Monday, 17 May 2010

Amalan jahiliyah: tidak perlu lihat jauh-jauh

Jika di sekolah agama dahulu, kita diajar ustaz mengenai sejarah orang Arab sebelum munculnya Islam - perbuatan dan amalan orang Arab semasa zaman jahiliyah.

Salah satu daripada amalan jahiliyah yang masih saya ingat hingga ke hari ini adalah pembunuhan anak/bayi perempuan sebalik mereka dilahirkan dengan cara menanam mereka (bayi ini) hidup-hidup. Bayi lelaki pula dibenarkan hidup.

Namun, bangsa Arab yang keras hati dan degil ini akhirnya ditundukkan jua hati-hati mereka melalui sinar Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Sayangnya, setelah lebih seribu tahun Rasul SAW meninggalkan kita (tetapi 2 perkara masih wujud iaitu Al-Quran dan Sunnah baginda), amalan jahiliyah terbabit kini muncul kembali malah semakin berleluasa pula.

Ironinya, amalan bunuh/buang/tanam bayi ini bukanlah dilakukan oleh orang Arab, tetapi oleh orang Melayu kita sendiri. Malah, yang tambah menyedihkan adalah di zaman jahiliyah hanya bayi perempuan yang dibunuh, tetapi 'jahiliyah Melayu' ini membunuh bayi dengan tidak mengira jantina.

Apakah masyarakat kita semakin menuju ke lembah kemungkaran Allah Taala? Dan mengapa kita makin ingin menjadi lebih jahiliyah, daripada jahiliyah Arab zaman Nabi SAW?

--------------------------------

Pasangan pelajar tanam bayi di tebing sungai

2010/05/17 (sumber)

MELAKA: Polis menahan dua suspek iaitu ibu bayi dan teman lelakinya yang juga pelajar belasan tahun, berikutan penemuan mayat bayi lelaki yang ditanam di tepi tebing sebatang sungai di sebuah taman perumahan di Batu Berendam di sini pada awal pagi Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Mohd Adnan Abdullah, berkata kedua-dua suspek juvana itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah pagi esok.
"Siasatan kes ini telahpun selesai mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd Adnan berkata, mayat bayi yang dilahirkan cukup sifat itu ditemui pada jam 4 pagi di Taman Melaka Baru.

"Daripada pemeriksaan doktor ke atas mayat bayi itu, didapati terdapat kesan lebam dan kecederaan di bahagian kepala," katanya.

Mohd Adnan berkata, polis menerima laporan daripada ibu kepada pelajar perempuan itu pada kira-kira 10 malam Rabu lalu.

Katanya, wanita berusia 30-an itu mendakwa ketika pulang ke rumahnya kira-kira 2.30 petang pada hari sama, anak perempuannya dalam keadaan kesakitan dan terdapat kesan darah pada pahanya lalu membawa anaknya ke hospital untuk rawatan.
Semasa disiasat polis, pelajar itu menyatakan dia melahirkan bayi secara berseorangan di rumah pada pagi Rabu dan telah menghubungi teman lelakinya, yang membawa bayi baru dilahirkan itu ke suatu tempat untuk disembunyikan.

Katanya, polis berjaya mengesan teman lelaki pelajar itu pada kira-kira jam 1.45 pagi di rumahnya yang kemudiannya membawa polis ke tempat bayi itu ditanam. - Bernama

-------------------------------
m

Sunday, 16 May 2010

Kemas kini: Umrah Mei 2010

Alhamdulillah, petang semalam kami sekeluarga selamat kembali ke rumah, setelah 10 hari mengisi hari-hari penuh bermakna di tanah suci Mekah dan Madinah.

Banyak benda baru yang membuka mata telah kami alami sepanjang kunjungan ke sana. Apapun, tidaklah ingin saya coretkan di sini. Jika bertanya apa yang saya rasa, jawabnya mudah: setiap detik adalah tidak ternilai.

