Monday, 13 June 2011

Ibrahim 'perkasa' lagi...


Bersembang memang sedap. Dengar juga begitu bersemangat. Saya cuma nak tunggu sama ada beliau masih bersengat pada PRU yang ke-13 akan datang ini.

Teringat saya akan kata-kata seorang cerdik-pandai, katanya "mulianya kita bukan terletak pada bangsa, tetapi pada agama kita". 

Memandangkan Ibrahim, Perkasa dan Kebas (Konsensus Bebas) telah bersepakat untuk hadir menyertai perhimpunan Bersih bulan hadapan, eloklah rasanya pengajur dan peserta perhimpunan tersebut mengalu-alukan "penyertaan" mereka ini.

Untuk menuju negara maju, semua pihak perlu menerima hakikat bahawasanya sampai bila-bila pun akan wujud perbezaan pendapat/ideologi.

Hari ini mungkin namanya Perkasa, esok-lusa entah apalah pula.

Justeru, daripada berkonfrantasi, adalah baik "diraikan" mereka sebagai tanda matangnya semangat demokrasi.

Sunday, 12 June 2011

Komen pendek: Puad cabar PAS gugur perkataan Islam pada nama parti

Pertamanya, berita berkaitan boleh anda baca di sini : Puad cabar PAS gugur perkataan Islam pada nama parti

Komen pendek:

1) Maaf katalah, saya sifatkan pernyataan ini sebagai satu lagi tindakan kurang cerdik, dilontarkan oleh seorang pemimpin yang berpendidikan tinggi dalam kerajaan (Timbalan Menteri Pelajaran jika tidak salah saya).

2) Gagasan negara berkebajikan itu tidaklah boleh dijadikan asas untuk memaksa supaya Pas menggugurkan perkataan "Islam" pada organisasi parti tersebut. Ianya samalah juga dengan gagasan 1Malaysia, yang dicetus dan dipromosikan oleh Presiden Umno, tidaklah sampai menggugurkan nama Melayu dan diganti Malaysia pada parti Umno itu sendiri.

3) Sebagai generasi dan pengundi muda, saya berpendapat perubahan yang mengambil tempat di dalam Pas, sekalipun belum terbukti keberkesanannya, berpotensi untuk menawarkan aroma politik baru yang ditunggu-tunggu ramai.

4) Iyalah, setelah sekian lama politik negara kita diselubungi dengan permainan dubur, video lucah dan bermacam lagi yang seangkatan dengannya, yang tidak banyak membantu menyelesaikan masalah sebenar iaitu permasalahan rakyat.

5) Sebagai parti yang cukup matang, cukup dewasa, Umno, pada hemat saya wajar mengalu-alukan perubahan atau transformasi yang dibuat oleh Pas.

6) Mana tidaknya, daripada sebuah parti yang berzaman lagi dilabel sebagai konservatif, ortodok, jumud, fanatik, akhirnya terbukti boleh menghadirkan angin perubahan di dalam organisasi dan kepimpinannya.

7) Dahulunya Pas dilabel konservatif, serta dikritik kerana ditunjangi golongan Ulama', tetapi setelah ia mulai terbuka dengan menggabungkan pemimpin dari golongan Ulama', profesional dan aktivis, Pas masih berterusan dikritik oleh Umno.

8) Penentangan (atau protes) yang ditunjukkan oleh para pemimpin Umno terhadap isu negara kebajikan ini jika tidak dinasihatkan supaya dihentikan pada satu tahap, akan melondehkan sikap sebenar sebahagian mereka di mata rakyat bahawasanya mereka (pemimpin Umno) adalah hipokrit dan enggan menerima kenyataan.

9) Umno perlu dibantu dan tidak boleh dibiar terus berada di dalam penafian. Menyalahkan pihak lain bagi menutup kelemahan sendiri tidak memanfaatkan Umno di mata rakyat.

