Saturday, 31 December 2011

Renungan: Elakkan Kafir-Mengkafir Sesama Muslim

Artikel 'copy n paste'. Sumber asal: MindaTajdid

Jul 08, 2010 
 
Soalan: Dr Asri, kita baca dalam surat orang Islam mula tuduh menuduh dengan antara satu sama lain sebagai sesat la, kafir la dan bermacam-macam lagi. Boleh tak Dr Asri ulas sedikit perkara ini dalam ruang soal-jawab Dr Asri dalam Sinar Harian?

Aida, Penang.

Jawapan Dr MAZA: Terima kasih Aida. Semoga Allah memelihara lidah kita semua dari kecenderungan cepat mengkafirkan atau menghukum sesat orang lain tanpa alasan yang kukuh. Persoalan kafir dan sesat bukanlah persoalan kecil, ia membabitkan hukuman terhadap akidah seseorang. Walaupun sesat, bukan semestinya menjadi kafir, tetapi itu pun tetap berat di sisi Allah. Berikut beberapa ulasan saya dalam hal ini;

1. Seseorang yang zahirnya muslim hendaklah dianggap kekal atas keislamannya sehingga terbukti secara yakin bahawa telah terbatal akidahnya. Ini atas kaedah syarak ‘Perkara yang yakin tidak boleh dihilangkan oleh syak’. Dalam ertikata lain, syak tidak boleh menghapuskan yakin. Oleh kerana pada keyakinan asal kita seseorang itu muslim, maka dia dianggap muslim dan tidak boleh keislamannya dibatalkan disebabkan hanya sesuatu perkara yang tidak pasti atau syak.

2. Menuduh orang lain dengan tuduhan kafir atau sesat adalah dosa yang besar. Jika kita tahu bahawa seseorang tidak kafir atau sesat atau fasik, tetapi kita sengaja menuduh imannya yang sah itu sebagai kafir atau sesat, atau menuduh dirinya yang tidak fasik itu sebagai fasik, maka tuduhan itu kembali kepada yang menuduh. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
3. Namun begitu, kita juga hendaklah sedar, di sana ada batas-batas iman dan kufur. Ini seperti sesiapa yang dengan jelas tanpa sebarang andaian lagi menghina Allah dan RasulNya, maka dia terkeluar dari Islam. Demikian juga jika dia menentang secara jelas tanpa sebarang andaian lagi apa yang ditetapkan oleh Allah dengan jelasnya seperti pegharaman arak, judi, zina dan seumpamanya. Sesiapa yang menghalalkan perkara-perkara tersebut atau menentang pengharaman perkara-perkara tersebut dari segi hukum agama, dalam keadaan sedar dan faham maka dia terkeluar dari Islam.

