Saturday, 20 June 2009

PETRONAS

Sumber berita: sini

"Barangkali ada orang lain lebih cekap daripada Hassan Merican...boleh dapat untung lebih besar kot, mana kita tahu" - komen oleh Tun Mahathir berkenaan khabar angin (jika benar) oleh pihak tertentu untuk menggantikan Hassan sebagai pengerusi Petronas, sama ada ianya sesuatu tindakan yang betul, atau sebaliknya.

Kebanggaan kita

Petronas diasaskan pada 17 Ogos 1974 (kini berusia 35 tahun), dengan milikan penuh oleh Kerajaan Malaysia. Entiti gergasi ini menerusi namanya sudah kita ketahui bentuk perniagaan terasnya - aktif di dalam kerja-kerja carigali, pemprosesan dan pemasaran produk berasaskan petroleum, gas asli, produk petrokimia dan perkapalan.

Pencapaian cemerlang Petronas turut mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa dengan tersenarai ke dalam ranking Fortune Global 500's entiti korporat di dunia (sumber).

Pada 2008, Fortune telah menyenaraikan Petronas di tangga ke-95 syarikat terbesar di dunia, ke-8 syarikat paling untung di dunia dan paling mencatat untung di Asia (sumber).

Selain bertapak kukuh di Malaysia dan mencipta kegemilangan di benua Asia, Petronas tanpa menoleh ke belakang terus mengembangkan sayap operasi dan pelaburannya (gas dan minyak) ke 31 buah negara (sumber).

Rajah: sumber

Untuk menghuraikan satu-persatu kejayaan Petronas adalah begitu banyak, cukuplah saya menyimpulkan bahawa Petronas bukan entiti yang main-main buat business. Justeru, kegemilangan dan momentum kejayaan syarikat multinasional ini semestinya perlu dipertahan dan dipertingkat setiap masa melalui urustadbir korporat yang mantap dan mapan.

Dengar kata...

Saya terpanggil untuk melontarkan pandangan setelah akhbar arus perdana hari ini melaporkan komen oleh Penasihat Petronas, Tun Dr. Mahathir berkenaan khabar angin yang sedang bertiup kencang di dunia korporat sekarang ini - adakah Tan Sri Hassan Merican bakal diganti oleh orang lain? - lihat dan baca sumber di awal posting.

Beliau menafikan tahu berkenaan khabar angin ini, memandangkan hal berkaitan lantikan CEO ini adalah di bawah bidang kuasa Perdana Menteri, D.S. Najib Tun Razak.

Akhbar tersebut juga menyebut bahawa individu yang "berkemungkinan" atau disebut-sebut bakal menggantikan Hassan sebagai CEO ialah T.S. Syed Hamid Albar, bekas Menteri Dalam Negeri.

Artikel yang sama juga turut menyebut, bekas pegawai khas PM semasa menjadi TPM, Omar Mustapha Ong, juga dikhabarkan bakal dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Petronas.

Namun, setelah Tun M sendiri membuat penafian terhadap kebenaran khabar angin ini, seluruh perhatian kini terarah kepada usaha mendapatkan respon PM di dalam jangka waktu terdekat ini.

Fahamilah

Saya membaca komen ringkas oleh Tun itu sebagai membawa maksud yang tersirat a.k.a "baik korang yang membuat keputusan itu, fikir habis-habis".

Mungkin juga saya ini jenis yang suka fikir yang bukan-bukan atau merapu tak sudah.

Apapun, silalah fahami dan selami maksud kata Tun dan nilaikan pencapaian Hassan Merican sepanjang menjawat CEO Petronas. Apakah Petronas kini berdepan dengan masalah yang besar dari segi urustadbir korporatnya sehingga kedudukan Hassan cuba "digugat" dengan khabar angin yang kurang enak didengar ini?

Orang politik di dalam dunia korporat

Hassan Merican bukan orang politik. Namun, beliau adalah seorang Islam dan anak Melayu yang sangat patriotik, sayangkan "harta negara" ini (sebagaimana staf Petronas yang lainnya juga), kuat bekerja dan berani membawa Petronas meneroka peluang perniagaan yang lebih besar di luar sana.

Mungkin semangat Patriotik beliau sendiri saya lihat jauh mengalahkan pekikan dan laungan semangat ke-Melayuan kebanyakan orang politik @ pemimpin UMNO sendiri.

Dengan reputasi, pengalaman dan kedudukan beliau sebagai "orang lama" di dalam urustadbir Petronas, adalah tidak mustahil untuk beliau mendapat tawaran amat lumayan jika memilih untuk menabur bakti di mana-mana sahaja syarikat multinasional di dunia ini.

Dengan gaya pengurusan korporat yang baik oleh pasukan beliau juga, Petronas begitu banyak "menyelamatkan" Kerajaan Persekutuan pimpinan BN di kala kemelesetan ekonomi global.

