Wednesday, 8 April 2009

Memahami Tun

Yang Asal

Hajat asalnya ingin mengulas berkenaan "memahami Tuan Guru" (Yang Berbahagia D. Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan) - kerana kerap kali saya baca kenyataan yang dikeluarkan beliau di dada-dada akhbar arus perdana dan alternatif, dan sesetengahnya saya tidak begitu (dapat) memahami maksud tersirat dari hati beliau.

sumber foto: http://blogtokguru.com/

Tidak sesekali bermaksud oleh saya untuk mengkritik mahupun merendahkan tuan guru yang saya hormati, dan jauh sekali untuk menyakiti hati sesiapa jua di sini. Barangkali ketinggian ilmunya dan cara pemikirannya dan berhujjahnya berkenaan sesuatu isu masih belum tercapai oleh pemahaman saya.

Lihat saja pernyataan dan pendirian tegas tuan guru di dalam pelbagai perkara yang kadang-kala (malah seringkali juga) mengundang kontroversi, provokasi, sehinggakan beliau diserang secara peribadi oleh pelbagai pihak yang biasanya kurang senang dengan beliau dan pendapat yang telah beliau sampaikan.

Namun, lihat saja keesokkan harinya, di mana tuan guru akan kembali muncul dengan pernyataan dan pendirian tegas (pedas) terhadap isu yang lain pula! - menarik sungguh.

Saya cuma berharap agar lama-kelaman akan dapat memahami dan 'menangkap' hasrat tersirat yang ingin disampaikan tuan guru melalui setiap pernyataan yang beliau buat.

Sukar Memahami

Baik, kembali kita kepada tajuk asal perbincangan.

Baru saja saya hendak cuba memahami Tuan Guru, saya kemudiannya tambah keliru lagi untuk "memahami Tun" - Dr Mahathir, yang baru-baru ini mengumumkan yang dia akan/telah pun masuk semula ke dalam UMNO.

sumber foto:http://www.vccmahathir.com/

Sumber foto: http://www.vccmahathir.com/

Begitulah seni politik. Setelah setahun di luar UMNO, parti yang diterajui beliau selama 22 tahun, UMNO dikritik teruk oleh beliau sendiri. Lihat dan baca beberapa sumber di bawah berkenaan kritikan beliau terhadap pimpinan dan parti UMNO selama berada di luar yang dipetik dari blog beliau.

27 Mac 2009
http://chedet.co.cc/chedetblog/2009/03/kenapa-saya-tidak-hadir.html

21 Mac 2009
http://chedet.co.cc/chedetblog/2009/03/pemilihan-majlis-tertinggi-umn.html

10 Mac 2009
http://chedet.co.cc/chedetblog/2009/03/rasuah-umno-2.html


Kritikan oleh negarawan seperti beliau telah tidak dinafikan turut menyumbang kepada tercalarnya imej parti pemerintah (sedikit-sebanyak). Hasilnya, prestasi parti pemerintah telah merosot dengan drastik pada PRU ke 12 yang lepas.

Kritikan Tun M. kepada Tun 'Pak Lah' juga dianggap memberikan political mileladge kepada Pakatan Rakyat untuk mengukuhkan pengaruh dan sokongan di peringkat bawah (rakyat).

Tetapi itu telah lalu, dan kini Tun telah kembali ke pangkuan UMNO, disambut dengan emosi yang bercampur oleh pelbagai pihak. Lihat penulisan terbatu beliau tentang "kenapa saya masuk balik UMNO" di:

http://chedet.co.cc/chedetblog/2009/04/kenapa-saya-masuk-balik-umno.html

Beliau juga telah turun membantu jentera kempen 'parti lama yang baru didaftarnya semula' di Bukit Selambau dan Bukit Gantang, tetapi golongan pengundi di sana dilihat masih 'belum merestui' usaha yang dibuat pihak parti Tun.

Tindakan Tun "masuk-keluar-masuk" inilah yang cuba saya fahami. Bagaimana seorang tokoh yang keluar kerana tidak sefahaman dalam sesuatu perkara, menjadi seorang yang bebas (boleh mengkritik, etc) dan kini, bersama semula dengan pihak yang dikritiknya? Ini saya tidak faham.

