Tuesday, 20 December 2011

Gambar-gambar menarik LEGOLAND Malaysia

Seperti biasa, artikel 'copy n paste' dari sini: blogserius

---------------------------------------------

Nampak makin best

Febuari lalu aku ada paparkan proses pembinaan model Lego untuk Legoland Malaysia. Hari ini mari lihat sedikit perkembangan taman tema yang terletak di Nusajaya Johor ini. So far so cool. Ada model Bangunan Sultan Ibrahim which in my view is the most beautiful building in Malaysia. Sorry aku biased pasal aku orang JohorDarulAwesome. Sila enjoice!








                                               Laporan asal SkyScraperCity

Monday, 19 December 2011

Sokongan buat Datuk Saifuddin Abdullah

Saya ingin melahirkan rasa simpati dan sokongan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang kini sedang berdepan tekanan dan kecaman daripada para pemimpin partinya sendiri berkaitan isu "mahasiswa turun bendera Presiden UMNO/PM" di PWTC.

Sumber foto - sini 
Sekalipun beliau langsung tidak terlibat mahupun tahu-menahu akan tindakan mahasiswa yang tersebut, beliau terus dijadikan 'punching bag' oleh pihak-pihak di dalam UMNO sendiri kerana tidak berpuas hati dengan mahasiswa.
Saya harapkan wakil mahasiswa, kalaupun enggan minta maaf kepada UMNO dan Dato' Najib, setidak-setidaknya bertemulah dengan Datuk Saifuddin bagi menjernihkan keadaan. 
Sesungguhnya saya tidak melihat adanya Timbalan Menteri atau pemimpin tinggi kerajaan yang begitu terbuka dan mesra mahasiswa. Bayangkan bagaimana komitednya beliau menyokong program-program anjuran mahasiswa. Beliau juga senang bertemu dan berbincang mengenai tuntutan-tuntutan mahasiswa termasuklah isu AUKU.  

Sekarang waktunya Datuk Saifuddin perlukan sokongan moral anda (mahasiswa) semua. Janganlah dilupa jasa dan budi yang telah beliau curahkan.

Datuk Saifuddin, saya kira anda adalah sebilangan kecil pemimpin yang inginkan supaya tajdid (perubahan) direalisasikan di dalam pemerintahan kerajaan dan parti. 

DrS

Sunday, 18 December 2011

Renungan: Pelacur, Anjing dan Kehidupan (Dr MAZA)


Nota: Artikel yang sangat menarik. Mengajar saya bahawa "sesungguhnya setiap insan itu ada nilainya di sisi Tuhan".

Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda:
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).
Saya merenung panjang setiap kali mengingati hadis ini. Betapa luasnya rahmat Allah kepada hamba-hambaNya. Betapa luas peluang yang diberikan untuk setiap insan mendapat keampunanNya, yang lantas akan memasuki syurga yang tidak tergambar keindahan dan segala kurnia yang ada dalamnya. Betapa Allah itu Pengasih, kadang-kala dengan amal yang sedikit dijadikan sebab untuk diberikan keampunan yang besar.

Namun rahmat Tuhan itu selalu kelihatan hambar disebabkan lidah-lidah sesetengah mereka yang mengaku diri mewakili Tuhan untuk berbicara tentang agamanya. Mereka ini kadang kala yang memakai bahasa, baju dan gelaran agama, seakan mewakili Tuhan dan Nabi. Malangnya, mereka tidak membawa misi rahmat seperti yang diajar oleh Alah kepada NabiNya s.a.w.

Mereka itu selalu gambar Allah penuh dengan sifat keras, tanpa ihsan dan kesian, hanya tahu menghukum dan melaknat. Di manakah keindahan rahmat Allah seperti yang digambarkan dalam hadis di atas?! Di manakah imbangan yang terkandung dalam firman Allah:
“Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, Dan bahawa azabKu, adalah azab yang tidak terperi sakitnya” (Surah al-Hijr 49-50)

HINA DAN MULIA 

Perkataan yang digunakan dalam hadis tentang perempuan tersebut ialah mumisah iaitu perempuan yang terkenal dengan perbuatan zina, seperti perempuan lacur. Perempuan seperti itu sentiasa buruk pada nilaian mana-mana masyarakat pun. Ada pun anjing binatang yang dianggap hina dalam kebanyakan masyarakat. Perumpamaan ‘engkau bagaikan anjingkan’ adalah ungkapan buruk dalam berbagai bangsa dan budaya.

Namun, seorang wanita penzina mendapat keampunan Allah S.W.T disebabkan seekor anjing. Siapalah pelacur atau penzina di mata manusia, dan apalah yang ada pada seekor anjing pada penilaian manusia?! Namun, air yang diberikan oleh pelacur atau penzina kepada anjing menyebabkan dia mendapat rahmat dan keampunan. Apatah lagi jika seorang yang baik memberikan bantuan kemanusiaan kepada sesama insan. 

APAKAH SYURGA MURAH? 

Kita mungkin tertanya-tanya: alangkah murahnya syurga, dosa yang besar seperti kegemaran berzina dapat dipadamkan dengan beberapa teguk air yang diberikan kepada anjing. Apakah ini bererti jika seseorang itu perasuah atau penzalim besar maka dia akan diampunkan dengan membuat jamuan rakyat atau dengan beberapa hidangan yang dihantar ke masjid? Sudah pasti tidak demikian! Jika itulah tafsirannya, hadis ini akan menjadi lesen manusia berbuat berbagai kesalahan, lalu dia diampunkan dengan sedikit bantuan dan sedekah yang dihulurkan. Tidak begitu!