Tidak terhitung berapa berbillion ringgit sudah wang cukai Petronas disuntik bagi menggerakkan projek-projek mega, selain disalur bagi memenuhi sasaran penyediaan projek pembangunan fizikal dan bukan fizikal di setiap Rancangan Malaysia (RM) 5 tahun.

Bayangkan jika tiada Petronas, apakah cukup untuk Malaysia menyediakan dana bagi menjayakan projek-projek pembangunannya? Mungkin cukup jika bilangan Kasino seperti di Genting Highlands dibina di setiap negeri - ini sindiran saya saja!

Justeru, sumbangan berterusan Petronas kepada kantung kewangan Kerajaan Persekutuan di bawah BN bukan suatu perkara yang main-main.

Begitu jugalah halnya jika ingin menukar CEO Petronas, bukan perkara main-main kerana ia melibatkan perjudian masa depan negara dan rakyat keseluruhannya.

Meletakkan orang politik untuk mengtadbir organisasi korporat pada pandangan peribadi saya, perlu dinilai secara serius oleh pihak yang terlibat. Jujurnya, adalah lebih mudah jika orang politik memainkan peranan mereka dalam pentadbiran kerajaan, dan biarkan orang korporat memainkan peranan mereka di sektor korporat yang turut menyumbang keuntungan (wang) kepada pentadbiran kerajaan.

Bukan juga saya ingin menidakkan kebolehan orang politik. Ada yang boleh berpolitik dan mengurustadbir badan korporat. Namun di syarikat multinasional seperti Petronas, "action speaks louder than words".

Key Performance Indicators - Indeks penunjuk prestasi (KPI), bukan diukur melalui sukatan air liur dan "kesibukan berpolitik", tetapi berapa billion untung yang mampu dijana syarikat.

Orang korporat dalam dunia politik

Namun, hal yang sebaliknya pula boleh berlaku. Jika saya kurang bersetuju dengan idea meletakkan orang politik bagi mentadbir badan korporat, saya tidak membantah jika orang korporat diambil untuk melakukan tugas orang politik (mentadbir negeri).

Contoh terkini bagi membuktikan kemampuan orang korporat menjalankan kerja orang politik seperti mengepalai kerajaan negeri dapat dibaca di sini.

Bukan ingin memuji, namun KPI menyokong kesahihan hujah ini. T.S. Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor merupakan ex-Ketua Exsekutif Permodalan Nasional dan ex-Ketua Exsekutif Kumpulan Guthrie Berhad (sumber) mula mengorak langkah kanan setelah terjun ke dunia politik.

Nampaknya, pengalaman beliau mentadbir organisasi korporat berupaya diterjemah dan dipraktikkan melalui pentadbiran kerajaan negeri.

Apabila jumlah pelaburan dan pendapatan kerajaan negeri terus menunjukkan kesan yang baik, di kala kemuraman ekonomi global, nyatalah "action speaks louder than words".

Nampaknya, MB Selangor ini mula memahirkan diri di dalam menjalankan tugas sebagai orang politik dan orang korporat dalam mengurustadbir negerinya.

Dengan situasi terbaru ini, nampaknya Khir Toyo dan barisan anggota pembangkang di DUN Selangor perlu bekerja dengan lebih kuat dan menunjukkan aksi lebih meyakinkan jika berhajat untuk kembali menguasai Selangor pada PRU akan datang.

Masa depan

Siapalah saya untuk memperkata mahupun menjangkakan nasib dan masa depan Petronas. Bersamalah kita tunggu respon dan kenyataan rasmi mereka yang berautoriti dalam hal ini.

Harapan saya, sebarang tindakan sama ada untuk membenar atau menidakkan khabar angin sebagaimana laporan akhbar tersebut, tidak akan memperjudikan masa depan dan nasib Petronas khasnya, dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Kita sayang Petronas (biarpun bukan staf), kita iktiraf sumbangan Petronas kepada negara melalui dana kewangan mereka kepada kerajaan.

Minyak dan gas asli bukan selamanya ada di perut bumi ini. Justeru, visi dan misi pentadbir Petronas yang mantap, bijak bertindak (kurangkan bercakap), adalah amat ditagih bagi memastikan Petronas terus melangkah gagah sebagai gergasi Malaysia di pentas dunia.

Sekian.

Lama dan baru

Sukar untuk menjelaskan kepada orang dari mana saya datang. "Asal mana?" - "Ajil".

"Ajil?, kat mana ek?" - "Dekat Hulu Terengganu" - Nampak masih samar-samar, tak faham.

"Oh ye. Ajil tu akan awak jumpa kalau nak ke Kuala Berang atau Sekayu". "Kuala Berang?" - Mau nak kena dia ni...

"Err...Kuala Berang tu on the way ke Tasik Kenyir". - "Aaaaa....Tasik Kenyir, tahu, tahu!".

"Phew!!"

