Tuesday, 22 June 2010

Ada umur berjumpa lagi

Sebentar tadi saya dan Mawaddah selesai menghantar Dr Ibrahim ke stesen keretapi Oxford, yang mana beliau seterusnya akan menyambung perjalanannya ke Liverpool.

Selepas 2 hari di sana, perjalanan diteruskan ke Coburg, Jerman (dekat Nurnberg) sebelum menghadiri seminar di Montpellier, Peranchis.

Kunjungan singkat (2 hari) ke Oxford rasanya membuahkan hasil yang positif dengan dua pertemuan penting dengan Prof Emeritus John Glasson, Founding Director Oxford Institute for Sustainable Development (OISD)/Brookes dan (Prof) Dr David Preston, Oxford University berjalan lancar.

John masih terasa akan pemergian arwah Dr Supian yang juga anak didik John sekitar akhir 1970an dahulu.

Manakala, keadaan kesihatan Preston ketika ini kurang baik, namun harapnya beliau segera sembuh dan dapat kembali menjalankan kerja-kerja penyelidikan yang dirancang bersama UTM.

Moga perjalanan Dr selepas ini selamat, hinggalah pulang ke tanah air. Jika ada umur (dengan izin Allah), kita berjumpa di Johor Bahru penghujung tahun ini.

Wassalam.

Friday, 18 June 2010

Siri 1: Mengapa pembangunan mapan?

Pepatah Cina ada berkata:

"jika anda tidak tahu ke mana anda ingin pergi, mana-mana jalan pun akan membawa anda ke sana".

Tetapi benarkah kita tidak pasti ke mana ingin kita tuju? Atau destinasinya telah kita tahu, cumanya jalan yang boleh kita lalui terlalu banyak?

Inilah dilema yang kita hadapi setiap kali membicarakan hubungan pembangunan dengan alam sekitar.

Terlalu banyak maklumat yang perlu diserap dan diurus, sedangkan hubungan di antara kedua element (alam sekitar dan pembangunan) ini adalah begitu kompleks, dan di masa yang sama sensitif dan apa jua perubahan yang berlaku saling mendatangkan kesan terhadap kedua-duanya.

Pembangunan adalah sesuatu yang amat diperlukan. Ketinggian tamadun sesuatu bangsa lazimnya diukur melalui tahap dan pencapaian pembangunannya.

Begitupun, di dalam keghairahan manusia mengejar pembangunan (pembangunan ekonomi dan fizikal secara khusus), banyak aspek berkaitan dengan alam sekitar telah 'terpaksa' dikorbankan.

Mengapa kita boleh membenarkan alam sekitar dan sumbernya terus-menerus dieksploitasi bagi menggerakkan agenda pembangunan?

Jawapannya mudah: kerana kita tidak sedar. Kemerosotan kualiti alam sekitar berlaku, tetapi tidak dapat dilihat kesan signifikannya dalam tempoh satu malam (not happen overnight).

-------------------------

Contoh mudah: perubahan iklim (climate change). Peningkatan suhu dunia, kadar pencairan ais di kutub utara, kenaikan kadar air laut dan perubahan musim bukanlah kerosakan hasil semalam yang manusia lakukan.

Ianya rentetan daripada tindakan kita berpuluh tahun yang lalu menghilangkan berjuta-juta hektar hutan hujan tropika Amazon, peningkatan kegiatan perindustrian yang masih degil untuk menerapkan langkah pengawalan pembebasan gas rumah hijau dan kelemahan berterusan mengatur proses urbanisasi, terutama di negara-negara dunia ke-3.

-------------------------

Perubahan terhadap persekitaran ini akhirnya telah memacu minat pelbagai pihak untuk berusaha mendapatkan jalan penyelesaian yang membolehkan pembangunan (yang diperlukan manusia) dapat berterusan, tetapi di masa yang sama, alam sekitar dan sumbernya kekal dilindungi dan dipelihara.

Mengapa alam sekitar?

Pelbagai siri pertemuan di antara para cendekiawan dan ilmuan di peringkat antarabangsa, untuk memperdebatkan perlunya manusia menjaga kedua-dua elemen ini saya lihat lebih berpaksikan kepada penekanan penjagaan alam sekitar berbanding keperluan kepada ekonomi dan sosial.

