Thursday, 21 April 2011

Menuruti Sunnah

Kredit kepada Ust. Khairi

Perkataan Para Imam

1) Dalam setiap permasalahan, apabila seseorang ahli hadis itu menjumpai sebuah riwayat yang sahih daripada Nabi SAW dan riwayat itu pula bertentangan dengan ajaran aku, maka aku menarik kembali ajaran aku yang asal tadi sama ada pada ketika aku masih hidup atau apabila aku sudah meninggal dunia nanti.

(Kata-kata oleh as-Syafi'e Rahimahullah. Riwayat Ibn al-Qayyim di dalam I'lam al Muwaqqi'in, jilid 2, ms. 363)

2) Apabila kamu dapati di dalam buku-ku sesuatu yang bertentangan dengan hadis Rasulullah SAW maka berpeganglah kepada hadis tersebut dan tinggalkanlah apa yang telah aku katakan itu (atau tuliskan).

(Kata-kata oleh as-Syafi'e Rahimahullah. Riwayat al-Khatib al-Baghdadi di dalam al-Ihtijaj bi al-Syafi'e, jilid 8, ms. 2 dan al-Nawawi di dalam al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, jilid 1, ms. 63)

3) Saya mengambil (hukum agama) dari kitab Allah (al-Qur'an); Apa yang telah saya tidak temui dalamnya, maka saya ambil dari Sunnah Nabi SAW. Jika saya tidak temui dalam kitab Allah atau Sunnah Rasulullah, nescaya saya ambil pula pendapat sahabat-sahabatnya.

(Abu Hanifah Rahimahullah, Riwayat al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, jilid 13, ms. 368)

4)  Apabila aku mengeluarkan sesuatu pendapat yang bertentangan dengan al-Qur'an dan al-Sunnah, maka tinggalkanlah pendapat aku itu.

(Kata-kata oleh Abu Hanifah Raimahullah, Riwayat Salih al-Fulani di dalam Iqaz al-Himam, ms. 50)

5) Aku hanya manusia biasa yang mana pendapat aku mungkin benar dan mungkin salah. Maka telitilah pendapat yang aku kemukakan. Semua pendapat yang selaras dengan al-Qur'an dan al Sunnah maka ambillah ia. Manakala yang tidak selaras dengan al-Qur'an dan al-Sunnah, tinggalkanlah.

(Kata-kata oleh Malik bin Annas Rahimahullah, Riwayat Ibn 'Abd al-Barr di dalam Jami' Bayan al-Ilm, jilid 2, ms. 32)

6) Jauhilah pendapat orang-orang yang (mengeluarkan pendapat) berdasarkan akal fikiran kecuali jika sudah disepakati oleh para ulama' (Ijma'). Ikutilah al-Qur'an yang telah diturunkan kepadamu oleh Tuhan kamu dan ikutilah Hadis yang telah diturunkan kepadamu oleh Nabi kamu.

(Malik bin Annas Rahimahullah, Riwayat al-Sya'rani - al-Mizan al-Kubra, jilid 1, ms. 188)

7) Setiap orang boleh diambil dan ditinggalkan perkataannya kecuali Rasulullah SAW.

(Ibnu Taimiyyah Rahimahullah, Rof' al-Malam 'an A'immat al-A'lam)

Penutup

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)" - (Surah al-Ahzaab 33:21).

"Barangsiapa yang beramal dengan amalan selain dari cara kita (Rasulullah bersama sahabat), maka ianya tertolak." (Hadis Riwayat Muslim, no: 1718).

Sesungguhnya Allah menjanjikan kemenangan kepada mereka yang beramal dengan amalan yang soleh (amalan yang benar), yang disertakan dengan akidah yang sahih.

"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) bahawa Dia (Allah) akan menjadikan mereka berkuasa memegang pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh), mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka (fasik). - Surah an-Nuur: 55).

Wallahua'lam. 

Harga tiket perlawanan akhir 'Champion League'

Presiden UEFA, Michel Platini, telah memohon maaf di atas kenaikan harga tiket perlawanan akhir Liga Juara-Juara yang bakal berlangsung di Studium Wembley bulan hadapan, dan berkata pihaknya akan mempertimbangkan pakej lebih murah kepada kategori famili yang ingin mendapatkan tiket-tiket berkenaan.

Buat waktu ini, harga tiket bagi perlawanan akhir paling murah, yang akan dijual bermula 28 Mei ini adalah GBP150, ditambah pula GBP26 untuk kos pendaftaran (total, GBP176 / RM880). 

