Tuesday, 19 May 2009

2 x 5

Terkejut! Terperanjat! Telah dijangka! Mengaku Kalah! Pengecut!

Itu sebahagian daripada reaksi yang diluahkan oleh pelbagai pihak berikutan tindakan BN yang memutuskan untuk tidak meletakkan calonnya bagi bertanding di kerusi DUN Penanti bulan hadapan.

Jujurnya, saya tidak begitu kisah dengan keputusan PM sama ada ingin UMNO/BN bertanding atau tidak. Itu telah menjadi hak mereka. Hak yang tidak memudarat dan menyalahi apa-apa peruntukan di sisi undang-undang negara.

Namun, apa yang saya kisah ialah reaksi atau maklum balas yang ditunjukkan oleh para pemimpin PR tidak kira DAP, PKR mahupun PAS terhadap isu ini. Saya bukannya serkap jarang, tetapi lihat sajalah komen-komen yang dipetik daripada ucapan atau pandangan para pimpinan PR dalam hal ini.

Enggan bertanding di Penanti bukti Najib pengecut
rujuk: sini

BN tidak bertanding bukti Najib akur kekuatan Pakatan Rakyat
rujuk: sini

UMNO/BN takut pada bayang-bayang
rujuk: sini

Dan banyak lagi sebenarnya berita-berita dari sumber alternatif terhadap isu ini.

Adalah amat mendukacitakan apabila membaca komen daripada para pemimpin PR yang begitu mendabik dada dan di masa yang sama melontarkan pelbagai andaian yang tiada asas (sedangkan semua mereka hanya meneka-neka sebab di sebalik penarikan untuk pencalonan BN tersebut).

Pelbagai alasan direka pemimpin PR, yang pada saya tidak kiralah sama ada ianya alasan yang benar ataupun alasan sekadar untuk menutup malu parti pemerintah, pemimpin PR juga seharusnya jaga tanggungjawab bagi mengekalkan sikap merendah diri dan berlapang dada mengenai hal ini.

Saya pun agak keliru. Jika beginilah reaksinya setelah BN sah menarik diri bertanding, apakah pula reaksi "mereka-mereka ini" jika BN menyatakan persetujuan bertanding hari semalam? Nampaknya semua yang dibuat tidak pernah kena dan tidak pernah betul di mata mereka.

Sepatutnya kedua-dua pihak melihat akan "rahmat" di sebalik keadaan yang berlaku ini, di mana PR tidak perlu all-out keluar berkempen (siapa menang pun, bilangan kerusi DUN oleh PR tidak tergugat), dan bagi BN pula dapat melaksanakan apa yang mereka tekankan ketika ini - fokus memperbaiki situasi ekonomi rakyat.

Komen-komen yang meninggi diri, mendabik dada dan seolah-olah lupa diri seharusnya dihentikan. Tiada guna jika mandat yang rakyat kurniakan kepada PR, kelak menjadikan mereka 2 x 5 sebagaimana BN.

::sekadar pendapat::

Monday, 18 May 2009

Nak telan pahit, nak luah malu

Sumber: disini

Betapa krisis politik dan kuasa yang belum selesai di negeri Perak akan menjadi bertambah sulit dan sebarang tindakan yang 'tidak fikir panjang' bakal menjerat sesiapa jua.

Artikel tulisan Mahfuz Omar ini kelihatan bernas jika dilihat dari paparan situasi dan pro/kontra terhadap setiap tindakan yang ingin diambil oleh mana-mana pihak untuk merungkai krisis ini.

Sukar untuk "menarik rambut dalam tepung. Rambut dapat ditarik, tepung tidak berselerak". Tindakan A akan menarik kesan B, C, D dan sebagainya, dan begitulah sebaliknya. Lihat:

1) Ingin mengusulkan undi tidak percaya pun tidak boleh kerana Zambry dah mengaku dialah MB sebenar. Takkan nak usulkan tidak percaya terhadap diri sendiri.

2) Kalau Zambry nak usulkan kepada Nizar, maknanya Nizar masih MB yang sah dan Zambry bukan yang sah.

3) Kalaupun Nizar dapat disingkir melalui undi tak percaya oleh majoriti DUN, Zambry perlu angkat sumpah depan Tuanku Sultan kerana yang dulu itu tidak sah (sebab Zamby singkir 'MB yang sah' iaitu Nizar macam situasi 2), dan ini telah mencemar imej pihak Istana yang "melantik" Zambry sebelum ini.