Perkara yang utama yang menentukan nilai dan harga setiap amalan adalah apa yang terkandung dalam jiwa atau jantung hati pengamalnya. Inilah perkara paling sukar hendaklah dicapai dan dijaga. Keikhlasan dan kejujuran. Ia tersimpan dalam jantung hati insan. Allah mengetahuinya. Tiada ruang berpura-pura dalam jiwa. Ia melahir diri yang insaf dan tawaduk kepada Allah.

Amalan yang sama mempunyai nilai berbeza di sisi Allah disebabkan berbezanya keikhlasan dan kekusyukan jiwa pengamal-pengamalnya. Nilai solat dua rakaat setiap kita, mungkin tidak sama di sisi Allah berdasarkan kekusyukan pengamalnya. Bahkan solat dua rakaat yang seseorang lakukan dari masa ke semasa juga tidak sama di sisi Allah disebabkan perbezaan keikhlasan dan kekusyukan ketika mengamalkannya. Maka dua orang yang berada dalam saf solat yang sama, belum tentu mendapat ganjaran yang sama. Boleh jadi beza antara mereka bagaikan langit dan bumi.

Demikianlah amalan baik sesama manusia atau terhadap haiwan dan alam, Allah mengetahui hakikat yang tersimpan dalam jantung hati setiap yang melakukan amalan itu. Perbuatan mungkin kelihatan sama, namun nilai kejujuran dan penyerahan jiwa kepada Allah, tidak semestinya sama. Menderma, berbudi bahasa, tolong menolong dan seumpamanya adalah amalan yang baik pada zahirnya. Nilaian di sisi Allah pada keikhlasan dan keinsafan diri pengamalnya. Sebab setiap pembuat kebaikan itu tidaklah semestinya sama kadar kejujuran yang ada dalam jiwa mereka. 

BANYAK DAN SEDIKIT 

Bahkan kadang-kala mungkin ada amalan yang sedikit tapi nilaiannya lebih besar dari amalan yang banyak. Ini disebabkan apa yang terkandung dalam jiwa pengamalnya. Seorang miskin yang menderma RM 10, mungkin akan mendapat ganjaran yang lebih dari seorang kaya yang menderma RM1000. Sekalipun nilainya cuma RM10, tetapi itulah kadar yang dia termampu. Kadar itu pula besar bagi dirinya yang hanya bergaji 10 atau 15 ringgit sehari.

Dia mengeluarkan RM 10 dengan penuh erti dan berat, sekalipun mungkin lekeh bagi orang lain. Dia keluarkannya dengan penuh ikhlas dan insaf terhadap kurniaan Allah. Sudah pasti derma seperti itu berbeza di sisi Allah dibandingkan derma RM1000 yang dikeluarkan oleh seorang berharta dengan kesombongan, atau kurang keikhlasan, atau ada tujuan tertentu; tanpa rasa insaf dan mengharap ganjaran Allah. Sekalipun RM10 lebih kecil, tetapi ia lebih bernilai di sisi Allah. Namun, jika kadar yang besar dikeluarkan dengan jiwa yang luhur, pastilah ganjarannya lebih. 

TIDAK SAMPAI AJARAN 

Demikian juga pelacur tadi, perbuatannya mungkin nampak ringkas iaitu memberi minum kepada seekor anjing, namun mungkin jiwanya penuh dengan insaf dan mengharapkan kurniaan Tuhan kepadanya atas perbuatan baik itu, maka dia pun diampun, dan dibuka jalan kebaikan. Mungkin juga perbuatan lacur yang dilakukan selama ini kerana keadaan yang memaksanya, atau kehidupan yang mendesaknya, atau suasana yang mengheretnya begitu. Allah tahu tentang dirinya, Allah tahu tentang nilai-nilai luhur yang ada dalam jiwanya. Memberi minum kepada anjing yang kehausan itu satu bukti dari nilai baik dalam dirinya itu. Allah ampuninya. Demikian Allah akan ampuni hamba-hambaNya yang baik yang berada dalam suasana yang sama.

Berapa ramai orang-orang bukan muslim yang sangat baik kepada masyarakat manusia, haiwan dan tumbuhan-tumbuhan. Malangnya, umat Islam atas kelemahan dan kegagalan menjadi contoh yang baik menyebabkan Islam tidak sampai kepada mereka dengan cara yang sebenar lagi meyakinkan. Saya percaya Allah akan mengampuni mereka, sekalipun ada kelemahan pada diri mereka. Namun, kebaikan yang mereka tunjukkan, yang dilakukan dengan jiwa yang luhur, ada nilai di sisi Allah. Apatah lagi menyebut:

“Kami tidak akan mengazab, sehinggalah Kami mengutuskan rasul” (Surah al-Isra; ayat 15).
Maksudnya, sehingga ajaran rasul atau utusan Allah itu sampai kepada seseorang, barulah dia dikira bersalah jika enggan mengikutnya. Ajaran Islam yang sebenar gagal disampaikan kepada kebanyakan masyarakat manusia di dunia ini. Selain media Barat yang memburukkan wajah Islam, umat Islam sendiri pun tidak berdakwah dan gagal menjadi contoh yang baik. 

Ramai manusia hidup atas nilai-nilai kebaikan yang ada dalam jiwa mereka tanpa berpeluang menikmati tauhid yang benar. Semoga Allah mengampuni mereka. Bahkan mungkin mereka lebih mendapati keampunan Allah, dibandingkan kita yang mengetahui ajaran para rasul, tetapi gagal menanamkan nilai-nilai luhur dan jujur dalam jiwa. 