Namun, inilah politik dan sama-samalah kita tunggu apa pula perkembangan seterusnya.

Bila cuaca baik

Memandangkan cuaca di hujung minggu ni agak baik (panas tapi berangin), elok juga rasanya kami menjalankan sedikit kerja-kerja pembersihan laman belakang rumah.

Saya ditugaskan untuk memotong rumput (sebenarnya nak cuba mesin potong rumput yang baru dibeli tadi) dan juga memotong ranting-ranting kecil yang tidak diperlukan. Isteri pula menyapu daun-daun kering dan membuang semak-samun kecil di belakang.

Selepas sejam bertekun di laman, sejam yang kemudiannya pula kami digunakan untuk melepak bersama Mawaddah sambil-sambil membaca buku Sidney Sheldon 'Bloodline' dan makan pisang.

Harapnya cuaca hujung minggu yang akan datang juga baik macam minggu ini sebab bolehlah kami bersantai di luar lagi, berbaring di atas tikar, menghirup udara dingin sambil minum air coklat panas.





Tuesday, 7 April 2009

Masing-masing menang


SUNGAI PETANI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah, apabila calonnya, S Manikumar, 35, menang dengan majoriti 2,403 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dan 13 calon Bebas.

Manikumar memperoleh 12,632 undi manakala calon BN, Datuk S Ganesan, 49, mendapat 10,229 undi dalam pertandingan paling ramai calon dalam sejarah pilihan raya negara.

Semua 13 calon Bebas hilang wang deposit selepas gagal mendapat undi minimum satu per lapan daripada keseluruhan undi, sekali gus mencatatkan satu lagi sejarah sebagai pilihan raya paling ramai calon hilang wang deposit.

Pilihan raya kecil itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila kertas undi paling besar digunakan bagi memuatkan 15 nama dan simbol calon.

===============

TAIPING: Pas mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gantang apabila calonnya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memenangi pilihan raya kecil kawasan itu hari ini dengan memperoleh majoriti 2,789 undi.

Mohammad Nizar, 52, yang juga bekas Menteri Besar Perak memperoleh 21,860 undi, menewaskan calon BN, Ismail Saffian yang meraih 19,071 undi serta calon Bebas Kamarul Ramizu Idris yang hanya memperoleh 62 undi dan hilang wang pertaruhannya.

===============

LUBOK ANTU: Calon Barisan Nasional (BN), Malcolm Mussen Lamoh menang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air dengan memperoleh majoriti 1,854 undi mengalahkan pencabarnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawah Gerang.

===============

Nota kaki:

-tiada apa-apa kejutan besar yang terjadi. Malah, dilihat sekali imbas BN dan PR sebenarnya sama-sama menang, dengan berjaya mempertahankan kerusi yang juga telah disandang mereka sebelum ini.

-keputusan ini juga menunjukkan usaha Tun M kembali ke pangkuan parti lamanya dan slogan PM yang baru bagi 'memohon restu rakyat' masih belum 'direstui' sepenuhnya oleh para pengundi di kawasan-kawasan terbabit (Perak dan Kedah).

-kejayaan memenangi beberapa jawatan penting (Timbalan Presiden, Ketua Pemuda, Ketua Puteri dan Ketua Wanita) semasa persidangan agung UMNO yang baru saja selesai juga dilihat tidak begitu mempengaruhi 'pertukaran mood' di kalangan pengundi di kedua-dua kawasan (Perak dan Kedah).

-yang jelas undi majoriti yang dimenangi meningkat di ketiga-tiga kawasan. Iaitu PR hilang undi kepada BN di Batang Air, dan BN hilang undi kepada PR di Bukit Selambau dan Bukit Gantang.

-apapun kita tunggu dan lihat apa analisa dan rumusan oleh pihak-pihak berkaitan mengenai keputusan pilihanraya di ketiga-tiga kawasan ini esok, selepas depa semua bangkit dari tidur (setelah kepenatan berkempen dan menunggu keputusan malam tadi...)

Wassalam.