Bukan saya menafikan kepentingan ekonomi dan sosial. Ianya turut dijadikan agenda perbincangan, tetapi mengapa alam sekitar ingin ditonjolkan sebagai komponen penting, sama penting dengan ekonomi*?

nota: *ekonomi - GDP sering dan masih dijadikan kayu pengukur kekuatan ekonomi sesebuah negara, termasuklah Malaysia. Kerana itu kita masih terbaca di dada akhbar seperti "kerajaan menjangkakan GDP berkembang hingga 4.5% bagi tahun 2011, etc." - contoh. Namun, berupayakah GDP untuk mengukur pembangunan yang bukan bersifat objektif dan yang sukar diterjemah ke dalam bentuk $/wang, seperti pembangunan insan dan peningkatan kualiti alam sekitar? - Elemen 'subjektif' ini tidak dimasukkan walhal ia adalah penggerak kepada ekonomi.

-------------------------

Kembali kepada persoalan, mengapa elemen alam sekitar cuba ditolak ke hadapan dalam kita masih lagi memerlukan kepada pembangunan ekonomi yang kukuh?

Alasan saya mudah sahaja (lihat di bawah).

-------------------------

Jika berlaku kemelesetan ekonomi: seperti sekarang di Greece, tidak lama lagi akan tiba ke Sepanyol (Malaysia pun ada potensi, kata Idris Jala). Seperti situasi Greece sekarang, ekonominya runtuh dan negaranya bangkrap (negara dijual kepada pembiaya hutang).

Walaupun ekonomi runtuh, dapat kita perhatikan ada orang/pihak/badan yang telah segera tampil dengan cadangan model-model ekonomi yang baru bagi menstrukturkan semula segala hutang-piutang dan asas ekonomi Greece.

Dan contoh di Malaysia pula, kerajaan BN hari ini juga tampil dengan apa yang mereka dakwa sebagai Model Ekonomi Baru (MEB), bagi menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang beroperasi beberapa lama sebelum ini.

Maksudnya? Ekonomi jika runtuhpun masih boleh diwujudkan/dicipta/dibangunkan semula melalui tindakan kita merangka model ekonomi yang baru.

Jika wujud penyakit sosial: pun sama juga, sebagaimana ekonomi. Jika kawasan Pasar Seni dan Chow Kit di Kuala Lumpur terbukti berisiko tinggi bagi perlakuan jenayah, makanya pihak Polis boleh tampil dengan cadangan langkah-langkah pencegahan jenayah seperti meningkatkan kekerapan rondaan, menambah anggota Polis, memasang CCTV dan mewujudkan pondok polis bergerak.

Begitu jugalah dengan mana-mana laluan yang gelap, bisa sahaja dipasangkan lampu. Lazimnya, trend dan laporan jenayah akan menurun setelah langkah-langkah pencegahan sebegini diambil.

Seterusnya, keharmonian sosial dapat dikembalikan dalam masyarakat.

Bagaimana jika alam sekitar rosak? Jawapannya, tiada ganti. Alam sekitar dan sumberjayanya jika rosak, rosaklah ia. Jika pupus flora dan faunanya, pupuslah ia.

Ada sesiapa yang anda kenal merupakan penternak Burung Dodo? Rasanya tiada!

Jika hari ini kita ambil 1000 hektar tanah hutan untuk dibina kawasan industri, mahupun bandar baru, dapatkah dalam tempoh 50 hingga 100 tahun akan datang, tanah yang 1000 hektar tersebut kita 'ambil semua', perbaiki untuk dijadikan kawasan hutan (sebagaimana asal)? Rasanya tidak!

Sedangkan sumber yang kita ambil daripada alam pun tidak mampu kita ganti dan kembalikan sebaik-baiknya. Jika kita ambil air sungai untuk bekalan minuman, dapatkah kita 'pulangkan' semula ia ke sungai dalam keadaan yang bersih sebagaimana mula-mula kita ambil? Besar kemungkinan, tidak!

-------------------------

Justeru, di atas sebab inilah (tiada galang-ganti terhadap alam sekitar), makanya komponen alam sekitar ditolak sebagai satu komponen terpenting apabila merangka agenda pembangunan di masa depan.

Generasi masa hadapan masih boleh menikmati suasana ekonomi dan sosial yang berpanjangan melalui tindakan generasi hari ini memperbaiki model dan struktur ekonomi dan sosialnya.

Tetapi jika musnah alam sekitar dan pupus flora dan faunanya hari ini, ianya hanya menjadi sejarah untuk tatapan generasi kita yang akan datang (samalah seperti kita melihat Burung Dodo di musium hari ini).