10) Waktu akan terus berlalu meninggalkan kita sedang aspirasi rakyat, golongan muda dan intelek juga menuntut perubahan.

11) Aroma politik yang baru kini nampaknya dibawa Pas melalui tawaran gagasan Negara Berkebajikan, bersama Buku Jingga sebagai sebahagian pakej utamanya.

12) Bagi rakyat pula, kenaikan kos hidup termasuklah harga gula, gas, minyak, tol, etc. adalah realiti. Rasuah adalah realiti. Pengurusan dan perbelanjaan wang pembayar cukai adalah realiti. Perjanjian tenaga dengan IPP yang dipersoal ramai juga adalah realiti.

13) Umno, jika mahu ke hadapan, tidak boleh menang dengan hanya mengkritik langkah-langkah proaktif yang sedang dan akan diambil Pas khasnya dan PR amnya.

14) Umno mesti tampil, jika tidak menerusi tawaran baru sebagaimana Pas, boleh membuktikan (di dalam baki masa yang ada sebelum PRU-13 ini) bahawasanya parti tunjang Orang Melayu ini benar-benar mampu mentransformasikan agenda berkebajikan "yang sebenar" kepada Orang Melayu khasnya, dan rakyat Malaysia keseluruhannya. 

15) "Tiket mudah" iaitu mainan isu perkauman dan agama hendaklah ditinggalkan kerana dikhuatiri sebarang konflik agama dan kaum dengan mudah boleh menjadi bisa/racun, yang akhirnya tidak terubat dek Umno sendiri kelak.

Sekian.

------------

Nota: penulisan ini saya cetuskan hasil rumusan pembacaan buku KuLi "Rahsia yang terpendam" serta daripada komen Dr MAZA di the Malaysia Insider berkaitan isu yang sama.

Kelab taat....

Kecoh juga 4-5 hari kebelakangan ini dengan isu penubuhan Kelab Taat Suami. Saya tidak berkesempatan untuk mengambil tahu isu ini dengan lebih lanjut tetapi sempat menjengah tajuk ini "Isteri tak perlu kelab jaga suami".

Ada logiknya juga, iaitu sumber laporan ini terhasil daripada temuramah wartawan dengan suami yang telah berpoligami "pada kuota maksimum = 4" iaitu Saudara Salih Yaacob.

Ada boleh baca sendirilah apa komen Salih berkaitan hal ini.

Masyarakat akan berbeza pendapat berkenaan perkara ini. Ada yang kata ianya OK kerana tujuannya baik, dan ada yang sebaliknya. 

Hal menjaga rumahtangga adalah tanggungjawab kedua suami isteri. Mungkin "Kelab Keluarga Bahagia" lebih cocok andai kedua suami isteri berhajat untuk menambahbaik jalinan antara keduanya.

Pada pandangan saya, selain isu isteri perlu taat suami, perkara yang perlu diketengahkan juga adalah isu "anak-anak mentaati ibubapa".

Ini kerana telah bermacam bentuk peel / permasalahan sosial telah melanda masyarakat Islam di Malaysia, dengan bermacam spesis "penyakit sosial" yang pelik-pelik telah kita dengar.

Nak bagi contoh pun geli, nak termuntah memikirkan ada di kalangan anak muda sekarang yang hidupnya nampak "gembira" tanpa dorongan agama.

Kalau hidup tidak hirau agama (tidak buat apa Allah suruh buat, dan tidak jauhkan apa Allah suruh jauhkan), apatah lagi nak suruh mereka-mereka ini supaya mentaati kedua ibubapa.

Moga pihak-pihak yang berhajat untuk meneruskan usaha mempromosi kelab taat suami, boleh memikirkan kaedah yang sama, bagaimana untuk si anak mentaati kedua orang tuanya.
Sekian.