Monday, 6 April 2009

Cara orang kaya berfikir

Posting ini tidak bermaksud untuk mengata mahupun menyakitkan hati sesiapa yang membacanya. Ia sekadar menyatakan pendapat yang pada saya ada betulnya, terhasil daripada perbualan saya dengan seorang ahli perniagaan tidak lama dulu.

Ianya berkaitan 'kereta menurut perspektif ahli perniagaan'. Mungkin pendapat beliau tidak mewakili keseluruhan ahli perniagaan mengenai perkara ini, namun bagi saya ianya berbaloi untuk dikongsi bersama para pembaca.

Prestij

Bagi seseorang ahli perniagaan, memiliki kereta yang berjenama akan melambangkan prestij yang juga akan membantu memberikan imej serta penampilan yang meyakinkan apabila ditonton seseorang klien@bakal klien.

Justeru, dapatlah dilihat di sekeliling kita di mana setiap usahawan, mahupun kontraktor kecil sekalipun, perkara pertama yang akan mereka beli apabila memulakan perniagaan, atau apabila mendapat satu kontrak yang kecilpun, adalah upgrade kereta.

Pada mereka, biarlah orang kata 'kerak lebih besar dari periuk' ataupun 'lebih sudu dari kuah', memiliki kereta yang berjenama akan memberikan extra credit untuk peluang perniagaannya.

5 tahun

Saya memang memahami situasi di atas bilamana, imej 'kaya' perlu dibentuk oleh seseorang ahli perniagaan to impress the potential costumers/clients.

Saya cuma musykil terhadap 'pelaburan' membeli kereka berharga beratus ribu ringgit dengan kejayaan atau keuntungan daripada aktiviti perniagaan yang mereka perolehi. Soalan inilah yang saya tanyakan kepadanya.

Jawab beliau, secara mudahnya setiap kereta baru yang dibeli tidak kira Merz, BMW, Proton Perdana, Toyota, etc. hanya beliau guna untuk tempoh 5 tahun (atau kurang lagi). Contohnya, kereta Perdana yang dibeli pada tahun 2000 (RM105,000) akan beliau jual pada tahun 2005 (RM 35,000).

Hal ini tambah beliau, memandangkan selepas 5 tahun, kereta-kereta ini akan mula perlukan major repair dan penjagaan lebih teliti. Berbeza sebelum 5 tahun di mana dalam tempoh itu beliau hanya perlu mengisi minyak dan minor repair.

Dalam tempoh 5 tahun penggunaan tu jugalah kereta tersebut 'diperah gila-gila' untuk ke utara - selatan, timur - barat bagi urusan perniagaan beliau. Apa yang berlaku dalam enjin tu tidak diambil tahu.

Lepas 5 tahun, perbatuan kereta pun dah beratus ribu, kereta pun dah semput (tetapi berjenama), business pun dah banyak untung, maka dijuallah kereta itu di pusat kereta terpakai.

"Lepas tu, biarlah orang miskin macam u all yang tolong jaga kereta tu pulak." Kata beliau pada saya.

Katanya, ramai orang akan beli kereta BMW kalau dijual pada harga RM40,000 (yelah, baru 5 tahun pakai).

Semasa di pusat kereta terpakai tu memanglah si penjual kereta to akan promote gila-gila kereta tu, maklumkan kereta berjenama.

Makanya juga, ramailah termakan umpan si penjual kereta terpakai tuh.

Selepas dibeli dan dibawa berjalan dan ke tempat kerja selama beberapa bulan, mulalah si pembeli ni mengeluarkan belanja yang banyak membuat kerja-kerja selenggara BMW atau Merz yang dibeli dari 'orang kaya sebelum ini'.

Si kaya ni pula akan membeli lagi kereta baru dan begitulah kitarannya. Itulah cara orang berniaga berfikir dan mengira, katanya kepada saya.

Disebabkan saya waktu itu tiada hasrat atau sebagainya untuk memiliki kereta yang mewah (terpakai) maka pendapat beliau saya ambil sebagai penambah ilmu pengetahuan sahaja.

Sudahnya

Sudahnya, kita sendiri boleh membuat timbang-tara dan perkiraan masing-masing terhadap mana yang dirasakan baik atau sebaliknya.