Posting kali ini saya sekadar ingin 'update'/kemas kini perubahan dan perkembangan dari tanah suci, agar para pembaca semua mendapat gambaran serba-sedikit tentang apa yang sedang berlaku di sana.

Perjalanan kami 10 hari bermula dengan penerbangan dari Heathrow ke Jeddah dan terus menunggu penerbangan domestik ke Madinah (4 hari di sana).

Dari Madinah, kami berihram dan kembali ke Jeddah. Dari Jeddah, perjalanan mengambil masa selama 1 jam ke kota suci Mekah (6 hari di Mekah).

Jeddah Airport: Menunggu penerbangan ke Madinah

King Abdulaziz International Airport, Jeddah

Mentari pagi di Masjid Nabawi

Di bawah kubah hijau inilah letaknya rumah Aisyah, makam Rasulullah SAW, makam Saidina Abu Bakar r.a., makam Saidina Umar r.a dan tiang Jibril.

Di dalam kawasan di antara rumah/makam dan mimbar Rasulullah SAW pula terdapat tiang-tiang dan kawasan ini dinamakan Raudah. Jika berkesempatan (dengan berebut-rebutan) bersolat sunat-lah dan berdoalah/bermohon hajatlah di situ kerana ianya antara tempat terbaik untuk bermohon hajat kepada Allah Taala.

Perubahan ketara di Masjid Nabawi

Suasana sebelum magrib

Dengan adanya payung ini, mudahlah kami suami-isteri berteduh di luar masjid

Lihatlah jumlah jemaah - ini di luar musim puncak

Alhamdulillah, pengalaman saya sendiri menunjukkan sebagai orang lelaki sebenarnya tidak banyak masalah untuk menziarah makam rasulullah setiap kali selepas waktu solat.

Manakala bagi wanita, memang tiada ziarah makam, cuma ada waktu-waktu tertentu (Pagi: 6.30 - 9.00 pagi: Petang: 2.00 - 4.00 petang dan Malam: 9.30 - 12.00 malam) akan dikhususkan bagi wanita masuk bersolat dan berdoa di Raudah (kena beratur mengikut negara).

Bagi yang membawa anak kecil seperti kami, perlu difahami bahawa wanita dan lelaki akan memasuki pintu berasingan dan kaum ibu lazimnya memikul tugas lebih berat menjaga dan mengawal anak.

Dari segi makan pula (jika datang dengan pakej umrah dari Malaysia, tiada masalah kerana makan disediakan). Bagi yang datang sendiri seperti kami, berhadapan Masjid ini ada Souk Al-Haram (pasar/bazar) yang menjual pelbagai makanan, pakaian, minyak attar, kayu sugi dan bermacam lagi.

Alhamdulillah, sedar tak sedar 4 hari terasa begitu singkat dan akhirnya berlalu buat kami. Perjalanan bagaimanapun perlu diteruskan untuk memulakan ibadah Umrah.

Di sebalik beberapa kesulitan, Alhamdulillah kami tiba jua ke tanah suci Mekah.

Kami tiba agak lewat (selepas Isya'). Apapun, Allah bantu memudahkan proses Umrah - tawaf, Saei dan cukur. Segala yang sebagaimana dituntut dalam syarat mengerjakan Umrah selamat dilaksanakan kira-kira jam 12.00 tengah malam.

Siang esoknya, kami ke Al Haram. Kali ini gambaran lebih jelas dengan tersergamnya bangunan yang begitu 'memesongkan fokus' ibadah ramai orang semasa tawaf - hotel dan pusat membeli-belah ini.


Belum siap sepenuhnya. Tengoklah pabila siap nanti.

Begitu juga kawasan lain di sekitar Al-Haram. Banyak bangunan hotel lama diroboh dan bukit-bukit mula diratakan. Jentera dan kren terpacak di sana-sini.

Entah bagaimanalah keadaan di luar Al-Haram setelah segalanya terbina kelak. Apabila difikir-fikirkan, syukur juga kami diberi peluang untuk buat Umrah sekarang sebelum 'kemodenan' mengubah persekitaran di luar Al-Haram.