Saturday, 11 June 2011

Juanda: PAS perlu bentuk JK jelaskan agenda "Negara Kebajikan"


Mufti desak PAS tubuh JK negara kebajikan
Jun 11, 11 3:55pm
dr juanda jaya perlis mufti candidate 081106
Mufti Perlis Dr Juanda Jaya mendesak PAS menubuhkan jawatankuasa pemandu bagi merealisasikan agenda negara berkebajikan yang diketengahkan dalam muktamar parti Islam itu minggu lalu.

Katanya, pembentukan badan itu penting itu membentuk halatujunya supaya selari kepada Islam, sekali gus jelas di mata rakyat.

"(Perkara) ini spatutnya jadi aulawiyat (keutamaan) sekarang kerana momentum kesedaran rakyat sedang amat kuat," katanya.

Beliau mencadangkan jawantuasa "inklusif" itu dianggotai kumpulan pemikir "yang aktif dan realis"."PAS perlu buktikan yang mereka mampu buat lebih daripada kerajaan yang ada. 

Jangan ia disejukkan oleh asakan balik Umno bahawa PAS tak praktikal.

"Ketepikan sekejap program kurang utama dan retorik lama. Blueprint (rangka tindakan) itu nanti penting dan akan jadi satu model standrd bagi penceramah PAS jelaskan dasar parti," katanya.

Dr Juanda juga berharap perkara itu boleh mengelakkan tafsiran pelbagai oleh penceramahnya yang mengelirukan seperti yang berlaku dalam isu negara Islam sebelum ini.

Dalam kenyataan hari ini, Dr Juanda juga gembira apabila pihak kerajaan dan pembangkang kita berlumba-lumba cuba memberikan agenda masing-masing (yang didakwa) terbaik untuk kebajikan rakyat.

"Kerajaan sekarang juga akan cuba usaha (untuk) buktikan merekalah juara kebajikan, mereka pasti akan buat perkara lebih banyak lepas ini untuk bersaing," katanya.

Sumber: SINI

-------------------------

Nota kaki:

- komen yang dibuat oleh Dr Juanda ini secara tidak langsung menunjukkan wujudnya minat mendalam pelbagai pihak untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai gagasan negara berkebajikan, sebagaimana dicetuskan oleh Tuan Guru Presiden PAS baru-baru ini.

- harapnya tidaklah akan ada pihak-pihak yang segera tampil dengan ulasan yang bersifat negatif, kerana ianya tidak membantu merungkaikan apa-apa penyelesaian.


- sekalipun TGHH ada berkata bahawa beliau akan menerbitkan satu buku berkaitan gagasan Negara Berkebajikan ini tidak lama lagi, saranan oleh Juanda ini saya kira tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja.


- penghasilan buku boleh dianggap sebagai terjemahan pendapat penulis (sebagaimana buku Mujahid Rawa - Menuju Pas Baru), dan ianya boleh diterima atau ditolak, diperdebat, atau disunting melalui siri-siri perbincangan secara dalaman oleh PAS kelak.


- adalah menjadi harapan banyak pihak, terutama generasi yang merindui aroma politik yang matang dan segar, agar dapat dikembalikan gagasan-gagasan yang sebegini.


Sekian

Friday, 10 June 2011

KJ kata; "kalau tak betul, saya kata tak betul".


Komen: Betol ke Encik KJ?

Cetak Rompak: "Lanun" juga yang cerdik

Apa kes? Sila teliti laporan di bawah (sumber - klik).

Kegiatan cetak rompak kaut keuntungan daripada Astro First

2011/06/10

KUCHING: Langkah stesen televisyen berbayar Astro memperkenalkan Astro First bagi pelanggannya menonton filem tempatan terkini tanpa perlu ke pawagam dilihat dimanfaatkan sepenuhnya industri cetak rompak. 

Tinjauan di sini mendapati VCD dan DVD filem tempatan terbaru seperti "Kongsi" dan "Seru" yang masih ditayangkan di pawagam dan Astro First sudah memenuhi pasaran.