INSAFI DIRI 

Hadis ini juga mengingatkan kita agar jangan memandang hina kepada orang lain. Ya, perbuatan yang salah memang dihukum salah, dosa tetap dosa. Namun, kedudukan pelakunya di sisi Allah, hanya Allah Yang Maha Tahu. Mungkin satu hari mereka mendapat keampunan melebihi orang lain. Ini semua kerana keikhlasan dan keinsafan jiwa setiap insan tidaklah sama. Mungkin seseorang kelihatan baik kerana lahir dalam suasana yang baik. Seseorang lain mungkin menjadi jahat kerana keadaan hidup yang melingkunginya. 

Namun, jika pada dalam jantung hatinya keikhlasan, kejujuran dan keinsafan diri, dia akan menemui jalan keampunan Tuhan Yang Maha Adil Lagi Penyayang. Semoga kita semua tawaduk serta insaf terhadap kelemahan diri sendiri dan kelebihan yang mungkin dimiliki oleh orang lain, sehingga dia mungkin disayangi Allah lebih daripada kita! Dengan keinsafan dan perasaan tawaduk itu, diharapkan kita juga mendapat keampunan Allah!

Saturday, 17 December 2011

Pendapat: DAP mempelopori kerangka politik baru yang “lebih Malaysia”?


Masa Depan Politik Perkauman

Saya tidak berkesempatan meneliti perkembangan yang berlaku di Persidangan Agung UMNO (PAU) 2011 melainkan hanya berpeluang membaca beberapa laporan yang berkaitan di akhbar dalam talian (online). 

Manakala blog-blog bicara politik pula tidak banyak yang menceritakan apa agenda yang dibincangkan di PAU, melainkan hanya menjual berita-berita sensasi terutamanya isu NFC, ucapan yang rasis dan teka-teki bila pilihanraya.

Saya hanya sempat menonton rakaman ucapan TS Muhyiddin di Youtube, di mana saya sifatkan hadirnya beliau dan berucap pada malam itu adalah di atas kapasiti beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO, dan bukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri mahupun Menteri Pelajaran.

Sekadar hiasan, sumber foto - sini

Namun begitu, apa yang telah beliau ungkapkan itu telah secara langsung mewakili pendirian beliau, baik sebagai Melayu yang memimpin parti, mahupun Melayu di dalam kerajaan.

Anda yang mungkin turut mendengar ucapan Muhyiddin tentunya boleh membuat penilaian dan tafsiran masing-masing. 

Pada saya, apa yang beliau perkatakan itu bukan hanya ditujukan kepada DAP, malah dituju langsung kepada orang-orang Cina di Malaysia.

Boleh anda bayangkan apakah perasaan para Menteri, mahupun Timbalan Menteri berbangsa Cina yang hadir sebagai tetamu pada malam itu, yang duduk sekali mendengar ucapan TS Muhyiddin? 

Kalau saya-lah, boleh panas cuping telinga. Bayangkan kalau saya hadir perhimpunan parti politik Cina, mendengar ucapan pemimpin Cina yang tanpa berselindung mengherdik dan mengutuk bangsa Melayu, sekalipun dia tahu yang saya hadir di majlis tersebut.

Jadi, soalan cepu emas di sini, apakah makna di sebalik ucapan Muhyiddin itu?

Sekalipun banyak pihak selepas mendengar ucapan itu mengutuk dan mengecam Muhyiddin dan UMNO seluruhnya kerana berterusan meniupkan sentimen perkauman dan boleh menggugat perpaduan, (saya tidak kata saya bersetuju dengan Muhyiddin), dari satu sudut, saya melihat UMNO sebagai sebuah “Parti Tua” telah berjaya sampai ke satu tahap di mana mereka (UMNO) mampu bercakap secara terbuka dan tegas mengenai pendirian mereka (mengenai Melayu-UMNO).

Selama inipun UMNO sememangnya begitu.

UMNO, pada PAU kali ini nampaknya tidak lagi memberi muka atau cakap berlapik demi menjaga hati pemimpin MCA, MIC dan lain-lainnya. 

Segala isi hati UMNO telah diluah secara direct, dan mahu tidak mahu, para pemimpin Cina dan India terpaksa juga mendengar ucapan tersebut.

Tentulah cara UMNO ini sama sekali tidak disenangi oleh orang-orang Cina di dalam BN mahupun DAP. Bagi saya 'mesej' itu mungkin diterima mereka (yang bukan Melayu).

Bagi saya juga, mungkin itulah kunci UMNO berjaya mendominasi dan terus memimpin BN untuk memerintah Negara ini selama lebih 50 tahun.

Dan kini, timbul persoalan berikut di kepala saya:

Q: Mampukah pula PAS (yang bercakap nak ganti UMNO) menyampaikan pendirian parti (mengenai ideologi dan agenda umat Islam) secara tegas kepada DAP sepertimana yang UMNO telah lakukan? (Apakah PAS boleh capai tahap seperti UMNO di dalam menyatakan pendirian mereka?)

Sekadar hiasan, sumber foto - sini

Anda mungkin tidak bersetuju dengan pendapat ini, atau mempunyai pendapat yang berbeza. Mungkin di sini kita boleh bersetuju untuk berbeza pendapat.

“Apakah ada masa depan untuk politik perkauman di Malaysia?” Tanya saya kepada 'sahabat' sewaktu beliau saya jemput makan di rumah malam tadi.