Tingkat 2 Al-Haram, jika anda masuk melalui Pintu Malik Abd Aziz.

Suhu waktu malam masih 34 degree - Pakcik yang dah gondol

nota: bagi yang membawa anak kecil, digalakkan membawa buggy (kereta sorong bayi), bagi keselamatan bayi, melindungi dari panas mentari (boleh mencapai hingga 42 degree, basahkan tuala kecil dan letak atas kepala baby), membantu mengurangkan lenguh lengan ibu-ayah.

Makan: bagi yang datang dengan travel agents dari Malaysia, lazimnya makanan disediakan di hotel. Namun, bagi yang datang sendiri seperti kami, dan jika sekali-sekala ingin menukar selera, boleh cuba makanan arab, kebab, KFC, Burger King, B&R dan masakan Malaysia yang disediakan oleh restoran Felda D'saji.

D'saji terletak di tingkat 3, Safwah hotal, setentang dengan Al-Haram. Harga mana-mana 1 lauk 5 riyal, roti canai kosong 3 riyal dan roti telur 5 riyal, kuew tiew 10 riyal dan paling sedap, teh ais (3 riyal).

Felda D'saji

Ramai orang membeli-belah setiap kali selesai waktu solat

nota: jika anda beranggapan harga di kaki-kaki lima lebih murah dari kedai tepi jalan, anda silap. Harga yang ditawarkan adalah sama sahaja, jika murah pun dalam 1-2 riyal sahaja. Jika anda seorang yang amat prihatin, sentiasa berawas dengan barangan peribadi (beg yang mengandungi pasport, beg duit, etc).

Kurma: pastinya ramai yang mencari-cari kurma Al-Ajwa. Harga di kedai-kedai sekitar Al-Haram adalah 120 riyal/kg. Kurma Safawi pula 80 riyal/kg.

Nasihat saya, jika anda bermula di Mekah, dan kemudian ziarah ke Madinah, belilah kurma untuk sekadar 'dapat rasa' di Mekah dan belilah untuk bawa pulang di Madinah. Setakat yang saya tanya semasa ziarah Syuhada Bukit Uhud, kurma Al-Ajwa Gred A adalah 50 riyal/kg dan Safawi pula 20 riyal/kg di Souk Al-Haram (berhadapan masjid Nabawi).

OK, kembali kepada kisah di Mekah.

Jemaah berpusu-pusu keluar dari Pintu Malik Abd Aziz selepas solat Maghrib

Suasana selepas Isya'

Kami turut di bawa ziarah semasa di Mekah. Baru saya merasa, melihat sendiri betapa luasnya Arafah, perjalanan para jemaah haji ke Muzdalifah. Kawasan melontar (Jamrah) pula ditutup kerana kerja-kerja pembinaan kompleks melontar sedang berjalan. Begitu juga sistem LRT yang menghubungkan kawasan-kawasan ini.

Allah-hu-Akbar. Selesai tawaf Wida' (tawaf selamat tinggal)

Tawaf: berpandukan pengalaman saya sendiri, jumlah jemaah waktu ini adalah ramai. Setiap selesai solat fardhu orang akan berebut tawaf. Apa yang saya buat adalah melakukan tawaf sunat jam 10 pagi. Lazimnya ada ruang untuk orang berbadan kecil macam saya yang tidak suka berebut dan memarahi orang lain (dan tidak diherdik orang lain) - untuk bertawaf, solat sunat tawaf dan solat sunat 2 rakaat di Hijir Ismail waktu pagi itu.

Lazimnya, saya mula tawaf jam 10 pagi dan selesai solat di Hijir Ismail dalam masa kurang 1 jam. Selepas itu, perut pun terasa pedih, dan sesuailah berkejar makan nasi lemak di D'saji pula!