Usaha komuniti global di dalam mencari 'model baru' pembangunan mencatatkan sejarah penting di mana di akhir Persidangan Dunia Bagi Alam Sekitar Dan Pembangunan 1987, Suruhanjaya Brundtland tampil dengan gagasan 'Pembangunan Mapan'.

Sebagai mengakhiri siri pertama ini: saya ingin menjawab pepatah Cina di atas:

"kita telah tahu ke mana kita ingin pergi, dengan pembangunan mapan muncul menawarkan jalan bagi kita bergerak ke tempat yang ingin kita tuju"!

---> Penulis merupakan pengarang bersama karya bertajuk 'Pembangunan Mapan Orang Asli', terbitan UTM Press pada tahun 2007 (klik).

Bersambung di Siri 2

Thursday, 17 June 2010

Layan Klasik: Bobby Vinton - Mr Lonely

Mawaddah 'the big eater' & posting ke-600

Mawaddah, 'the-big eater of the day' ini telah melengkapkan posting yang ke-600 blog ini. Musim buah telah tiba di Oxford. Ingin lihat foto-foto budak comot ini?

Lawati blog ibu (klik sini)

Entering Rajab

[O Allah, make the months of Rajab and Sha'aban blessed for us and let us reach the month of Ramadhan].

We enter Rajab today, after Magrib. Scholars say: Rajab is the month of repentance, and Sha'aban is the month of sending salawat on the Prophet (pbuh), and Ramadhan is the month of the Quran.

Share with others.

Wednesday, 16 June 2010

JI di IPT?: Jangan cari di Masjid sahaja

Hai, sehari dua ini negara sedikit heboh dengan kisah "wujudnya cubaan" bagi merekrut pelajar IPT menganggotai kumpulan-kumpulan ekstrimis, terutama Jemaah Islamiah (JI).

Berita lanjut boleh anda baca di sini, sini dan sini.

Hasil siasatan dan intipan, pihak polis telah menangkap seramai 10 warga asing kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan JI.

Selain mereka ber-10 ini, turut ditahan adalah 30 rekrut baru rakyat tempatan yang disyaki turut terlibat dengan gerakan ekstrimis ini.

Pelihara kesucian masjid

Saya tidak tahu sejauh mana benarnya dan seriusnya senario ini, tetapi hal-hal yang melibatkan keselamatan negara, pihak Polis masih dilihat cekap dan efisyen.

Cuma harapan saya agar Polis dan pentadbir universiti selepas ini tidaklah menjadikan orang (pelajar dan pensyarah) yang gemar ke masjid universiti bersolat sebagai mereka yang 'dalam perhatian'.

Pergilah menyelidik, menyerbu dan menyelongkar tempat-tempat lain di dalam kampus.

Pengalaman saya sebagai mahasiswa suatu ketika dahulu menunjukkan amatlah LIAT bagi pelajar (terutama bagi kursus-kursus yang melibatkan tidur kat dalam studio), ke masjid untuk solat berjemaah.

Jika ada seorang-dua yang setiap waktu mampu ke masjid, Alhamdulillah dah cukup bagus tu. Tetapi jika dengan isu (JI) ini, pihak polis bakal berkawal ke sekitar kampus dan berkemungkinan juga ditempatkan di kawasan masjid, alamatnya semakin kurang selesalah nak ke masjid bersolat.

Bukan apa, 'baik aku tak letakkan diri sebagai orang yang dalam perhatian'.

nota:

1) saya cadangkan pentadbir IPT mengaktifkan sistem pendaftaran @ lapor diri terutama bagi pelajar asing setiap tempoh tertentu (setiap 3 bulan mungkin). Setiap kali lapor diri, pastikan pelajar mengemaskini butiran asas mereka seperti alamat dan sebagainya. Cara ini juga membantu pihak berkuasa terutama Jabatan Imegresen menjalankan pemantauan susulan.

2) masalah ini tidak selesai dengan hanya Polis berbincang dengan pentadbir IPT sahaja. TNCHEP IPT perlu segera mengesan dan memanggil semua pelajar asing, menyusun sesi taklimat bagi menghebahkan isu ini. Wujudkan sistem 'mata dan telinga' agar maklumat lebih cepat diperoleh. Bila maklumat cepat, maka tindakan pun boleh diambil dengan cepat.

