Wednesday, 8 July 2009

PPSMI: Kung-Kali-Kung

Saya kira ulasan-ulasan berkenaan PPSMI kini telah menjadi "isu lapuk" untuk diperdebat memandangkan terlalu banyak orang telah bercakap, menganalisa dan menulis mengenainya.

Begitulah realitinya apabila teknologi semakin canggih, menjadikan pergerakan masa dan isu begitu pantas. Terlewat 1 hari, sudah cukup menjadikan sesuatu isu itu lapuk dan ketinggalan zaman.

Namun, kupasan berkaitan PPSMI ini perlu saya buat, bersandarkan kapasiti saya sebagai seorang pendidik, seorang ayah dan seorang Melayu yang kurang menguasai bahasa Inggeris biarpun agak lama hidup di luar negara.

Tutup buku


Pengumuman oleh Menteri Pelajaran Rabu lalu secara rasminya telah "menutup buku" berkaitan dasar PPSMI (dimansuh) dan para pelajar (dan guru-guru) di peringkat rendah dan menengah akan kembali kepada sistem "lama" iaitu pengajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan/menengah kebangsaan dan bahasa ibunda bagi sekolah aliran Cina dan India.

Pemansuhan tersebut, walaubagaimanapun, hanya akan berkuat kuasa mulai tahun 2012 (sumber) iaitu 3 tahun dari sekarang. Ianya bertujuan membolehkan PPSMI "menyelesaikan" kumpulan terakhir pelajar di peringkat yang terlibat.

Reaksi

Sejurus selepas Menteri Pelajaran mengumumkan pemansuhan dasar PPSMI ini, akhbar-akhbar arus perdana tidak ketinggalan mendapatkan reaksi atau pandangan pelbagai pihak berkaitan langkah terbaru yang diambil oleh kerajaan ini.

Antara yang paling awal memberikan respon ialah Tun M, mantan PM (sumber).

Malangnya, bukan khabar gembira dan yang sedap didengar telinga dilontarkan oleh Tun, bahkan beliau secara terang-terangan mengkritik langkah yang dibuat kerajaan itu.

Tun nyata tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan berkaitan PPSMI, kerana bukan sahaja pandangan beliau berkaitan PPSMI tidak diambilkira oleh kerajaan, malah langkah yang diputuskan ini dilihat beliau secara jangka panjangnya akan memperjudikan nasib dan masa depan anak-anak dan generasi akan datang (sumber).

Seperti lazimnya, apabila ada yang membangkang, akan adalah pula pihak yang menyokong (ke mengampu?). Untuk mendapatkan sokongan kumpulan-kumpulan pro-PR tidaklah sukar dan sememangnya telah dijangka.

Namun, adalah lebih sesuai mendapatkan sokongan daripada golongan bijak pandai dan para pemimpin kerajaan sendiri.

Justeru, bagi beberapa tokoh, pemansuhan PPSMI ini dianggap sebagai satu tindakan yang realistik (sumber).

Sama ada hamba Allah ini tidak faham Bahasa Inggeris atau tidak sensitif.

Malah Tun Abdullah, seorang lagi mantan PM turut berlapang dada dengan langkah kerajaan ini kerana merasa ianya dibuat kena pada masa dan ketikanya (sumber).

Agar tidak menambah bisa pada luka yang ada, Menteri Pelajaran kemudiannya mengumumkan bahawa tanpa PPSMI, kerajaan akan memastikan "Bahasa Melayu akan terus dimartabat dan Bahasa Inggeris pula akan dimantap" (sumber).

Memang mudah disebut dan enak didengar. Namun, bolehkah hamba rakyat diyakinkan dengan janji-janji manis(mu) ini?

Langkah teliti

Saya kira tindakan yang diputuskan kerajaan ini dibuat setelah mempertimbangkan pelbagai faktor dan pandangan pelbagai pihak.

Secara logik - di kala sokongan kepada kerajaan berkurang selepas PRU-12, para pimpinan kerajaan pastinya tidak akan dengan sewenang-wenang, atau tanpa justifikasi yang kukuh bertindak memansuhkan PPSMI.

Pastinya telah banyak "perbincangan meja bulat" (round table discussions), pembentangan laporan dan hasil penyelidikan serta kertas kerja oleh pelbagai professor bahasa dari pelbagai universiti tempatan, kajian dalaman kementerian dan survei oleh badan kajian bebas telah diperhalusi dan diperdebatkan.

Mungkin saya yang di bawah ini kurang ilmu dan pendedahan terhadap apa sebenarnya berlaku di tapak/sekolah dan tidak dimangsakan sebagaimana guru-guru. Namun, langkah besar ini saya ibaratkan kita sedang melakukan pusingan-U (U-turn) di kala sedang memasuki lorong memecut di lebuh raya.

Mengapa ingin berpatah balik? Adakah kita masih gagal tinggalkan rasa sayang dan zon selesa yang didiami sejak sekian lama?

Dahulu kita diibarat berada di lorong kiri (tidak memotong) di lebuh raya. Globalisasi bagaimanapun menjadikan kita semakin ketinggalan dan dipintas/dipotong "kenderaan negara lain".

Justeru, PPSMI dilancarkan dengan semangat awal untuk menyediakan generasi muda negara untuk beralih ke "lorong memotong".

Setelah 6 tahun (jika tidak silap) PPSMI dilaksanakan, kesan yang diharapkan masih belum kelihatan, malah timbul banyak kelemahan dan akhirnya mengundang reaksi negatif pelbagai pihak.

Memandangkan survival kerajaan yang memerintah terletak pada bilangan undi semasa pilihanraya (dan kerajaan BN telah merasa sendiri pedihnya selepas PRU-12 yang lalu), sebarang tindakan kerajaan ini perlu menampakkan adanya "kompromi" bagi memastikan sokongan berterusan pelbagai lapisan rakyat.