==========

Mungkin Pekan Ajil ini tidak terkenal dengan apa-apa yang menarik. Namun apa yang saya pasti, saya pernah terbaca di akhbar bahawa Ajil merupakan pekan ke-2 termundur di Malaysia, selepas Sik di Kedah.

Tetapi rasanya kini, Ajil telah mengalami transformasi fizikal yang signifikan. Pembinaan pasar baru, lampu isyarat, bangunan MARA, Depo Tahanan Imegresen, kilang cetak akhbar, kilang papan, kawasan perumahan dan perkedaian baru, landskap dan sebagainya menambahkan lagi kesibukan pekan kecil ini.

Di sebalik perubahan besar di pekan Ajil, rumah ibu dan ayah di kampung juga turut mengalami perubahan dan penambahbaikan.

Di sini saya sertakan rajah perubahan yang serba-sedikit dapat saya ingat. Tidaklah begitu terperinci, tetapi jika ada kesilapan, minta adik-beradik yang lain dapat tegur untuk saya perbetulkan.

Ini rumah yang asal (daripada kayu), dibina selepas ayah keluar dari Felda untuk tinggal di kampung

Ayah seorang tukang rumah/tukang kayu. Ruang tamu itu dia yang buat.

Sambungan dapur ini separa (kayu-konkrit), dibuat tukang rumah semasa Ayah ambil kontrak membaja sawit dengan Felda.

Yang ini Ayah bina sendiri (kami ada jugalah tolong sikit-sikit).

Dapur baru tu, Mat Din yang buat. Bilik-bilik tidur tu Ayah yang siapkan sendiri.

Rumah asal kini telah diroboh, diganti dengan konkrit juga.

Kini, hampir kesemua binaan adalah daripada konkrit (batu-bata). Rumah kayu hanya tinggal sejarah.

Kalau dulu malas belajar atau bergaduh sesama adik-beradik, dapatlah lari (tak cukup tanah dikejar ibu) ikut jendela. Sekarang jendela semua diganti dengan tingkap jenis Ram (lourved window) .

Siaplah 2 orang yang di bawah tu (e-g & faiz), kena kejar dengan Mok, melekatlah korang kat tingkap tuh! Hahaha...

Berita Dari Kampung II

Pagi ini saya menerima foto terbaru kerja-kerja membina dan menyiapkan bahagian depan rumah ibu di kampung.

Alhamdulillah, berkat tabiat suka menyimpan, ayah dan ibu akhirnya dapat jua menggantikan bahagian rumah yang "tua" ini dengan yang baru. Kami adik-beradik yang dah bekerja juga turut menyumbang serba-sedikit, mana yang termampu.

Selepas siapnya bahagian depan ini, tinggal lagi urusan yang "kecil-kecil" memperelokkan bahagian dalaman rumah pula.

17/06/09



18/06/09



20/06/2009







Dr. Sepet: Dah berubah teratak tempat kami 9 beradik dibesarkan. Terlalu banyak kenangan. Apapun perubahan yang baik adalah perlu bagi menampung "pertambahan ahli keluarga" Kamarudin di masa depan.

Silap kecil, malu besar

Inilah yang dikatakan "kerana nila setitik, rosak susu sebelanga".

Kerana salah eja/cetak satu huruf, program yang murni ini telah bertukar menjadi program sendaan oleh masyarakat setempat, dan setelah diheboh kepada media, ia menjadi bahan lawak ke seluruh negara.

KEMPEN DERMA DARAH = KEMPEN DERMA DADAH
(dari seruan untuk kebaikan, bertukar jadi seruan buat jenayah).

Foto: Sumber

Bagaimana si pencetak ni lulus BM masa SPM dulu ye? Kalau dah Bahasa Melayu pun macam itu, Bahasa Inggeris pulak kena tengok-tengokkanlah juga.

Janganlah "yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran" - nak kejar Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu sendiri terkantoi. Buat malu saja.

Harap poster tu tidak dibuang, tampal dengan kain putih pada huruf D, kemudian tulis dengan huruf R.

Thursday, 18 June 2009

Mencari jalan tengah?

Everybody knows nothing
But somebody knows something
Cheeky isn't?


Memandangkan saya kini masih berehat dari menulis artikel berkaitan politik kepartian (tetapi tidak berhenti menulis untuk dasar kerajaan dan hal politik yang umum), maka waktu yang sedikit lapang ini akan saya gunakan untuk memerhati gelagat para bloggers lain di alam maya.

Ingatkan saya saja yang ingin berehat dari kerja-kerja cuba menyuburkan bara api untuk disemarakkan orang lain, rupanya langkah yang serupa turut disedari dan diikuti beberapa rakan yang lain. Buatlah apa yang anda difikirkan patut.

Baguslah bila ada rakan bloggers yang mula berbicara perihal dosa-pahala akibat penulisan yang tidak betul, dan sebagainya.