Manakala, harga tiket paling murah untuk pakej 1 dewasa + 1 kanak-kanak pula adalah GBP338 (RM1,690).

Platini, semasa ditemui di London berkata: "Ianya suatu kesilapan. Ianya tidak bagus. Namun, tidak mudah untuk memilih kadar harga terbaik bagi tiket-tiket terbabit. Kami telah menerima kira-kira 200,000 permintaan bagi 10,000 tiket dan sekarang di pasaran gelap tiket-tiket ini akan berharga 10 kali ganda berbanding apa yang telah kami putuskan."

Tambah beliau lagi, "Mungkin di masa hadapan kami perlu mewujudkan kategori lain untuk pakej famili yang lebih mampu berbanding sekarang." - olahan & terjemahan (i, Thursday April 21, 2011: 51).

Doa ziarah orang baru dapat anak

Andainya hari ini anda akan menziarahi sahabat yang baru sahaja dikurniakan cahaya mata, berikut adalah panduan yang ditunjukkan Islam, bagaimana kita yang datang berziarah boleh ucapkan, dan doa balas oleh pihak yang diziarahi (iaitu sahabat yang baru dapat anak itu).

Ucapan Selamat (yang datang ziarah) - Doa perlindungan kepada anak, apabila Baginda Rasul SAW berdoa untuk perlindungan Hasan dan Husain, baginda membaca:

terjemahan - "Aku berlindung kepada Allah untukmu berdua dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna, dari segala Syaitan, binatang yang berbisa dan pandangan mata yang jahat." (Hadith riwayat Al-Bukhari 4/119).

Si keluarga yang diziarahi pula membalas doa yang diucap pihak ziarah dengan membaca:

terjemahan - "Sedang orang yang diberi ucapan selamat membalas dengan mengucapkan: "Semoga Allah juga memberkatimu dan melimpahkan kebahagiaan untukmu. Semoga Allah membalasmu dengan sebaik-baik balasan, mengurniakan kepadamu sepertinya dan melipatgandakan pahalamu." (Lihat Al-Adzkar, karya An-Nawawi, halaman 349, dan Shahih Al-Adzkar Nawawi oleh Salim Al-Hilali 2/713).

Andainya sebelum ini ucapan pertama kita kepada sahabat yang baru dikurniakan cahaya mata adalah: TAHNIAH! Congrats! Wah, lawanya anak engko! dan segala macam lagi.

Kali ini cubalah para sahabat semua mengucapkan doa yang tersebut, sebagai tanda kita cinta dan kasih kepada junjungan besar Rasul SAW dan mengikuti Sunnahnya.

Sekian.

Wednesday, 20 April 2011

Email 1Malaysia pulak dah...UPDATED

Dewasa ini slogan 1Malaysia telah menjadi begitu popular. Kemana-mana kita pergi, tempat kita lalui, orang akan bercakap mengenai 1Malaysia. Kita akan melihat banyaknya tercetak billboards, poster, rancangan-rancangan di kaca TV mengenai 1Malaysia.

Suka atau tidak, orang telah dan masih bercakap mengenai 1Malaysia. Jika anda cakap yang anda tidak suka dengan 1Malaysia, jelasnya anda bercakap mengenai 1Malaysia - iaitu dari perspektif yang berbeza.

Samalah keadaan ini bilamana kita sekarang telah tidak lagi dikenali sebagai orang Melayu, atau orang Cina, atau orang India, Iban, Dayak dan sebagainya (pengenalan mengikut kaum), melainkan kita kini dipanggil sebagai orang Malaysia, atau untuk lebih tepat, orang 1Malaysia.

Barangkali inilah juga puncanya politik perkauman telah ditolak rakyat dan tidak lagi bertapak di negara kita, disebabkan semua kita adalah sama, warga 1Malaysia.

Pelbagai insentif telah digerakkan kerajaan ke arah memperkasakan lagi penerapan nilai-nilai 1Malaysia kepada rakyat. NKRA, KPI, PEMUDAH, PEMANDU, NEAC hanyalah sebilangan kecil daripada agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan bagi memastikan 1Malaysia mencapai sasarannya - total innovation.

Semuanya dibuat berlandaskan prinsip kesaksamaan dan kebajikan rakyat seperti pengenalan Klinik 1Malaysia, Insentif cukai 15% bagi profesional yang kembali bertugas di Malaysia, Amanah Saham 1Malaysia, 1MDB, kad diskaun pelajar 1Malaysia dari KTMB, netbook 1Malaysia, dan yang terbaharu, projek email 1Malaysia (disediakan untuk setiap warga berumur 18 tahun dan ke atas).