Individu: suatu pagi sewaktu duduk-duduk makan roti di perkarangan masjid Nabawi, kami disapa oleh saudara Ishmael (saudara baru) dari Brooklyn, New York. Datang seorang diri dari US. Beliau meminta izin untuk merakamkan foto kami sekeluarga dan dari itu bermulalah sembang-sembang. Allah Maha Besar, lihat bagaimana orang yang membesar di 'Brooklyn' diberi hidayah Islam.

Di Mekah pula kami dibantu Ustaz Asnawi dari Umm al Qura University, Mina. Alhamdulillah beberapa persoalan yang bermain di minda saya sebelum ini telah beliau perjelaskan iaitu perbuatan jemaah 'bergayut' dan meratap di sekeliling dinding Kaabah, bersolat sambil melihat Kaabah dan bukan tempat sujud dan sebagainya.

Ramai lagi yang kami temui, bagi orang rumah pula, kami bertemu keluarga dari Surrey, UK membawa anak lelaki sebaya Mawaddah, nama M juga (Muhammad), nama ibu pun bunyi sama (Houda & Huda), kebetulan betul.

Enam hari berlalu begitu cepat sekali buat kami di Mekah. Alhamdulillah dengan usia, wang dan masa, kami telah cuba yang termampu menyempurnakan ibadah Umrah ini.

Kini tibalah masa untuk kami pulang ke kampung kami, pulang membawa perubahan (spiritual, rohani dan minda) dan menjadi insan yang lebih baik, memimpin diri, keluarga, kerjaya dan pelajaran ke arah lebih baik dengan berpandukan tuntutan Al-Quran dan Sunnah rasulNya.

Sekian...harap dapat bertandang lagi untuk menyempurnakan ibadah Haji pula.

Wednesday, 5 May 2010

Mohon maaf

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera buat semua pembaca blog Dr Sepet,

Adalah dimaklumkan bahawa penulisan di blog ini akan ditangguhkan seketika bermula esok (6 Mei 2010) hingga 16 Mei 2010 (Ahad).

Ianya berikutan keberangkatan saya, isteri dan Mawaddah ke tanah suci bagi menunaikan ibadah Umrah, insyaAllah.

Sehubungan itu juga, kami sekeluarga memohon berbanyak maaf kepada kedua orang tua, guru-guru, saudara-mara, rakan-taulan, jiran tetangga serta kepada semua jika ada kesalahan, kekurangan mahupun 'hutang', mana yang berkaitan dengan kami.

Doakanlah juga perjalanan pergi-balik kami agar selamat, dan di sana nanti kami dapat melakukan ibadat dengan sempurna dan seterusnya pulang sebagai insan yang lebih baik dari sebelumnya, insyaAllah.

Semoga rakan-rakan yang berniat/berhajat/merancang ke tanah suci kelak, juga turut dipermudahkan jalannya oleh Allah Taala.

Wassalam.

Monday, 3 May 2010

Petikan Minggu Ini

"Fakta yang paling menyedihkan ialah Aminulrasyid ditembak dengan wang rakyat dan kerana itu rakyat mahu tahu cerita sebenar kejadian."

Notan, 3 Mei 2010: Sumber (klik)

Formula Dr Sepet:

Polis = Manusia

Manusia = Silap

Silap = Mengaku

Tak mengaku silap = Siasat

Tak siasat = Jadi fitnah

Bila fitnah = Semua punah

Sunday, 2 May 2010

Terjualnya sebuah negara-bangsa

Hal yang sama turut saya dengar dari BBC1 pagi tadi.

IMF luluskan pinjaman RM127b kepada Greek

03/05/2010 3:09am

WASHINGTON 3 Mei - Lembaga eksekutif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dijangka akan meluluskan pinjaman berjumlah AS$39.9 bilion (RM127 bilion) kepada Greek ‘dalam minggu ini’.

Pengarah Urusan IMF, Dominique Strauss-Kahn dalam satu kenyataannya hari ini berkata, pinjaman itu adalah sebahagian daripada pakej bantuan kewangan berjumlah AS$146.5 bilion (RM466.7 bilion) yang dipersetujui Kesatuan Eropah dan IMF selepas Greek memberi jaminan akan membuat pemotongan bajet yang tidak pernah dilakukan sebelum ini dan menaikkan cukai untuk menyokong situasi fiskalnya.