4) Nak bubar DUN dan buat pilihanraya semula. Pun dilihat sukar buat UMNO/BN kerana Tun M sendiri tidak yakin UMNO/BN boleh menang secara pilihanraya di Perak. Sekarang inipun PM memutuskan UMNO/BN tidak bertanding di DUN Penanti (sumber).

5) Jika Zambry memutuskan untuk maintain status-quo, besar kemungkinan reaksi dan penolakan rakyat, selain parti-parti komponen BN (Gerakan, MCA) sendiri menjadi bertambah besar. Ini merosakkan UMNO/BN untuk jangkamasa panjang.

Kesimpulannya, krisis di Perak ini lebih kena dengan peribahasa "kerana nila setitik, rosak susu sebelanga". Ini kerana tindakan awal yang tidak dijangka akan kesannya yang besar, akhirnya membawa kepada kerosakkan yang bukan mudah untuk diperbaiki.

Yeob, yeob...

Saturday, 16 May 2009

Hari berkebun

Aktiviti bercucuk tanam petang ini agak istimewa kerana kami mendapat tunjuk ajar serta panduan dari mandur Mawaddah. Biarpun tidak banyak bergerak tetapi setiap arahan beliau sama ada yang kami faham (sikit je yang kami faham) mahupun tidak kami fahami (banyak yang kami tak faham), namun kena ikut juga.

Aisheh-man, siap jeling lagi. Apasal ayah lambat sangat buat keje nih?

Kita kasi foto 'close-up' penyelia tapak pada petang ini. Siap pakai topi bunga-bunga lagi tu...

Memandangkan batas yang ada tu dah lama dibuat, makanya kerja menanam anak sayur menjadi mudah dan cepat. Disebabkan kami tidak sempat membuat tanda sayur apa yang dah tumbuh tu, maka kami namakan ia sebagai "Sayur A".

Sayur A pun Sayur A lah, dah lupe nak buat label...

Bukan sayur kelas A, sebab memang takde kelas langsung, pakat main tanam je. Kelas ape tu, nanti kita tengok bila dah besar sikit.

Proses memindahkan anak sayur ke batas tetap bukanlah tugas mudah. Tambahan pula dibuat oleh orang yang kurang sabar "macam saya". Ia perlukan tindakan yang berhati-hati, cermat serta sabar agar akar anak-anak sayur ini tidak rosak dan mungkin akan mati kelak.

Encik gelojoh sedang berhati-hati memindahkan anak sayur

Encik kurang sabar sedang memenyek-menyekkan anak pokok yang degil tak tahu duduk diam

Encik bijak sedang berlakon sebagai petani, buat ape tu Yeob?

Maka, terbongkok-bongkoklah pakcik sepetang itu. Satu persatu benih dipindah ke batas. Mula-mula cantik je susun. Bila belakang dah rasa sakit, lutut pun dah lenguh, mandur dah marah-marah, jiwa kacau beb!

Sudahnya, yang last-last tu, tawakkal jelah. Agak saya dah buat yang termampu. Selesai kisah Sayur A. Sayur B dan Sayur D belum dipindah lagi. Hoho...

Esok baru nak buat batas baru untuk Sayur B pula. Sayur C tidak akan ditanam diluar rumah kerana ia adalah "kangkung", yang tidak sesuai dengan iklim UK. Makanya kami tanam saja di dalam bekas tanaman dan diletak di bilik study agar cepat jadi pandai (suhu bilik la).

Anak-anak kangkung akhirnya timbul ke permukaan bagi mendapatkan oksigen, setelah menyorok selama seminggu

Belacan kat dapur tu dah nak expired pasal dok tunggu kangkung yang lambat sangat nak boleh makan

(Terima kasih kepada k.Tik dan a.Din di atas kurniaan benih kangkung ini. Jauh datang tuuu).

Selain tanam sayur, kami juga ada "grow your own" punye. Tapi ini tipu. Kami beli yang dah besar, agar tak penat sangat nak pantau.

Kalau pakcik tak dapat buah sama / sebijik macam dalam gambo tuh, pakcik hantar balik kat kedai semaian tu...