Tidak semestinya membeli kereta mewah terpakai itu tidak baik atau merugikan, kerana ramai juga rakan-rakan yang OK je pakai kereta-kereta ini. Saya sendiri pun sekarang hanya mampu beli yang terpakai juga.

Cuma, cara orang berniaga berfikir ini memang berguna untuk kita semua ambil maklum supaya di masa depan apabila hendak membeli kereta berjenama (yang terpakai terutamanya), ingatlah pesanan di bawah ini dan buatlah pertimbangan secara teliti.

Sekadar renungan: "Orang mungkin nampak yang kita ni senang apabila memandang kereta besar yang kita naik. Tapi hal kesusahan kita (korek duit sini-sana nak maintain kereta besar tu), hanya kita dan tuhan saja yang tahu'.

Berbanyak maaf dan Wallahua'lam.

Saturday, 4 April 2009

Tarik Tali Bermula

Posting kali ini bukanlah berkenaan sukan tarik tali, tetapi sekadar mengupas kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Setiausaha Agung, Loke Yuen Yow dari MCA berkaitan 'perkongsian kuasa sebenar' parti-parti di dalam perikatan Barisan Nasional, yang juga kerajaan pemerintah di peringkat persekutuan, di Malaysia.

Harapan

Masih belum terlewat untuk saya sebagai seorang rakyat mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada D.S. Mohd Najib Tun Abd Razak di atas lantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6 semalam.

hari pertama, tugas pertama

Sesungguhnya sejarah baru telah tercipta. Biar apapun komen, tohmahan mahupun kesimpulan yang dibuat oleh 'terlalu-lalu-lalu' ramai orang, bloggers, ahli politik, etc. berkaitan diri dan pribadi PM ke-6 ini, majlis angkat sumpah semalam telah mengakhiri segala cakap-cakap belakang tersebut.

Bagi yang tidak senang hati atau tidak mahu ada saham di atas situasi yang telah berlaku, tiada apa-apa yang boleh diubah lagi. Hidup ini perlu diteruskan.

Jikalau anda masih tidak bersetuju disebabkan isu moral/pribadi (sama ada isu tersebut benar atau spekulasi), bersamalah kita serahkan yang terbaik kepada Allah taala yang padaNya sebaik-baik kuasa yang menentukankan segala sesuatu.

Apa yang perlu dilakukan adalah mengharapkan D.S. Najib dapat menyakinkan kepada kita rakyat dari segi kemampuan kepimpinannya dalam memacu negara menghadapi dan menangani pelbagai cabaran dan permasalahan terutama berkaitan perpaduan antara kaum dan memperkasakan ekonomi negara untuk tahun-tahun yang mendatang.

Dah lama main tarik

Berbalik kepada topik asal. Kenyataan oleh Loke ini berkisar kepada tuntutan oleh kaum Cina di dalam kerusi pemerintahan BN iaitu telah tibanya masa untuk BN mewujudkan kerusi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi BN untuk MCA.

Menurutnya lagi, selepas 52 tahun merdeka, rakyat masih belum melihat wujud apa yang dikatakan sebagai 'amalan perkongsian kuasa yang sebenar' di dalam kerajaan memerintah kerana hanya UMNO saja memenuhkan jawatan tertinggi, tidak kira di dalam BN, mahupun kerajaan Malaysia.

Tambah beliau, dengan memperuntukkan satu kerusi TPM kepada kaum Cina juga diharap dapat membantu menggariskan dasar yang lebih adil dan berfaedah kepada semua pihak, terutama masyarakat Cina dalam ekonomi dan pendidikan (ini dua bidang yang menjadi kunci kekuasaan kepada sesiapa jua yang faham maksud saya).

Sumber: http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=News&file=article&sid=4266/

Lihat link/sumber untuk berita penuh.

Sehingga kini, belum ada lagi sebarang respon yang dikeluarkan oleh PM mahupun pemimpin-pemimpin lain. Sama ada tengah menyusun strategi menghadapi pilihanraya di 3 kawasan, atau merangka strategi pembangunan negara (kalau betul, Alhamdulillah), tak pun semua pak menteri tengah dok berdebar menunggu senarai rombakan kabinet yang baru kelak (?).