Jika liberalisasi sebelum ini dapat dikompromi kepada kaum bukan bumiputra, kini PPSMI pula diguna bagi orang Melayu/bumiputra.

Makan masa

Adalah sesuatu yang lazim apabila perlaksanaan sesuatu dasar yang besar, yang mengubah kepompong keselesaan orang Melayu pastinya akan memakan masa, dan tidak kurang akan adanya "proses cuba-jaya".

Lihat saja DEB, setelah dilancar pada tahun 1974 sehingga tahun 2009 (35 tahun), adakah matlamat pemilikan ekuiti bumiputra 30% telah dicapai? Tidak.

Dan sepanjang tempoh 35 tahun jugalah DEB turut melalui proses penambahbaikan dan "cuba jaya" - ada yang berjaya, dan ada yang kecewa.

Mungkin "masa" itu adalah bukan sesuatu yang ada dalam kawalan ketika ini. Survival politik perlu diutamakan. Akibatnya, halatuju pendidikan negara dan masa depan anak-anak yang dipertaruhkan.

Apapun "nasi sudah menjadi bubur", keputusan sudah dibuat. Ingin bersorak gembira? Tidak juga. Bersedih? Mungkin juga.

Namun, saya masih ingin berkongsi pendapat memandangkan saya juga akan terkesan dengan keputusan ini, begitu juga dengan masa depan anak-anak.

Sebagai pendidik

Saya mungkin tidak menerima kesan langsung sebagaimana rakan guru di sekolah rendah dan menengah. Bagi yang sukar keluar dari zon selesa, akan berlapang dada dengan keputusan ini. Bagi yang telah faham akan kepentingan BI, akan merasa kehilangan itu.

Saya menjangkakan cabaran lebih besar selepas ini, terutama apabila pelajar-pelajar ini melangkah kaki ke IPT.

Bukan sahaja kepada para pensyarah perlu bekerja keras memastikan penyampaian ilmu dalam bahasa Inggeris (BI) ini dapat dikuasai pelajar, malah pelajar sendiri perlu segera berlari (tanpa ada masa untuk merangkak) menguasai bahan-bahan rujukan dan pengajaran dalam BI.

Realitinya, banyak bahan pengajaran baik buku, jurnal ,monograph dan lain-lainnya, sama ada hasil karya cendakiawan tempatan dan luar negara, adalah di dalam BI.

Justeru, bagi memastikan para pelajar tidak mendapat "ilmu sesat" dan mengamalkannya secara "sesat", penguasaan dan asas BI yang kukuh adalah perlu (ini prasyarat).

Sebagaimana juga orang mengaji Quran, kenalah ada asas dan kefahaman. Jika tidak, mulalah Al-Quran diceduk, diguna untuk berhujah secara yang tidak tepat, dan akhirnya memesongkan diri sendiri dan orang lain.

Saya melihat perlunya PPSMI dimantapkan, bukan dimansuhkan. Bagi sekolah rendah mungkin subjek sains dan matematik cukup untuk diajar dalam bahasa Melayu kerana ianya lebih kepada memberikan pendedahan dan menggalakkan minat anak-anak kepada sains dan matematik. Tambahan pula, telah ada subjek BI (ini yang kena mantapkan).

Bagi peringkat menengah, subjek sains dan teknologi perlu dikekalkan dalam BI (bahan), dan pengajaran boleh dibuat 50:50 (BM/BI). Sekurang-kurangnya, pelajar tidak terlalu asing dengan bahan bacaan dalam BI dan terhindar daripada mendapat "ilmu sesat" akibat tersilap fahaman di kelas.

Ini juga kerana peringkat menengah telah hampir kepada dunia IPT, dan di sinilah perlunya transformasi minda dan kefahaman dari alam persekolahan ke alam universiti dilicinkan.

Alam pekerjaan

Bagi jangkamasa panjang pula, pengaruh dan penggunaan BI di luar alam persekolahan memang tidak dapat kita sangkal lagi.

"Takpe, aku nanti nak kerja dengan local company aje".

Betul. Tetapi apakah jaminan local company itu tidak menjalankan projek-projek di luar negara, (seperti Petronas, Sime Darby)?

Apatah lagi jika anda siang-siang lagi telah berhajat untuk berkhidmat dengan global company, makanya BI memang kena mantap.

Dengan pelancaran dasar liberalisasi oleh PM baru-baru ini, juga dilihat membuka lebih ruang dan peluang buat pemodal dari luar untuk datang membeli saham dan membuka perusahaan di Malaysia.

Justeru, apakah cara dan kaedah untuk berkomunikasi di bawah pengurusan orang-orang asing ini?

Sebagai ayah

Sebagai ayah, sememangnya saya ingin melihat anak-anak menerima pendidikan hingga ke peringkat yang tertinggi. Bukan untuk menumpang senang dan kekayaan mereka, tetapi sekurang-kurangnya saya berusaha memastikan anak-anak "kaya ilmu".

Bahasa jiwa bangsa. BM adalah perlambangan jiwa bangsa kita sebagai orang Malaysia. Dan BI pula bahasa untuk mendalami ilmu di peringkat tertinggi dan untuk cari kerja.

Kedua-duanya penting dan perlu dikuasai dengan baik. Lemah BM, lemahlah jiwa bangsa. Lemah BI, sukarlah mendaki tangga ilmu dan sukar dipanggil orang ke temuduga kerja.

Adalah besar harapan saya untuk memastikan biarpun maju manapun hidup anak-anak dan generasi yang akan datang ini, akar umbi Melayu tidak akan luntur dari dalam diri masing-masing.

Adalah tidak mustahil dengan era yang serba maju dan canggih ini BM dan BI dapat dikuasai kedua-duanya dengan baik.