4. Namun, kita hendaklah berhati-hati apabila menghukum seseorang dengan hukuman murtad atau kufur atau sesat atau seumpamanya. Ini kerana, hukuman umum tidak sama dengan hukuman khusus. Hukum umum menghina hukum Islam yang jelas seperti azan membawa murtad, tetapi individu tertentu yang menghina tidak boleh terus dihukum murtad. Hendaklah dilihat keadaannya, maksud ucapannya, kefahamannya dan berbagai latar yang lain. Mungkin dia tidak bermaksud, mungkin dia tersasul, mungkin dia jahil dan seumpamanya. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H)
“Sesungguhnya ucapan yang menjadikan seseorang itu kufur ialah seperti mengingkari kewajipan solat, zakat, puasa dan haji. Namun, pengucapan itu mungkin kerana khitab (ajaran yang betul dalam perkara tersebut) tidak sampai kepadanya. Jika perkara itu berlaku, dia tidak dianggap kafir. Contohnya, golongan yang baru menganut Islam dan hidup di daerah pedalaman yang jauh sehinggakan syariat Islam tidak sampai kepadanya.” (Majmu’at al-Fatawa, jil: 2, ms: 220.)
5. Maka, tidak boleh dikafirkan seseorang melainkan setengah berlakunya iqamah al-Hujjah iaitu penegakan hujah atau dalil. Setelah didapati dia melanggar batasan Iman dan Islam, hendaklah dijelaskan hakikat ilmu yang sebenarnya dan ditegakkan dalil-dalil yang kukuh kepadanya sehingga dia jelas. Selepas itu, jika dia masih berdegil, dan perkataan atau perbuatan tidak boleh ditafsirkan lagi melainkan membawa kekufuran barulah hukum tersebut boleh dijatuhkan kepadanya. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi:
“Hendaklah diberikan perhatian pada apa yang telah diputuskan oleh para ulama muhaqqiqun (penganalisa) mengenai kewajipan membezakan antara peribadi dan jenis dalam isu takfir (kafir mengkafir sesama muslim). Ini bermaksud, sebagai contoh, kita mengatakan golongan komunis kafir, para pemerintah sekular yang membantah hukum syarak atau sesiapa yang menyatakan begini atau menyeru kepada ini, maka dia kafir. Ini semua termasuk hukuman pada jenis.
Adapun berhubung dengan perkara yang berkaitan dengan peribadi seseorang yang dituduh dengan sesuatu, wajib mengambil masa untuk membuat kepastian dan kesabitan tentang hakikat sebenar pendiriannya. Hal ini dilakukan dengan cara menyoal atau berbincang dengannya sehingga ditegakkan hujah, tiada lagi unsur syubhat (keraguan) dan tiada lagi keuzuran untuknya. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah pernah menyebut bahawa perkataan juga boleh menyebabkan kekufuran. Secara umum, orang yang mengucapkannya dihukum kafir. Dengan berkata, sesiapa yang mengucap sekian (sesuatu ucapan yang membawa kepada kufur), maka dia kafir. Tetapi, individu yang mengucapkannya tidak dikafirkan sehingga dibuktikan kekufurannya”. (Al-Qaradawi, Zahirah al-Ghulu fi al-Takfir, ms: 26-27).
6. Dalam hadis Saidina ‘Ali menceritakan :
“Rasulullah telah mengutuskan aku, Abu Martsad dan al-Zubair (kami semua adalah penunggang kuda). Baginda bersabda: Pergilah kamu semua sehingga sampai ke Raudah Khakh. Sesungguhnya di sana ada seorang wanita dari kalangan musyrikin. Dia membawa bersamanya surat daripada Hatib bin Abi Balta`ah kepada musyrikin.
Maka kami pun mengejarnya. Dia menaiki unta seperti yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. Kami berkata kepadanya: Serahkan surat! Dia menjawab: Kami tidak membawa sebarang surat. Maka kami pun mendudukkan dan memeriksa wanita itu. Namun, kami tidak jumpa sebarang surat. Kami berkata: Rasulullah tidak pernah berdusta, sama ada engkau keluarkan surat tersebut atau kami akan telanjangkan engkau!
Apabila dia melihat kesungguhan kami maka dia pun terus mendapatkan simpulan kainnya. Dia pun mengeluarkan surat tersebut, lalu kami terus membawa surat itu kepada Rasulullah s.a.w. Kata Umar: Wahai Rasulullah, sesungguhnya dia (Hatib bin Abi Balta`ah) telah mengkhianati ALLAH, Rasul-NYA dan orang-orang mukmin. Biarkan aku pancung kepalanya!
Baginda bersabda (kepada Hatib): Apa yang mendorong tindakanmu? Kata Hatib: “Demi ALLAH, bukan aku tidak beriman kepada ALLAH dan Rasul-NYA s.a.w. Tetapi aku ingin mendapatkan bantuan daripada kaum (Quraisy). Dengannya ALLAH akan menyelamatkan keluarga dan hartaku. Tidak ada seorang pun di kalangan sahabatmu yang tidak mempunyai kaum kerabat di sana di mana dengannya ALLAH selamatkan keluarga dan hartanya.
Sabda baginda: Dia benar! Janganlah kamu berkata kepadanya melainkan yang baik. Umar berkata: Sesungguhnya dia telah mengkhianati ALLAH, Rasul-NYA dan orang-orang mukmin, biar aku pancung kepalanya. Baginda bersabda: Bukankah dia di kalangan anggota Perang Badar? Sabdanya lagi: Mudah-mudahan ALLAH melihat pada ahli Perang Badar dan berfirman buatlah apa yang kamu suka. Sesungguhnya telah dijamin untuk kamu syurga atau AKU telah ampuni kamu semua. Maka menangislah Umar seraya berkata: ALLAH dan Rasul-NYA lebih mengetahui”. (Riwayat al-Bukhari).
Lihatlah bagaimana baginda masih bertoleransi dengan keadaan terdesak yang dihadapi oleh Hatib. Baginda tidak terus menghukum sebelum mengetahui keadaannya. Sikap umpama itulah yang dilakukan oleh baginda dalam kes-kes lain.

7. Kita hendaklah warak dalam masalah ini. Jangan terpengaruh dengan golongan yang fanatik yang suka menghukum orang lain dengan hukuman kafir dan sesat atas kepentingan tertentu.

--------------------------

Moga beroleh manfaat!

Friday, 30 December 2011

UPDATED: Pantun "rembat-merembat"

Seperti yang dibacakan oleh Dr MAZA sebentar tadi:

Anak Cina menanam jambu,
Menanam jambu nak ambil berkat,
Selepas merembat duit lembu,
Dirembat pula duit zakat.

Big Q: Mengapakah kedua-duanya sehingga kini terus membisu?

UPDATED: 

Pagi ini, akhirnya Jamil Khir tampil dengan pernyataan di akhbar (baca sini: Jamil Khir rubbishes zakat abuse claims) seraya menjawab tuduhan yang mengaitkan beliau dengan 'cilok wang zakat'. Apakah kini, isu ini sudah 'selesai'? 

Thursday, 29 December 2011

Miniatur Kereta Usang Oleh Martin Otto Lambert (16 Gambar)

Seperti biasalah, artikel 'copy n paste' dari sini: blogserius

Mindblown!

