yang meyakinkan.

Ini kerana hasil daripada pendidikan dan kemajuan yang dipacu oleh kerajaan (dan UMNO adalah sebahagian darinya), rakyat hari ini telah mampu melihat dan membaca, mengkaji, menganalisa bahawa masih banyak KPI (Penunjuk Pencapaian Utama) yang perlu UMNO perbaiki terlebih dahulu sebelum dapat muncul sebagai 'juara rakyat'.

Antara perkara yang perlu diambilkira mungkin:

1) UMNO perlu jadi juara perangi amalan rasuah:

- rakyat kini telah dapat membezakan di antara "dibicarakan" dengan "disabit bersalah". Ini kerana panggillah seramai individu yang terlibat dengan sesuatu skandal rasuah dan penyelewengan untuk "dibicarakan", namun, jika semuanya "tidak disabit a.k.a akhirnya dilepaskan", maka samalah juga dengan kes perbicaraan penyelewengan berbillion wang negara dalam kes Perwaja beberapa tahun yang sudah dan kini perbicaraan skandal PKFZ pula mengambil tempat. Bicara tu bicara juga, akhirnya siapa yang kena hukuman, kalau semua terlepas?

- terbaru, banyak pihak mula tampil mempersoalkan ketelusan Laporan Audit tahun 2007 dan 2008 yang langsung tidak menyentuh insiden kehilangan enjin pesawat.

- projek pembinaan dan penyediaan infrastruktur untuk rakyat, yang menggunakan wang cukai rakyat oleh golongan OKU (Orang Kuat Umno). Lihat sajalah beberapa siri runtuhan projek-projek kepentingan awam di Terengganu. Alhamdulillah, hingga kini masih belum ada nyawa yang melayang.

- mengapa kualiti kerja kontraktor ini tidak dipantau (atau enggan dipantau) oleh badan yang berkaitan? Dan apakah akan ada sebarang tindakan untuk menyiasat dan mengheret pesalah sebegini ke mahkamah, dibicara dan dihukum akhirnya?

"Amalan menyerahkan kerja kepada subkontraktor juga berleluasa. Subkontraktor terakhir mungkin dapat untung sikit sangat jadi dia akan potong sana potong sini. Itu yang membuatkan bumbung runtuh, dinding berkulat" - Datuk Salleh Majid (Kosmo, hal. 2, 27 Disember 2009).

- jika merasakan hal di atas itu memerlukan komitmen di luar lingkungan UMNO, ambillah usaha yang paling mudah iaitu UMNO haruslah terlebih dahulu membuktikan keupayaannya menjadi jaguh dengan membersihkan hal dalaman parti daripada para pemimpin yang mengamalkan rasuah, sebagaimana didedahkan pelbagai pihak berlaku setiap kali tibanya pemilihan pucuk pimpinan parti.

2) UMNO perlu jadi juara membasmi masalah sosial di kalangan masyarakat Melayu-Islam:

- Menatap akhbar saban hari membuatkan hati saya runsing dan kepala saya pening berkenaan pelbagai kes jenayah di kalangan orang Melayu yang semakin 'pelik dan jelek'.

Ibu cekik anak, Aunty perdagang bayi, pelajar 14 tahun dikenduri 5 remaja, suami warga emas bunuh isteri warga emas, budak dicabul-dijerut dan dibuang di tempat pengumpulan sampah, bermacam lagi - sekadar memetik beberapa tajuk.

- Sebagai parti yang ditubuhkan khusus untuk menjaga kepentingan orang Melayu, adalah besar amanah ke atas UMNO bagi memandu generasi muda, belia Melayu untuk kembali kepada landasan agama dan arah tuju kehidupan yang sebenar-benarnya.

- sudah tiba masanya kerajaan memikirkan secara serius, apakah percambahan program-program hiburan di media massa kebelakangan ini berupaya memupuk akhlak remaja yang baik, atau sebaliknya, semakin melalaikan dan memesongkan fokus, tumpuan dan jatidiri sebagai orang Melayu-Islam?

- UMNO perlu terus berjuang bukan sahaja bagi memastikan bahasa Melayu dimartabatkan, malah tulisan dan penggunaan jawi juga turut dipertahankan. Janganlah dianggap maju jika bahasa Melayu dan jawi akhirnya terpinggir di bumi sendiri.