Sebagai orang lemah BI

Saya amat jarang menggunakan BI terutama sewaktu di sekolah dan awal universiti. Mungkin zon selesa yang di sekitar lingkungan hidup saya tidak memaksa saya untuk memahami dan menggunakan BI secara efektif.

Banyak bahan rujukan di perpustakaan di dalam BI, namun serahan tugasan kebanyakkannya masih dibuat di dalam BM.

Begitu juga laporan-laporan pelan pembangunan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), banyak yang disediakan di dalam BM untuk dirujuk.

Rakan sekuliah juga majoritinya Melayu dan jika ada Cina pun, masih bercakap Melayu.

Namun, setelah berada di luar negara, banyak "yang Melayu itu" kena kompromikan dengan penggunaan BI.

Saya memang menyedari cabaran ini dari dulu lagi, dan inilah yang menghambat saya agar terus bermotivasi untuk menghadapi cabaran ini.

Adalah lebih afdal untuk bercakap berdasarkan pengalaman hidup sendiri. Dan apa yang dapat saya katakan, semua orang perlu belajar tinggi-tinggi. Bukan untuk hidup kaya, tetapi untuk kayakan ilmu di dada dan meluaskan pengalaman.

Dengan berusaha mempelajari dan memahami BI (komunikasi dan penulisan) di peringkat lebih awal, segala cabaran ini dapat dihadapi dan ditangani dengan lebih baik dan berkesan.

PPSMI dipolitik?

Sekali air bah, sekali pantai berubah

Begitulah perumpamaan yang dapat menggambarkan peranan orang politik di dalam mengubah dan menukar sesuatu dasar/polisi/perancangan/pelan.

Sekali menteri bertukar, akan ada saja pelan dan rancangan lama yang ditukar/bubar, etc.

Namun apa yang lebih menyedihkan saya ialah bilamana bidang yang murni seperti pendidikan turut terpalit dengan agenda politik kepartian. Tolonglah! Bidang pendidikan janganlah dijadikan lubuk bagi meraih populariti politik.

Buktinya? Ini yang saya petik dari sumber arus perdana (sumber).

Orang politik telah menjadikan PPSMI ini seperti Kung-Kali-Kung. Pusing-pusing, lepas itu balik asal. Yang rugi adalah bangsa sendiri. Yang untung adalah parti politik juga sebab PPSMI dah jadi modal kempen!

Apa boleh buat, kerosakan sudah berlaku. Sayangnya yang rosak itu ialah sistem pendidikan yang berperanan mendidik dan membangunkan modal insan yang berguna bagi negara.

Jika kereta yang rosak, senang sahaja. Kita hantar ke bengkel dan mekanik dapat memeriksa mana yang rosak dan terus dibaiki. Jika modal insan yang rosak? Bengkel mana yang tawarkan khidmat untuk baikinya?

Janganlah bertindak sehingga orang melihat bidang pendidikan ini hilang profesionalnya, kredibilitinya dan kemurniannya. Pergilah buat korup di bidang lain, biarkanlah bidang pendidikan ini kekal profesional.

Ibarat kata seorang kawan yang datang melawat saya, "di UK ini, sistem pendidikannya begitu mantap tanpa diganggu tangan politik. Jika bertukar menteri pendidikan setiap minggu pun, pendidikan di UK tetap tidak berubah dan masih yang terbaik, kerana itulah Malaysia tetap menghantar pensyarah mereka menyambung PhD di sini".

Jika kita masih belum dapat menetapkan dasar pendidikan, bagaimana untuk menarik minat orang luar datang menuntut ilmu dengan kita.

PPSMI dimulakan dengan tekanan politik, ratusan juta wang rakyat disuntik dan akhirnya PPSMI juga ditamatkan dengan tekanan politik.

Pilih pemimpin

Saya akhiri posting ini dengan serangkap pantun, berkaitan pemilihan pemimpin, ketua dan orang yang diharapkan untuk memimpin orang-orang di bawahnya.

Kalau mencari tempat mandi
Pertama teluk, kedua pantai
Kalau mencari pemimpin terpuji
Pertamanya elok, kedua pandai

Betul pemimpin, betullah orang yang dipimpinnya. Rosak pemimpin, rosaklah orang yang dipimpinnya.

Wassalam

Tuesday, 7 July 2009

Hari yang istimewa

Alhamdulillah, di sebalik kesibukan yang "menggila" bagi kami berdua minggu ini, kunjungan "rakan lama" dari UTM ke Oxford tidak kami hampakan.

Dahulunya, kedua-dua mereka adalah pensyarah yang amat dedikasi di dalam menyampaikan ilmu kepada saya (sehingga ke hari ini pun masih kuat bekerja - ATK yang dah bersara pun masih belum dapat berpisah dengan dunia akademik!).

Setelah menamatkan pengajian dan bekerja di Kuala Lumpur, saya mempunyai masa yang terbatas untuk berkomunikasi dengan bekas-bekas pensyarah, biarpun kami kini menjadi rakan seangkatan di universiti yang sama (kampus saja berbeza).

Tetapi, bukankah jodoh dan pertemuan itu di tangan Allah, di Oxford jua kita berjumpa. Masya-Allah.

Dari kiri: ATK dan Dr

Mawaddah & ayah dia pun masuk frame skali

Kedua-dua mereka sebenarnya dalam rangka melaksanakan Bahagian II penyelidikan mereka berkaitan strategi pembangunan desa, bertunjangkan daya keusahawanan bagi menjana nilai-tambah kepada produk penduduk desa.

Untuk tujuan tersebut, malam ini mereka akan bertolak ke Selatan Peranchis (Montpellier) melihat perusahaan desa di sana, kemudian ke Switzerland, sebelum ke Jerman, dan kemudian kembali ke UK.