Masalahnya, setelah saya memilih untuk "diam", terasa seperti tiada apa yang menarik untuk dikongsi di blog ini.

Kehidupan seharian Alhamdulillah berjalan dengan baik, rutin. Penyelidikan tetap perlahan seperti biasa. Motivasi sentiasa ada, namun kadang-kala tinggi, kadang-kala rendah.

Cuma, beberapa hari kebelakangan ini saya lihat semacam muncul suatu aliran penulisan di kalangan bloggers - ke arah "mencari jalan tengah" di dalam menerangkan dan mengupas sesuatu isu yang timbul.

Daripada kumpulan yang bernada tegas membangkang, kemudian ada pula nada yang kuat menyokong - akhirnya muncul kumpulan yang meletakkan diri dan penulisan mereka di tengah-tengah (atas pagar).

Duduk atas pagar, dengan harapan pagar tersebut adalah kukuh dan tidak condong ke mana-mana biarpun ditiup angin yang kuat atau digoncang oleh "budak nakal".

Atas pagar vs alternatif

Saya berpandangan, wujud perbezaan di antara "atas pagar" dengan "alternatif". Saya tidak akan mencari definisi atau menghasilkan kupasan yang terlalu kompleks, cukup dengan memberikan contoh mudah dan ringkas untuk difahami.

Bagi "atas pagar", contoh yang mudah kita faham ialah "pengundi atas pagar". Setiap kali tibanya musim pilihanraya, kelompok "atas pagarlah" yang sering menjadi sasaran berkempen dan merayu undi oleh pihak-pihak yang bertanding. Ada pemerhati yang beranggapan, undi daripada orang atas pagar, bakal menentukan keputusan undian.

Mungkin andaian tersebut betul, atau boleh jadi sebaliknya.

Apa yang saya yakin ialah, setiap orang yang "atas pagar" itu, akhirnya mereka tetap akan memilih (calon tertentu). Maksudnya, mereka membuat pilihan! Bukannya "atas pagar" itu tidak buat apa-apa.

Jika ada 2 calon, A dan B, maka para "pengundi atas pagar" ini akhirnya akan memilih sama ada A ataupun B.

Justeru, "atas pagar" tidak membawa maksud "memilih jalan tengah", tetapi membuat 1 pilihan sahaja!

Bagaimanapun, hal yang berbeza dilihat bagi "alternatif" di mana alternatif ini menawarkan "pilihan selain" daripada pilihan yang ada. Di kala kehendak yang sebenar tidak mampu diperoleh, maka pilihan yang terhampir dan masih sesuai akan diambilkira.

Contohnya, kita inginkan menu Halal (tiada masalah di Malaysia), tetapi tiada yang halal. Justeru, alternatif terdekat ialah dengan memilih menu untuk Vegeterian (tanpa babi dan tanpa alkohol). Mungkin ia bukan yang terbaik, tetapi wajar bagi kita pilih selagi memenuhi kehendak dan keperluan waktu itu.

Justeru, alternatif C boleh muncul dan menjadi pilihan, di kala A dan B dilihat sudah tidak relevan di masa itu.

Pilih salah satu, bukan ambil semua secara sedikit-sedikit

Mencari jalan tengah sering dilihat ideal sebagai penyelesaian di kala berada di persimpangan, dilema atau menyelamatkan keadaan yang tegang di antara 2 kumpulan yang tidak sebulu.

Jika si A dan B tidak mahu mengalah, keras kepala dan ramai yang akan menanggung kerugian akibat ketegangan ini, maka pihak C akan hadir sebagai pendamai.

Itulah peranan yang cuba dipikul di peringkat antarabangsa oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Rajah: sumber

PBB seringkali menjadi perantara di dalam mencari jalan tengah dan menyelesaikan sesuatu krisis. Di antara peranan PBB yang mudah kita nampak adalah semasa krisis Palestin-Israel, Korea Utara-Korea Selatan, Iran-Israel, Russia-Amerika, Krisis Congo, Krisis Darfur, dan banyak lagi.

Namun, apakah PBB telah menamatkan krisis Palestin-Israel? atau Iran? atau Korea Utara hingga ke hari ini? Jawablah sendiri...

Nampaknya, jalan tengah juga bukan jaminan untuk menyelesaikan masalah. Malah, berpotensi menambahkan lagi kerumitan sesuatu masalah itu.

Tiada kacukan

Agaknya sebab itulah dalam Islam kita perlu membuat pilihan. Pilihlah:

1) antara DOSA atau PAHALA
2) antara MAARUF atau MUNGKAR
3) antara HAK atau BATIL

4) antara SYURGA atau NERAKA

5) antara HALAL atau HARAM

6) dan sebagainya...