Tuesday, 15 June 2010

Berita kepulangan

Dalam satu pertemuan singkat saya dengan John di OISD (Oxford Institute for Sustainable Development) semalam, beliau telah memaklumkan saya berita mengenai kepulangan Dr Supian Ahmad, bekas pensyarah saya yang juga mantan dekan FAB, UTM, ke rahmatullah.

Menurut blog Dr Anuar Amir, Allahyarham kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat 11 Jun. Moga Allah tempatkan roh Allahyarham di kalangan orang-orang yang beriman dan yang beramal soleh.

Pengalaman beliau mengajar saya sewaktu zaman buat 'degree' dulu akan terus saya ingati dan kenang. Moga dengan segala ilmu (YANG BERMANFAAT), yang telah arwah curahkan kepada anakl-anak didiknya semasa hayatnya, akan menjadi teman/saham/bekal/ yang berkekalan bagi menempuh alam sana.

Al-Fatihah.

Monday, 14 June 2010

Pembangunan mapan: impian yang mustahil?

Idea pembangunan mapan atau 'sustainable development' hari ini begitu mendapat sambutan sehingga hangat diperbincang di dalam segenap bidang pembangunan dan disiplin ilmu.

Pelbagai orang dari pelbagai latar belakang begitu meminati subjek ini, terutama setelah melihat apa yang ditawarkan oleh gagasan pembangunan mapan - pembangunan berseimbang yang mengambilkira kepentingan ekonomi, alam sekitar dan sosial, untuk generasi hari ini dan generasi yang akan datang.

Begitu popularnya idea pembangunan mapan ini sehingga banyak kertas cadangan penyelidikan seperti 'wajib' diletakkan perkataan 'mapan' ini pada tajuk kertas penyelidikan mereka.

Namun, apakah pembangunan mapan ini sesuatu matlamat yang mampu kita laksana dan capai? Atau ianya sekadar satu bentuk retorik atau 'gula-gula' yang manis rasanya, tetapi kencing manis pula di sebaliknya?

Apakah ianya impian yang mampu direalisasi? Atau satu lagi mimpi ngeri?

Saya akan cuba mengupas topik yang menarik ini dalam beberapa siri artikel, berdasarkan pengalaman saya terlibat secara langsung di dalam kajian berkaitan 'pembangunan mapan' ini.

Hapus Biasiswa JPA: bijak-bijak...

Berita Harian Online hari ini menerbitkan berita mengenai langkah kerajaan, melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), mengurangkan (memberhentikan / menghapuskan) skim biasiswa atau tajaan kepada kira-kira 1,500 pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Sumber berita (sini) - "Pemberhentian biasiswa luar negara tanda universiti tempatan diiktiraf"

Mengapa pendidikan jadi sasaran?

Seakan sudah tahu akan tibalah masanya, pabila sahaja kerajaan mengalami masalah kewangan, sektor pendidikan (terutama penyediaan biasiswa untuk beberapa kerat anak Melayu yang berbakatlah) akan menjadi mangsa kepada pelan 'perbelanjaan berhemah' ini.

Secara berperingkat juga, kerajaan yang dikatakan 'mendahulukan rakyat', akan merealisasikan penghapusah satu lagi 'hak istimewa orang Melayu' (iaitu menikmati biasiswa), dan kali ini bukan sahaja alasan bebanan kewangan digunakan, tetapi kerana 'telah terbukti' IPT tempatan kini telah terbukti amat-amatlah mampu untuk memenuhi keperluan para pelajar ini.

Untuk jangka panjang pula, langkah ini sebenarnya berita yang mengedihkan, bilamana semakin berkuranglah bakat-bakat Melayu (yang layak) lulusan luar negara.

Ini kerana jika kita ingin bersaing di atas 'lantai yang sama-rata' dengan rakan kaum lain (?), 'mereka' langsung tidak terjejas dengan langkah kerajaan kerana sekian lama mereka telah mampu menghantar anak-anak mereka belajar di tempat yang 'sepatutnya' di luar negara.

Malas saya nak ulas berkenaan prestij IPT kita. Cumanya, apakah kerajaan (KPT terutamanya) ada data dan fakta bagi menyokong 'pengiktirafan' ini?

Apakah ada universiti dari luar negara secara terbuka telah mengiktiraf IPT kita sebagai antara yang terbaik? (atau kita hanya 'syok sendiri' di dalam membuat pengiktirafan ini?)

Di mana Perkasa?

Pada saya, inilah antara isu yang paling signifikan bagi pertubuhan berkepentingan orang Melayu seperti Perkasa perjuangkan.