“Cohort-nya sentiasa ada”, jawab beliau ringkas.

Daripada apa yang saya faham, sahabat saya itu cuba memberitahu saya bahawa politik perkauman sentiasa mempunyai ‘pasaran’ dan ‘pengikut setia’-nya di Malaysia.

Makanya, untuk saya katakan bahawa UMNO akan ditolak para pengundi pada PRU13 nanti disebabkan UMNO mengamalkan politik perkauman, adalah suatu kesimpulan yang kurang tepat.

Bahkan, jika sekalipun pihak pembangkang berupaya mewujudkan sentimen keraguan/kebencian rakyat terhadap UMNO disebabkan amalan perkauman Melayu-nya, saya masih yakin banyak kawasan (di Parlimen mahupun di DUN), yang pasaran dan golongan hardcore supporters-nya masih kuat, hingga boleh menjamin kemenangan calon-calon parti yang pro-perkauman ini.

Perihal DAP dan Calon Melayu

Pada saya, DAP adalah sebuah parti yang proaktif dari segi gerak kerja bagi menarik sokongan dan penyertaan orang-orang Melayu supaya menjadi ahli mereka, seterusnya ingin menghakis label parti yang ‘ke-Cinaa-an’ yang dikatakan begitu sinonim dengan mereka.

Sekadar hiasan, sumber foto - sini

Barangkali saya ini orang yang buta politik jika berpendapat DAP itu bebas perkauman. Lihat dan nilaikanlah sendiri ucapan-ucapan pemimpin mereka terutama Kit Siang dan Karpal Singh sebelum 'bersahabat karib' dengan PAS. Apa yang mereka tidak kata mengenai orang Melayu dan Islam.

Namun bukan itu yang menarik perhatian saya mengenai DAP.

Saya sebenarnya lebih tertarik dengan gagasan baru yang cuba diketengahkan oleh kelompok 'generasi baru' dalam DAP terutamanya di Pulau Pinang (PP) hari ini, yang merasakan bahawa inilah saat yang terbaik untuk memulakan perubahan amalan berpolitik di Malaysia.

Sekadar hiasan, sumber foto - sini

Dengan kuasa yang ada memerintah PP, usaha telah dan sedang giat digerakkan DAP bagi menjadikan negeri tersebut tapak mula ke arah membina suatu kerangka politik baru yang “lebih Malaysia”.

Maka, DAP telah me-mobilisasi-kan orang-orang mereka supaya mendekati para pemimpin politik dan masyarakat, profesional, hatta agamawan Melayu, memujuk mereka agar bersama-sama DAP merintis perubahan ini.

Mungkin benar tanggapan sesetengah pihak bahawa DAP melihat kerangka politik yang ‘lebih Malaysia’ adalah masa depan politik Malaysia.

Maka di sini mereka perlu membuat langkah yang berani (atau mungkin boleh diganggap ‘gila’), seperti memujuk orang agama untuk bersama-sama dengan mereka. 

Timbul lagi soalan kepada saya:

Q1: Mengapakah DAP kelihatannya begitu optimistik dengan idea politik yang ‘lebih Malaysia’ ini? 

Q2: Atau mungkinkah mereka sebenarnya telah 'betul-betul gila' dengan idea memujuk lebih ramai orang Melayu supaya menjadi ahli DAP?

Apapun, jika DAP sendiri dilihat proaktif memujuk orang Melayu menyertai mereka, makanya 'tidak gila’ jika pada PRU13 nanti kita akan melihat DAP juga akan mengetengahkan calon-calon Melayu untuk bertarung melawan UMNO-BN bagi kerusi-kerusi Parlimen dan DUN yang majoriti pengundinya adalah orang-orang Melayu sendiri.

Sekian.

Nota: Terima kasih kepada 'sahabat' di atas buah fikiran dan pandangan. 

Friday, 16 December 2011

Artikel: Menangani masalah kemiskinan bandar dan ketidakseimbangan sosio-ekonomi nasional

Menangani masalah kemiskinan bandar & ketidakseimbangan sosio-ekonomi nasional

Oleh: Azrul Azwar (sumber, copy n paste dari: merdekareview)

Seperti kebanyakan negara membangun yang lain, Malaysia telah mengalami proses urbanisasi pesat, salah satu faktor yang banyak membantu melayakkan Malaysia menjadi negara berpendapatan pertengahan atas (upper middle-income) pada hari ini.  

Ini adalah kerana di kawasan bandarlah selalunya aliran pengetahuan, ilham, bakat, pelaburan dan sebagainya berada pada tahap paling optimum bagi sesebuah negara, suatu pra-syarat penting bagi mencetus innovasi, kreativiti dan semangat keusahawanan sekaligus membantu memacu pertumbuhan ekonomi.

Dianggarkan lebih kurang 72.2% rakyat Malaysia menetap di kawasan bandar pada 2010 dan nisbah ini dijangka mencecah 76% menjelang tahun 2015 berdasarkan satu unjuran yang dibuat oleh United Nations (UN) atau Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).  Menurut unjuran PBB juga, penduduk bandar dijangka tumbuh pada kadar 2.4% secara purata di antara 2010 dan 2015, jauh lebih pesat berbanding 1.5% yang diunjurkan bagi pertumbuhan purata populasi Malaysia.