Tidak ada:

1) tahu mencuri itu berdosa, tapi derma sebahagian hasil sebagai sedekah
2) buat baik banyak-banyak, tapi boleh buat jahat sekali-sekala

3) berjaya menyampaikan yang hak kepada pemunya sebenar, tetapi dengan menipu orang lain

4) tidak mahu masuk neraka, tetapi amalan hidup tidak langsung menjurus untuk nak dapat syurga

5) yang halal makan kat depan, yang haram makan kat belakang

6) dan sebagainya lagi...


Juga, tiada ikut yang betul separuh, dan separuh lagi ikut yang tidak betul. Contoh "aku biarpun makan rasuah, tapi aku solat tak pernah tinggal!" - ada juga kan?

Rajah: sumber

Mungkin anda ingin berbeza pendapat, tidak mengapa. Tetapi dalam Islam sendiri tidak membenarkan kita ambil sebahagian agama, dan meninggalkan sebahagian yang lain, atau cuba menggantinya dengan amalan selain yang dituntut.

Sesungguhnya yang hak dengan batil itu adalah nyata, yang halal dan haram itu juga nyata, dosa dan pahala juga nyata, syurga dan neraka juga nyata.

Akhirnya

Mungkin ada rakan bloggers yang melihat adanya "jalan tengah" kepada pelbagai krisis yang melanda dewasa ini. Itu pandangan anda dan saya hormatinya.

Namun bagi saya secara peribadinya, tidak ada jalan tengah (bakal, sedang, mahupun telah) dirintis ketika ini. Yang satu itu telah terlalu lama menjadi dominan, manakala yang satu lagi dianggap sebagai alternatif yang kuat.

Walau apapun, pilihan tetap ada:

a) teruskan juga
b) tarik diri / tarik balik

Sekian.

Wednesday, 17 June 2009

Lulus karangan BI - SPM

B. Inggeris dan PPSMI

Sumber: sini, sini, sini, sini dan sini.

Kesemua sumber di atas adalah berita dan kupasan berkenaan ura-ura kerajaan (melalui Kementerian Pelajaran) untuk mewajibkan lulus Bahasa Inggeris bagi calon yang menduduki peperiksaan SPM.

Ada yang mempersoalkan kesediaan Kementerian untuk meneruskan rancangan tersebut, dengan mempertimbangkan kesan baik-buruk yang bakal terjadi. Ada yang menyokong dengan mengangkat kepentingan Bahasa Inggeris di dalam dunia akademik dan hal lain yang berkait dengannya - sistem pelajaran dan pembelajaran, buku-buku rujukan di universiti dalam Bahasa Inggeris dan sebagainya. Manakala, seperti biasa apabila ada yang sokong, makanya adalah yang membangkang.

Menurut Bakri Musa, menyokong atau mengadaptasi polisi, dengan melaksanakan polisi secara berkesan merupakan dua perkara yang berbeza. Inilah yang menjadi persoalan di benak ramai orang memandangkan tindakan kementerian di dalam isu PPSMI sebelum ini juga belum dapat menghadirkan jawapan dan penjelasan yang memuaskan.

Belumpun mantap dan perkasa perlaksanaan PPSMI, kini ditambah pula dengan usul bagi mewajibkan lulus BI di dalam SPM. Jangan cuba angkat beban yang berat dulu, jikalau beban yang sedia ada dalam kain tu pun nak tercicir sebab kain dah nak terkoyak.

Nak teruskan PPSMI, teruskan. Tetapi mantapkan perlaksanaan supaya ia lebih berkesan kerana kajian semula atau semakan telah dibuat baru-baru ini untuk mengenalpasti segala kelemahan dan kekurangan yang timbul. Tinggal saja pihak-pihak yang berwajib dan pakar untuk memperhalusi tindakan terbaik meningkatkan mutu perlaksanaan PPSMI.

BI tidak dapat tidak perlu kita akui amat berpengaruh dewasa ini (malah dulu pun sama). Ia bukan sahaja menjadi bahasa pertuturan, malah diangkat menjadi bahasa ilmu, bahasa buku, bahasa perdagangan dan sebagainya.

Pendek kata, sesiapa sahaja yang belajar di IPT, tiada pilihan bagi mereka ini daripada menceduk ilmu dari buku rujukan berbahasa Inggeris.

Selesai hal IPT, mereka tidak dapat lari apabila BI turut digunakan secara meluas di alam pekerjaan pula.

English for Dummies (BI untuk orang kurang pandai)

Saya bukan ingin mengulas isu wajib lulus BI dan PPSMI. Posting ini saya khususnya bagi berkongsi pengalaman saya sebagai seorang yang tidak pandai Bahasa Inggeris, tetapi Alhamdulillah dengan beberapa tips, saya lulus jua dengan agak baik.

Jika anda bakal menduduki SPM, atau adik-adik anda bakal menduduki SPM, saya suka berkongsi pengalaman saya sewaktu belajar di sekolah menengah dahulu.

Tetapi perlu diingatkan, ianya pengalaman saya dan ia mungkin bermanfaat / berguna untuk anda, atau sebaliknya. Justeru, jangan terus ambil bulat-bulat apa yang ditulis ini.