Ko pun sama jugak, strawberry

Ini bunga yang ditanam orang rumah, dah keluar pun bunganya.

Sementara pakcik menyiapkan kerja-kerja pindah anak sayur, mandur mengarahkan makcik mencabut rampai-rumpai degil mana yang ada di sekitar tapak kebun. Sambil merungut juga makcik mencabutnya.

Bila selesai kerja-kerja pindah anak sayur ke batas, kena buat pulak 'kelambu', yang nampak ala-ala binaan setinggan Kampung Dalam, compang-camping sungguh. Gunting sapa lah ni...

Kampung Dalam pun ok lah, janji dilindungi

Namun, kerja-kerja di kebun terpaksa kami tangguh dulu kerana mandur telah mengarahkan kami berkemas dan masuk ke rumah kerana hari mulai sejuk.

Dah-dah, kalau rajin sangat pun bukan dapat upah...masuk, masuk! (sambil menangis)

Akan kami kemas kini lagi, insyaAllah.

p/s: buat sahabat Mohd Fadzli, semoga selamat dan dipermudahkan tugas saudara sepanjang 2 minggu di Frankfurt, Jerman dan 2 minggu di Rom, Itali.

Berita dari kampung

Saya dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Durian Kassim, Ajil, Terengganu. Waktu kecil bapa membawa kami berpindah ke Cerol, bapa menjadi peserta @ peneroka FELDA waktu itu. FELDA Cerol waktu itu baru dibuka, seperti "new frontier" yang lain, tiada apa-apa yang istimewa, padang botak macam kawasan gurun pun ada. Tandas pula ada 'besar dan panjang' di belakang rumah.

Saya sempat merasa juga bersekolah tadika di sana, sebelum bapa memutuskan keluar dari FELDA atas sebab kesihatan. Selepas itu kami kembali ke kampung.

Saya bersekolah rendah di SK Peroh. Disebabkan keputusan UPSR kurang baik, saya meneruskan persekolahan di kampung juga di SM Ajil. Waktu itu, keinsafan muncul dalam diri dan berkat doa keluarga di samping sedikit usaha, saya memperoleh keputusan agak baik dalam PMR. Selepas itu, saya angkat punggung ke negeri Darul Takzim, bersekolah di MRSM Muar.

Lama juga rasanya saya meninggalkan kampung. Bermula tahun 1997 di Muar, kemudian terus menapak di Johor sehingga tamat pengajian Master dari UTM pada 2005/06 - hampir 9 tahun di Johor, hanya ada bayang di kampung, tuan punya diri kat tempat lain.

Di kala cuti semester, saya akan pulang dan ada kalanya ikut sama membantu kerja gotong-royong di kampung. Pernah sekali saya disapa orang kampung sewaktu membersihkan kubur yang tidak mengenali saya. Saya pun tidak mengenalinya (malunye aku).

Walhal bapa saya pengerusi masjid di kampung. Tapi anak-anak macam kera sumbang, suka buat hal masing-masing apabila pulang bercuti. Duduk di rumah dan menghabiskan masa dengan beraktiviti sesama adik-beradik.

Mana tidaknya, saya ada 9 adik-beradik dan saya yang sulung. Kami bertujuh lelaki dan hanya 2 orang perempuan. Main sepak takraw? Kami boleh buat 2 team (3 lawan 3), itu belum termasuk bapa saya sendiri!

Begitu jugalah rutin yang dituruti adik-adik yang lain apabila masing-masing pulang bercuti semester. Ada balik dari IKM Pasir Tumbuh (sekarang tinggal dan bekerja di Ampang), dari UM - sekarang sedang buat degree di UMT, dari Poli dungun - sekarang pun tengah buat degree di UMT, dari UIAM pun ada, dari UMT - sekarang pun kerja di UMT juga. Hanya nampak orang kampung semasa solat di masjid, dan jika keluar menghantar ayam dan membeli barang yang dipesan ibu di kedai.

Orang-orang muda dan rakan sebaya ramai juga telah angkat kaki meninggalkan kampung. Desakan mencari kerja dan seronok tengok orang lain kerja di KL membuatkan kampung lengang. Maka tinggallah orang-orang tua, segelintir kecil belia, budak sekolah dan mat-mat hantu yang berpeleseran tak tentu hala.

