Wednesday, 8 September 2010

Benarkah kita menyayangi Sunnah?

Musafir dan puasa

Tanya saya kepada diri sendiri "Adakah saya sayang Sunnah Nabi SAW?"

Saya cuba cerminkan maksud posting saya ini dengan keadaan di mana ketika ini ramai di kalangan kita sedang bermusafir, memandu (@ naik kapal terbang) untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut lebaran.

Dari KL pulang ke Kelantan.
Dari JB pulang ke Alor Setar.
Dari Semenanjung terbang pulang ke Sabah-Sarawak.
Dari Pantai Barat pulang ke Pantai Timur dan begitulah sebaliknya.

Ramai juga dari kalangan kita yang bermusafir, tetapi masih berpuasa dalam perjalanan. Dua alasan yang selalu saya dengar (dan ini juga alasan saya sewaktu bermusafir pulang berhari raya):

1) Buat apa berbuka, perut tak sempat lapar sebab perjalanan hanya 5 jam.
2) Kalau berbuka puasa rugi, nak kena ganti balik lepas raya (kes malas nak ganti).

Biarpun secara logik akal alasan-alasan tersebut seperti berasas, namun jika kita teliti perbuatan Nabi SAW (Sunnah), baginda akan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan-kelebihan yang telah Allah berikan sewaktu bermusafir.

Banyak kelebihan (dan bentuk keringanan) yang diberikan, antaranya solat jamak (himpun), jamak-qasar (himpun dan dipendekkan) dan dibenarkan berbuka puasa (diganti setelah habis musafir).

Sungguhpun agama tidak melarang saya daripada terus berpuasa (ditambah oleh 2 alasan logik akal di atas), tetapi mengapa tidak saya ambil contoh yang telah Nabi SAW tunjukkan ini, dan ikut. Iaitu sebagai tanda - "saya sayang puasa saya, tetapi saya lebih sayangkan Sunnah Nabi SAW?"

Apakah juga saya ingin tunjukkan bahwasanya tindakan saya ini lebih baik (dengan meneruskan puasa) dalam situasi saya bermusafir yang mana Allah benarkan keringanan tertentu?

Seorang Ustaz ada memberikan contoh kepada saya, mudah sahaja.

Anda naik AirAsia dari KL ke Langkawi untuk pulang beraya. Perjalanan hanya ambil masa 45minit - 1jam (500km). Dari segi jarak, anda telah dikira seorang musafir.

Semasa di atas udara, peramugari berikan servis hidang makanan. Adakah anda akan angkat tangan dan minta makanan tersebut (untuk berbuka puasa?), oleh kerana anda kini sedang musafir?

Atau mungkin anda akan menahan diri dengan terus berpuasa kerana hanya 45 minit? Atau 'malu' untuk ikut Sunnah Nabi SAW kerana lebih takut dipandang serong penumpang Islam lain kerana anda berbuka?

Emmmm.......... Sayang tak nak tinggal puasa semasa musafir sebab malas nak ganti, atau sayangkan Sunnah.....

Bersama fikirkan.

PKR: Lawan sudah pasti, kalah belum tentu?

Sekadar mengupas paparan berita di utusan online (sini) (sini) dan di blog MPBebas Kulim (sini) bersangkutan pencalonan bagi merebut kerusi timbalan presiden PKR.

Adalah janggal mungkin, laporan yang disiar secara arus perdana ini tidak memetik sumber yang secara langsung terikat dengan PKR.

Ibarat:

- hendak meminang anak Pak Kusyuk, dirisik pula melalui jirannya bernama Pak Malau (yang kebetulan ada 'isu' - berkerat rotan, berpatah arang dengan Pak Kusyuk).

Atau ibarat:

- hendak meminang anak (kebetulan janda) Pak Kusyam, dirisik pula dengan bekas menantu si Abang Burn (yang kebetulan ada 'isu' - berkerat rotan, berpatah arang dengan Pak Kusyam).

Laporan yang bersumberkan mereka-mereka yang sedikit diragui keupayaan dan kebolehpercayaan ini sedikit-sebanyak menjadikan khabar yang disebarkan juga boleh diragui.

Lawan

Agaknya sudah agak lama tidak saya saksikan pertembungan secara 'gentlemen' di dalam pemilihan pucuk sesuatu parti siasah.

Seingat saya (mungkin saya salah) kali terakhir saya baca di internet adalah pemilihan MCA, yang menyaksikan penyandang Tee Keat tewas kepada aktor DVD, Soi Lek.

Bagi parti siasah yang lainnya, adalah sedikit ribut di dalam pertandingan kerusi Timbalan Presiden PAS di antara Nasharuddin Mat Isa, Hussam Musa dan Md Sabu - yang mana Nasha berjaya mengekalkan perkhidmatannya sebagai TP bagi penggal berikutnya.