Sekali pandang, pengurniaan email secara percuma untuk setiap warga Malaysia ini adalah sesuatu insentif yang baik - kerana ianya percuma dan sebagai tanda kerajaan prihatin dengan rakyatnya.

Dua kali pandang pula, kita akan bertanya sendirian: bukankah penyedia khidmat email lain seperti google/Gmail, Yahoo, MSN juga turut menawarkan khidmat untuk membuat email secara percuma?

Menurut akhbar arus perdana, sebagaimana dibaca di sini 'Email 1Malaysia tidak guna wang awam - Najib', merupakan inisiatif 'sukarela' sektor swasta tanpa mengambil dana awam.

Respon dari FB, ramai yang masih skeptikal kerana sejak bilakah pula sektor swasta yang berpaksikan keuntungan (profit driven), ingin berkhidmat dengan penuh sukarela seperti "tiada udang di sebalik batu"?

Sekalipun PM memberi jaminan bahawa projek email ini tidak menggunakan wang awam (wang pembayar cukai secara betulnya), berita ini, yang juga dipetik dari media arus perdana 'Akaun email peribadi setiap rakyat' memberikan angka RM50 juta, iaitu jumlah pelaburan bagi membina sistem email berkenaan.

Apakah RM50 juta itu wang sektor swasta yang telah secara 'sukarela' diperuntukkan untuk rakyat Malaysia mendapat email percuma?

Atau ianya 'jumlah kontrak' yang dianugerahkan kepada Tricubes Berhad untuk membangunkan sistem email tersebut? - baca laporan bertajuk '1Malaysia Email: Tricubes Berhad dimiliki secara tidak langsung adik Najib'.

Pulak dah...adakah benar? Adakah?


Updated:
- Berikut adalah pernyataan terbaharu CEO CIMB, Nazir Razak bagi menepis dakwaan sebarang bentuk penglibatan langsung CIMB dengan syarikat Tricubes Berhad berkaitan projek email 1Malaysia. 
- Baca lanjut di sini: Pelaburan CIMB dalam Tricubes melalui Dana Ekuiti Swasta.
Semak dan imbang!

Tuesday, 19 April 2011

Apabila lebih kenal KFC daripada ABC

Nasi lemak dimangsakan?

Banyak pihak (sebagaimana respon yang saya baca di FB) masih skeptikal dengan tindakan kerajaan melarang penyajian menu nasi lemak di kantin-kantin sekolah sebagai langkah mengurangkan gejala obesiti di kalangan pelajar.

Secara peribadi saya melihat larangan spesifik sebegini bakal tidak membuahkan hasil sebagaimana yang dicitakan kerana:

- education and awareness: mewujudkan sekatan (makan nasi lemak) kepada pelajar tanpa terlebih dahulu berusaha mendidik dan memberikan kesedaran, bakal menambah susah/menyukarkan pemantauan dan maklumbalas terhadap tahap keberkesanan tindakan ini dibuat pihak berwajib di masa hadapan.

- holistic approach: menangani gejala obisiti di kalangan pelajar sekolah memerlukan pendekatan bersepadu diambil oleh kedua pihak iaitu kerajaan (di sekolah) dan ibubapa (di rumah).

Menyekat pelajar semasa waktu rehat (40 minit tempoh rehat), apakah akan membuahkan hasil, berbanding 23 jam 20 minit mereka di rumah bersama ibubapa?

- Why nasi lemak?: Adakah pihak kementerian telah mengkaji khasiat/nutrisi makanan-makanan lain yang turut dijual di kantin sekolah selain nasi lemak, terutama makanan yang siap diproses seperti nugget? burger? drumsticks? sotong ball? pepsi dan coke? (setidaknya nasi lemak adalah makanan yang dimasak, bukan siap diproses).

Tukar diet

Tentulah ajal dan maut itu di tangan tuhan. Jikalau muda-muda obes pun belum tentu akan mati muda. Tetapi eloklah beringat sebelum kena.

Cadangan berkaitan dengan perubahan sistem persekolahan dan pembelajaran dilihat sukar kerana ia telah rigid buat kesekian lamanya.

Cuma, di pihak pengusaha kantin sendiri, perubahan minda dan kesedaran perlulah ditingkatkan.