Lihatlah ia secara objektif berlandaskan semangat perlembagaan, bukan lagi melibatkan kepentingan politik mana-mana pihak semata.

Ia (isu ini) merupakan tanda aras kepada survival dan masa depan generasi muda yang berbakat dan berkelayakan untuk terus diberi peluang menikmati biasiswa ini.

Biarpun kerajaan masih membuka peluang bagi permohonan biasiswa ke universiti terkemuka seperti Oxford dan Cambridge, kita perlu juga realistik bahawa tidak semua kursus yang ditawarkan oleh universiti terkemuka ini yang terbaik.

Ini kerana banyak 'school' tertentu di universiti kurang ternama menduduki ranking lebih baik berbanding universiti-universiti elit terbabit.

Apakah Ibrahim Ali akan membuka mulut dan seterusnya memulakan suatu tindakan yang bermakna terhadap isu ini?

Jangan 'Gertak' saja, nanti lama-lama orang dah tak takut kena 'Gertak, malah sendiri kena 'Gelak' pula!

Arak dan rokok

Apakah setelah sekian lama biasiswa ini diberikan kepada mereka (anak-anak Melayu) yang layak, akhirnya kerajaan melihat usahanya ini sebagai sesuatu yang membebankan?

Saya tidak mengutuk graduan lulusan IPT tempatan, malah saya juga salah seorang daripadanya.

Namun, jika kita melihat daripada skop yang lebih luas, iaitu keupayaan memposisikan rakyat Malaysia di dalam syarikat atau konglomerat global, kelulusan 'oversea' tidak dapat tidak, menjadi salah satu kriteria yang dilihat semasa temuduga kerja.

Tidak perlu lihat jauh, GLC seperti Petronas juga dilihat menaruh minat yang lebih tinggi terhadap pelajar kita yang berkelulusan universiti luar, berbanding graduan tempatan.

Itu baru Petronas, GLC lain? Konglomerat global seperti Shell, Exxon-Mobil?

Sebenarnya ada lagi cara lain bagaimana untuk kerajaan 'merawat' sakit kewangan ini. Ada kaedah lain untuk menampung saku kewangan yang bocor ini.

Telah begitu ramai orang menulis bahawa perlunya kerajaan segera menangani ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan yang 'tidak perlu', projek yang membazir, menghapus rasuah dan salah tadbir wang rakyat dan sebagainya.

Saya hanya ingin menambah: agar kerajaan naikkan lagi cukai bagi arak dan rokok. Kalau boleh, naikkan hingga ke tahap yang paling maksimum.

Ini kerana selama ini pun apabila arak dan rokok dinaikkan cukainya, tiada orang pun yang boikot. Sekadar bising sebentar tu adalah. Lepas sebulan dua peminum tegar dan perokok tegar akan kembali dengan habit mereka.

Bukan ingin menggalakkan kerajaan menambah hasil daripada sumber tidak baik ini, setidak-tidaknya, apabila cukai arak dan rokok naik 'gila-gila' masyarakat Malaysia akan berhenti minum dan tidak merokok - kembali kepada gaya hidup sihat.

Jika tidak mendatangkan kesedaran juga, pendapatan yang berlipat kali ganda hasil kenaikan cukai ini, sekurang-kurangnya mampu menyelamatkan sektor pendidikan (dan kesihatan) daripada dimangsakan setiap kali kantung kerajaan 'bocor'.

Sekian.

Thursday, 10 June 2010

RMK-10 (2011-2015): UTM jadi RU

* Tabung pembiayaan bersama kerajaan dan majikan akan ditubuhkan untuk membiayai pekerja melanjutkan pengajian di peringkat PhD dalam bidang yang berkaitan.

*Peruntukan kewangan kepada universiti bergantung kepada pencapaian KPI dan universiti diberi autonomi secara berperingkat bagi mengukuhkan peranan dan prestasi universiti.

* Kualiti staf akademik berkelulusan PhD sebanyak 75 peratus bagi universiti penyelidikan atau research university, dan 60 peratus bagi universiti awam lain.

* MyBrain15, iaitu program pembiayaan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran, akan digiatkan bagi meningkatkan jumlah pemegang PhD kepada 18,000 pada tahun 2015.

* Pakej penggajian akan dikaji semula untuk menarik minat pensyarah asing dan staf akademik yang telah bersara.

* Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diiktiraf sebagai universiti penyelidikan selepas Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Malaysia.

(sumber)