Martin Otto Lambert ialah seorang artis dari Jerman. Beliau terkenal dengan skill awesome membina kereta pada skala miniature but with a twist. Semua model miniatur beliau ialah kereta dalam keadaann rosak dan barai. But honestly speaking dalam keadaan usang macam ini pun the beauty is still there. Check out the awesome details on all of them. Kalau nak lagi sila ke laman web Martin Otto Lamber disini







                                                   Laporan asal Lambert

Wednesday, 28 December 2011

Mari ambil tahu mengenai 'Climate Change' (Siri 1) - Fenomena Pencairan Ais

Terdapat dua tempat di Bumi ini yang dianggap oleh para saintis sebagai wilayah atau benua yang amat sensitif terhadap perubahan iklim, kesan oleh pemanasan global iaitulah Artik (Kutub Utara) dan Antartik (Kutub Selatan).

Di kedua wilayah sejuk-beku ini, para saintis hari ini telah melihat bukti yang nyata berlakunya perubahan yang drastik kesan oleh perubahan iklim. Perubahan ini telah disifatkan amat membimbangkan dan jauh lebih buruk, berbanding perubahan di mana-mana tempat lain di dunia ini.

Pertamanya, mari kita lihat secara ringkas perbezaan lapisan ais di antara benua Artik dan Antartik. Ketebalan lapisan/bongkah ais. Secara puratanya, bongkah ais yang terdapat di wilayah Antartik memiliki ketebalan sehingga 10,000 kaki. Sedangkan di Artik, purata ketebalan bongkah ais hanyalah sekitar 10 kaki.

Sebab wujudnya perbezaan yang ketara ini berpunca daripada senario yang berlaku "di bawah" lapisan ais kedua-dua benua ini iaitu:

"Antartik adalah tanah/pulau yang dikelilingi oleh laut. Manakala Artik pula adalah laut yang dikelilingi oleh tanah/pulau."

Ini menjadikan Artik sebagai "pulau ais yang terapung". Manakala lapisan ais dan tanah yang wujud di kepulauan yang mengelilingi Artik seperti Alaska, Greenland, Russia dan negara Nordik mendedahkan benua Artik kepada ancaman kenaikan suhu.

Peningkatan suhu di darat (tanah yang serap haba) mewujudkan "kubah haba" di sekitar Artik, seterusnya memanaskan Artik dan hasilnya pencairan ais menjadi semakin pantas. 

Pemantauan para saintis juga mendapati suhu di Artik telah meningkat secara mendadak, dengan kadar tertinggi berbanding mana-mana tempat di Bumi.


Sekarang, sila perhatikan rajah yang saya sediakan di atas. 

Seperti yang telah saya jelaskan, sebab utama yang mempercepatkan kadar pencairan ais di Artik adalah kerana lapisan aisnya yang jauh lebih nipis berbanding Antartik.

Perhatikan Senario A di mana permukaan berais di Artik sebelum bumi mengalami pemanasan global yang ketara. Permukaan bersalji dan berais yang berwarna putih sebenarnya berfungsi sebagai "cermin besar" yang akan memantulkan kebanyakan haba, radiasi dan cahaya dari matahari kembali ke atmosfera, dan seterusnya mengekalkan suhu di wilayah Artik. 

Mengekalkan suhu juga bermaksud melambatkan proses pencairan ais. Hasilnya lebih banyak permukaan berais dikekalkan berbanding permukaan laut (berair).

Permukaan laut bertindak sebagai penyerap haba, seterusnya menaikkan suhu air laut. Sekarang lihat Senario B. Permukaan laut yang semakin bertambah menyebabkan kadar penyerapan haba oleh permukaan laut semakin meningkat. Ia seterusnya meingkatkan suhu air laut dan seterusnya mempercepatkan proses pencairan ais/bongkah-bongkah ais.

Seterusnya, rujuk Senario C. Bilamana peningkatan suhu permukaan laut berterusan menyebabkan lebih banyak kawasan berais (atau bongkah ais) mulai cair dan "hilang", dan laut mula mendominasi wilayah Artik. 

Permukaan laut yang semakin membesar akan menyerap haba dengan lebih pantas dan banyak, membuatkan proses pencairan ais lebih pantas dan kawasan yang dilitupi ais mulai berkurangan dengan drastik

Inilah realiti yang telah dan sedang diperhati oleh para saintis di Artik hari ini.

Justeru, ke mana "hilangnya" berbillion kubik meter ais yang telah cair ini jika ianya tidak mencair dan menambahkan volume air laut?


Lihat contoh paling mudah yang diberikan di atas. Gelas yang dipenuhi ketulan ais nampak "kering". Namun setelah ais cair, gelas nampak "ditenggelami".

Itulah implikasi yang bakal kita dan generasi anak cucu kita hadapi akibat perubahan iklim, kesan pemanasan global yang membawa pencairan ais pada kadar yang amat membimbangkan ketika ini.

Nota: entri ini dibuat hasil pembacaan karya "an inconvenient truth" oleh Al Gore, wikipedia dan lain-lain sumber berkaitan.

DAP tarik veteran Umno

Apa kes? Sila baca seterusnya artikel di bawah:

Baca lanjut artikel ini, klik - SUMBER

Bagi yang berminat, di bawah ini adalah dua posting yang telah saya terbitkan, juga berkait dengan perkara ini. Sila luangkan sedikit waktu lapang anda untuk membacanya.



Wassalam.

Monday, 26 December 2011

...maka tidak hairanlah berlakunya “solat 2 imam dalam 1 kariah”...