Tibalah masanya sajian makanan buat pelajar sekolah kita mengambilkira perubahan diet ke arah yang lebih sihat.

Menu daripada sumber yang siap diproses seperti fish ball, nuggets, etc. mungkin boleh secara berfasa ditukar kepada sandwich yang menggunakan roti serat tinggi (boleh kenyang), beralih kepada air soya berbanding pepsi dan coke, galakkan pelajar beli buah-buahan (tanpa pencicah MSG), dan sebagainya.

Namun, langkah yang dibuat di sekolah ini tentunya akan gagal seandainya ibubapa di rumah tidak mengendahkan peri-pentingnya menyediakan makanan yang seimbang kepada anak-anak.

Kurangkan berkunjung ke KFC atau McD sekalipun anak-anak kita sebelum ini lebih mengenal huruf-huruf tersebut berbanding ABC.


Sumber: SINI
Wassalam.

Mari mengenal simbol ON-OFF

Sila klik rajah untuk 'zoom penuh'


Sumber asal: SINI

Monday, 18 April 2011

Peralihan akaun blog

Menurut blog ini (klik), pihak Google telah mengumumkan bahawa mereka akan menghentikan sokongan untuk pendaftaran masuk ke akaun Blogger menggunakan akaun selain dari Google (a.k.a Gmail) bermula 25 Jun 2011.

Kesahihan khabar ini tidaklah dapat saya pastikan 100% tetapi beliau ada memberikan kaedah atau cara-cara bagi blogger yang ingin menukar akaun pengendali blog mereka kepada hanya akaun Google - lihat aturan 'step by step'yang dilampirkan (klik).

Begitupun, bagi anda yang inginkan kesahihan terhadap hebahan ini, anda perlu rajin meneliti berita-berita terkini dari sumber yang lebih kuat.

Buat masa ini, blog Dr Sepet sedang melalui proses pemindahan admin, ada beberapa aspek yang 'terkeluar' akan dikemaskini di masa yang akan datang.

Harap maklum.

Sunday, 17 April 2011

Jatuh & Bangun PRN Sarawak 2011

Selesai satu, tunggu yang satu lagi

Tahniah diucapkan kepada rakyat di Sarawak kerana telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan dengan secara aman dan berdemokrasi, memilih kerajaan negeri untuk penggal baru, yang keputusannya telah kita semua ketahui lewat malam semalam.

Tahniah kepada BN kerana dengan segala daya dan kudrat yang ada, dan setelah segala macam jentera digerakkan, akhirnya 'berbayar' dengan kejayaan besar, memenangi PRN dengan majoriti 2/3.

 Sumber FOTO

Tidak dilupakan juga ucapan tahniah buat parti-parti yang bertanding dari Pakatan Rakyat kerana dilihat telah berjaya menghadirkan cabaran yang lebih bermakna pada PRN ini.

Sesungguhnya yang menang, tidak menang semua. Dan yang kalah, tidak kalah semua.

Trend undi masyarakat Cina-Bandar

Kejayaan calon DAP memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditandingi ternyata telah menyuntik keyakinan kepada Pakatan untuk meneruskan kerja kuat dan seterusnya berdepan dengan PRU ke-13 tidak lama lagi.

Pencapaian DAP ini juga dilihat jauh lebih baik berbanding nasib calon-calon yang diletakkan PAS (0/5 kerusi) dan PKR (3/49 kerusi).

Malah kejayaan DAP menguasai undi kawasan bandar telah terbukti apabila parti ini berjaya menyapu bersih kesemua 5 kerusi DUN di bawah Parlimen Kuching (ibu negeri) dengan majoriti yang saya kira 'menggerunkan*' iaitu:

1) Batu Lintang - majoriti 8,381 undi
2) Padungan - majoriti 7,880 undi
3) Pending - majoriti 7,595 undi
4) Kota Sentosa - majoriti 4,824 undi
5) Batu Kawah - majoriti 543 undi

*menggerunkan jika mengambilkira kerja kuat BN dengan segala peruntukan projek pembangunan yang diumumkan, undi majoriti yang diperoleh DAP/Pakatan untuk kesemua 5 DUN tadi menjangkau 30,000 undi!

Jika anda tanya saya, BN umumnya boleh bergembira dengan keputusan PRN ini tetapi parti komponen orang Cina dalam BN terutama MCA dan Gerakan, mereka patut merasa 'risau dan gusar' dengan trend ini.

