Monday, 5 December 2011

Mengupas pandangan Mat Sabu berkenaan "Pas Ganti Umno" dan Persoalan Integriti

Sebagai memetik:

Ambil khazanah negara untuk parti

"Ini yang berlegar di kepala saya apabila kita mencapai kuasa nanti.  Apakah kita boleh jelmakan Islam yang dijelmakan Nabi, atau kita jelmakan pemerintahan baru yang mengganti UMNO?"

Mat Sabu mengisahkan bagaimana Nabi Muhammad SAW berdakwah dalam keadaan tidak berkuasa, hanya mampu menarik kira-kira 300 orang pengikut dalam 13 tahun; namun angka ini melonjak kepada lebih suku juta, apabila Nabi berdakwah dalam keadaan berkuasa untuk lapan tahun.  Penambahan ini kerana jelmaan Islam dalam pemerintahan Nabi seperti keadilan sosial meyakinkan orang ramai.

Beliau kemudian mempersoalkan, mengapa tiada satu pun markas dibina di Kedah, selepas hampir empat tahun PAS mengambil-alih kerajaan negeri itu?  Ahli PAS mula henti derma, kerana mereka sedang memerhati untuk tujuan apa PAS mengambil alih kuasa.  Beliau memberi amaran, "Bila kita guna khazanah negara untuk parti, kita ambil alih tempat UMNO!"

Mat Sabu tidak menyelindung ketidaksenangan dirinya, apabila Kedah dan Kelantan ketinggalan berbanding Selangor, yang meluluskan usul mendesak pemansuhan ISA, Enakmen Kebebasan Maklumat dan sebagainya.  Beliau menyelar sikap sesetengah pemimpin yang menganggap lebih baik tidak usik undang-undang yang sedia ada seperti ISA, kerana mungkin diperlukan apabila berkuasa kelak.

"Pembebasan demokrasi," tegasnya, seandainya gagal dikotai, maka memang PAS ganti UMNO.  Secara jujur Mat Sabu mengakui, tiada jaminan daripadanya bahawa keadaan lebih baik apabila Pakatan Rakyat mengambil alih daripada Barisan Nasional, namun rakyat mesti diberi hak untuk menghukum pemerintah apabila berlaku penyelewengan.

Sepanjang pemerhatiannya, pemikiran liberal dan sosialis muncul kembali sejak kebelakangan ini, dan diminati semula.  "Kalau kita tidak dapat melahirkan integriti yang hebat ini, saya nampak golongan kiri akan mendahului," dakwanya, mengambil contoh bagaimana Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nasir Hashim mempamerkan cara hidup yang sederhana meskipun mungkin lemah dalam bidang yang lain.  Jeyakumar Deveraj, mengisytiharkan hartanya selepas menjadi wakil rakyat - yang mana langkah ini kurang diminati pimpinan PAS ketika Mat Sabu membangkitkannya dalam mesyuarat.

"Kalau kita nak Islam berada di atas, dan peranannya, soal integriti ini hendaklah menjadi tajuk utama," tekannya.


Nota Kaki:

1) Saya ringkaskan apa yang saya fahami menerusi pembacaan artikel ini seperti di rajah berikut untuk renungan bersama.

Rajah di atas menunjukkan terdapat dua (2) jalan penggantian dengan konsep yang sama, iaitu PAS ganti UMNO. Bezanya, sama ada (1) "Bas baru, pemandu baru" - PAS ganti UMNO dengan membawa sistem/kerangka tersendiri (negara berkebajikan/Islam/hudud) untuk mentadbir Malaysia, atau (2) " Bas lama, cuma ganti pemandu" - hanya menggantikan kuasa UMNO sebagai parti memerintah namun mengekalkan sistem/kerangka pentadbiran yang digunapakai UMNO sejak tertubuhnya Malaysia.

Bagi saya, setiap ahli PAS yang inginkan supaya 'PAS ganti UMNO' perlu faham dan boleh mengesan isyarat perubahan bilamana PAS kelak akan memilih jalan yang pertama, atau jalan yang kedua.

2) Selain itu, saya turut tertarik dengan ingatan berikut: 

Apa yang membimbangkan beliau, "kecenderungan anak Islam untuk menyertai DAP terlalu tinggi", antaranya kerana tertarik dengan kewibawaan integriti yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam pemerintahannya, kata Mat Sabu.  Beliau menjelaskan, meskipun secara peribadinya Nik Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan melahirkan integriti contoh dalam mendapat kuasa, namun ia tidak diterjemahkan dalam bentuk umum, iaitu EXCO-EXCO dan pemerintah di Kelantan. 