Bagi yang bijak akal, tanah-tanah pusaka yang luas telah ditanam dengan kelapa sawit. Jika ada 10 ekar tanah, selepas 3 tahun dah boleh merasa hasil sawit. Dengan harga minyak sawit yang semakin stabil ketika ini, merasalah RM1000/ekar tuaian buah kasar.

Kalau tanam 10 ekar = RM10,000.00 sebulan (buah sawit dipotong 2 kali sebulan). Jikapun harga minyak sawit turun hingga pendapatan terjejas kepada RM500.00/ekar, masih lagi dapat menjana RM5,000.00/bulan.

Itu bagi orang-orang tua di kampung yang banyak tanah dan tak tahu nak buat apa, selain tanamkan ia dengan kelapa sawit, daripada dibiarkan naik hutan. Bagi yang muda sikit, kudrat masih kuat, belilah ia akan lori kecil untuk digunakan ambil upah angkut buah sawit ke kilang.

Katakan beli 1 lori, angkut sawit 4 trip sehari (2 kali trip pagi dan 2 trip petang). Upah untuk 1 trip RM50.00 (mungkin lebih sebab kerajaan baik, bagi minyak petrol naik). 4 trip dah RM200.00 sehari. Tolak kos petrol, dalam RM50.00. Busuk-busuk sebulan dapat juga RM 4,500.00.

Tapi bagi orang muda yang akal panjang sikit, dan ada tanah pusaka yang luas, mereka turut ada ladang sawit sendiri. Dah cakap tadi kalau tanam sawit 10 ekar boleh dapat di antara RM5,000.00 hingga RM10,000.00 sebulan. Campur dengan upah angkut buah sawit di ladang orang lain, dapatlah di antara RM9,500.00 hingga RM14,500.00 sebulan.

Duduk di Hulu Terengganu bukan macam di KL yang ada class, ada standard, cakap baku (orang KL lah katakan!). Duduk di kampung tak perlu handphone ada GPS sebab line tak berapa clear. Duduk di kampung tak perlu makan di luar sebab dekat Hulu, bukan tepi laut yang ada banyak gerai seafood. Duduk di kampung hanya dekat dengan masjid, sungai yang dah mengecil dan padang bola kat belakang rumah kami.

Duduk di KL kena ada class, duduk rumah tinggi, nun 44 tingkat (pangsa), tak kira kerja apa sekalipun. Balik kampung kurang-kurang pun nak kena naik Waja. Pakai iPOD dan baju Polo Ralph Lauren. Duit dalam akaun Bank Simpanan Nasional tah berapa pun kita tak tahu.

Member di kampung yang duduk rumah kayu, naik motor cabuk, naik lori bila nak ke pekan, tapi tiap bulan lebih tinggi pendapatan dia. Dia tak belanja banyak. Cukup beli ikan, ayam (sayur tanam tepi rumah), belanja sekolah. Baki dia masuk kat Tabung Haji, katanya nak cepat-cepat pegi Mekah. Manalah tahu, umur kita bukan kita yang pilih lama mana nak hidup.

Waktu amat cepat berlalu. Sedar tak sedar, saya telah bekerja dan berumah tangga. Begitu juga adik-adik saya. Nombor 2 dah kerja dengan kompeni telekomunikasi yang saya tak tahu di mana pejabatnya (KL ke Trg, ke Kelantan, ke Pahang, kerja merata). Nombor 3 baru habis belajar dari UIAM (sambung balik belajar di UPSI), nombor 4 dah jadi pegawai perikanan (Unit Hatceri Air Tawar) di UMT dua di bawah juga di UMT, yang bawah lagi di Politeknik Ipoh, bawah lagi dan si bongsu, sekolah di kampung.


Kampung saya fizikalnya tidak banyak berubah. Kampung. Yang berubah ialah ramai generasi awal @ pengasas kampung telah tiada a.k.a kembali menemui pencipta. Ada kalanya apabila berhubung dengan ibu, ada saja orang-orang lama di kampung yang meninggal dunia. Datuk sebelah ibu telah pergi, begitu juga nenek betul dan datuk tiri sebelah ayah. Jiran-jiran orang lama di sepanjang 'Jalan Besar' Durian Kassim siapa yang masih ada? Rasanya semua dah tiada.