Isu dan tuntutan ini bukan perkara baru. Malah ia menjadi dilema yang berpanjangan kepada UMNO khususnya yang menjadi tonggak orang Melayu di dalam BN.

Ini kerana secara sifir mudah, jika berlaku perpecahan sehingga membawa keluarnya parti-parti di dalam BN, besar kemungkinan UMNO akan kehilangan kuasa sebagai kerajaan persekutuan kerana tidak mendapat cukup kerusi parlimen.

Hal yang sama juga akan terjadi kepada MCA, MIC atau apa jua komponennya.

Maka, di atas dasar memastikan kesinambungan kewujudan bersama inilah BN masih bertahan sebagai satu entiti yang membawa aspirasi dan dokongan rakyat berbilang bangsa di Malaysia.

Jika di zaman Tun Mahathir dan Tun Pak Lah mereka masih belum berjaya, apakah mereka akan berjaya kali ini? (saya pun tiada jawapannya).

Itu Cina. India pula?

Peranan, kejayaan dan kekuasaan kaum Cina dalam ekonomi telah tidak dapat kita nafikan. Dan sekarang mereka tuntut pula hak dan kuasa dalam politik dan pentadbiran.

Jika permintaan ini dipertimbang, bagaimana pula permintaan kaum India?

Apakah langkah MCA ini akan dituruti oleh MIC pula? Nampaknya begitulah. Jika terjadi, ianya tidak memeranjatkan kerana dilihat kaum India sekarang ini begitu dahagakan perubahan. Berkehendakkan suara dan hak mereka diberi ruang dan tindakan sewajarnya oleh kerajaan.

Inilah masalah dengan demokrasi. Apa jua kebaikan yang ditunjukkan, pada akhirnya terletak di atas tanda pangkah pada kertas undi.

Perbezaan 1 undi pun boleh memisahkan menang atau kalah seseorang calon itu, tidak kiralah apa bentuk sumbangan beliau sebelum itu. Mungkin yang seorang itu hanya main-main saja semasa memangkah? Tiada siapa yang tahu... Namun implikasinya begitu besar kerana perbezaan kecil ini mampu untuk menukar suatu kuasa mahupun kerajaan yang memerintah!

Dan telah terbukti juga bilamana undi kaum India banyak menyeberang ke parti lawan (terutamanya PKR) pada pilihanraya yang lepas dan ia telah diakui pelbagai pihak.

Justeru, apakah mungkin MIC pula akan menuntut hak yang sama selepas MCA, seperti diamalkan di Pulau Pinang di mana Ketua Menteri DAP (Cina), dan kemudian diwujudkan TKM1 dan TKM2 sebagai wakil kepada kaum Melayu dan India?

Berubah atau rebah

Diharapkan D.S. Najib dapat mempamerkan kebijaksanaan beliau di dalam mentadbir negara dan menangani segala isu yang timbul, termasuklah yang ini.

Sesungguhnya rakyat akan sentiasa melihat dan menilai segala tindak-tanduk para pemimpin yang diangkat bagi membawa dan menjaga amanah ini.

Dengan sistem demokrasi yang kita pegang, memungkinkan 'cakap kena bikin' itu untuk diterjemahkan sebaiknya kerana jika janji untuk berubah tidak ditunai, maka boleh rebah lah jadinya.

Selamat bertugas kepada PM yang baru dan selamat maju jaya untuk semua.

Korang Kena Tengok Movie Ni

Mengapa dalam banyak-banyak filem Melayu (selain semua movie P. Ramlee dan Senario Fun Fair dan Tebar Roti Canai), inilah filem yang boleh kata telah saya hafal dari awal sampai ke akhir. Filem arahan Mamat Khalid ini pada dasarnya tiada apa-apa pengisian berguna melainkan hiburan semata dan mungkin bertujuan membantu menambahkan jualan pengeluar bedak sejuk bumiputra (gurau).