Sebenarnya, pembentukkan "urban agglomerations" atau kelompok-kelompok bandar adalah penting dan selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi ekonomi maju, berpendapatan tinggi kerana salingkait yang tinggi di antara kepesatan proses urbanisasi dengan peningkatan pertumbuhan ekonomi, produktiviti, kemewahan dan kemajuan secara keseluruhan.  

Maka, tidaklah menghairankan apabila "Greater Kuala Lumpur" atau Lembah Kelang yakni Kuala Lumpur dan bandar-bandar satelit di sekitarnya telah dikenalpasti sebagai salah satu daripada 12 National Key Economic Areas (NKEAs) di bawah "New Economic Model" atau Model Ekonomi Baru kerana ia dianggarkan menyumbang hampir satu pertiga kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Tahap urbanisasi di Malaysia adalah berbeza-beza mengikut:

•Negeri, dari serendah 35% sehingga 90% bagi negeri maju seperti Selangor
•Kumpulan etnik di mana majoriti kesemua kumpulan etnik berada di kawasan bandar kecuali Bumiputera lain (other Bumiputera)

Walau bagaimanapun, dalam keghairahan kita mengejar pembangunan bandar sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan, kita sering terlepas pandang kesan-kesan sampingan akibat proses urbanisasi yang tidak terkawal.

Tanpa suatu pelan induk atau rangka kerja jangka panjang yang holistik, kepesatan proses urbanisasi tanpa kawal bakal mengundang pelbagai permasalahan terutamanya berkaitan sosio-ekonomi seperti migrasi luar bandar ke bandar dan kebanjiran pekerja warga asing untuk mencari peluang pekerjaan yang mengakibatkan meningkatnya kepadatan penduduk bandar dan kemunculan kawasan setinggan atau penempatan daif, sekaligus memberi tekanan kepada prasarana-prasarana awam, pasaran buruh, pasaran barangan dan perkhidmatan terutamanya bagi keperluan utama, bekalan perumahan, alam sekitar dan sebagainya di kawasan bandar.
Fenomena seperti ini mengakibatkan kenaikan harga yang mendadak dan persaingan melampau di kawasan bandar sehingga terbentuknya suatu situasi "inequality" atau ketidaksamaan di kalangan penduduk bandar dalam pelbagai segi terutamanya peluang pekerjaan, pendapatan dan pengumpulan kekayaan, selanjutnya melebarkan jurang di antara yang kaya dan yang miskin di bandar.

Kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya warga kota merasakan bahawa perangkaan inflasi rasmi yang diterbitkan oleh Jabatan Statistik tidak mencerminkan gambaran sebenar betapa hebatnya kenaikan kos sara hidup sejak separuh tahun kedua 2009 akibat kenaikan harga barangan dan perkhidmatan terutamanya berkaitan dengan makanan, tenaga, perumahan, pendidikan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan.

Sebagai contoh, menurut Indeks Kos Sara Hidup terkini yang diterbitkan oleh Economist Intelligence Unit (EIU), kedudukan Kuala Lumpur di kalangan bandaraya termahal di dunia naik 15 anak tangga ke tempat 86 pada akhir Jun 2011 berbanding tahap 101 dua tahun yang lalu.  Kajian setiap dua tahun ini yang menjadikan New York sebagai penanda aras membandingkan 400 harga individu bagi lebih 160 barangan atau perkhidmatan, menunjukkan bahawa Tokyo merupakan bandaraya termahal manakala bandaraya termurah adalah Karachi.

Berdasarkan data tahun 2009, kategori 40% isirumah terbawah (bottom 40%) yang berpendapatan kasar kurang daripada RM2,300 sebulan (berbanding pendapatan kasar bulanan purata sebanyak RM4,025 bagi seluruh Malaysia iaitu RM4,705 di bandar dan RM2,545 di luar bandar) terdiri daripada 2.4 juta isirumah yang mana:

•1.8% dalam golongan miskin tegar (yakni isirumah yang berpendapatan kasar bulanan kurang daripada RM440 secara purata bagi seluruh Malaysia)
•7.6% dalam golongan miskin relatif (yakni isirumah yang berpendapatan kasar bulanan kurang daripada RM800 secara purata bagi seluruh Malaysia)
•90.6% dalam golongan berpendapatan rendah

Pada tahun 2009, lebih kurang 51.4% daripada 40% isirumah terbawah tinggal di kawasan bandar yang mana 59.1% adalah di kalangan Bumiputera, 29.2% masyarakat Cina dan 11.4% kaum India.  Memandangkan bahawa jumlah warga bandar di kalangan 40% isirumah terbawah adalah lebih besar daripada di kawasan luar bandar (48.6%), semua pihak yang berkenaan sama ada di peringkat Kerajaan Pusat, kerajaan-kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan perlu duduk semeja dan bekerjasama untuk menggariskan suatu kerangka ekonomi spesifik yang mementingkan pembangunan saksama dan inklusif untuk merapatkan jurang di antara kaya dan miskin bandar serta menangani isu kemiskinan bandar kerana kehidupan golongan miskin bandar adalah jauh lebih mencabar berbanding golongan miskin luar bandar. Sebagai contoh, jika golongan miskin luar bandar masih berpeluang mencari makan dengan memancing atau bercucuk tanam sendiri, peluang sebegini hampir tidak wujud bagi golongan miskin bandar.

Menurut Jabatan Statistik, isirumah bandar di Malaysia memerlukan sekitar RM2,500 sebulan secara purata untuk cukup membiayai kos sara hidup berdasarkan harga pada tahun 2010.