Mungkin dengan mengkaji model keusahawanan desa di Eropah ini dapat membantu menyediakan asas atau kerangka bagi membangunkan bidang keusahawanan desa di Malaysia bagi menjana pendapatan kepada komuniti desa, seterusnya membasmi kemiskinan.

ATK sedang berselera menjamu soto petang tadi

Mawaddah mungkin kali pertama tengok orang berjambang (thanks buat Ibu Mawaddah kerana tolong memasak yang sedap dan tolong ambik gambar)

Moga Allah permudahkan dan selamatkan perjalanan pergi dan pulang buat saudara berdua. Moga dapatan dari perjalanan ke Eropah ini akan menyumbang kepada peningkatan kepada kualiti penyelidikan dan manfaat/hasilnya dapat benar-benar diaplikasikan buat komuniti desa di Malaysia.

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh hamba menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Insya-Allah kita akan berjumpa lagi.

Dr. Sepet: Terasa lain apabila hendak melayan guru sebagai rakan. Guru tetap guru sampai bila-bila dan itulah batasnya. Kita jaga yang itu, ilmu dan berkat akan melimpah kepada diri kita, InsyaAllah.

Monday, 6 July 2009

Tun M minta baiki pelampung

Sumber berita: sini

"Dr Mahathir tidak gembira dengan dasar liberalisasi"

Sabtu lepas baru saja saya menulis 1 kisah berkaitan "pelampung" - yang kempis dan mulai bocor.

Akhbar hari ini pula melaporkan hasil temubual bersama mantan PM iaitu Tun M berkaitan dasar liberalisasi yang diputuskan oleh PM yang baru.

Seperti saya, Tun M juga nampaknya tidak begitu "riang gembira" dengan tindakan PM untuk memperkenalkan dasar liberalisasi, terutama melihat kepada senario yang menimpa umat Melayu ketika ini.

Sambil menegaskan perlunya dasar lama seperti DEB dikekalkan (jika tidak ingin ditambah baik) kerana ianya masih releven dan berperanan penting di dalam membantu perkembangan Bumiputra di negara ini.

DEB yang telah sekian lama diamalkan, menurut beliau tidak sama sekali menyekat keupayaan bangsa Melayu untuk maju dan bersaing dengan pihak luar, sedangkan liberalisasi itu pula berkemungkinan akan membantutkan lagi usaha yang telah lama dijalankan bagi membangunkan Bumiputra agar mendapat bahagian "kek ekonomi" yang adil sebagaimana dinikmati kaum-kaum lain.

"Faktanya ialah ketika kuota Bumiputra masih belum dipenuhi, kuota bukan Bumiputra pula semakin meningkat dan bertambah, dan polisi baru yang diperkenalkan ini hanya akan memburukkan keadaan" - Tun M.

Dengan perkataan mudah - "sudahlah pelampung kita ini kempis (angin <30%),>.

Sambung lagi - "Bila kempis, dan semakin bocor, yang akan mempercepatkan kita karam dan mati lemas ialah penumpang pelampung ini semuanya tidak tahu berenang (tiada kekuatan dan persediaan menghadapi kemungkinan buruk)".

nanti sambung lagi.........dari office 4.50pm

Sunday, 5 July 2009

Lajarlah kemen-kemen - II

Orang Asli diminta kejar pendidikan

06/07/2009 10:03am (sumber)

ROMPIN 6 Julai — Masyarakat Orang Asli diminta memandang serius aspek pendidikan bagi memastikan mereka tidak terus tercicir dalam bidang itu, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan.

Beliau berkata sudah tiba masanya masyarakat itu mengutamakan pendidikan anak-anak mereka untuk seiring maju dengan masyarakat lain.

Katanya pelbagai kemudahan untuk tujuan pendidikan diberikan kerajaan bagi memastikan mereka tidak tercicir namun kesempatan itu tidak dimanfaatkan oleh kebanyakan mereka.

“Kita mahu pastikan tiada antara mereka yang tercicir dalam pelajaran malah kita harap mereka tidak mengambil kesempatan terhadap apa yang disediakan kerajaan dengan meminggirkan pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas bertemu masyarakat Orang Asli di tiga buah kampung di sini semalam.

Maznah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah berkata kerajaan yang selama ini menyediakan pengangkutan ke sekolah bagi yang tinggal jauh di pedalaman, yuran dan pakaian sekolah percuma, Rancangan Makanan Tambahan di sekolah serta wang saku sebanyak RM2 bagi setiap pelajar di peringkat menengah. - Bernama

Saturday, 4 July 2009

Rumah kampung: Sebelum vs Selepas

Setelah hampir 2 minggu tidak mendengar khabar, akhirnya petang tadi saya menerima foto terbaru kerja-kerja menyiapkan rumah ibu di kampung.

Alhamdulillah, semua kerja berjalan lancar dan nampaknya hampir siap (mungkin 2 hari lagi). Keseluruhannya, bahagian baru ini lebih besar, atap diangkat lebih tinggi.

Dengan pembinaan 4 bilik tidur bersaiz selesa, laluan ke dapur yang lebih besar dan stabil, membuatkan kami tidak sabar untuk pulang melihat sendiri.

Berikut beberapa foto untuk dikongsi bersama anda.

1) Bahagian hadapan rumah:

Sebelum

Selepas

2) Ruang dalam:

Sebelum

Selepas

3) Bilik-bilik:

Sebelum

Selepas

4) Tepi rumah:

Sebelum

Selepas

5) Lagi bilik-bilik:

Sebelum

Selepas

6) Ada 4 bilik tidur baru disiapkan:

Seingat saya, dengan siapnya 4 bilik tidur ini, rumah di kampung kini memiliki 7 bilik tidur. Yang masih tinggal di rumah 2 orang (mok+ayoh), 3 orang (eg+faiz+madiah) = 5 orang. Syokla , boleh gilir-gilir bilik tidur.

Hoho...