“Usaha bersama kami akan menyumbang kepada kestabilan euro, menguntungkan semua Eropah dan membantu mempromosikan kestabilan kewangan dunia serta pemulihan terbaik ekonomi global,” kata Strauss-Kahn. - AFP (sumber)

(siapakah yang lainnya bernama Strauss - klik)

-------------------------------

Nota kaki:

Perkiraan awalnya adalah meminta Jerman untuk membiaya segala hutang-piutang Greece.

Untuk pengetahuan umum, Jerman adalah negara yang paling kuat dan paling kukuh di benua Eropah ketika ini (terutama dari segi ekonomi).

Di kala negara Eropah yang lain masih belum pulih dan ada yang sedang bertungkus lumus pulih dari kemelesetan ekonomi (seperti UK), Jerman telah jauh kehadapan.

Krisis kewangan Greece ini bagaimanapun masih dilihat secara berhati-hati oleh Jerman. Pemimpin dan rakyat Jerman secara dasarnya tidak ingin terheret dan masuk ke dalam gaung yang dipenuhi pelbagai perangkap bahaya yang boleh memudaratkan ekonomi negara mereka pula.

Krisis yang agak lewat ditangani juga telah membawa implikasi lebih buruk. Ada di kalangan pakar ekonomi berpendapat krisis Greece ini telah menyumbang kepada penurunan nilai matawang Euro.

Justeru, kalangan pakar menyarankan agar Greece dikeluarkan daripada negara pengguna matawang Euro, tanpa mengeluarkan Greece dari Kesatuan Eropah (EU) (hanya tidak menggunakan matawang - bagi menaikkan kembali nilai wang Euro).

Kini IMF tampil dengan baik hati menawarkan 'bantuan'. Bantuan yang sebenarnya perlu dibalas dengan harga yang tinggi oleh Greece dan rakyatnya.

Adakah ekonomi Greece akan pulih dan kembali stabil setelah menerima bantuan IMF? Atau Greece akan 'diikat hidung' dalam tempoh yang panjang dengan IMF?

Krisis ekonomi (melibatkan kehilangan pekerjaan, pendapatan, peningkatan inflasi, menghapus kuasa beli, menghakis simpanan wang, menambah bebanan hutang - mampu bayar dan tidak berbayar), adalah berkadaran langsung dengan indeks masalah sosial dan jenayah.

Justeru, tidak menyelesaikan masalah ekonomi adalah bermaksud mendedahkan negara dan rakyatnya kepada permasalahan serta krisis sosial dan moral.

Akhirnya, bagaimana untuk menggerakkan ekonomi jika modal insan dan lain-lain aspek sosial tidak dapat distabilkan?

Bagaimana pula halnya dengan Malaysia ketika ini? Adakah pihak yang berwajib telah melakukan apa 'yang sepatutnya' terhadap ekonomi dan sosial rakyatnya?

Emmmm.....

Adehhh...penatnye pakcik

Aduhhhh.... penatnye hari ni. Al-maklumlah agak lama tidak mengerah keringat di medan sukan.

Sudahlah penat memotong rumput semalam belum hilang lagi, hari ini main badminton pula . Kalau main macam mat saleh main takpe lah jugak, ini main macam final terbuka Oxford dah.

Apapun, seronok kerana agak lama kami tidak berkumpul bersama. Setidak-tidaknya adalah aktiviti untuk komuniti Melayu Oxford hujung minggu ni.

Antara yang berkelapangan bersama-sama membuang lemak tadi adalah Abg Wan Mat + famili, Dr Din + famili, Rosly + solo, Malinna, Kami, dan memerhati dari luar adalah Ruslan (tengah bekerja) dan Abg Arfiyan (a.k.a Boss).