Golongan tua 'Dalam Kampung' pun tak tinggal tak berapa orang. Maka tinggal yang mengganti ialah generasi yang sebaya bapa saya (awal 50an - 60an). Kadang-kala terkenang kisah masa kecil. Kini apa pula sumbangan kami adik-beradik kepada kampung kami? Tinggal dan bekerja di luar sampai pencen @ tua, entahlah.

Jemaah solat tarawih di musim Ramadhan saban tahun makin berkurang. Dari 5-7 saf, dah tinggal 1-2 saf. Nak harapkan hantu-hantu kampung, haram nak jejak tangga masjid. Kami yang balik 'celang-celup' ni pun tak bantu apa-apa. Sekejap ada, lama tiada...

Itu berita yang tak berapa baik.

Tapi ada juga berita yang baik. Orang muda-muda yang masih tinggal di kampung, yang buat kerja-kerja kampung, kerja kilang papan, ikut orang buat rumah, jaga ladang, duduk goyang kaki tolong ayah dan datuk jaga kebun sawit, kini nampak trend kawin jiran dekat-dekat.


Nampaknya, kekayaan orang-orang kampung ni dah tak mengalir keluarlah, pusing-pusing kut tu jugalah! Asalkan bahagia. Sekurang-kurangnya mereka masih duduk di kampung, mengerjakan tanah menghidupkan aktiviti kemasyarakatan di kampung berbanding kami yang belajar tinggi tapi dah lama tinggalkan kampung sendiri.

Saya dah lama tinggalkan kampung, tinggalkan keluarga dan adik-adik. Rindu pada ibu dan bapa, pada nenek, pada adik-adik dan pada suasana riuh-rendah, di teratak kayu tempat saya menumpang kasih dan sayang. Apabila lama tidak bersama, timbul rasa rindu dan 'kehilangan' itu (tambahan pula saya yang sulung - anak sulung dan cucu sulung, kini Mawaddah pula jadi cicit sulung). Mohon Allah SWT panjangkan umur dan diberikan ruang, peluang dan kekuatan untuk suatu hari nanti pulang berbakti buat keluarga dan kampung halaman sendiri.

Friday, 15 May 2009

Politik uwang: PAS bakal dijangkiti?

Isu 'politik wang' dalam pemilihan jawatan dalam PAS mulai hangat diperkatakan oleh akhbar arus perdana. Ada yang melihatnya sebagai serius, dan ada yang memandangkan tidak lebih hanya gimik media kerajaan bagi melariskan jualan akhbar mereka sahaja - bacaan lanjut disini.

sumber foto

Namun, setelah usaha 'lobi-melobi' oleh bakal calon dengan cara memberi hadiah dan sedekah ketika menghadiri majlis bersama rakyat ini dinyatakan sendiri oleh Ketua Dewan Ulamak PAS, Ustaz Dato' Mohamed Daud Iraqi baru-baru ini, nyatalah ia sesuatu yang perlu disiasat, dipantau dan diambil tindakan segera oleh Jawatankuasa Pemilihan PAS (JPP).

Nafi

Terbaru, pengerusi JPP iaitu Dato' Mustafa Ali telah menafikan wujudnya gejala politik wang dalam pemilihan kepimpinan PAS Jun ini (baca lanjut disini).

sumber foto

(Ironinya, PAS sendiri tidak menggunakan istilah RASUAH dalam membincangkan hal ini, hanya POLITIK WANG. Sama seperti kes UMNO ketika persidangan agungnya baru-baru ini)

Menurut beliau, apa yang dilaporkan media kerajaan BN hanyalah propaganda serta suatu bentuk provokasi terhadap parti, sedangkan JPP sendiri sehingga ke hari ini tidak menerima apa-apa laporan berkaitan politik wang di kalangan pemimpin parti.

Justeru, tanpa sebarang laporan dan kertas bertulis mengenai isu ini, bagaimana mungkin siasatan boleh dibuka dan pihak yang terlibat dibawa ke pengadilan. Makanya, apa yang dilaporkan media kerajaan telah dianggap sebagai berita tanpa asas yang kukuh.

Apa yang boleh PAS tawarkan?

Para pendokong PAS sesetengahnya masih tidak dapat mempercayai wujudnya amalan politik wang di dalam PAS. Ini kerana mata dan telinga mereka hanya mempercayai bahawa politik wang ini hanya wujud dalam parti yang sudah 52 tahun memerintah negara.