Dijual pada harga serendah RM5 hingga RM6 bergantung kepada pakej dan juga keupayaan pembeli berunding, "lanun" cetak rompak ini tanpa silu mengaut keuntungan berkali ganda secara mudah.

"Ini nilai untuk wang anda lah kawan, kerana kualiti audio dan visualnya bagus dan masih ditayangkan di pawagam," kata seorang penjual VCD dan DVD cetak rompak ketika ditanya sama ada filem itu dirakam menerusi Astro First. 

Diuar-uar sebagai "yang pertama seumpamanya", Astro First dilancarkan pada 13 Januari lalu dan mengenakan caj RM15 bagi sebuah filem yang disiarkan menerusi saluran 480 dalam tempoh dua minggu filem itu ditayangkan di pawagam. 

Astro First dikatakan dapat membantu pelanggannya berjimat kerana sekeping tiket untuk menonton wayang di pawagam boleh mencecah belasan ringgit. 

Sementara itu, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sarawak, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, ketika dihubungi berkata penjualan DVD dan VCD sedemikian melanggar Akta Hakcipta 1987. 

Bagaimanapun, katanya, usaha mengesan dalang kegiatan itu memerlukan kerjasama semua pihak. 

"Terserah kepada penerbit filem, pengedar dan Astro untuk mengambil langkah seterusnya dan adalah lebih baik jika mereka membuat laporan rasmi bagi memudahkan kami mengambil tindakan," katanya. - BERNAMA

------------------

Nota kaki:

- Kata yang jual: Bukan kami (lanun) tidak tahu yang perkara ini menyalahi undang-undang, kami cuma cari makan bang!

- Kata yang beli: Bukan kami (pembeli) tidak tahu yang membeli DVD cetak rompak ni salah di sisi undang-undang, cuma ini yang termampu (juga boleh tengok banyak kali...)

Thursday, 9 June 2011

Posting - Jangan buat tajuk yang memakan diri

Pertama sekali, posting ini dibuat adalah sebagai peringatan buat diri sendiri.

Bukan mengumpat

Kadang-kala terasa geli hati juga membaca posting-posting yang dibuat di blog orang lain, terutamanya oleh penulis blog yang suka menggunakan tajuk-tajuk yang "macam gempak".

Saya selalunya akan bersangka baik. Yelah, mungkin hamba Allah ini baru nak memulakan kerjaya sebagai bloggers, atau ingin menaikkan rating blog-nya, atau memang ianya tidak disengajakan/disengajakan, bertujuan, hanya si penulis sahaja yang tahu.

Terdapat beberapa contoh artikel yang memilih tajuk yang "macam gempak" ini boleh anda dapati dengan melayari berbagai webblog.

Seperti yang dinyatakan di awal posting, bukanlah nawaitu saya untuk mengumpat atau menghakimi sesiapa, cuma sekadar mengingatkan diri dan rakan bloggers yang kita ini kadang-kala terlupa ini akan pepatah: "kerana pulut santan binasa".

Penggunaan "binasa" pada posting ini bukanlah menggambarkan suatu bentuk sumpahan, tetapi lebih menjurus kepada akibat daripada keterlupaan diri berkarya sehingga tanpa sedar boleh membawa kepada kerosakan imej sendiri. 

Kena cermat

Kadang-kala (bukan selalu), dapat kita baca, artikel-artikel yang mana isinya (penulisan) tidaklah "segempak" tajuk yang digunapakai.

Dengan erti kata yang lain, kerana kurang cermat memilih tajuk, sesuatu posting itu akhirnya terbukti telah memakan diri si penulis (orang Inggeris kata "backfire").

Pemilihan tajuk yang saya sifatkan boleh "mengelirukan" akhirnya telah "berjaya" mengelirukan para pembaca, sehingga maksud atau mesej sebenar si penulis gagal diterima oleh pembaca.