Pukul, jangan tak pukul



Sembang-sembang lepas bersukan

Buah tangan

Kebetulan saya mendapat email dari syarikat percetakan yang membuat promosi cetak t-shirt percuma (terhad kepada 1 baju/pesanan).

Memandangkan harga tanpa promosi adalah agak mahal, peluang ini saya gunakan untuk hasilkan t-shirt yang custom-made buat 2 pakcik Mawaddah di kampung.





Tahun ini buah tangan untuk orang Malaysia semuanya jenis yang ringan-ringan. Bukan apa senang nak masukkan ke dalam beg. Tinggal lagi nak cari barang untuk makcik-makcik pula.

Selamat berhujung minggu. Nak kena lepas hilangkan penat ni. Mujur juga esok Bank Holiday, dapat rehat lebih sikit.

Wassalam.

Saturday, 1 May 2010

Akibat bertangguh - Potong rumput

Ahhh.....malasnya hujung minggu ni. Rasa mengantuk dan nak rehat saja. Sudah berminggu bertangguh kerja-kerja memotong rumput di laman. Rumput makin panjang dan laman makin bersemak, macam rumah tidak berpenghuni.

Tengah hari tadi, mahu tidak mahu kenalah juga keluarkan mesin potong rumput dan mula bersihkan laman depan dan belakang.

Tapi, ada satu budak tu dia sering terbangun tengah malam dan kacau ibu ayah dia. Bila dah tak tidur malam mulalah susah nak bangun awal.

Tengoklah muka budak comel ni tengah lena tidur....

Alamak, sori terlewat bangun. Nak kena buka pintu belakang ni...

Cepat-cepat....

Sebelum dipotong

Selepas dipotong

Sebelum

Selepas

Rajin nye pakcik tukang kebun hari ni...

Alhamdulillah, nampak sikit rumah dekat kepala simpang ni berpenghuni. Bukan apa, selepas Pak Ngah Izad tolong potong rumput tahun lepas, inilah kali pertamanya rumput dipotong (selepas winter yang panjang).

Di kawasan kejiranan saya ni agak unik (kelakar pun ada). Apabila saya hidupkan mesin dan mulakan kerja-kerja memotong rumput, kedengaran jiran sebelah pun sama hidupkan mesinnya, dan mula memotong sama.

Apabila saya berpindah ke laman depan, kedengaran jiran di tepi sana pula mula hidupkan mesin. Apabila selesai, kedengaran ada mesin lagi kuat bunyinya di belakang sana baru memulakan kerja memotong rumput.

Apapun, masing-masing buat hal masing-masing dan tidak mengganggu sesiapa, kecuali beberapa ekor budak Jerman yang tinggal selang serumah dari kami.

Agaknya tidak pandai 'parking' kereta hingga menghalang laluan basikal jiran sebelah (American rasanya). Bila dah naik 'papan amaran' baru nak faham. Itupun ada sekor lagi yang tak paham-paham bahasa.

Pakcik pencen (British) kat belakang rumah memang layak dipuji. Bukan setakat pandai tanam bunga, malah rajin 'trim' pokok yang dah meninggi agar tidak ganggu jiran dan suka mengecat pagar rumah dia.

Lepas laman dah bersih dan kemas ni, bolehlah dipam 'pool' Mawaddah. Kalau cuaca baik, merasalah dia berenang kat dalam 'pool'. Ibu dan Ayah pula boleh main badminton.

Esok ada program bersama jiran-jiran Oxford di gelanggang badminton kat Marston Ferry Sports Centre. Nanti saya 'update' kisahnya.

Wassalam.

Friday, 30 April 2010

Nick Jonas & The Administration - Who I Am

Mencelah sikit: Pasca Hulu Selangor

Ringkas sahaja:

Saya dok dengar-dengar (lah), selepas PRK Hulu Selangor tempoh hari, dah ada yang dapat jadi Senator dan dah ada yang dapat wang peruntukan beberapa juta untuk sekolah. Cuma yang belum saya dengar apakah ganjaran (yang spesifik) untuk orang-orang yang siang-malam dok berkampung, bersesak dan berserak tekak melaungkan sokongan kepada YB Kamalanathan tempoh hari...