Lihatlah prestasi SUPP (a.k.a parti orang Cina versi Sarawak) yang makin merudum setelah tewas 13 daripada 19 kerusi yang mereka tandingi, termasuklah kekalahan memalukan Presidennya sendiri, George Chan kepada muka baru dari DAP, Sie Kong (majoriti 1,590 undi). 

(SUPP adalah mangsa terbaru kemaraan angkatan DAP, yang 3 tahun sebelumnya telah meranapkan langsung Gerakan bagi mengambil alih Pulau Mutiara)

 Presiden SUPP, George Chan - sumber FOTO


Sokongan pengundi peribumi

Beban yang bakal dipikul oleh MCA mahupun Gerakan, mungkin tidaklah seberat UMNO jika melihat kepada kejayaan cemerlang parti komponen terbesar BN di Sarawak, PBB yang telah berjaya menang di kesemua 35 kerusi yang ditandingi.

Kini, timbul persoalan:

Apakah para pengundi di Sarawak mahukan Taib Mahmud turun takhta KM, berpandukan 'sokongan yang tidak berbelah bahagi' ini?

Atau apakah Taib sendiri berkeinginan untuk turun setelah melihat sendiri 'sokongan utuh' para pengundi terhadap PBB di bawah kepimpinan beliau?

'Tsunami' yang tidak menjadi

Apa yang dicanang-canangkan sesetengah pihak sebagai 'tsunami politik' semasa tempoh berkempen tempoh hari nampaknya tidak menjadi kenyataan.

Mungkin istilah tsunami yang digunakan itu sendiri nampak sedikit 'grand', dan mungkin di lain kali boleh dipertimbangkan istilah yang lebih realistik seperti 'ribut tropika' atau 'angin lintang'.

Sebagai penutup, kembali kepada apa yang telah saya sebutkan di awal posting ini bahawa "yang menang tidak menang semua, dan yang kalah tidaklah kalah semua".

BN telah menang 2/3 tetapi mereka hilang sokongan para pengundi Cina dan kawasan bandar (MCA dan Gerakan perlu buat homework yang ketat jika ingin menangani kekuatan DAP selepas ini).

PR pula sekalipun gagal menafikan kejayaan 2/3 BN, masih boleh berpuas hati dengan penambahan 8 kerusi berbanding prestasi mereka di PRN 2006, termasuklah kesemua 5 calon dari PAS yang tidak kehilangan wang deposit masing-masing.

Sekian.

bacaan tambahan: MerdekaReview

Saturday, 16 April 2011

Mawaddah ke South Park

Alhamdulillah cuaca cerah petang Jumaat ini, membolehkan kami bersidai sebentar di South Park.

Terletak tidak jauh dari rumah dan lokasinya yang di atas bukit, memandang terus ke bandar/skyline Oxford menjadikan pemandangan dari taman ini begitu indah.

Memandangkan hari ini Mawaddah tidak dihantar ke nursery, perlulah dibawa dia keluar berjalan-jalan dan bermain, selain kami sendiri dapat merehatkan minda daripada seminggu buat kerja-kerja penyelidikan.

Tiba di taman, hajat untuk berbaring dan berehat terpaksa kami tangguhkan kerana masing-masing sibuk bergilir mengejar dan mengawal Mawaddah yang berlari ke sini-sana.

Yang saya paling ingat semasa di taman semalam adalah tindakan saya duduk diam seperti pokok telah menipu dua ekor anjing yang bermain-main dekat tempat kami bersidai.

Beberapa foto untuk dikongsi. Wassalam.











Kejar.....kejar dia

Isk!...Isk!... Makin laju, macam Toro Rosso...

Tak terkejar beb! Pun macam Toro Rosso...


Episod: berbual dengan pokok

Hello, Mr Tree...

Are you sleeping, are you sleeping, Mr Tree...Mr Tree...

Nampak skyline Oxford?


Sehingga bertemu lagi.

Friday, 15 April 2011

Kelebihan Ayat Al-Kursi

It was narrated that Abu Umamah said: The Massenger of Allah S.A.W. said: "Whoever recites Ayat Al-Kursi immediately after each prescribed Prayer, there will be nothing standing between him and his entering Paradise except death." [Reported by An-Nasa'i and Ibn Hibban]

-------------------------

Renungan buat insan: 
"Apabila insan melihat dunia daripada dimensi akhirat, dia akan merasakan dunia ini sangat kecil, (dan) kehidupan ini sangat luas" - MAZA.