Setelah membaca artikel di bawah (rujuk rajah), maka tiadalah saya merasa hairan memikirkan sebab mengapa masih wujud “Solat 2 Imam, 1 Kariah” di negeri Terengganu sebagaimana dilaporkan akhbar tempatan baru-baru ini (baca kisah berkaitan di SINI).

Memetik komen yang telah saya buat di Facebook: PAS gunakan agama untuk kepentingan politik?

Lihat dan baca lanjut sini - SUMBER 

Ibadat itu bila kita buat amal ma’ruf dan nahi mungkar dengan niat "KERANA ALLAH". Tapi di dalam kes ini, nampak kurang jelas apakah yang dimaksudkan dengan “ibadat” itu. Apakah ianya (tumbang UMNO) "Kerana Allah" atau "kerana nakkan undi dan kuasa"?

Seruan sebegini pada saya hanyalah mengelirukan dan menimbulkan rasa gelisah di hati orang ramai terutama mereka yang tidak begitu faham politik mahupun hal-hal agama yang cuba dikaitkan dengan politik. 

Saya tidak rasa saudara-mara mahupun rakan-taulan saya yang UMNO sampai sejahat dan se-mungkar itu sekali, sehingga perlu ditentang sedemikian rupa, malah menentang mereka boleh dianggap sebagai satu ibadat pula!

Saya secara peribadinya boleh setuju dan menerima sekiranya pemimpin PAS tersebut menggunakan alasan melawan rasuah dan salah guna kuasa sebagai modal kempen menentang UMNO. Namun, alasan mengaitkan usaha (lawan UMNO) ini sebagai suatu ibadat, pada saya, telah menampakkan unsur-unsur keterlaluan, menolak persaudaraan dan boleh mengelirukan.

Janganlah sampai masyarakat memandang dengan penuh keliru dan seterusnya menyimpulkan bahawa orang politik-lah sebenarnya (memperguna) merosakkan kesucian agama demi mencapai cita-cita mereka untuk berkuasa.

Kalau sokongan kepada PAS disebabkan rasa benci dengan UMNO, percayalah sokongan itu hanya bersifat sementara dan tidak akan kekal. Sebaliknya sokong PAS kerana nampak PAS berhajat memperjuangkan Islam yang sebenar, yang berniat KERANA ALLAH, maka sokongan itulah yang akan bertahan lebih lama.

Tapi sekarang inipun muncul pemimpin yang di dalam rumah PAS sendiri yang mula mempersoalkan halatuju perjuangan PAS.

Akhirnya, PAS perlu cermat, janganlah menggunakan agama dengan cara yang mengelirukan sebagai alasan bagi menghalalkan kehendak politiknya. Patutnya politik itu hanyalah platform bagi membawa dan menyebarluas mesej indahnya Islam, luasnya rahmat dan keampunan Allah buat seluruh hambaNya.

Bukan sebaliknya!


Tambahan:

1) Renungkan klip video pendek di bawah: Ust Azhar Idrus jawab pertanyaan: "Saya tak pergi masjid kerana AJK masjid sokong kezaliman"


2) Video pendek kedua memuatkan nasihat UAI: janganlah kita ekstrim sangat. Sepatutnya orang agama kena ada rasa "cinta kepada orang jahil" iaitu ingin melihat seramai mana mereka (yang jahil) menjadi baik. Jangan ego dengan ilmu yang kita ada.


Ringkas dan jelas sudah jawapan yang UAI berikan itu!

Renungan: Larangan Bermuzik di Masjid

Sebuah artikel yang 100% 'cut n paste'. 
Sumber: FB Sunnah (26 Disember 2011)

FB Sunnah
Masjid bukan tempat bermain muzik, menyanyi, dan main gitar. Agak sedih bila melihat rakaman video menunjukkan masjid dijadikan sbg tempat menyanyi dan main gitar. Hadirin pula bersorak dan tertawa.

Imam asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) berkata, “Aku temui di ‘Iraq (ketika beliau hendak meninggalkan ‘Iraq – pen), sesuatu yang disebut sebagai at-Taghbir, yang direka oleh orang-orang zindiq yang menjauhkan umat Islam dari al-Qur’an.” [Ibnul Jauzi, Talbis Iblis, m/s. 205. Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 11/569]

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesungguhnya masjid-masjid dibina bagi tujuan yang khusus (tersendiri).” [Hadis Riwayat Muslim, 3/196, no. 881]
Imam an-Nawawi rahimahullah menyatakan:

معناه لذكر الله تعالى والصلاة والعلم والمذاكرة في الخير ونحوها

“Maksudnya adalah untuk mengingati Allah, melaksanakan solat, menyebarkan ilmu, saling memberi peringatan dalam kebaikan, dan yang seumpamanya.” (Syarah Shahih Muslim, 5/55)

Imam asy-Syaukani rahimahullah berkata:

فالمساجد إنما بنيت لذكر الله والصلاة فلا يجوز فيها غير ذلك الا بدليل يخصص هذا العموم كما وقع من لعب الحبشة بحرابهم في مسجده صلى الله عليه وسلم وهو نيظر وكما قرر من كانوا يتناشدون الاشعار فيه