Namun, pernahkah anda melihat Awie dan Que Haidar berlakon sebagai orang yang bodoh-bodoh alang sebelum ini? Yelah, Awie kan terkenal sebagai mamat hero dalam kebanyakan filem arahan Yusuf Haslam dan Que pulak banyak memainkan watak serius dalam Castello (bukan biskut tu) dengan Rosyam Nor.

Apapun, korang boleh cuba tengok dan tengok sampai ke penghabisan cerita.

LOLZ!

Thursday, 2 April 2009

Pendidik dan Politik

Sambil-sambil menjengah berita harian online sebentar tadi, terpandang satu tajuk, "Hishamuddin Pertahan Cadangan Guru Kumpulan A Dibenar Berpolitik'.

'Berpolitik' ke mana?

Konsep guru atau berguru ini telah wujud lama sebelum pendidikan formal terbentuk di Malaysia. Di kalangan orang-orang Melayu khususnya, guru menjadi figure yang begitu dihormati dan disanjung tinggi dalam masyarakat. Guru dihormati kerana ilmunya dan peribadinya.

Tugas sebagai guru ketika itu dilihat bukan hanya sebagai 'seorang yang menyampaikan ilmu' malah lebih menyeluruh sehingga telah diakui guru sebagai agen perubahan (minda dan sikap masyarakat).

Lihat saja di kampung-kampung, bagaimana guru agama/mengaji di amanahkan untuk menyampaikan ilmu agama dan memperbetulkan pribadi anak-anak, guru silat menjadi tempat anak-anak muda mendalami ilmu mempertahankan diri, guru menjahit bagi mempersiapkan diri anak gadis sebelum berumah tangga, etc.

Malah di awal pembentukan Malaya lagi, gurulah yang turun ke kampung-kampung berbasikal bersama-sama pemimpin (Tun Razak, etc) bagi menerangkan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat jelata.

Penempatan guru di sekolah di luar bandar, malah di pekan-pekan kecil di luar bandar dilihat memudahkan penyaluran maklumat dibuat kepada rakyat di waktu itu. Namun, berbeza dengan hari ini di mana di sebalik kecanggihan ICT, jalan raya, etc. peranan guru tidak dimanfaatkan sebaiknya.

Guru hanya di dalam pagar sekolah. Kebanyakan masa hanya di sekolah dan mungkin hanya lalu atau melintas di depan kedai kopi dan warung, surau, atau lain-lain kawasan orang berkumpul untuk ke sekolah (tidak semua).

Guru 'diajar untuk mengajar' selama bertahun-tahun di institut perguruan dengan ilmu dan kemahiran untuk mengajar anak murid, tetapi tidak dengan kemahiran untuk bercampur dan memberi manfaat kepada masyarakat di luar pagar sekolah secara keseluruhannya (tidak semua).

Guru hanya menganggap tugasnya sebagai 'suatu kerja rutin', sama seperti pekerja di pejabat, yang dibayar dengan gaji apabila cukup bulan (tidak semua).

Justeru, cadangan untuk membenarkan guru kembali aktif berpolitik perlu dilihat di dalam dua keadaan, di mana kedua-duanya wujud pro dan contra.

Sedar tak sedar, penglibatan guru mahupun lain-lain kakitangan kerajaan kategori A di dalam pertubuhan politik bukan lagi perkara yang asing.

Jelas bahawa sama ada dibenar atau tidak, guru tetap terlibat dengan politik. Ini kerana sebagai orang yang berilmu, telah menjadi tugas dan tanggungjawab pendidik untuk terdedah kepada pelbagai bentuk maklumat dan peka terhadap perkembangan semasa.

Apabila melihat, kita akan berfikir, membuat analisa terhadap sesuatu perkara dan dari situ, satu rumusan dapat kita buat. Kalau betul sesuatu perkara tu, kita sokong dan begitulah juga sebaliknya.

Cuma yang tidak kita mahu ialah, janganlah berpolitik itu mengatasi tugas hakiki seorang guru. Yelah, sibuk ke sini-sana sebab berpolitik hingga mengabaikan tugas di bilik kuliah, etc.

Dan juga janganlah perbezaan ideologi politik itu sehingga membawa perpecahan di dalam institusi pendidikan yang murni dasar penubuhannya. Kerana apabila rosaknya guru, rosaklah juga anak didiknya.