Waktu itu, saya merupakan antara orang yang takut (tidaklah sampai phobia) dengan BI, selain lemah dalam Matematik dan Prinsip Akaun. Telah banyak usaha saya buat, akhirnya pencapaian dalam Matematik dan Akaun menampakkan pemulihan yang ketara, sedangkan BI saya masih di "takat hidung" juga.

Saya mulai buntu kerana SPM makin hampir dan saya tidak ingin gagal SPM (malu jadi orang yang gagal). Lalu suatu hari, saya diajar (1 sesi) oleh 2 guru Americans yang dihantar berkursus di MRSM waktu itu.

Untuk BI kertas 1, tiada apa yang boleh dibuat melainkan belajar dan belajar, dan memastikan kedudukan di dalam dewan peperiksaan "memihak" kepada kita - kiri dan kanan dan hadapan adalah rakan yang handal BI. Tambahan pula Kertas 1 memerlukan jawapan objektif, jadi yang mana tak tahu tu boleh tembak, janji semua jawapan diisi.

Bagi BI kertas 2 @ karangan, ini yang penat sikit. Tips yang saya amalkan hasil menuntut dengan guru Americans adalah:

1) dapatkan satu artikel pendek (berkenaan peristiwa - seperti dipatuk ular, kejadian tanah runtuh di kampung saya, menghadiri majlis graduasi, etc) dari Reader's Digest. Panjang artikel adalah di dalam 2-3 muka surat A4.

2) hafal keseluruhan artikel tersebut dan cuba salin semula (hafal dan salin semula), buat beberapa kali.

3) semasa menerima kertas soalan BI -2, cari soalan berbentuk "sambung cerita".

Apapun, kaedah "hafal dan salin semula" ini hanya sesuai jika sistem SPM masih lagi menekankan pendekatan hafalan. Jika pendekatan ini telah diubah, makanya tips ini sudah tidak sesuai digunapakai.

Kaedah ini juga tidak sesuai dipraktikkan oleh orang yang bagus BI dan bersungguh-sungguh belajar BI, dan jika waktu untuk menduduki peperiksaan SPM masih jauh.

Apapun di dalam kes saya, ianya sesuai memandangkan tinggal beberapa minggu saja dari SPM, dan saya sudah buntu untuk buat apa lagi untuk lulus BI waktu itu.

Alhamdulillah, semasa melihat soalan Kertas 2, terpandang soalan "anda tidak dapat datang ke sekolah minggu lepas kerana......sambung karangan tersebut".

Saya rasa macam nak melompat saja waktu itu, kerana sudah berminggu saya hafal dan salin semua kisah "saya dipatuk ular".

Makanya pada hari yang bersejarah itu - "Saya tidak dapat datang ke sekolah minggu lepas kerana ...saya dipatuk ular".

Buat pertama kali dalam sejarah hidup, saya dapat menulis 4 mukasurat karangan BI dengan cepat, menggunakan tatabahasa yang tinggi (maklumlah artikel yang diedit oleh Reader's Digest) dan tiada apa yang perlu difikirkan - tiada rangka, tiada senarai isi penting dan sebagainya.

Saya hanya menulis dan menulis @ menyalin balik sebijik-sebijik dengan apa yang saya hafal - janji aku lulus!

Alhamdulillah, saya lulus SPM dengan baik. Kertas 1 lulus baik kerana "kedudukan dalam dewan yang strategik".

Dan sekarang kerajaan ingin mewajibkan lulus SPM. Baguslah. Selagi sistem "hafal dan salin semula" tidak diubah, luluslah BI dan sepuluh subjek pun, maka akan terselamatlah insan lemah belajar seperti saya untuk melangkah ke IPT, yang mana di sana nanti berserabutlah kepala para pensyarah pula untuk membetul semula BI pelajar-pelajar yang dapat A dalam SPM ini.

Apapun, belajar BI bukan kita dapat dalam 1 hari, 1 bulan atau 1 tahun. Ia menuntut usaha berterusan dan berpanjangan, di samping minat dan kehendak yang tinggi.

Masih belum terlambat untuk belajar BI (dengan kaedah yang betul) kepada calon SPM. Pilihan untuk lulus dan gagal di tangan anda. Buatlah pertimbangan yang terbaik untuk masa depan anda.

Melainkan jika anda sudah tidak tahu buat apa lagi, kepala asyik langgar dinding dan daripada membiarkan anda atau adik-adik anda patah hati yang berpanjangan hingga menggagalkan subjek yang lain, tips saya seperti di atas itu, mungkin boleh dipertimbangkan.

Tuesday, 16 June 2009

Mengapa perlu sambar Ribery

Tiada lagi penulisan politik

Terkilan!

Itulah perkataan yang sesuai saya gambarkan terhadap situasi yang sedang berlaku di blog-blog politik dan bukan politik sekarang ini.