Pemilihan UMNO? Rasanya paling 'sengit', hinggakan calon yang tewas perebutan jawatan ketua pemudanya diberikan jawatan timbalan menteri.

Berbalik kepada khabar yang bertiup kencang kini, 3 calon berpotensi disebut-sebut bakal menawarkan diri bertanding adalah Azmin Ali (Naib Presiden sekarang), Khalid Ibrahim (MB Selangor) dan Zaid Ibrahim (bukan adik-beradik dengan Khalid & sekarang ini Penyelaras PR).

Di antara ketiga-tiganya, Khalid MB paling 'senyap' menyatakan pendirian, sedang Azmin dilihat ramai pemerhati (dalam dan luar parti) sebagai berpeluang cerah untuk menang, jika beliau setuju/ingin dicalonkan. Zaid pula masih 'cakap berlapik' mengenai hasratnya bertanding.

Biarpun wujud semacam 'kecenderungan nakal' a.k.a propaganda bahawa kerier Zaid bakal berkubur jika benar beliau bertanding menentang Azmin, tidak dapat tidak, berpandukan sifir orang politik, itulah sebahagian asam-garam yang perlu ditempuh.

'Jika takut dilambung ombak, usah berumah di tepi pantai' - jika takut menanggung risiko, eloklah sedari awal lagi tidak libatkan diri. Jika ingin senang, usah sibuk menjadi wakil rakyat dan orang politik, cukuplah sekadar menjadi usahawan yang 'berdamping rapat' dengan mereka (orang politik). Untung besar, risiko kurang.

Berbeza dengan YBebas Zul, saranan saya, jika Zaid sudah berhasrat untuk menduga arus, teruskan saja. Usahlah ditimbulkan keraguan tertentu bagi menggoyahkan hasrat tersebut.

Biarlah amalan demokrasi dan hak untuk menjadi calon disubur dan diamalkan secara bebas tanpa ada tekanan sebarang pihak, baik yang berada di dalam mahupun luar parti.

Ini kerana, pada hierarki manapun seseorang pemimpin itu, letaknya pada perwakilan yang memilih kerana merasakan mereka-mereka inilah yang 'layak' menjadi pemimpin. Bukankah itu (demokrasi dan kebebasan) semangat paling asas yang diperjuangkan PKR?

Tewas

Adalah menjadi harapan saya untuk melihat Zaid 'tidak tewas sebelum berjuang'. Ini kerana banyak contoh telah saya perhati di mana ada sesetengah 'bakal' calon, sebelum menjadi calon, cakapnya bukan main berdentum-dentum, tetapi saat akhir, telurnya tercicir entah ke mana.

Sebagai orang lama dalam politik, dan dengan pengalaman beliau semasa di dalam UMNO dan kerajaan, dan kini di dalam PR, pastinya beliau telah berfikir panjang dan mencongak strategi tertentu.

Di dalam semangat demokrasi yang tulen, pemilihan parti tidak akan berupaya untuk memecah-belahkan sokongan ahli dan juga parti. Ini kerana proses memilih pemimpin adalah norma sesebuah pertubuhan.

Pastilah wujud kesan sementara terutama di antara penyokong calon yang bertanding (dan calon yang menang dengan yang tewas), begitupun ahli parti secara majoritinya masih rasional dan mampu menerima sebarang keputusan yang diputuskan bersama (undi majoriti).

Dan juga sudah pasti pimpinan baru akan perlukan masa untuk menstrukturkan semula gerak kerja di dalam usaha untuk kembali meraih sokongan dan dokongan ahli. Ini juga proses yang biasa - lihatlah bagaimana usaha Presiden UMNO DS Najib sewaktu mewarisi (menyelamatkan?) partinya daripada Presiden sebelumnya.

Dalam politik, bertanding itu sudah menjadi norma. Namun, jika ada yang menyuruh agar tidak bertanding, itu yang sebetulnya di luar norma.

Buat Azmin dan Zaid (serta yang lain-lainnya), selamat maju jaya.

Lawan mesti lawan, kerana siapa yang bakal kalah, masih belum tentu.

Monday, 6 September 2010

Mawaddah buat biskut raya

Di tengah-tengah kesibukan kedua kami menyiapkan tugasan yang berbaki, sempat pula dicuri masa untuk membuat biskut raya.

Bezanya kali ini, tugas ayah hanyalah sebagai pembantu (tukang tolong) kepada chef besar (yang berbadan kecil) iaitu Chef Mawaddah.

Jangan main-main dengan chef ni, bakatnya bukan sedikit. Malah, cara bekerjanya juga pelik, iaitu duduk di atas meja sepanjang menyiapkan biskut.