“Bahawasanya masjid dibina bagi tujuan (sebagai tempat) mengingati Allah dan melaksanakan solat, maka tidak dibenarkan di dalamnya selain itu kecuali dengan adanya dalil yang mengkhususkan keumuman ini. Ini adalah seperti kekhususan dibolehkan permainan lembing oleh orang-orang Habsyah di masjid Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sambil baginda melihatnya. Juga sebagaimana perakuan Nabi Shallallahu ‘alaihin wa Sallam kepada orang-orang yang membaca sya’ir di dalamnya.” (as-Sailul Jarrar, m/s. 351 - Maktabah Syamilah)
At-Taghbir ialah sya’ir-sya’ir (nyanyian) yang mengandungi galakkan bersifat zuhud terhadap dunia (menjauhi dunia dan mencintai agama) yang dinyanyikan oleh para penyanyi, manakala sebahagian yang hadir bertindak memukul alat seperti kayu pada besi (sebagai alat muzik) atau batu dengan mengikuti irama lagunya. (Rujuk: Ahmad B. Hussein al-Azhari, an-Nuur al-Kasaaf fii Bayaan Hukum al-Ghinaa’, m/s. 15)

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah menjelaskan setelah menyebutkan perkataan Imam asy-Syafi’i tersebut:

وما ذكره الشافعي - رضي الله عنه - من أنه من إحداث الزنادقة - [ فهو ] كلام إمام خبير بأصول الإسلام فإن هذا السماع لم يرغب فيه ويدعو إليه في الأصل إلا من هو متهم بالزندقة كابن الراوندي والفارابي وابن سينا وأمثالهم كما ذكر أبو عبد الرحمن السلمي في مسألة السماع " عن ابن الراوندي

“Apa yang disebutkan oleh asy-Syafi’i rahimahullah bahawa perbuatan tersebut merupakan hasil ciptaan para zindiq yang berasal daripada seorang imam yang ahli dalam ilmu ushul dalam Islam. Kerana pada dasarnya, tidak ada yang mempromosi dan menganjurkan nyanyian melainkan orang-orang zindiq, seperti Ibnu Rawandi, al-Farabi, Ibnu Sina, dan yang seperti mereka, sebagaimana yang disebutkan oleh ‘Abdurrahman as-Sulami dalam Mas’alah as-Sama’ daripada Ibnu Rawandi.” (Majmu’ al-Fatawa, 11/570)

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) juga turut mengatakan:

فمن فعل هـذه الملاهـي على وجه الديانة والتقرب فلا ريب في ضلالته وجهالته

“Maka sesiapa yang memainkan alat-alat muzik tersebut yang padanya disertai keyakinan melaksanakan agama dan bertaqarrub kepada Allah, maka tidak diragukan lagi kesesatan dan kebodohannya.” (Majmu’ al-Fatawa, 11/576)
Kata Imam Ibnul Jauzi rahimahullah (Wafat: 597H):

قال الشافعي الغناء لهو مكروه يشبه الباطل ومن استكثر منه فهو سفيه شهادته قال وكان الشافعي يكره التعبير

Imam asy-Syafi’i rahimahullah berkata, “Nyanyian adalah perkataan yang dibenci dan menyerupai kebatilan. Sesiapa yang suka (selalu) menyanyikan lagu, maka dia adalah orang yang bodoh dan kesaksiannya tidak boleh diterima pakai." Dan asy-Syafi’i sangat membenci at-Taghbir (nyanyian orang sufi yang mengajak kepada zuhud sambil memukul-mukul sejenis alat daripada kayu). (Talbis Iblis, m/s. 205)
  

Persoalan yang melingkari “calon BOLEH MENANG”

Saya ingin menarik perhatian anda kepada petikan di bawah:

“Dalam bahasa Inggeris, “winnable” bermaksud “boleh menang”. Untuk menjadi calon yang boleh menang, seseorang itu mestilah terlebih dahulu menjadi calon yang boleh memenangi hati pengundi. Kalau tanya pengundi dan orang ramai siapa calon yang boleh menang itu, tentunya mereka akan kata calon yang baik, bersih, mesra, berusaha, berkebolehan, ada dasar dan wawasan, dan banyak lagi. Masalahnya, semua calon akan kata, itulah ciri-ciri yang ada pada mereka. Semua parti pun akan kata, itulah calon-calon yang mereka kemukakan.”


Selepas istilah “winnable candidates” ini dicetuskan UMNO-BN, sepertinya tidak sah bagi mana-mana parti politik di tanah air hari ini untuk tidak bercakap mengenai keperluan parti masing-masing meletakkan calon “jenis ini” bertanding pada PRU13 kelak.

Seperti yang dikupas oleh saudara Kadir, pelbagai kriteria yang begitu ideal perlu ada dan dipenuhi seseorang yang berhajat menjadi calon, seperti baik (akhlak dan moral), bersih (tidak rasuah), ada wawasan (bukan beku otak), berkebolehan (bukan sebab ada kabel) dan sebagainya.

Saya amat bersetuju bahawa kalau benarlah dapat ditemukan orang yang sesuai, kerana inilah ciri-ciri terbaik dan paling ideal patutnya ada pada seseorang calon atau bakal pemimpin itu.

Pun begitu, timbul persoalan lain di benak pemikiran saya.