Rasa terkilan ini mula saya rasa apabila isu Chin Peng kembali timbul dan kupasan yang dibuat terhadap idea UG selepas Muktamar PAS yang lalu oleh pelbagai pihak baik di dalam, mahupun di luar PAS.

Entah di mana sumbangnya langkah dan silapnya percaturan, isu Chin Peng dan UG kini bagaikan letusan atau ledakan yang membawa bersama fitnah yang membuak-buak di dalam masyarakat.

Dari ikhlas kemudian jadi fitnah

Saya tidak kisah perbezaan pendapat dan sememangnya rakan bloggers yang lain wajar mempraktikkan hak mereka sebagai rakyat Malaysia yang prihatin.

Namun, semakin lama sesuatu isu itu dibiarkan tanpa jawapan yang konkrit dan memuaskan oleh pihak yang berwajib, semakin ramailah orang-orang yang di luar bidang kuasa rasmi mula mengisinya dengan pendapat mereka, sehingga akhirnya membenihkan api kebencian, permusuhan dan akhirnya boleh membawa perpecahan kepada ummah.

Daripada komen-komen yang umum dan dengan niat asalnya untuk menegur, akhirnya menular menjadi serangan peribadi, cacian, makian, carutan, sehingga pada mata mereka (sesetengah bloggers), tiada langsung yang baik, yang betul dan benar, biarpun yang dicemuh itu adalah seorang tokoh dan individu yang diiktiraf ketinggian ilmu dan peribadi yang baik.

Apabila kita bersemangat menulis, kadang-kala sukar mengawal jari-jemari bagi menterjemahkan idea (dan emosi) sehingga secara kita sengaja atau tidak, kita turut menyumbang kepada pertambahan berita yang tidak benar atau kurang tepat, kurang sokongan fakta dan lebih berpotensi untuk memfitnah orang lain.


Jagalah perlakuan untuk keberkatan

Anda percaya pada keberkatan? Saya percaya dan saya yakin keberkatan yang datang dari Allah itu boleh juga disebabkan perilaku atau perbuatan kita sendiri, selain kita menjaga benda yang kita makan, minum dan pakai sehari-hari.

Mungkin kita jenis yang suka ambil berat, sensitif dengan situasi yang berlaku, justeru menarik kita untuk berkongsi pandangan.

Namun, dalam keasyikan menulis di blog, kadang-kala kita terlepas menerbitkan artikel yang salah fakta dan akhirnya kita juga turut menyumbang kepada pemahaman yang kurang tepat kepada para pembaca blog kita.

Justeru, saya memutuskan untuk melangkah keluar dari menulis artikel berkaitan politik tanah air buat sementara, sebagai langkah tidak menyumbang kepada bertambah artikel memfitnah di blog selain menggunakan masa rehat ini untuk menenangkan fikiran dan menumpukan perhatian kepada kegiatan harian yang lain dan penyelidikan.

Insya-Allah apabila keadaan kembali reda dan isu-isu yang menjadi perdebatan dan khabar angin kurang betul ini dapat dijernihkan oleh pihak yang terbabit, barulah saya akan kembali menulis tentang politik dan lain-lain hal yang berkait dengannya.

Bersamalah menjaga penulisan kita di blog agar terhindar dari melakukan fitnah dan bersama doakan moga Allah kurniakan keberkatan di atas segala tindakan kita yang baik.

Wassalam.

Sunday, 14 June 2009

Belajar main sorang-sorang

Semalam (Sabtu) kami ke carboot Bicester, saja nak melepas gian setelah beberapa minggu tidak berkunjung ke carboot.

Seperti biasa, saya akan mencari kalau-kalau ada barang-barang yang orang lain tidak mahu seperti rumah kecil untuk dibeli.

Memandangkan usia Mawaddah juga telah menjangkau 4 bulan, maka bolehlah dia kami bekalkan beberapa alat bantu bermain kepadanya.

Kami jarang ke carboot Bicester ini kerana terletak agak jauh dari rumah dan jatuh pula pada hari Sabtu, dan nak masuk kena bayar 1 pound per kereta. Lazimnya, kami hanya berkunjung ke carboot Oxford di Kassam Stadium, pada hari Ahad - lepas tu terus ke kedai halal membeli ayam dan daging.

Apapun, secara ikhlas saya lihat, carboot Bicester lebih tersusun, dan barang-barang jualannya juga elok-elok (bergantung juga kepada apa yang anda ingin cari).

Tapi semalam, rezeki untuk menambahkan koleksi rumah-rumah kecil tidak kesampaian disebabkan penjual meletakkan harga yang tinggi dengan alasan ianya amat collectable. Hello, kalau tidak collectable, masakan kami dah ada 55 buah rumah kecil tu! Manakala, ada sesetengah rumah kecil semalam juga tidak begitu cantik buatannya.