Berikut adalah antara beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan untuk meningkatkan penglibatan golongan miskin bandar dalam ekonomi dan menaikkan pendapatan kasar purata golongan 40% isirumah terbawah melebihi RM2,500 sebulan supaya cukup untuk menampung kos sara hidup bagi isirumah bandar:

• Memastikan akses kepada pendidikan hingga ke peringkat tertinggi bagi anak-anak golongan miskin bandar memandangkan hubungkait terbalik di antara kemiskinan dan pencapaian akademik.
• Menyediakan peluang kepada pendidikan seumur hidup, latihan dan penambahbaikan kemahiran bagi golongan miskin bandar untuk meningkatkan keupayaan dan daya tarikan mereka supaya mudah mencari peluang pekerjaan yang lebih baik terutamanya yang menjanjikan gaji yang lebih lumayan.
• Menyediakan program perumahan mampu milik yang berkualiti di kawasan bandar di lokasi yang tidak terlalu jauh daripada nukleus aktiviti ekonomi; dihubungkan dengan sistem pengangkutan awam yang murah, cekap, mudah akses, mampan dari segi alam sekitar, selamat dan boleh diharap; skim pembiayaan pembelian berdasarkan syarat-syarat munasabah yang tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana di bandar pada kemudian hari kelak terutamanya bagi pembeli rumah buat pertama kali; keprihatinan kepada warga emas, golongan kurang bernasib baik seperti orang kurang upaya atau yang mempunyai keperluan khas, ibu tunggal dan sebagainya.
• Memupuk minat keusahawanan di kalangan 40% isirumah terbawah di kawasan bandar untuk menggalakkan mereka menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan terutamanya berasaskan kemahiran sebagai satu cara menambah pendapatan melalui:

i. kemudahan untuk memulakan perniagaan dengan menyemak semula keperluan perlesenan yang membebankan oleh pelbagai pihak berwajib atau agensi kerajaan

ii. pelbagai insentif percukaian dan bukan cukai khusus bagi syarikat-mikro atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bandar

iii. program latihan teknikal dan keusahawanan merangkumi semua aspek perniagaan seperti pengurusan kewangan, pengurusan operasi, teknik jualan dan pemasaran,
dan sebagainya

iv. program pembiayaan mikro atau skim permodalan lain yang direkayasa khusus untuk memudahkan pengumpulan modal permulaan atau sebagai modal kerja bagi perniagaan milik golongan miskin dan sederhana bandar

v. inisiatif-inisiatif lain seperti mentor-mentee, syarikat induk dan sebagainya

Ketidakseragaman atau kepelbagaian kumpulan di kalangan 40% isirumah terbawah merentasi kaum, agama dan beberapa aspek latar belakang lain di bandar memerlukan pendekatan yang berbeza dalam usaha kita menangani isu "inequality" atau ketidaksamaan. 

Dalam usaha menangani masalah kemiskinan bandar dan mempertingkatkan mobiliti sosial ini, apa yang penting adalah kita berikan mereka joran untuk memancing ikan dan bukannya ikan semata-mata.  Maka, untuk mencapai cita-cita menjadi negara maju, berpendapatan tinggi yang inklusif dan menitikberatkan keadilan sosial sejagat, kita memerlukan suatu pelan tindakan bagi "affirmative action" atau tindakan afirmatif yang mampan dan menyeluruh.

Berbincang mengenai tindakan afirmatif atau diskriminasi positif (positive discrimination) di Malaysia, kita tidak boleh lari daripada berdebat tentang New Economic Policy (NEP) atau Dasar Ekonomi Baru (DEB), diperkenalkan oleh Barisan Nasional sebagai polisi tindak balas selepas peristiwa 13 Mei 1969 dengan strategi serampang dua mata, yakni "mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum" dan "mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat untuk memperbetulkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi, seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi dan aktiviti ekonomi ke arah mengukuhkan perpaduan negara”.

Persoalannya, di manakah silap kita sekiranya meskipun sudah 40 tahun tindakan afirmatif tajaan Barisan Nasional ini dilaksanakan sejak 1971 dalam pelbagai nama dan bentuk, bermula dengan DEB (1971-1990), diikuti oleh National Development Policy atau Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000) dan National Vision Policy atau Dasar Visi Nasional (2001-2010), kaum Bumiputera masih gagal mencapai sasaran pegangan ekuiti korporat sekurang-kurangnya sebanyak 30%.

Sedarkah kita sebenarnya pegangan ekuiti oleh pelabur asing yang melonjak kepada 37.9% daripada milikan saham keseluruhan pada tahun 2008 (2006: 30.1%) merupakan antara penyebab utama pegangan saham Bumiputera kekal rendah pada paras 21.9% (2006:19.4%) sedangkan pegangan saham bukan Bumiputera telah merosot kepada 36.7% (2006: 43.9%)?

Sebenarnya, obsesi kerajaan Barisan Nasional pada nombor ajaib 30% dalam pegangan saham Bumiputera sebagai "ultimate target" menyebabkan kita lupa dan leka sebenarnya terdapat banyak isu kemiskinan, ketidaksamaan dan ketidakseimbangan lain yang lebih mendesak dan perlu diatasi segera seperti yang berikut:

• Jurang pendapatan mutlak antara "quintile" isirumah terbawah dan teratas telah melebar hampir 93% dalam masa 20 tahun kepada RM8,000 pada 2009 berbanding RM4,150 pada 1989 berdasarkan paras harga 2009.