Q: Apakah benar kriteria yang dinyatakan seperti di atas menghuraikan kriteria "calon boleh menang" (winnable candidate)? Atau sebenarnya lebih menjurus kepada kriteria seorang “calon yang layak” (qualified candidate)

Mengapa saya timbulkan persoalan ini? Kerana bagi saya “calon boleh menang tidak semestinya calon yang layak”. Mengapa "tidak semestinya"? 

Ini kerana di dalam permainan politik yang mana kemenangan adalah penentu kekuasaan, maka ada kemungkinan calon-calon yang layak kerana baik peribadi (tidak main wang, berpendidikan dan berwawasan), tidak semestinya dinilaikan “boleh menang” pada mata parti dan para penyokong mereka.

Maka di sini wujud juga kemungkinan iaitu pada PRU13 nanti, kita akan sekali lagi disajikan dengan muka-muka “calon yang tidak layak” (seperti muka lama, muka dah kalah PRU12, calon kitar semula, calon yang pernah disabitkan/terpalit isu rasuah dan politik wang, calon kroni, etc.), NAMUN mereka inilah pada penilaian parti (tidak kiralah BN ataupun PR) adalah “calon boleh menang” memandangkan pengaruh mereka yang begitu besar di dalam parti dan di peringkat akar umbi.

Apakah pilihan yang kita ada?

Sunday, 25 December 2011

Kereta konsep: Citroen CCrab (foto)

Direka untuk mencilok!

Citroen CCrab rekaan Juha-Pekka Rautio ini adalah kereta konsep bersaiz kecil yang dipacu kuasa elektrik, dibuat khusus untuk membantu pemiliknya memandu dengan lebih selesa terutama semasa mengharungi trafik dalam bandar. Sesuai dengan namanya, CCrab mengambil inspirasi pergerakan ketam iaitu setiap tayarnya mampu digerakkan secara berasingan secara 'mengiring'. Barangkali ianya turut berguna kepada pemandu yang tidak pandai membuat side-parking!









                                         Sumber asal: YANKO Design

Saturday, 24 December 2011

Fakta mengenai perkataan F**K (grafik)

Kena tahu juga penggunaan perkataan ini dari segi konteks dan situasinya. Bukan semuanya menjurus kepada lucah/seks.

Sebuah artikel 'copy n paste' dari sini: blogserius

Educational



                                            Laporan asal Sortable via Izi

Friday, 23 December 2011

Ust Azhar Idrus: Gelanggang Futsal Arena Kota Bharu (foto)

 Kedatangan? Seperti biasa 'full-house'.

 Hok ni 'mahal' sekali iaitulah solat berjemaah.

Sumber semua foto (rujuk foto): JKKK Fan Club

"Power follows money": Barat perlu akui kuasa Asia

Hadir dan berdampingnya para pemimpin Eropah dengan kerajaan dan pelabur China ketika ini adalah bagi mendapatkan sokongan kewangan kuasa besar dunia itu di dalam membantu menyelamatkan Eurozone.

Perkembangan menarik ini juga membuktikan betapa Barat hari ini mula menerima hakikat bahawa berkembang atau tidak ekonomi mereka adalah turut didorong oleh kemakmuran ekonomi Asia.

Inilah yang menjadi perhatian pelbagai pihak, iaitu untuk memerhati apakah bentuk keputusan pelaburan yang bakal dibuat oleh kuasa Asia ini bagi menyokong (atau "menyelamat") ekonomi negara-negara Eropah dan Amerika Utara.

"TANGAN AJAIB" ASIA?

Contoh yang jelas bagi menggambarkan pengaruh dan kesan pelaburan Asia di Eropah boleh kita lihat di dalam kes syarikat pengeluar kenderaan SAAB dan Volvo

Minggu ini, SAAB akhirnya "mengangkat bendera putih" dan memfailkan permohonan muflis. Pada tahun lepas, syarikat ini telah dijual oleh General Motors kepada syarikat pembuat kereta mewah dari Belanda, Spyker Cars. Namun pengurusan barunya juga gagal untuk memulihkan SAAB (gagal memenuhi sasaran pengeluaran dan jualan) sehingga lebih banyak cawangan SAAB terpaksa menamatkan operasi mereka. 

Namun, dari satu pihak yang lain iaitu Volvo, perkembangan yang begitu kontra pula berlaku.

Walaupun Volvo telah turut dijual (di dalam tempoh yang lebih kurang sama dengan SAAB dijual), iaitu kepada Geely. Hari ini, Geely telah menjadi syarikat pengeluar kereta kedua terbesar di China.

Di bawah pemilik dan pengurusan baru, Volvo terus berkembang dan maju, serta menghasilkan inovasi (model-model baru) dengan masa depannya juga turut terjamin. 

Tidak lama lagi, Geely bakal muncul sebagai pengeluar kereta dari China yang pertama melancarkan kenderaan mereka bagi pasaran UK.


Melihat kepada apa yang telah berlaku, dua kesimpulan dapat dibuat iaitu:

1) Syarikat kereta Eropah yang diambil alih oleh syarikat dari Asia (China) nampaknya berjaya diubah nasib daripada 'nazak' kepada lebih maju dan berkembang. Ini merupakan pemulihan yang tidak berupaya dilakukan oleh pihak Eropah sendiri. 