Jika ingin membenarkan juga, benarkan juga kewujudan kepelbagaian ideologi politik. Jangan dicantas, jangan disekat pendapat dan idea pihak yang mungkin tidak sebulu dengan kita, jika betul-betul mahu telus. Sebab jika kita meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya, itukan zalim namanya.

Setiap guru ada akal dan pertimbangan mereka sendiri. Mereka ini golongan yang matang dan berupaya untuk menilai mana yang baik dan mana yang buruk.

Adalah tidak mustahil, jika diberi peluang para pendidik ini akan kembali bangkit dan menjadi wadah perubahan dalam menjana pembangunan minda dan sikap masyarakat dan generasi kita yang akan datang.

Wednesday, 1 April 2009

Lepak ngan ayah & ibu (II)

Opocot, terkejut pakcik!

Alamak, habislah. Berat kalau lagu nih

Ok, ok... Saya mengaku, bukan saya yang buat

Betul, bukan saya. Ni yang nak marah nih!

Lega.... nasib baik terlepas (ke melepas?)

Heheheh, ketawakan mereka berdua

Haaa? Kantoi jugak ke?
Waaaaa......

Kejayaan Pribadi

Jangan salah sangka. Bukan kejayaan dalam sukan atau berjaya mencipta apa-apa rekod baru, etc. Cuma kejayaan saya menghabiskan (dan memahami) kisah yang terkandung di dalam novel yang dikarang oleh Sidney Sheldon yang bertajuk "The Best Laid Plan".


Saya bukan nak mengulas cerita di dalam novel ni, sebab mungkin panjang seperti novelnya juga. Cuma pada saya ianya elok dibaca oleh orang yang 'segan' dengan bahasa Inggeris (macam saya lah).

Novel ini jika dipandang pada kulitnya "nampak biasa, tetapi berbisa" isinya setelah dibaca.

Bayangkan, novel setebal 344 mukasurat ini berjaya juga saya habiskan tidak sampai 1 minggu. Tidak pernah dalam hidup saya habiskan novel berbahasa Inggeris (memang saya tak minat baca novel pun). Selama inipun saya lebih gemarkan bacaan bergambar seperti komik, manga etc.

Dan dahulunya memang saya tidak faham bagaimana orang begitu passionate mengenai novel, sehinggalah saya membaca novel ini dan bila dah kena, baru dapat cerita pada orang lain.

Makanya, saya terus tabik kat orang rumah saya kerana minatnya yang mendalam terhadap novel berbahasa Inggeris. Rasanya dah berbelas-belas novel dibelinya sejak datang ke UK.

Daripada banyak-banyak yang dibeli, ada satu saya pilih (kononnya nak improve my english) iaitu Simon B. (Written in bone), tapi sampai pp.38 je, terus berhenti sebab font nya yang 'halus' dan lenggok bahasa forensik yang digunakan menambahkan kurangnya lagi minat saya untuk membacanya (apatah lagi nak habiskan).

Novel S. Sheldon ni isteri saya beli di Carboot dengan harga 25p, itupun sebab saya yang ternampak ada sorang makcik tu yang jual. Tapi beli saja jelah, lepas tu saya memang tak sentuh langsung (jauh lagilah nak bacanya).

Entah macam mana, semasa hantar progress kerja baru-baru ni penyelia suruh baca novel-novel untuk perbaiki english yang sememangnya kongkak ni.

Nak tak nak, ambik juga satu novel daripada koleksi yang berlambak tu. Baru baca 5 m/surat dah rasa tak boleh letak. Lepas tu jadi 30 m/surat, lepas tu 90 m/surat. (Apa ni? kata saya).

Lepas tu dalam train ke London, 150 m/surat. Duduk kat TravelLodge King's Cross, 250 m/surat. Baca punye baca, selesai 344 m/surat.

Dan sekarang kalau sesiapa di antara adik-adik saya@ bekas pelajar yang takutkan bahasa Inggeris, saya berani syorkan anda supaya buat permulaan, sila cari dan baca novel ini.