Nak lah juga dengar, kan? Jika orang yang terbukti 'kurang' menyokong pun diberikan imbuhan, inikan pula orang yang sah-sah bersedia dan rela menjadi 'benteng' sepanjang PRK berlangsung.

Thursday, 29 April 2010

Welcome to Lagos

Di bawah ini adalah satu dokumentari terbitan BBC yang saya dapati amatlah menarik dari segi kandungan ilmiahnya dan begitu wajar dikongsi bagi tatapan para pembaca sekalian.




Sumber semua foto (sini)

Bagi mereka yang belajar tentang pembangunan komuniti, jururancang bandar atau pembaca umum yang berminat tentang manusia, bandar dan sistem yang menghubungkannya, inilah sumber rujukan tambahan bagi membantu anda (secara visual) bagi memahami tabiat manusia dan bagaimana manusia yang berbagai keperluan menggunakan ruang bandar.

Ironinya, kehidupan komuniti di tempat pembuangan sampah ini sekali imbas hanyalah kewujudan satu lagi tempat yang kotor, sarang jenayah dan tempat orang yang terbuang dan orang yang tiada harapan.

Tetapi yang indahnya, di dalam dokumentari ini dihuraikan bagaimana setiap orang yang hidup dan menggunakan sumber serta ruang bandar/petempatan (tidak kira sekecil manapun peranannya) adalah saling melengkapi umpama 'bakteria pengurai' yang bersama-sama mengambil peluang untuk menjana kehidupan dan untung.

Pemungut sampah bergantung hidup dengan hasil jualan barangan kitar semula seperti tembaga, plastik, kaca, etc.

Manakala, di petempatan sampah itu ada para peniaga yang membuka gerai makan, kedai mengunting rambut, hatta perkhidmatan memotong dan mencuci jari tukang kutip sampah.

Semua orang ambil peluang untuk cari wang dan wang itu bergerak/berpindah bagi meneruskan hidup setiap orang di situ.

Hal yang sama semasa di pasar menjual lembu. Penternak ingin menjual lembu. Ada 'broker' yang akan mendapatkan pembeli dengan harga terbaik. Tukang sembelih turut dapat untung, ada yang ambil kepala lembu.

Perut dan najis menjana rezeki kepada pembuat baja. Hatta darah lembu turut diproses sebagai makanan ayam - pendapatan kepada orang lain.

Ringkasnya, perniagaan di pasar bukan hanya melibatkan lembu, tetapi lihatlah bagaimana kompleksnya dan peranan 'bakteria pengurai' ini yang hidup secara simbiotik dan saling melengkapi.

Saya telah kesemua episod - ada 3 episod sahaja. Semalam ditayangkan episod yang terakhir - setinggan tepi pantai. Episod pertama berkisar kehidupan komuniti tempat pembuangan sampah dan kedua, berkisar setinggan di atas air.

Semua episod saya suka dan memang saya tertunggu-tunggu. Selain menambah pengetahuan terhadap ilmu perancangan komuniti, perancangan bandar, ianya sedikit sebanyak membuatkan saya bersyukur dengan apa yang 'masih' dikekalkan di Malaysia.

Memang ada banyak yang belum sempurna, tapi kita juga haruslah mainkan peranan, biarpun kecil bak kata pepatah, jika tidak dapat buat semua, jangan tinggal semua.

Jika kita tidak mampu menyumbang kepada penyelesaian sesuatu masalah, sekurang-kurangnya janganlah pula kita menambahkan lagi kerumitan pada masalah yang ada.

Akhirnya, saya amat-amat cadangkan anda melihat videonya di sini (klik). Setiap episod juga boleh dimuat-turun (download). Ianya bagus untuk digunakan sebagai 'alat bantu mengajar' buat rakan pensyarah yang berminat.

Moga beroleh ilmu, manfaat dan pengajaran. Wassalam.