Kejayaan ini bukan hanya didatangkan oleh "tangan ajaib" China, malah telah dibuktikan sebelum ini oleh Tata Motors dari India yang berjaya memajukan semula Jaguar Land Rover dari UK.

2) Kesuraman situasi ekonomi Eropah ketika ini telah membuka peluang pelaburan kepada negara kuasa Asia untuk berkembang dan maju. Justeru, tidak hairanlah 2/3 simpanan kekayaan dunia kini dipegang oleh Asia.

Kesimpulannya, Asia juga perlu "berterima kasih" kepada keadaan Eropah yang kelam-kabut ketika ini di mana lebih ramai pelabur Asia dapat "melabuhkan pukat tunda" mereka, iaitu dengan membeli atau melabur/membeli saham-saham berharga murah dari syarikat-syarikat Eropah yang bermasalah.

Pernyataan oleh Liang Xinjun, Ketua Fosun,  koglomerat terbesar mewakili sektor swasta China sudah cukup bagi menggambarkan hasrat besar pelabur China

"Kuasa beli US-EU telah mengalami kemerosotan sejak 3-4 tahun kebelakangan dan ia dijangka berterusan untuk 4-5 tahun yang akan datang. Pertumbuhan sektor perniagaan mereka juga dijangka terbantut atau merosot. Ini bakal membuka peluang kepada pelabur (Asia) membeli 10-30% saham syarikat-syarikat yang bermasalah ini, menjadikan mereka (pelabur Asia) pemegang saham terbesar atau kedua terbesar. Pelabur kemudiannya boleh membawa syarikat-syarikat ini ke China dan mengembangkan pasarannya di sana."

BELI TWITTER

Nampaknya, bukan sahaja wang China yang begitu dikejar Eropah dan Barat, bahkan kekayaan Asia Barat juga menjadi sasaran mereka. 

Inilah yang dapat dilihat setelah Putera Alwaleed bin Talal dari Arab Saudi yang membelanjakan US$300 juta membeli saham Twitter baru-baru ini.

Namun begitu, dari segi strategi pelaburan, pelabur China dilihat berbeza dengan pelabur Asia yang lain kerana mereka lebih mengutamakan kepentingan strategik negaranya sebelum membuat keputusan pelaburan. Manakala kebanyakan pelabur dari Timur Tengah dan India pula cenderung kepada nilai komersil sesuatu perusahaan sebagai prospek pelaburan.

Sebagai penutup, dunia Eropah dan Barat hari ini perlu menerima bahawa realitinya mereka semakin hilang kuasa dan kawalan ke atas perusahaan penting yang selama ini menjadi kebanggaan dan tunjang kepada ekonomi mereka, yang mula berpindah ke tangan pelabur dari Asia. 

Walaupun timbul desakan dalaman supaya diwujudkan undang-undang bagi membenarkan negara memelihara kepentingan mereka, pada hakikatnya di dalam sistem ekonomi kapitalis yang mereka sendiri anuti, "power follows money".

Dan kini, wang dan kuasa itu di tangan Asia!

---------------------------

Nota: dirumuskan dari artikel: McRae, H. "We'd better get used to Asian power". i, 21 Dec 2011: 23.

Thursday, 22 December 2011

Tayar pancit? Anda mungkin perlukan car jack sebegini (foto)

Artikel yang di-'copy n paste' dari sini: blogserius

Sangat Winning!

Woah ini adalah sangat winning! Pernahkan anda mengalami masalah tayar pancit? Aku dah kena dalam 4 kali seumur hidup. Pernah sekali langgar bumper dan tayar meletup. Kenalah aku memerah keringat waktu tengahari buta menukar tayar. The bullshit part masa menukar tayar ialah to jack up the car. Car jack yang sedia ada dalam kereta anda sangat WOEFULLY inefficient dan memenatkan untuk digunakan. Di sinilah car jack berbentuk beg udara dapat meringankan beban anda. Paling win ia menggunakan ekzos kereta untuk mengembangkannya! Genius! Apparently teknik menukar tayar dengan airbag dan ekzos bukan perkara baru dan telah digunakan pihak tentera bertahun-tahun lamanya. Sebab ianya digunakan ialah dalam tentera anda perlu cepat dan jack biasa ambil masa yang lama. Time is of the essence. Kalau nak beli ianya beharga AUSD 95.95 atau (RM305) sebuah. I think this is cheap for a very nice convenience bila berlaku kepancitan!



                                                  Laporan asal Direct

Tuesday, 20 December 2011

Edisi "Pas Ganti Umno, PGU": Keperluan Suara Majoriti, Di Dalam Sistem Demokrasi – suatu realiti


Pertamanya, saya berterima kasih kepada sahabat, En Alang, kerana telah melontarkan komen-komen sehingga membawa saya menulis artikel ini. Sungguhpun entri yang disentuh membincangkan mengenai DAP (di bawah tajuk: DAP mempelopori kerangka politik baru yang ‘lebih Malaysia’). Begitupun saya amat tertarik dengan angka dan statistik yang diberikan beliau. Saya gembira apabila orang yang turut ambil cakna mengenai perkembangan politik kini turut berhujah dengan fakta, bukannya bersandar kepada sentimen dan emosi.