Apabila ditanya; wujudkah politik wang dalam PAS? Sering mereka jawab; apa harta, projek dan kesenangan yang dapat PAS tawarkan?

Jelas bagi mereka, PAS tidak punya apa-apa kesenangan duniawi untuk ditawarkan kepada pengamal rasuah. PAS tidak menguasai projek-projek kementerian yang saban tahun kita dengar dibentang belanjawan di Parlimen yang mencecah berbilion-bilion ringgit.

sumber foto

PAS hanya mentadbir 2 negeri (Kelantan dan Kedah), dan mengikut cerita di kalangan mereka, ramai kontraktor dan pemaju mengeluh akhir-akhir ini kerana MB Kedah tidak minta mereka tunggu selepas tamat mesyuarat, tidak membincangkan berapa komisyen yang perlu diberi. Habis mesyuarat, terima tender, terus beredar keluar.

Begitu juga halnya di Kelantan. Telah beberapa kali wujud cubaan mengheret MB agar disiasat SPRM, namun ternyata tiada apa-apa kes dapat disabitkan dengan rasuah terhadap MB.

Untuk mentadbir negeri pun PAS meminjam dengan kerajaan Pusat, apakah pula halnya untuk merasuah yang bukan sedikit belanjanya.

Namun, itu jika hujjah yang digunapakai dalam konteks yang lebih luas. Apa yang menjadi fokus semasa ini ialah tindakan beberapa pemimpin a.k.a bakal calon, yang nampak berminat menawarkan diri telah menganjurkan majlis kenduri (makan-makan), memberikan hadiah serta buah tangan kepada pemimpin di peringkat akar umbi.

Murah hati

Sikap bermurah hati secara agak 'tiba-tiba' ini pastinya menimbulkan pertanyaan di benak orang ramai. Ternyata apabila amalan bermurah hati itu diamalkan secara bermusim dan semakin kerap apabila makin dekat dengan pemilihan jawatan parti, makin bertambahlah syak wasangka orang terhadap pemimpin tersebut.

Terdapat bakal calon dikatakan menganjurkan majlis makan-makan dan memberikan hadiah berbentuk baju kepada perwakilan untuk melobi bagi mendapatkan pencalonan pada pemilihan parti itu bulan hadapan (sumber).

sekadar foto hiasan

MB Kedah pula berpendapat orang mungkin terkeliru dengan amalan suka bersedekah dengan politik wang. Katanya, telah menjadi suatu kelaziman bagi seseorang untuk memberi sedekah. Waktu melawat orang sakit atau meninggal dunia pun mereka berikan sedekah. Mungkin amalan seperti inilah yang disalahtafsir sebagai mengamalkan politik wang.

sumber foto

Justeru, beliau sendiri kini tidak ingin nampak terlalu bersemangat untuk bersedekah tambah lagi apabila makin hampir dengan tarikh pemilihan parti, kerana takut dikatakan ingin melobi dan membeli undi perwakilan. "Kalau sesiapa ingin minta derma daripada saya, tunggu selepas Jun ini" - Sumber.

Tak kenal maka tak cinta

Tak benar maka orang tak kata! Itupun jika laporan yang dijaja akhbar-akhbar kerajaan mempunyai asas dan bukti kukuh bagi mengaitkan pimpinan PAS dengan amalan politik wang.

Dalam kesibukan kita bercerita tentang kebimbangan penularan wabak selesema babi (hingga hari ini, sudah 2 kes dilaporkan di Malaysia), nampaknya jika petanda awal ini tidak segera dikesan dalam PAS, maka parti ini bakal terkena jangkitan wabak terbabit. Mencegah lebih baik dari merawat bukan? - bacan lanjut disini.

Ironinya juga, media milik kerajaan seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian hanya menggunakan istilah RASUAH bagi menggambarkan situasi dalam PAS, sedangkan sepanjang tempoh sehingga ke Persidangan Agung UMNO, tidak timbul istilah RASUAH hanya POLITIK WANG sahaja.