Friday, 3 July 2009

1Malaysia dan kisah pelampung

Pelbagai perkembangan berlaku kebelakangan ini. Sebahagian puncanya, apabila orang politik yang menggubal dasar, mengubah dasar dan memansuhkan dasar, telah mempengaruhi halatuju dan masa depan rakyat dan negara.

Memegang kuasa politik boleh dikatakan kemuncak segala kekuasaan, jika dilihat kepada apa yang berlaku hari ini. Tidak kiralah sama ada kuasa politik diperingkat persekutuan, mahupun negeri-negeri diperintah BN dan PR.

Orang-orang politik inilah yang duduk di hierarki tertinggi dan memiliki kuasa pemutus terhadap sesuatu dasar, polisi, pelan dan perancangan serta perlaksanaan sesuatu dasar, polisi dan pelan.

Namun, semakin lama kuasa politik digunakan untuk mengatur dan "menambah-baik" sesuatu elemen pemerintahan negara, timbul banyak tindakan dan keputusan yang boleh dipersoal dan dikritik, sehingga pihak yang "di atas ini" sukar memberikan jawapan yang memuaskan dan meyakinkan hamba rakyat.

Telah lama saya ingin menulis perihal nasib dan rasa gusar saya terhadap perkembangan yang melibatkan hal orang Melayu mutakhir ini, kesan daripada cara orang politik berfikir, membuat keputusan dan mengurustadbir negara.

Namun, saya sengaja menyekat kehendak hati ini kerana isu berkaitan Bumiputra (son of soil) seringkali menerima respon yang negatif setiap kali ia dibahas dan diutarakan di mana-mana platform media massa (blog, akhbar, forum etc.).

Bagi posting ini, saya tidak mengkhususkan ia untuk menghuraikan nasib Melayu, tetapi sekadar menggunakan perkembangan mutakhir terutama beberapa keputusan kerajaan dalam perkara liberalisasi, biasiswa terbuka, pemilikan ekuiti 30%, 1Malaysia, dan perpaduan kaum sebagai idea penulisan.

Visi 2020

Untuk menghuraikan idea dan intipati penulisan ini, saya akan menggunakan anologi/perumpamaan yang saya kira mudah dan ringkas untuk kefahaman para pembaca yang budiman.

Malaysia kini boleh saya ibaratkan beberapa kumpulan manusia yang sedang berdayung (guna pelampung) menyeberang sebatang sungai, dari daratan asal bernama "negara membangun" untuk menuju ke tanah seberang, daratan baru yang bernama "negara maju".

Tempoh menyeberang menggunakan pelampung "secara berkumpulan" ini telah bermula secara serius pada tahun 1974 dan kumpulan berpelampung ini dijangka akan mendarat di seberang sana menjelang tahun 2020.

Istilah "secara berkumpulan" bermaksud, ada 4 pelampung iaitu pelampung yang sarat membawa orang-orang Melayu (ibu itik), diikuti (anak-anak itik) iaitu pelampung untuk orang Cina, diikuti pelampung yang membawa orang India dan diikuti pelampung yang membawa orang asing yang berkepentingan (pemodal).

Manakala, sungai yang begitu ganas dan kuat arus yang sedang diseberangi bernama "Sungai Liberalisasi", yang mana dengan tahun 2020 bakal tiba tidak lama lagi, Sungai liberalisasi inilah yang bakal menentukan berjaya atau gagalnya usaha pendayung-pendayung ini untuk tiba di "negara maju".

Di hari minggu sebegini, saya banyak menghabiskan masa dengan membaca blog dan akhbar online tanah air. Terpandang satu berita - Melayu sokong liberalisasi (sumber).

Apa sudah jadi?

- Saya tidak dapat pastikan sejauh mana "orang-orang Melayu" ini memahami apa yang dikatakan liberalisasi.

- Sejauh manakah "orang-orang Melayu" ini menyokong dasar liberalisasi?

- Apakah mereka sokong ini benar-benar faham atau hanya mengiyakan sahaja kerana mengikut ketua?

- Adakah Mak Cik Limah, peniaga pisang goreng di simpang Felda itu faham akan liberalisasi? Atau majoriti kaum Melayu yang tinggal di desa dan pinggir bandar?

- Apakah Ah Chong, pemborong sayur dari Cameron Highland faham akan liberalisasi dan kesannya kepada perniagaan bekalan sayur yang diusahakan?

- Apakah Lingham, seorang buruh di estet getah di Kinta faham akan liberalisasi, dan kesannya kepada kemasukan tenaga kerja asing di sektor perladangan?

- Adakah majoriti rakyat (tidak kira bangsa) faham akan dasar liberalisasi ini? Adakah ramai di antara kita yang aktif melabur di pasaran saham?

Liberalisasi ringkasnya adalah dasar langit terbuka, yang membuka pintu kepada sesiapa saja yang pintar, mempunyai modal (kapitalis besar dari barat dan pemodal tempatan) untuk datang melabur dan juga membeli aset (menanam modal melalui pembelian saham, ekuiti syarikat, pemilikan hartanah seperti rumah, kilang dan kedai dan juga tanah) di bumi Malaysia.

Di bawah liberalisasi, persaingan adalah secara terbuka. Siapa yang kuat dan kaya, akan membolot segala ruang dan peluang, dan akhirnya menjadi bertambah kuat dan kaya.

Liberalisasi adalah perkataan yang enak disebut, tetapi pahit untuk ditelan terutama di dalam keadaan masyarakat yang belum mempunyai persediaan dan kekuatan untuk melawan arus "Sungai Liberalisasi" ini.

Jika salah percaturan, dari "tuan", boleh menjadi "hamba", lemas dan karamlah kita.

Jika dulu kita pernah mendengar dasar 30% ekuiti Bumiputra, penjualan harta orang Melayu di Johor kelihatannya agak terkawal sedikit terutama tidak ketara berpindah kepada tangan warga Singapura yang berlumba-lumba membeli "rumah kedua" di seberang tambak.