3) Tambah beliau lagi: 

"...kalau kita tidak berani melahirkan pemerintah yang berintegriti bila kita berkuasa nanti, kita bimbang PAS betul-betul ganti UMNO," sindirnya berlapik ke atas slogan "PAS ganti UMNO", sebelum meneruskan, "Unsur ganti UMNO itu memang ada sekarang, di atas sifat 'hak saya untuk dapat itu'..."

Ulasan saya:

- "Hak saya untuk dapat itu", saya dapati agak ketara bilamana timbulnya isu pembahagian wang RM100 kepada pelajar sekolah baru-baru ini. Bukan sedikit orang yang bising mempersoal tujuan penyaluran wang RM100 adalah usaha memancing undi dan juga mengapa bantuan itu hanya untuk sekolah kerajaan sedangkan itu wang rakyat. 

- Namun setelah TS Muhyiddin melawat Kelantan dan menyalurkan bantuan untuk Sekolah Agama Rakyat (ertinya setelah kedua-dua pihak 'mendapat habuan' - sekolah kerajaan dan negeri) (baca sini: Murid SAR di Kelantan tetap terima RM100), isu bantuan yang asalnya riuh dipersoal, terus menjadi sejuk, sebabnya? 'hak saya untuk dapat (bantuan) itu dah ditunaikan'....Sedangkan persoalan asal iaitu "tujuan pemberian dan agenda memancing undi" tergantung tanpa dijawab...

Kalau beginilah, maka apa bezanya?

2 comments:

azmnor said...

salam Dr..,

Tak timbul PAS ganti UMNO yg pentingnya orang melayu bersatu untuk kepentingan seluruh umat Islam dan melayu Malaysia utamanya dan seluruh umat Malaysia amnya...

dan persoalan integriti sebenar antara perkara pokok dalam implimentasi islam dalam matlamat penubuhan negara Islam....allahua`lam

Dr Sepet said...

Terima kasih saudara,

Komen saya mengenai penyatuan ini seperti berikut:

Kita takkan boleh bersatu andainya pemimpin-pemimpin kita letakkan perbezaan (kontra PAS-UMNO) sebagai mukaddimah/pembuka rundingan. Sebaliknya kalau diletakan persamaan (yang PAS-UMNO pro), mungkin 'ada jalan' untuk bersatu.

Saya juga asalnya menaruh harapan yang sama seperti saudara (nak melihat Melayu bersatu). Tetapi setelah beberapa ketika memerhatikan perkembangan politik tanah air, saya kembali bertanya diri sendiri: apakah harapan itu dapat direalisasikan?

Tidak dinafikan ada di kalangan umat Melayu inginkan penyatuan demi memelihara Melayu dan Islam. Tetapi, di pihak pemimpin parti, negara dan negeri 'seperti tidak membenarkan' ini berlaku. Serang-menyerang dan tuduh-menuduh yang tidak nampak kesudahan. Apa yang ruginya jika usaha menyatukan umat Melayu ini dibuat? Entah, saya pun tidak tahu.

Tetapi mungkin pada sesetengah orang yang berkepentingan, usaha membawa Melayu bekerjasama itu seperti boleh merugikan kepentingan mereka.

Perkembangan ini membuatkan saya 'mengecilkan' skop harapan iaitu:

Kalau Melayu (PAS-UMNO) sukar bersatu secara fizikal (dalam satu parti politik), mungkin boleh bersatu pemikiran (memudahkan tauliah untuk kerja dakwah, baiki sistem pendidikan dan biasiswa, kebebasan media, etc).

Perkataan bersatu itu mungkin terlalu realistik, mungkin 'kerjasama' di antara parti lebih cocok. Ini kerana sekali-sekala adanya 'perjumpaan mesra' di antara program Pemuda PAS dan Pemuda UMNO mengenai isu-isu tertentu. Harapan itu ada.

Justeru, saya melihat 'persamaan itu ada' dan jika persamaan itu diletakkan sebagai pembuka rundingan, mungkin kerjasama erat yang menguntungkan Melayu dan Islam dapat kita lihat.

Mungkinkah sistem politik kita hari ini memerlukan 'tenaga/pemikiran baru' bagi menjayakan usaha ini?