Dari perbuatan ini sahaja, rakyat telah dapat membaca akan niat sebenar laporan kedua-dua akhbar ini dan motif yang ingin dicapai mereka. Justeru, jika ingin membaca kandungan laporan mereka, pembaca hendaklah juga mencari 'pemberat yang sama' dari sumber alternatif, agar "telinga tidak jadi satu, lidah tidak jadi dua" - istilah yang diguna oleh A Samad Said, agar kita jauhi para pemimpin yang bertelinga satu, dan berlidah dua.

Apapun, tunggu, lihat dan buatlah penilaian berkenaan isu ini. Rujuklah kepada pelbagai sumber agar membantu memberikan lebih pilihan dan pemahaman kepada kita. Amatlah sayang jika ada lagi parti yang disertai orang Islam dan orang Melayu terpalit dengan isu-isu moral sebegini.

Wassalam.

Masa untuk terjemahkan slogan

Artikel ini adalah pandangan peribadi saya yang dinukilkan hasil pembacaan terhadap sumber-sumber daripada akhbar tanah air (online). Bukan penulisan yang padat dengan fakta, tetapi lebih kepada rumusan daripada apa yang dibaca dan difahami sendiri.

3 Slogan

Menjadi ketua negara pastinya bukan suatu tugas dan amanah yang ringan untuk dipikul. Terlalu berat dan sarat dengan pelbagai tuntutan, kehendak dan kemampuan yang perlu diselaraskan bagi menguruskan masyarakat berbilang agama, etnik dan taraf hidup di Malaysia.

Segala bebanan ini telah diamanahkan untuk dipikul sebaik-baiknya kepada D.S. Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri (PM) Malaysia ke-6 baru-baru ini.

Sebaik mendaki tangga tertinggi kuasa politik negara, PM dengan pantas menaikkan 'banner' yang tertera konsep "1Malaysia".

Setelah menyusun barisan kabinet persekutuan dan menteri yang terlibat, muncul pendekatan penilaian prestasi kementerian/ menteri yang dipanggil KPI (Key Performance Indicators - petunjuk pencapaian yang utama). KPI ini kemudiannya dilanjutkan dengan menaikkan 'banner' kedua berbunyi "Rakyat didahulukan, prestasi diutamakan".

Bagi memantapkan lagi kibaran '2 banner' sebelum ini, muncul 'banner' lebih besar bertulis "The People Prime Minister" - PM berjiwa rakyat.

Saya tidak kata salah untuk sentiasa muncul dengan pelbagai bentuk dan bunyi slogan. Semua slogan yang direka dan dilaungkan ini amat positif, sedap didengar dan 'segar'. Segar, sesuai dengan seorang yang baru naik.

Nampaknya slogan dan cogan kata sebelum ini sudah mula pudar dari ingatan kita semua. Antaranya "mari bekerja dengan saya, bukan bekerja untuk saya"; "cemerlang, gemilang dan terbilang"; serta paling kontroversi "Islam Hadhari".

Bab Islam Hadhari, teringat kata-kata guru saya - beliau lebih selesa dengan istilah 'had-hari'. Islam yang ini katanya, 'ada Had dan ada Hari' nya. Nampaknya beliau betul (kebetulannya). Kini agenda untuk meneruskan Islam Hadhari telah tidak kedengaran lagi, mungkin telah tamat Had dan terlebih Harinya. Sunyi sesunyinya...

Namun, laungan slogan sahaja tidak cukup untuk "brainwash", melunakkan hati dan menghapuskan kegelisahan hamba rakyat yang masih mengharapkan perubahan kualiti kehidupan ke arah yang lebih baik serta pembelaan sewajarnya oleh pemerintah.

Cabaran kegawatan ekonomi, hilang pekerjaan, kenaikan harga minyak dan kos sara hidup, kenaikan kadar jenayah, krisis kepercayaan kepada kemampuan pemerintah dan sebagainya, begitu menekan salur denyutan nadi rakyat ketika ini.


Harapan rakyat

Apa yang diharapkan adalah biarlah tiap slogan, motto, cogan kata yang kerap diulang-ulang cakap ketika ini, dapat diterjemah kepada tindakan yang dapat memberi manfaat secara langsung buat rakyat terbanyak.

Rakyat mahu melihat bagaimana:

"1malaysia" dapat menyatukan rakyat dari segenap lapisan masyarakat di dalam menyelesaikan pertikaian politik dan kuasa serta bagaimana ianya dapat diterjemahkan, seterusnya menghapuskan amalan "diskriminasi" di antara negeri-negeri diperintah kerajaan dan negeri diperintah pembangkang. Ini kerana tidak kira siapa yang memerintah negeri, kita tetap 1Malaysia, bukan 2Malaysia - 1BN punye: 1PR punye!