Kini? dan menjelang tahun 2020, dengan keadaan orang Melayu Johor (kawasan bandar), berapa kangkang kera-kah lagi yang tinggal untuk anak-anak Melayu Johor apabila warga Singapura yang lebih kaya dan mampu, membeli tanah-tanah dan rumah-rumah di sana?

Anda jual sebidang tanah hari ini, memang anda boleh jadi kaya. Tetapi tanah itu telah hilang buat selama-lamanya.

Bagaimana pula dengan kemampuan kita untuk bersaing dengan pelabur-pelabur luar dan kapitalis tempatan (golongan elit tempatan) untuk menstabilkan pasaran saham dan mengekalkan daya saing syarikat-syarikat dan perusahaan milik Melayu / Bumiputra?

(adakah perancangan ke arah liberalisasi ini turut dikaitkan dengan khabar angin di Petronas?)

Perihal pelampung

Orang Melayu kini boleh diibaratkan sedang mendayung pelampung yang kempis dan sering juga bocor. Cumanya, selama ini kebocoran pelampung masih dapat ditampal oleh ketuanya yang silih berganti.

Pelampung yang kempis ini hanya selesa didayung jika tekanan anginnya mencecah 30%. Namun, setelah 35 tahun berdayung, tekanan angin bagi pelampung Melayu ini baru mencapai tahap 19%.

Akibatnya, pelampung yang dikemudi pemimpin Melayu ini bergerak dengan perlahan, sedangkan pelampung milik lain-lain kaum di belakangnya begitu padat dengan angin dan dapat didayung dengan laju.

Makanya, kaum-kaum yang dipimpin Melayu ini merasakan kelembapan orang Melayu yang memimpin mereka merentas Sungai Liberalisasi selama ini telah secara langsung "menghalang" kemajuan kehendak dan keinginan bangsa mereka untuk maju.

Mereka semakin bimbang, jika pelampung Melayu ini terus bergerak perlahan, mereka juga turut berisiko untuk karam dan tenggelam dibadai arus Sungai Liberalisasi ini.

Justeru, dalam PRU yang lalu telah terbukti jika pelampung pemimpin Melayu ini tidak didayung lebih laju atau memberi lebih ruang kepada pelampung bangsa lain untuk bergerak ke depan, makanya mereka akan dihukum.

Makanya, hampir karam juga pelampung orang Melayu selepas PRU yang lalu.

Justeru, setelah melihat merosotnya semangat setiakawan dan sokongan rakan bangsa lain, ketua pelampung Melayu baru-baru ini telah melancarkan agenda 1Malaysia, bertujuan membolehkan semua pelampung ini diberikan jalan untuk bergerak bahu-membahu, selari dalam laluan yang sama menuju negara maju.

Bagi menguatkan lagi tanda keikhlasan untuk berubah demi mengekalkan sokongan rakan pelampung yang lain, melalui 1Malaysia, dasar liberalisasi telah dilancarkan, biasiswa terbuka diperkenalkan, ekuiti 30% bumiputra (yang selama 35 tahun ini menjadi impian oleh orang-orang Melayu sendiri) turut dihapuskan.

Dulu orang Melayu berapi-api marah jika hak 30% ini cuba dipersoal, tetapi kini? - Melayu sokong.... Kalau saya, terguris juga hati ini.

Impian 30% pun gagal, malah terlalu jauh untuk digapai. Kini diganti pula dengan harapan baru yang belum tentu timbul-tenggelamnya, serta tiada jaminan ianya mampu membawa pelampung Melayu berjaya sampai ke seberang.

Pelampung yang sedia kempis itu nampaknya semakin banyak lubang bocor setelah banyak hak Melayu dikompromi untuk bukan Melayu. Saya risau, jika terlalu banyak lubang bocor, kelak bukan sahaja pelampung kita ditinggal rakan bangsa lain (tanpa dibantu - kerana sifat langit terbuka), tetapi lebih buruk, jika pelampung Melayu yang sarat ini semakin tenggelam dan karam di dasar Sungai Liberalisasi, sebelum berjaya tiba di seberang "negara maju".

Maka, kaum Melayu yang tidak tahu-menahu tentang globalisasi seperti Mak Limah dan Haji Yop, juga turut terjejas kehidupan mereka dan anak-cucu mereka.

Jikapun kita tidak karam, mungkin maruah dan rasa bangga diri itu terpaksa kita korbankan dengan "menumpang di pelampung rakan bangsa lain pula. Tetapi apabila menumpang, kenalah ikut perintah tuan rumah, bukan?

Apa perlu kita buat?

Pertama, kita perlu sedar bahawa kita sekarang sedang mendayung pelampung yang semakin kempis dan bocor. Dibocorkan oleh tangan-tangan pemimpin Melayu sendiri yang memegang kuasa (politik) negara.

Nasib kita dan generasi anak-cucu kita belum ada jaminan yang pasti. Apakah kita dapat menjadi tuan kepada nasib kita sendiri, ataupun hidup menumpang di tanah orang.

Kedua, jika masih mahu mengekalkan rasa bangga (sense of pride) sebagai bumiputra, nasihat saya, belajarlah berenang bermula dari sekarang.

Pastikan diri sendiri pandai berenang, ajar anak-cucu kita untuk berenang dan galakkan / nasihatkan saudara dan rakan kita untuk sama belajar berenang.

Adalah amat memalukan jika ditakdirkan pelampung Melayu terkaram di tengah sungai, kita tidak perlu menumpang hidup di pelampung bangsa lain dan mengikut telunjuk mereka.