3) UMNO perlu jadi juara kepada pemeliharaan alam sekitar:

- jangan ingat hanya keperluan sesama manusia sahaja yang perlu UMNO jaga dalam usahanya menjadi juara rakyat. Isu dan perkara berkaitan pemeliharaan sumberjaya dan alam sekitar turut tidak terlepas daripada penilaian rakyat.

- rasanya semua kita tahu bahawa laporan oleh JKR berkenaan kejadian tanah runtuh di bukit antarabangsa kini telah dikeluarkan dan boleh diaksess oleh mereka yang berminat.

- justeru, adalah besar kehendak rakyat untuk melihat di samping keperluan kerajaan melantik kontraktor Melayu-Bumiputra bagi kerja-kerja pembangunan (dan pemusnahan alam), adalah penting kerajaan pada masa yang sama menggiatkan kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar agar pembangunan fizikal itu 'tidak meragut' kelestarian persekitaran masyarakat bandar dan luar bandar.

- Makanya, aspek perancangan dan pembangunan tanah secara tidak terancang haruslah diminimakan kesannya terhadap persekitaran.

- demikian jugalah halnya dengan tindakan yang sewajarnya diambil kerajaan terhadap isu pencemaran air dan pencerobohan kawasan rizab sungai bagi pertanian haram yang dilaporkan di Cameron Highland baru-baru ini. Bagusnya tindakan meroboh telah dibuat, namun itu baru melibatkan sebilangan kecil sahaja - apapun, nampak ada komitmen untuk menguatkuasakan undang-undang.

- besar sikit dari kes mencemar air, adalah kes mengorek sungai bagi mencuri pasir. Banyak kes dilaporkan malah ada yang mengaitkan kekebalan si pencuri pasir adalah disebabkan wujud hubungkait politik. Justeru, siasatan perlu digerakkan.

- sejajar dengan apa yang diikrarkan oleh Perdana Menteri pada COP15 baru-baru ini bahawa Malaysia komited dengan usaha ke arah mengurangkan kadar pengeluaran karbon ke udara menjelang 2020. Justeru, pelbagai usaha harus digerakkan kerajaan (di bawah UMNO) bagi memastikan ianya berjaya direalisasikan.

- selain kawalan terhadap aktiviti perindustrian yang mencemarkan, suatu mekanisme juga haruslah difikirkan bagi memastikan penggunaan kereta dapat diminimakan terutama di kawasan bandar agar gejala pencemaran udara dan kesesakan dapat dikurangkan.

- makanya, wakil-wakil rakyat dari UMNO perlu dididik, supaya tidak hanya memperkatakan hal yang berkaitan ekonomi, politik dan sosial semata, malah mampu mengupas isu-isu penting berkaitan persekitaran. Ini kerana jika tanpa persekitaran yang bersih, di manakah lagi tempat tinggal untuk anak-cucu kita?

4) UMNO (melalui pelbagai agensi kerajaan) perlu menjuarai hal berkaitan kesejahteraan ekonomi:

- kuasa ekonomi merupakan salah satu tonggal yang tiada pada orang Melayu. Menerusi dasar liberalisasi ekonomi, kek ekonomi orang Melayu yang dikatakan mencapai 19%, bakal menguncup lagi (kata pakar hingga tinggal 12%). Manakala, kek ekonomi milik kaum lain dan golongan kapitalis luar dijangka akan terus menokok.

- justeru, saya melihat beberapa tindakan 'extreme' wajar dipertimbangkan seperti:

i) Mengikis budaya dan mentaliti subsidi. Telah terlalu lama masyarakat Melayu dilenakan dengan pemberian subsidi dalam pelbagai aspek (Sudah lebih 50 tahun). Subsidi yang pada awalnya berfungsi sebagai 'tongkat' untuk memimpin orang Melayu yang lemah dalam ekonomi berbanding kaum lain, kini menjadi seperti 'candu' yang mengkhayal dan semakin melemahkan kita.

Tanggapan orang Melayu tidak dapat maju tanpa subsidi perlu dikikis kerana ramai orang Melayu yang berhijrah (dari kampung ke bandar, atau ke luar negara) kini mampu berjaya dan berdiri sama tinggi dengan cabaran global.