Macam ni...kena guna 2 sudu untuk letakkan biskut tadi ke dalam loyang..

Sambil kerja, sambil merasa...lihatlah mulut saya yang bercoklat ni...

Kita rasa sikit lagi...(dah banyak pun merasa sebenarnya)...

Kat sini ada yang belum sebati...kacau sikit lagi...

Lekatkan pada loyang macam yang saya tunjukkan ni...

Apabila letih, boleh meniarap pula...selesa apa!

Dibakar pada suhu 180 degree selama 15 minit a.k.a hitam keperangan ini.

Inilah biskut yang telah siap untuk dieksport

Nanti biskut tu boleh jamu orang sempena khatam Qur'an....

3 benda penting bulan ini - mengaji, mendengar radio dan jam (yang super bingit) untuk kejut bangun sahur

Nanti 'update' lagi. Wassalam

Monday, 30 August 2010

Budok yang lapar nok mapuh!

Amaran: jika anda seorang yang gugup/lemah semangat, dinasihatkan tidak meneruskan tontonan.

Sesungguhnya aksi yang dipaparkan ini bukan sahaja boleh membunuh diri sendiri dan penumpang yang ikut sekali, tetapi boleh meragut nyawa orang yang tidak berdosa.

Saturday, 28 August 2010

Isu kemapanan: kurangkan pembuangan yang tidak wajar

Malam Rabu yang lalu, saya berkesempatan menonton satu rancangan yang bertajuk "The Great British Waste Menu" di saluran BBC1.

Rancangan bercorak kulinari/seni masakan ini tampil dengan konsep serta kelainannya tersendiri di mana 4 orang chef ditugaskan untuk menyediakan menu/masakan yang bertaraf restoran, daripada bahan yang bakal menuju ke tempat pelupusan sampah.

Jangan salah faham, rancangan ini bukan menggunakan 'sampah' (garbage food), tetapi bahan yang telah dibuang, walhal tidak patut dibuang (wasted food).

Sebagai contoh, sebanyak 30,000 kobis telah dibuang sebelum sempat diangkat naik lori untuk dijual di pasar-pasarraya besar di UK, hanya disebabkan saiz kobis tersebut tidak menepati piawaian yang dikehendaki.

Bayangkan jika 30,000 kobis 'kontot' ini tidak disampahkan, tetapi diguna untuk memasak, berapa banyak keperluan isi rumah dapat dipenuhi?

Inilah salah satu pengajaran yang ingin ditonjolkan melalui rancangan ini, di mana bahan-bahan yang dibazirkan di pasar-pasar (seperti buah yang belum rosak tetapi melepasi tempoh segar), dapat 'digunasemula'. Lihatlah di akhir rancangan ini bagaimana menu yang bertaraf restoran dihasilkan.

Mungkin kempen sebegini tidak akan diendahkan oleh pengusaha pasaraya, mahupun penjual di pasar, yang ingin meneruskan piawaian yang digunapakai Tetapi sekurang-kurangnya sikap yang mapan sebegini sedikit sebanyak dapat menjadikan kita seorang yang lebih cermat dan menghargai makanan dan mengurangkan pembaziran yang tidak perlu.

Chef sedang menyelongkar tong sampah di pasar sayur di London

Sayur yang diambil dari tong dari pasar tadi kemudiannya dimasak

Boleh taip tajuk rancangan ini di Google - lihat komen orang

Sinopsis rancangan

Terung yang diselamatkan daripada tempat pelupusan - ke pinggan di restoran

4 orang hakim akan menilai

Lagi aksi selongkar tong



Saya tidak pasti sama ada anda boleh aksess rancangan ini dari Malaysia. Tetapi boleh cuba klik di bawah ini untuk melihat siaran ulangan di BBCiPlayer (macam TV3 online).

KLIK

Wassalam

La Liga: ini baru kualiti!

Hujung minggu ini, bermulalah sepak mula La Liga dengan 20 pasukan bakal berentap bagi merebut trofi kejuaraan - atau lebih tepat lagi 2 pasukan yang akan berentap untuk muncul juara, dan 18 pasukan lagi kekal sebagai pencukup korum. Siapa yang akan berjaya? Dan bagaimana? - Sport Magazine, p.22.

(nota: sumber pada foto, klik foto untuk besarkan, kalau tak cukup besar, boleh 'zoom', TQ)





Turut diperkatakan juga adalah persaingan di antara kedua pengurus Real dan Barca - "Jose Mario dos Santos Felix Mourinho gunning for Josep 'Pep' Giardiola i Sala".



La Liga: ini baru kualiti...ke kuali...errr...

Petikan Minggu Ini

Dok pahang, tanye!
Dok tanye, pahang!

(Tidak faham, bertanya! Tidak bertanya, (dianggap) faham!)