Kita perlu menjadi bangsa yang gagah dan bangga, kerana jika kita pandai berenang di kala pelampung Melayu itu karam dan pemimpin kita semua mati lemas kerana mereka sudah terbiasa dengan hidup terlalu selesa (perut kenyang), kita dan anak-cucu kita masih mampu menyelamatkan diri dan berenang ke daratan seberang, dan tanpa menumpang di pelampung orang lain.

"Berenang" ini maksud saya ialah dengan memastikan kita ada nilai tambah (value added), perkayakan diri dengan ilmu pengetahuan, asuh anak-anak supaya belajar rajin-rajin, belajar tinggi-tinggi hingga berjaya.

Tiada yang dapat bantu kita di kala kita susah, melainkan diri kita dan ilmu yang kita ada.

Wassalam.

Thursday, 2 July 2009

Pakatan di Kedah

Komen ringkas:

Jangan sibuk nak jadi pemimpin kepada "orang", kalau hal "babi" sekandang pun tak dapat nak selesaikan! Apa punya sekumpulan "pemimpin" la ni...

Itu belum lagi jika ditakdirkan tiba-tiba banyak bendang kat Kedah tiba-tiba ada emas...Hoho..

Sayu hatiku...

Seperti kata pepatah "kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tidak nampak". Kita seringkali kritikal apabila membahaskan sesuatu perkara. Tambah berapi lagi jika melibatkan hal-hal agama / kepercayaan.

Kita begitu bersemangat mengulas dan menghakimi dan sering (terlepas) menghukum mana-mana pihak yang tidak sehaluan dan sama ideologi dengan kita.

Jika di Malaysia, kita masih berlegar di dalam konteks perbahasan yang sempit, terutama di dalam membincangkan siapa yang benar dan jujur dalam hubungan PAS - UMNO terutama dalam hal-hal berkaitan Islam dan orang Melayu.

Tidak salah. Namun, kita juga hendaklah sentiasa peka dan prihatin terhadap perkembangan yang menyentuh hal-hal ummah dan agama Islam dalam konteks yang lebih luas.

Kali ini saya ingin mewar-warkan satu perkembangan yang tidak begitu baik, disampaikan oleh sahabat (Mohd Fadzli) melalui email beliau. Ianya berkenaan perlumbaan membina bangunan-bangunan pencakar langit bersebelahan kota suci umat Islam, Mekah.

Kita berselisih pendapat dalam hal-hal yang kompleks dan rumit, Nah! ini kemudaratan telah berada di hadapan pintu Kaabah yang setiap kita dambakan tawaf setiap kali berhajat ke Mekah.

Bukankah ada Hadith yang menyatakan di antara tanda-tanda kiamat itu adalah bilamana manusia berlumba-lumba membina bangunan yang tinggi-tinggi?

Kerja-kerja membina bangunan pencakar langit yang menempatkan gedung perniagaan dan hotel mewah sedang giat dibina bersebelahan kompleks Masjidil Haram.

Di mana "semangat" dan "rasa fokus" untuk buat Haji jika mata terkelip-kelip dan kepala lenguh mendongak melihat bangunan-bangunan mewah yang bakal siap tidak lama lagi.

Mana satu fokus para jemaah haji? Mengapa dibiarkan Masjidil Haram "nampak kecil" berbanding bangunan komersil di sekitarnya?

Tidak lama lagi, terlindunglah kesemua menara Masjid "dipagari" bangunan yang tinggi-tinggi ini.

Benarlah "kelak, mereka yang berdatang ke Mekah adalah untuk membeli-belah (sudah banyak gedung dan pasaraya), ada yang datang untuk berniaga, yang kaya pula untuk bermegah-megah (menginap di hotel mewah) dan yang miskin datang untuk mengemis (di luar pintu Masjidil Haram)".

Renung-renungkanlah wahai sahabat semua...

Dr. Sepet: Teringat kata guru, pergi ke kampung Orang Asli buat kajian, rehat dari kesibukan kerja di pejabat seperti pegi ke Mekah melaksanakan ibadah Haji / Umrah. Macam mana entahnya cara orang-orang Arab berfikir ye?

Lawak "broken"

Bersediakah guru-guru di luar sana?

Kartun: sumber

Wednesday, 1 July 2009

Congak-congak Manek Urai

Serang secara psikologi, bukan secara peribadi

Posting kali ini saya selang-selikan dengan hasil laporan wartawan Berita Harian yang memetik pandangan beberapa ahli akademik mengenai peluang calon-calon yang bakal berentap untuk merebut kerusi DUN Manek Urai, 14 Julai ini.

Manek Urai boleh saya katakan sebagai satu kes yang unik. Unik dan berbeza dengan beberapa kawasan PRK yang dilalui sebelum ini terutamanya dari segi komposisi kaum.

Dengan 99.2% pengundi Melayu (hampir monogen), isu perkauman dan agama dilihat sukar untuk mengambil hati para pengundi, melainkan isu peribadi digunakan pihak-pihak yang bertanding untuk dibangkitkan / dihangatkan untuk memancing undi.

Biarpun sehingga kini strategi kempen berbentuk serangan peribadi melibatkan calon-calon yang bertanding belum begitu ketara, tetapi di laman-laman blog pro-PR nampaknya telah ada "kisah-kisah lama" yang mula dibongkar - baca di sini (saya suruh baca saja, bukan suruh percaya! - ada beza tu).

Saya melihat tindakan menyerang peribadi lebih memihak kepada pro-PR memandangkan calon PAS Mohd Fauzi, setakat yang diketahui tidak terbabit dengan pengurniaan "kontrak", "tender" mahupun mengetuai "urusniaga" membekal dan memborong ikan secara besar-besaran bagi agensi kerajaan dan sebagainya.

Sebaliknya bagi calon UMNO, Tuan Aziz yang begitu berpengalaman di dalam kerja-kerja pentadbiran dan pengurusan di KESEDAR, mungkin secara sedar atau tidak, beliau juga turut dilibatkan dengan urusan meluluskan kontrak, tender dan urusniaga bagi kepentingan agensinya.