Pembaca-pembaca yang terkeliru ini kemudiannya akan mengemukakan komen masing-masing (kalau sesuatu posting itu membenarkan komen dibuat). 

Respon lazimnya bermula sebagai suatu platform perbincangan, namun dek kekeliruan, agak gemar juga bertukar menjadi medan serang-menyerang.

Dek kerana akhirnya si penulis itu sendiri teruk dihentam, terpaksalah dia menerbitkan artikel susulan (part 2, part 3, bla-bla-bla) bagi menjawab "kekeliruan" yang dia sendiri munculkan.

Memang geli hati.

Itulah serba sedikit, dek kerana keterlupaan (barangkali), kita tidak cermat di dalam menulis dan menerbitkan artikel.

Kalau di blog sendiri, tidaklah mengapa kerana kita sendiri yang jadi "admin", makanya apabila ada sesuatu yang kita rasa akan buat kita malu sebalik bangun dari tidur keesokan harinya, maka dengan mudah sahaja boleh kita "edit" posting yang telah diterbitkan sebelumnya.

Tetapi setelah ia diterbit atau dimuat-turun atau di "copy n paste" sebagai imej di blog orang lain, tiada "undo" bagi kita, melainkan menyerahkan nasib artikel itu di tangan para pembaca yang lainnya.

Sebagai penutup, seeloknya, permudahkanlah dan pilihlah tajuk posting yang tepat kepada intipati apa yang ingin disampaikan (orang Inggeris kata, yang straight to the point).

Janganlah sampai kita dah terhantuk baru nak tengadah dek kerana mengabaikan peringatan kerana pulut santan binasa, iaitu kerana salah pilih tajuk, akhirnya memakan diri pula.

Sekian.

Wednesday, 8 June 2011

Sabu'tage'...

Sumber: pada foto

Tuesday, 7 June 2011

Kembali dari utara

Alhamdulillah, setelah beberapa hari berkelana ke Midlands dan utara (Newcastle dan Scotland), kami akhirnya selamat kembali ke rumah petang semalam.



Panorama sepanjang jalan dari Newcastle-Edinburgh

Perjalanan kali ini saya sifatkan amat berbaloi kerana bukan sahaja berkesempatan melawat ke tempat-tempat menarik, tetapi bertemu rakan-rakan yang begitu baik hati.

Untuk beberapa posting yang akan datang, saya akan kongsikan pengalaman di sepanjang perjalanan bersama para pembaca.


Man City & Man Utd - dua jiran yang bermusuh

Di sini saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada rakan-rakan yang juga tuan rumah dan penunjuk arah sepanjang kami di sana:

1) Hamizah & Im - Manchester
2) Wan Nurul & Izhar - Edinburgh
3) Saiful Azri - Newcastle

Di pusat bandar Edinburgh

Bersama Nurul di hadapan Edinburgh Castle

Bersama Mizah di Trafford Centre, Manchester


Pak Saiful di hadapan Edinburgh Castle
 Set Johnson Bros sewaktu singgah di Stoke-on-Trent

Memborong Corelle di Glasgow (TQ Nurul)

Terima kasih kerana meluangkan banyak masa membawa kami melawat ke tempat-tempat menarik (terutama gedung membeli-belah yang membuatkan kami rambang mata dan poket) dan menjamu kami makanan yang sedap-sedap.

Wassalam.

Wednesday, 1 June 2011

Memahami apa itu "Bid'ah"




Moga anda yang menonton beroleh serba-sedikit manfaat.

Makin usia menambah ni, makin berminat pula nak mendengar hal-hal berkaitan agama di YouTube (dulu guna YouTube untuk tengok kartun sahaja). Moga Allah bagi panjang umur (dengan keberkatan) moga suatu hari kelak berpeluang untuk belajar lagi, mendalami lagi, ilmu-ilmu agama ini dengan cara berguru pula.

Wassalam