• Penambahbaikan yang kecil dalam masa 20 tahun kepada pekali Gini, satu kayu ukur ketidaksamaan, kepada 0.473 pada 2009 berbanding 0.482 pada 1989 bagi Malaysia secara keseluruhan.  Malah, jika dibandingkan dengan paras 0.471 pada tahun 2007, ketidaksamaan bertambah teruk di Malaysia.

• Kadar kemiskinan keseluruhan di Malaysia meningkat ke paras 3.8% pada 2009 berbanding 3.6% pada 2007, jauh daripada sasaran Rancangan Malaysia Kesembilan untuk turun ke paras 2.8%. Malah, kadar kemiskinan di kalangan Bumiputera lain (bukan Melayu) juga meningkat mendadak ke paras 17% pada tahun 2009 berbanding 14% pada 2007.

• Jumlah isirumah hidup dalam kemiskinan (di bawah paras pendapatan garis kemiskinan) meningkat 8.7% kepada 228,000 pada 2009 berbanding 210,000 pada 2007.

Fokus yang berlebihan Barisan Nasional terhadap agenda mengurangkan ketidaksamaan antara kumpulan etnik (inter-ethnic groups) telah mengakibatkan jurang yang semakin melebar di kalangan suatu kumpulan etnik (intra-ethnic groups) itu sendiri.

Semakin jelas hari ini bahawa belenggu kemiskinan, kesempitan hidup dan ketidaksaksamaan dalam peluang dirasai oleh semua kaum dan lapisan masyarakat di Malaysia meskipun 73% di kalangan 40% isirumah terbawah merupakan kaum Bumiputera berdasarkan pada statistik bagi tahun 2009.

Untuk memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil dan perkongsian pembangunan ekonomi yang lebih saksama ke arah keterangkuman dan keadilan sosial untuk semua tanpa menjejaskan daya saing negara di peringkat global, sudah tiba masanya Malaysia beralih kepada polisi tindakan afirmatif mesra pasaran yang baharu, berdasarkan keperluan dan meritokrasi, bukannya kaum untuk memperbetulkan ketidaksamaan secara keseluruhan dengan menyasarkan beberapa kumpulan spesifik di kalangan 40% isirumah terbawah seperti berikut:

• Orang Asal di Semenanjung dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak terutamanya kumpulan etnik minoriti.
• Pekerja estet atau mereka yang tinggal di kawasan ladang kelapa sawit atau getah, kebanyakkannya terdiri daripada kaum India.
• Peneroka Felda yang rata-ratanya terdiri daripada kaum Melayu.
• Petani, peladang dan nelayan persendirian di luar bandar yang diwakili oleh hampir kesemua kumpulan etnik di Malaysia.
• "Urban settlers" atau peneroka bandar yang meliputi hampir kesemua kaum terutamanya masyarakat Melayu, Cina dan India.
• Penduduk di perkampungan baharu Cina, kebanyakannya kaum Tionghua.

*Azrul Azwar ialah ahli Lawyers For Liberty (LFL).

cold_day@oxford

Sekarang suhu harian antara 1-4 degree celcius. Pakcik sudah tukar seluar slack kepada jeans tetapi baju masih 2 lapis. Cuma kalau berjalan tu kena pakai glove dan lilit mafla sampai tutup telinga. Kalau balik dari office petang-petang, orang-orang yang berjalan nampak seperti sebaris gerabak keretapi yang keluar asap (wap dari mulut)...

Thursday, 15 December 2011

Promosi dokumentari: Frozen Planet

Kali ini saya ingin mempromosikan sebuah dokumentari yang sangat menarik bertajuk "Frozen Planet" yang dihasilkan oleh BBC Natural History Unit (wikipedia).

Dokumentari yang telah selesai tayangannya di BBC1 (secara 7 siri) ini telah membentangkan satu idea yang sangat menarik dan penting selain menawarkan penjelasan (jika tidak jawapan) kepada pelbagai pihak yang ingin mengetahui perkembangan terbaharu perubahan iklim global (climate change). 

Selain DVD ini, suka saya sarankan para pembaca untuk mencari buku menarik oleh Al Gore bertajuk "an inconvenient truth". 

 Sumber foto: wikipedia

Banyak foto sebelum dan selepas di dalam buku tersebut menunjukkan hanya dalam tempoh 30 tahun (1980-2010), bumi kita telah mengalami pelbagai bentuk perubahan iklim dan kesannya yang semakin nyata terhadap kehidupan kita (dan anak cucu kita akan datang). 

Andai berkelapangan, saya akan cuba mengulas perkara ini, bersama-sama satu lagi topik menarik iaitu pembinaan bandar terapung Amsterdam, insyaAllah.

Mengapakah saya dan anda perlu ambil tahu perkara ini, walaupun ianya melibatkan dua benua yang letaknya sangat jauh dari Malaysia (Antik dan Antartik)?

Ini kerana 75% simpanan air tawar dunia terletak di kedua kutub ini dan pencairan ais yang semakin pantas akan memberi kesan kepada manusia seluruhnya. Anda yang memiliki buku Al Gore akan dapat melihat "peta baru dunia" yang mana berpuluh ribu pulau (dan negara kepulauan seperti Maldives, dan lain-lain di Pasifik) akan lenyap dari muka bumi ini akibat peningkatan paras air laut.

Menarik bukan?

Klip jawapan isu Hudud - lambang kematangan dalam berpolitik

Inilah lambang kematangan. Orang sana timbul isu mempersoal/provok isu Hudud di internet, orang sini pun boleh jawab isu Hudud, juga menggunakan internet. Very well done!