Konsep ini juga harus meleraikan salah faham dan kekeliruan terhadap konsep seakan sama yang diperjuangkan oleh DAP (Malaysian Malaysia) dan Gerakan (Malaysia Malaysia).

"Rakyat didahulukan, prestasi diutamakan" dapat benar-benar memastikan pemimpin yang tidak mencapai petunjuk prestasi yang dikehendaki, dapat disingkirkan dan diganti dengan pemimpin lain yang berdaya-saing dan bersih menerajui kementerian yang mampu mengurus baik kewangan hasil wang cukai rakyat, agar keuntungan kerja kementerian dapat dinikmati rakyat.

Ini kerana menteri boleh datang dan pergi, tetapi kementerian dan sistemnya masih kekal. Menukar menteri bukan bererti kementerian lumpuh, kerana sistemnya masih sama.

"The People Prime Minister" dapat ditonjolkan melalui tindakan yang biarpun kecil, tetapi terkesan di hati rakyat. Rakyat kini mula menyedari keputusan kerajaan meneruskan projek-projek mega hanya menjadikan mereka (rakyat) sebagai 'penonton' dari jauh,, yang beroleh manfaat ialah golongan peniaga dan kontraktor. Malah lebih menyedihkan, rakyat pula perlu membayar pula untuk 'projek kepada rakyat'.

Sudahlah duit rakyat diguna untuk perbelanjaan dan kos 'projek kepada rakyat'. Setelah siap, rakyat kena bayar pula untuk masuk dan melawat - rakyat 2 kali rugi.


Terdekat ini

Peluang terbaik kepada PM kita untuk benar-benar menguji keberkesanan slogan-slogan beliau kini muncul. Krisis di negeri Perak boleh menjadi 'rahmat' buat PM dan kerajaan membuktikan kepada rakyat dan pemimpin pembangkang bahawa kerajaan mampu menawarkan jalan keluar terhadap krisis yang berlaku. Bacaan lanjut - klik sini.

Terjemahkan konsep 1Malaysia, rakyat didahulukan dan PM berjiwa rakyat bagi menambat hati dan sokongan rakyat.

Namun, sekiranya tiada apa-apa langkah positif dan nyata diambil, makanya rakyat akan sekali merasa kemunculan slogan, motto dan cogan kata tidak lebih hanyalah sebagai pemanis kata, menyedap telinga dan percubaan "brainwash" yang tidak membawa apa-apa kesan dan pengertian.

Dasar manusia biadap

Inilah struktur yang masih dalam pembinaan mid-town Manhattan, New York. Diberi jolokan APPLE MECCA, kelak beroperasi sebagai sebuah BAR yang membekalkan arak dan wain. Binaan ini dilihat amat menyerupai KAABA di Mekah.

Komuniti Islam New York telah menyatakan bantahan keras terhadap pembinaan dan pembukaan KAABA BAR ini kepada pihak berkuasa New York.

Dan menjadi kewajiban ke atas kita setiap orang Islam untuk sama-sama mengutuk dan menentang tindakan biadap yang secara langsung, menghina tempat ibadah paling suci ummat Islam.

Masih belum cukupkah bala-bencana serta ujian dari Allah ke atas ummat manusia sehingga sanggup golongan biadap di New York ini 'meminta' agar ditambah bala dan celaka lagi?




Sumber foto-foto: email saudara Fadzli (rakan MRSM)

Thursday, 14 May 2009

Lepak dengan Ayah & Ibu - V

Pertama kali bertudung

Ibu: Cute tak Mawaddah? Cute tak?
Mawaddah: Aaaa...ape yang korang dah buat kat aku nih!

UNTUK FOTO-FOTO SETERUSNYA, SILA KLIK: SINI

Layan klasik

Aku menulis bukan kerna nama
Kerna sifat kasih pada sesama insan
Dan menyatakan kasih sayangku
Kita sama, semuanya sama
Apa yang ada hanyalah kehidupan

Nasheed - Raihan - Iktiraf

Memang menyentuh hati. Korang kena dengar lagu ini biarpun hanya sekali