Bagi Mawaddah, kami belikan play-mat, lengkap dengan bunyi-bunyian sekali. Balik rumah, ia terus dibasuh dan setelah kering sebentar tadi, kami mencuba fungsi dan keberkesanannya.

Mawaddah nampaknya masih "blur", tetapi dia respon dengan baik terhadap pergerakan burung dan bunyi-bunyian. Buat permulaan, saya perlu berada di sebelah dia untuk membebel supaya dia jangan tengok saya, tapi main dengan alat tu.

Inilah mainannya - burung tu boleh turun naik dan monyet tu berpusing-pusing (menakutkan)

Sukenye dia

Huh?!

Ayah nak join Mawaddah skali tak? Best ni...

Ayah dah besar, mana leh main benda ni

Tarik, jangan tak tarik

Alhamdulillah, buat permulaan nampaknya dia suka dan dapat menerima alatan tersebut. Cuma kamilah selepas ini kena rajin pasangkan untuk dia main. Takut main 2-3 kali, lepas tu biar stor yang main pulak.

Untuk berlaku adil kepada Ibu dan Mawaddah, ayahnya turut menyambar beberapa buat jentera berat untuk kegunaan di belakang rumah - haha....

Saja beli sebab geram tengok banyak dan murah-murah permainan macam ini di carboot Bicester tu. Beli dan kumpul dulu dan kalau Mawaddah nak main nanti, bolehlah Ayah join sekali.

Takpun, bungkus dan pos balik Malaysia, gerenti ramai lagi orang di kampung yang meleleh air liur tengok benda ni. Haha....


Mana tak geram nak beli, setiap jentera ni hanya dijual dengan harga 50p, nak beli yang baru, mau demam kura la jawabnya. Lagipun, ianya masih macam baru.

Saturday, 13 June 2009

Perihal Tan Sri & Kek Ekonomi

Sumber: sini

Artikel di bawah ini saya petik bulat-bulat dari sumber sebagaimana dinyatakan di atas. Bukan untuk menghina atau mempersendakan rakan dari kaum lain, namun setelah membacanya saya merasakan terdapat mesej (secara halus) yang ingin disampaikan.

Pujuk, bukan tuntut! Selamat membaca dan bacalah dengan minda yang terbuka.

===========================

Dalam sebuah majlis, seorang usahawan berbangsa Cina yang juga bergelar Tan Sri sedang ditemuramah oleh seorang wartawan. Duduk berdekatannya adalah 2 orang jurutera, anak beranak berketurunan India yang bekerja dengan syarikat Tan Sri tersebut. Berikut adalah perbualan mereka:

Tan Sri: Kerajaan perlu bertindak adil dalam pengagihan kek ekonomi negara. Tidak boleh ada diskriminasi terhadap kaum bukan Melayu. Kontrak antara orang Melayu dan bukan Melayu mesti diberikan sama rata demi keadilan. Lagipun bangsa kami banyak menyumbang kepada kemajuan negara walaupun kami digelar sebagai kaum pendatang.

Setelah bersusah payah semenjak sebelum merdeka, maka wajarkah kami dinafikan hak sebagai warganegara. Orang Melayu perlu lebih berkompromi dengan kaum lain untuk maju. Liberalisasi perlu dilaksanakan dengan meluas dalam semua sektor demi mencapai kesamarataan antara kaum.

Wartawan: Tan Sri, boleh saya tahu sudah berapa lama 2 orang jurutera ini bekerja dengan Tan Sri?

Tan Sri: Oh... sudah lama. Praba ni dah bekerja dengan saya hampir 30 tahun sejak syarikat ni ditubuhkan lagi. Malah anaknya pun sekarang bekerja dengan saya lebih 10 tahun. Mereka ini adalah pekerja saya yang paling berdedikasi dan banyak menyumbang kepada kemajuan syarikat.

Wartawan: Kalau begitu, apa kata Tan Sri berikan sebahagian saham syarikat ni kepada mereka berdua. Lagipun mereka sudah lama bekerja dengan Tan Sri, malah banyak menyumbang kepada syarikat sepertimana kata Tan Sri tadi.

Tan Sri: Eh.. mana boleh! Ini syarikat saya. Lagipun saya dah bayar gaji yang mahal kepada mereka berdua dan saya tak pernah halang pun jika mereka nak kumpul harta. Mana boleh senang-senang saya nak bagi saham syarikat saya pada mereka.

Wartawan: Macam tu jugalah perasaan Melayu. Tanah ini asalnya milik orang Melayu. Milik raja-raja Melayu. Lepas tu orang bukan Melayu macam Tan Sri pulak nak mintak hak sama rata dengan alasan kerana telah banyak menyumbang.. Tan Sri rasa wajar atau tidak permintaan tu?

Tan Sri: ............ ......... ......... ......... ........

Kisah di atas merupakan sedutan daripada kisah benar yang berlaku dalam sebuah majlis perasmian kilang di Gemas, Negeri Sembilan.

===========================