Wednesday, 14 December 2011

INFO: Kuasa baru bola sepak dunia kini muncul di Timur (grafik)


Sumber berita: i, Wednesday (14 December 2011: 50&51)

Kuasa baru dan dari mana datangnya wang itu....

1) Brazil
Bukanlah satu kuasa baru di dalam dunia bola sepak namun nampaknya mutu permainan di liga Brazil telah menunjukkan peningkatan yang begitu ketara dan pencapaian ini dapat dilihat daripada pencapaian yang diraih skuad kebangsaan Brazil. Melalui strategi pemasaran yang baik serta dibantu oleh usahawan tempatan, kelab-kelab Brazil kini berjaya memiliki sumber kewangan yang kukuh hingga berupaya mengenepikan tawaran-tawaran yang begitu lumayan terutama dari Eropah bagi mendapatkan pemain bintang mereka.

Bintang baru seperti Leandro Damiao, Ganso dan Neymar kesemuanya masih kekal di tanah air sendiri dan beraksi di liga tempatan, sementara bintang lain seperti Luis Fabiano pula telah kembali beraksi di Brazil.

Info: GBP40juta (RM200 juta) anggaran nilai perpindahan bagi perancang Santos, Neymar (foto)

2) UAE
Sekian lamanya dicop sebagai destinasi pilihan pemain bola sepak bintang yang 'veteren' atau tua sebelum mereka menggantung but. Liga pro di UAE seperti di Dubai, Abu Dhabi dan Sharjah semakin menarik perhatian para bintang tua ini.

Baru-baru ini, bintang Ghana, Asamoah Gyan telah bertindak meninggalkan kelab Sunderland di EPL untuk menabur bakti bersama Kelab Al Ain. Begitupun Liga UAE sebelum ketibaan Gyan juga tidak ketandusan daripada menampilkan pemain bintang tua berbakat seperti bekas penyerang berbisa Valencia, Ricardo Oliveira serta Diego Maradona, yang kini menguruskan Kelab Al Wasl.

Info: GBP6.8 juta (RM34 juta) merupakan gaji tahunan yang diterima Gyan untuk beraksi bersama Al-Ain (foto)

3)Russia
Dengan pembiayaan besar oleh para billionaire, taikun minyak dan pemerintah wilayah, sukan bola sepak (melalui restu Kremlin) telah dijadikan alat bagi membangunkan wilayah-wilayah termiskin di Russia. 

Ruben kazan, Terek Grozny dan yang terbaharu Anzhi Makhachkala, kesemunya beroleh manfaat setelah menerima kehadiran pemain bintang bertaraf dunia termasuklah Roberto Carlos dan Samuel Eto'o (bekas bintang Barcelona dan Inter Milan).

Info: GBP2 juta (RM10 juta) merupakan nilai kontrak tahunan bagi Roberto Carlos di Anzhi Makhachkala (foto)

4) China
Sepertimana sahabat mereka Russia, Liga Super China hari ini turut dijadikan gelanggang bagi golongan jutawannya 'membalas jasa' Beijing yang telah mengkayakan mereka. Terbaharu, melibatkan perpindahan pemain bintang Chelsea, Nicholas  Anelka (a.k.a Abdul Salam Bilal - wiki) ke Shanghai Shenhua (bermaksud 'Bunga Shanghai' dalam bahasa Mandarin) yang dianggap sebagai salah satu perpindahan berprofil tinggi. 

Begitupun perpindahan pemain Argentina, Dario Conca ke Guangzhou Evergrande dengan bayaran gaji GBP200,000 (RM1 juta) seminggu telah menarik perhatian peminat bola sepak dunia kepada kuasa baru yang muncul dari benua Asia ini.

Info: GBP9 juta (RM45 juta) merupakan jumlah pendapatan tahunan Anelka di Shanghai Shenhua (beliau bakal menerima gaji GBP190,000/minggu). Pemilik Shanghai Senhua, Zhu merupakan jutawan yang memegang lesen permainan video online terkenal dunia, World of Warcraft fantasy game bagi pasaran China.

LAGI INFO MENARIK:

i) Nilai pasaran kelab:

1- Barcelona (nilai = GBP535 juta)
2- Real Madrid (nilai = GBP465 juta)
3- Man City (nilai = GBP380 juta)
4- Chelsea (nilai = GBP370 juta)
5- Man Utd (nilai = GBP355 juta)

Kelab lain:

CSKA Moscow (nilai BP120 juta)
Zenit (nilai = GBP120 juta)
Ruben Kazan (nilai = GBP95 juta)
Anzhi Makhachkala (nilai = GBP92 juta)
Santos (nilai = GBP83 juta)
Sao Paulo (nilai = GBP58 juta)
Al Ain (nilai = GBP17 juta)

ii) Pemain dengan gaji tertinggi (sebelum cukai):

1- Samuel Eto'o (GBP17.2 juta) - jadi orang kaya di Dagestan, Russia.
2- S Aguero (GBP10.4 juta)
3- C Ronaldo (GBP10.2 juta)
4- N Anelka (GBP9 juta) - apabila beraksi di China.
5- L Messi (GBP8.9 juta)
6- Y Toure (GBP8.5 juta)

Dr Sepet: Di saat ramai orang sedang dok 'senak perut' mencari duit untuk berdepan krisis ekonomi, mereka-mereka ini langsung tidak terkesan. Justeru, kalau anda di luar sana yang nak jadi kaya dengan bermain bola (nak rasa gaji RM1juta/minggu), bermainlah betul-betul biar sampai jadi bintang. Jangan main-main.