-Ustaz Azhar Idrus

Friday, 27 August 2010

Kelainan Puasa & Tarawih Tahun Ini

Alhamdulillah, Allah yang Maha Penyayang telah memberikan peluang untuk saya sekali lagi menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan tahun ini.

Alangkah beruntungnya saya (dan anda) dengan nikmat kurniaan Allah ini, di kala ada di kalangan saudara seagama yang lain, tidak kiralah kaum keluarga, sahabat-handai mahupun jiran tetangga kita, telah dijemput pulang oleh Allah sebelum sempat mengecap nikmat Ramadhan.

Syukur yang tidak terhingga juga kerana kedatangan Ramadhan tahun ini dipermudahkan Allah, tidak sebagaimana mencabarnya keadaan saudara seagama kita yang kini terus ditimpa musibah terutama mangsa banjir di Pakistan sana.
Alhamdulillah, Ramadhan tahun ini sedikit pembaharuan (jika tidak penambahbaikan) telah dan sedang dibuat - dengan berusaha lebih kerap bersolat Isya dan Terawih di masjid.

Biarpun tidaklah mampu untuk keluar setiap malam, sekurang-kurangnya tahun ini lebih kerap berbanding tahun lepas. (Waktu malam dah mula sejuk, macam permulaan winter)

Cabarannya bukan kecil memandangkan tempoh berpuasa tahun ini agak panjang (bersahur jam 4am dan berbuka 8pm). Waktu Isya pula sekitar jam 9.45pm.

Tahun ini saya memilih Masjid Madina di Stanley Road, Iffley, Oxford untuk solat berjemaah. Rumah teres yang diubahsuai menjadi masjid ini terletak di dalam kawasan perumahan - saiznya agak kecil jika dibandingkan dengan Masjid di Manzil Way.

Apapun, kehadiran jemaah pada pemerhatian saya tidak pernah surut, baik di awal Ramadhan, dan kini setelah 17 hari berlalu, masih penuh dan sesak. Jika anda sedikit terlewat, sama ada solat di tingkat atas, atau di laluan masuk ke masjid.

Inilah, pada saya, perbezaan ketara dapat diperhatikan setelah berpuluh tahun saya bersolat terawih di tanah air.

Bukanlah tidak bersyukur dengan apa yang dialami di tanah air, sekadar ingin berkongsi apa yang lebih baik di sini, agar dijadikan pedoman kita semua.

Jika di kampung saya dulu-dulu, bulan puasa ni memang seronok. Waktu malamnya ke masjid bersolat terawih. Seminggu yang awal tu adalah dalam 4 baris/saf makmunnya. Budak-budak pun ramai datang.

Masuk minggu ke-2, masjid menerima 'diskaun' dari segi kedatangan jemaah, adalah tinggal 2 saf. Budak-budak dah tak duduk dalam masjid, ramai yang memenuhkan tangga masjid saja.

Masuk minggu yang akhir, adalah 1 saf (kalau tidak setengah saf). Budak-budak yang datang pula ramai nak bermain mercun saja.

Ini kerana masyarakat kita (jujur saya kata) bukan lagi bersemangat nak kejar ganjaran besar yang Allah janjikan, terutama di akhir Ramadhan (10 yang akhir, dengan malam Lailatul-Qadar, etc.) tetapi makin sibuk dan semangat nak sambut raya.

Di sini berbeza, keadaannya lebih tenang. Makin di penghujung Ramadhan, semakin sesak masjidnya. Alangkah terbukanya mata dan minda saya setelah memerhatikan hal ini. (Berbeza dengan senario di tanah air)

Memang tidak dinafikan solat terawih adalah sunat sahaja, bukannya tuntutan yang wajib. (biarpun amalan sunat dijanjikan pahala sebagaimana amalan wajib di bulan yang mulia ini) Namun, tidak dapat tidak, solat fardhu (Isya) digalakkan kita berjemaah.

Makanya, alang-alang berjemaah Isya tu, eloklah tunggu sebentar dalam 30 minit mengerjakan 8 rakaat.

Buat rakan-rakan di Oxford, jika berkelapangan, saya ingin kempen agar bersama-sama kita berkunjung ke masjid-masjid yang berdekatan bersolat berjemaah.

Bawalah sedikit kelainan tahun ini, dan moga Allah terus kasih dan terus sayang kita, dan dipanjangkan umur untuk terus berusaha memperbaiki diri bukan sahaja di kala Ramadhan tahun ini, malah untuk tahun-tahun yang seterusnya.

Wassalam.

Wednesday, 25 August 2010

Jangan Monyet!

Orang tua-tua ada berkata: jangan monyet...

Ha....Kan dah kena sepuk dan penyepak!!! LOL!