Apapun, selagi seseorang itu profesional dan amanah di dalam tugasnya, tiada apa-apa yang perlu dibimbangi oleh Tuan Aziz di dalam hal ini.

Jika serangan peribadi tidak begitu memihak kepada UMNO/BN dalam situasi di Manek Urai, makanya opsyen kedua boleh digunapakai - "BN kena guna psikologi di Manek Urai" (Prof Dr Ahmad Atory Hussein) (sumber).

Tambah Ahmad Atory lagi, bagi membolehkan strategi secara psikologi digerakkan secara berkesan, "mereka-mereka" yang menjadi liabiliti (bangkai bernyawa) kepada parti juga tidak perlu dikerah turun berkempen.

Pernyataan beliau ini kelihatan seperti menyanggah usaha yang sedang dirintis oleh Pemuda UMNO Kelantan yang awal-awal lagi menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Ketua Pemuda UMNO Malaysia (KJ) untuk menggempur Manek Urai.

Pernyataan seterusnya oleh Ahmad Atory lebih menarik minat saya iaitu perlunya jentera BN untuk tidak membangkitkan serangan peribadi, terutama kepada TGNA, Menteri Besar Kelantan yang juga merangkap Mursyidul Am PAS - "Ini kerana di Kelantan Nik Abdul Aziz dihormati kawan dan lawan" .

Saya sependapat dengan beliau dalam bab ini setelah melihat nasib calon-calon UMNO/BN pada PRU-12 yang lalu, hasil kempen yang "mengusik" peribadi TGNA. Hal yang sama juga telah saya bangkitkan di dalam beberapa posting di blog ini sebelum ini.

Pada pandangan saya, cara Ahmad Atory bercakap juga sebenarnya boleh dijadikan ingatan, terutama kepada "mereka-mereka yang menjadi liabiliti parti" agar lebih berhati-hati dalam berkempen di bumi Kelantan.

Janganlah disempitkan lagi peluang UMNO/BN untuk memulihkan imej di mata orang-orang Melayu.

Justeru, kaedah yang paling selamat dan mungkin berkesan adalah dengan menggiatkan kempen berbentuk penerangan bagi menjawab isu-isu semasa berkaitan UMNO/BN (seperti isu Perak, Biasiswa 1Malaysia, royalti minyak Kelantan, etc) kepada para pengundi dan di masa yang sama berusaha mengetengahkan bakat dan potensi calon mereka, Tuan Aziz di peringkat akar umbi.

Faktor calon

Pelbagai analisa juga dibuat dan dilaporkan pelbagai sumber terhadap calon-calon yang bertanding.

- Ada yang menggunakan faktor umur (yang muda + kederat muda) sebagai faktor kelebihan untuk pertimbangan para pengundi.

- Tidak kurang yang melihat latar belakang akademik sebagai penentu daya intelektualiti calon.

- Pengalaman di dalam pengurusan parti dan luar parti juga diambilkira bagi membuktikan kewibawaan calon untuk menjadi pemimpin masyarakat atau YB.

- Malah, ada yang berhujah menggunakan faktor grassroot sebagai pendorong kepada penerimaan calon (pilihan suka ramai) oleh pengundi setempat.

Akan tetapi faktor calon semata tidak dapat memenuhi kepuashatian pemilih, tanpa mengambilkira faktor parti dan manifesto dan janji yang dibawa mereka.

Justeru, di sinilah letaknya peranan yang lebih besar oleh jentera kempen dan para pimpinan atasan parti untuk turun padang meyakinkan para pengundi, berdamping dan menyelami hati dan kehendak mereka di dalam sesuatu isu.

Congak-congak

P. M. Dr Agus Yusoff dari UKM juga dilaporkan tidak nampak faktor calon akan memberikan kelebihan yang signifikan kepada parti yang bertanding.

"Saya ingat faktor calon tidak beri kelebihan pada mana-mana pihak. Manek Urai bergantung kepada bagaimana UMNO menguruskan persepsi orang terhadapnya, kerana ia bukan lagi soal isu" - Dr. Agus (sumber).

Beliau menegaskan pentingnya jentera kempen UMNO memiliki keupayaan bagi menjawab (dengan bijak) segala persoalan dan tohmahan yang dikaitkan dengan persepsi negatif terhadap UMNO.

Dan bukannya berterusan mengamalkan politik ugutan seperti "tiada pembangunan tanpa BN", kerana taktik sebegini telah terbukti tidak lagi berkesan - juga telah saya kupas sebelum ini.

"Mereka (pengundi) ini semua adalah penoreh getah, petani dan peneroka yang tidak takut pada harimau atau apa-apa binatang. Inikan pula sebuah parti politik" - Dr Agus (sumber)

Adalah sukar untuk menyatakan di peringkat awal ini siapa yang bakal menang (output) memandangkan (proses) pun belum digerakkan secara rasmi.

Daripada calon yang masing-masing berwibawa dan dikenali di peringkat akar umbi dan komitmen yang dipamerkan pimpinan kedua-dua parti dan pakatan (BN dan PR), peluang di Manek Urai dilihat masih 50-50.

Cumanya, kenalah tilik juga kejutan di peringkat akhir seperti "faktor Tok Guru", yang tidak dapat disangkal berkemampuan untuk merubah jalan dan rentak permainan kedua-dua pihak yang bertanding ini.

Sebagaimana Dr. Agus, saya juga menyandarkan harapan biarlah PRK kali ini berlangsung di atas landasan demokrasi yang tulen.

Biar apapun keputusan yang dicapai pada PRK DUN Manek Urai kelak, ia hendaklah mencerminkan kematangan dan "kedewasaan" berpolitik kedua-dua pihak.

Sekian.