Sebab bahasanya memang mudah difahami dan olahan pintar Sheldon telah 'menghalang' pembacanya daripada berhenti, sehinggalah ke pengakhiran ceritanya.

Mungkin ada lagi novel Inggeris yang bagus, tapi kalau tanya saya, novel ini memang saya berani syorkan untuk kalian baca.


Terima kasih sekali lagi buat orang rumah di atas nasihat dan galakan.

Beberapa petikan menarik dari novel ini:

1) 'I hate politics,' Oliver Russell said. Leslie looked at him in suprise. 'Then why in the world are you - ?'.

'Because I want to change the system, Leslie. It's been taken over by lobbyists and corporations that help put the wrong people in power and then control them'.

'The people who are running the country have turned it into an old boys' club. They care about themselves then they do about the people. It's not right, and I'm going to try to correct that".

2) He was a man with a simple philosophy: Never forget a favor, never forgive a slight (Todd Davis).

3) Let me tell you something about money and power, Oliver. Money doesn't care who owns it. A bum can win it in a lottery, or a dunce can inherit it, or someone can get it by holding up a bank.

But power - that something different. To have power is to own the world.

If you were governor of this state, you could affect the lives of everybody living here. You could get bills passed that would help the people, and you'd have the power to veto bills that could harm them.

4) "You see, people have got it wrong. It's not who you know," Senator Davis explained, "it's what you know about who you know".

Everybody's got a little skeleton buried somewhere. All you have to do is dig it up, and you'll be surprised how glad they'll be to help you with whatever you need.

5) Senator Davis nodded. "And I'll have him in my pocket," he thought.

"He's going to be my puppet. I'll pull the strings, and the President of the United States will speak."


===========
Petikan-petikan tersebut seperti mengingatkan saya kepada sesuatu....(ketawa)

London Trip_March 2009

Hari Ahad & Isnin yang lepas, kami sekeluarga telah ke kota London dengan 1 tujuan khusus - menyiapkan sijil kelahiran dan pasport bagi Mawaddah.

Alhamdulillah, Allah telah permudahkan perjalanan dan urusan kami di sana. Sijil kelahiran dan pasport siap dan diambil pada sebelah petangnya. Dan rezeki anak kecil, kami diberi kelonggaran dalam urusan menunggu giliran semasa berurusan dengan Imigresen Malaysia.

Sudah agak lama kami tidak ke London. Ada peluang seperti ini eloklah dimanfaatkan untuk berjalan-jalan sementara menunggu urusan di kedutaan itu siap.

Di bawah ini ada beberapa foto yang ingin dikongsi bersama para pembaca.

1) Hyde Park Corner

Pengaruh Roman dapat dilihat dalam senibina
salah satu kompleks memorial di sini

Satu lagi memorial perang yang
terdapat di sekitar Hyde Park Corner

Mawaddah tengah lentok. Alhamdulillah, dia
tak banyak menangis semasa dibawa berjalan-jalan


2) Trafalgar Square

Rezeki kurang baik untuk dapat foto yang elok
kerana kerja-kerja 'konservasi' pada waktu ini


Haa...puting tu saya pegang je, bukan saya punye.
Ahmad Albab yang punye.


Mawaddah dengan ibu

Kang dah kate, dia memang tidur punye!

Hah! dah bukak mate pun

Sikit lagi, sikit lagi...

Tengok, dia tidur baliklah pulakk...


Dekat sebelah Trafalgar Square tu, ada bangunan Malaysia yang dijadikan sebagai Tourism Promotion Centre oleh Malaysia Tourism. Bangga bila tengok bendera Malaysia berkibar di situ.

Nota:
Semasa di kedutaan juga, kami terserempak dengan rakan dari CityCampus (Khairi dan isteri+anak+adik dia) yang datang dari Liverpool untuk menguruskan pasport anak.

Anak perempuan dia dah 4 bulan usianya (bunyi nama dia Soffy - eja yang betul saya tak tahu, maaf la ye), comel dan matanya besar ikut ibu dia (kot).

Samalah kita, saya doakan yang terbaik buat Khairi dan isteri. Moga sama-samalah kita berjaya dalam ujian buat PhD di sini. Amin.