Langkah mengurangkan jumlah subsidi perlu difikirkan jikalau menghapuskannya dilihat masih belum praktikal, sebagai usaha membolehkan orang Melayu berjalan sendiri tanpa tongkat.

ii) Membasmi kegiatan 'Ali Baba' (bukan nama orang, tapi perbuatan). Malu apabila mendapati orang Melayu yang berniaga sebenarnya cukup sinonim dengan gelaran Ali Baba. Baik dalam bidang pembinaan (kontrak di sub kepada bukan bumi), lesen perniagaan seperti lesen operasi bas, lot kedai, etc. (disewakan kepada peniaga bukan bumi dan pendatang asing).

Memang orang Melayu ini dapat untung (10-20%), tetapi untung sebenar (80%) itu masuk terus ke dalam saku bangsa lain, hasil usaha mereka memperdaya orang Melayu yang tidak sabar hendak cepat kaya.

Akhirnya, lot-lot perkedaian yang seharusnya dimiliki (menjadi aset) bumiputra berpindah ke tangan orang asing. Jika nasib tidak baik, sekiranya berlaku sebarang kejadian buruk (kemalangan bas express, bangunan runtuh, etc.) padahnya pemilik yang mengali-babakan inilah yang terheret.

Tangan bekerja, bukan mulut

Justeru, bagi mencapai cita-cita besar merealisasikan agenda 'UMNO Juara Rakyat', langkah yang berani, malah mungkin yang ekstreme perlu digerakkan. Jangan sampai rakyat dan orang Melayu khususnya melihat ianya hanya sekadar satu lagi slogan (demi slogan) yang tidak mencerminkan situasi sebenar masyarakat.

Mungkin juga UMNO perlu lebih sensitif kepada rakan komponen lain kerana mereka juga pastinya ingin menjadi juara untuk kumpulan dan kaum yang mereka wakili. Atas semangat BN, dan disebalik pelbagai krisis yang melanda komponen BN (kepimpinan MCA, MIC dan PPP), mungkin agenda 'BN juara rakyat' lebih cocok digunapakai.

Sekian.

Friday, 25 December 2009

Mat Said dan Pelajar Cemerlang PMR

KUALA TERENGGANU, 25 Dis: "Dari semua bantuan dan sumbangan yang kerajaan buat ini, saya tidak minta perkara besar dari tuan-tuan, hanya ada satu permintaan kecil sahaja iaitu bagilah undi tuan puan untuk BN dalam pilihan raya akan datang."


Ungkapan di atas dikeluarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di Dewan Besar, Wisma Darul Iman semalam.

Ia dibuat di hadapan ibu bapa dan para pelajar seluruh Terengganu yang menerima hadiah kecemerlangan Pelajar Yayasan Terengganu.

Inilah kemuncak bagi 'segala kerja baik' dari kerajaan negeri kepada rakyat iaitu 'satu undi untuk BN'. Namun kali ini ia tidak diminta secara 'berlapik' lagi tetapi secara terus terang.

Seorang bapa kepada seorang pelajar yang menerima hadiah itu terkejut besar dengan ungkapan itu.

Ini kerana, sepanjang kerier beliau sebagai seorang pegawai kerajaan negeri tidak pernah Menteri Besar sebelum ini mengeluarkan ungkapan seterang itu.

"Kalau dia nak minta kita sokong BN pun, dia berlapik sikit...berkias-kias...tetapi MB yang ini terus kepada undilah BN," kata beliau kepada Harakahdaily.

Melalui program ini, Yayasan Terengganu telah membelanjakan lebih RM10 juta untuk memberikan hadiah kepada pelajar cemerlang ini yang bermula sejak tahun 1980 lagi.

Tahun ini, 6,740 pelajar menerima sumbangan ini yang melibatkan peruntukan sebanyak hampir RM1 juta.

Kerajaan negeri tidak meminta perkara besar dari semua sumbangan yang sangat banyak ini cuma 'satu undi untuk BN' bagi setiap rakyatnya yang layak mengundi sahaja.

"Kalau begitu, ini rasuahlah," kata bapa kepada pelajar berkenaan.

Sumber: klik sini