HARAPAN & REALITI

Harapan adalah sesuatu yang kita belum dapat, tetapi amat berkehendak untuk mendapatkannya. Harapanlah yang memotivasikan, dan menggerakkan daya upaya kita untuk meneruskan kehidupan. Apabila hidup disandar kepada harapan, maka terasa lebih bermaknalah hidup ini. Sepertinya seseorang insan yang inginkan Redha Ilahi, maka hidup ini dijadikan tempat untuk beramal bagi mengejar bekalan ke syurga PenciptaNya.

Di dalam politik, penzahiran sesuatu harapan itu memerlukan suatu wadah atau platform perjuangan yang lazimnya dipenuhi oleh penubuhan sesebuah parti. Di dalam sesebuah parti, para pemimpin dan ahli sentiasa datang dan pergi, tetapi parti lazimnya akan kekal. Namun demikian, kekalnya sesebuah parti itu belum tentu menjamin yang ianya kuat kerana yang menentukan terbinanya atau runtuhnya parti adalah oleh sikap dan tindakan pemimpin dan ahlinya sendiri.

Melalui parti politik, aspirasi dan harapan rakyat (penyokong + pengundi) dapat dizahirkan, malah kepada kebijaksanaan para pemimpin merekalah diletakkan kepercayaan dan keyakinan yang menggunung. Pemimpin dan ahli bergerak seiring membina parti.

Saya sebenarnya telah agak lama memerhatikan perkembangan di dalam dan di luar PAS, sekalipun saya juga ada menulis berkenaan DAP dan UMNO.

Justeru, apa yang dinukilkan ini hanyalah pandangan dan pendapat peribadi saya sebagai pemerhati (bukan ahli), namun di masa yang sama ingin dikongsi apa yang saya coretkan ini saya anggap sebagai suatu “realiti”. Realiti ini dikupas dengan berpandukan angka-angka, statistik dan track records.

Saya inginkan realiti ini direnungkan bersama para penyokong (dan pemimpin) PAS secara khususnya, dan ada ketikanya saya cuba kaitkan secara tidak langsung dengan konteks PR.

Semoga coretan ini dapat dibaca dan difahami secara objektif dan rasional. Mana yang saya rasa baik saya puji, dan mana yang lemah perlu diakui dan dicari kaedah untuk memperbaikinya.

KERUSI TERBANYAK = WAKIL TERBANYAK

Saya secara umumnya bersetuju dengan fakta yang dibentangkan oleh sahabat saya, En Alang, iaitu sistem politik kita adalah berlandaskan kepada amalan demokrasi. Dan di dalam amalan demokrasi, sesuatu keputusan boleh dicapai dan ditentukan oleh pihak yang memiliki undi terbanyak (iaitu pihak yang miliki kerusi terbanyak = memiliki wakil terbanyak = undi terbanyak).

Mana-mana parti yang berupaya untuk mempastikan (secured) bilangan kerusi terbanyak (majoriti), maka pihak itulah ‘memiliki kunci’ yang akan menentukan outcome sesuatu proses pembuatan keputusan.

Boleh dikatakan di sini, andainya PAS Berjaya untuk “secure” bilangan kerusi terbanyak (melebihi DAP dan PKR) untuk ditandingi menjelang PRU13 kelak, bolehlah dikatakan PAS telah mendapat kemenangan moral yang pertama.

Manakala, kemenangan moral kedua ialah jika PAS Berjaya menyamai atau mengatasi jumlah kerusi yang dimenangi UMNO. Maka barulah ada harapan untuk direalisasikan Pas Ganti UMNO (PGU).

YANG DIRISAUKAN...

Berikut adalah beberapa perkara yang secara realitinya saya rasa perlu dirisaukan iaitu:

Risau1: Mampukah PAS ‘menang majoriti’ di dalam pembahagian kerusi sesama rakan di dalam PR?

Saya lihat cabaran/halangan pertama PAS adalah bagaimana memastikan PAS diberikan bilangan kerusi terbanyak (majoriti) melalui proses agihan kerusi bersama-sama DAP dan PKR.

Seperti yang telah saya jelaskan, di dalam amalan demokrasi, pihak yang berkuasa adalah pihak memiliki bilangan undi terbanyak (atau wakil paling ramai, Members of the Parliament, MPs). Perlulah diingat bahawa PAS tidak membuat keputusan secara bersendirian mengenai sesuatu perkara melainkan perlu berunding dan dipersetujui secara bersama dengan DAP dan PKR.

Namun, keadaan ini boleh berlaku bilamana kekuatan PAS, DAP dan PKR lebih kurang sama/setara. Mana-mana parti tiada majoriti dan ada agenda yang diperjuangkan parti perlu ‘diberi imej baru’ supaya sekutunya berlembut hati.

OK, berbalik kepada persoalan asal. Keseluruhan kerusi Parlimen di Malaysia adalah berjumlah 222 kerusi. Justeru, untuk menang dengan majoriti mudah, PR HANYA perlu menang 112 kerusi.

Pada PRU12, PAS telah bertanding di 66/222 kerusi atau HANYA 30%. Di sini sahaja, realitinya, PAS sudah menjadi pihak yang minority di dalam PR.

Berbanding PAS, rakannya PKR telahpun ‘secured’ 95/222 kerusi (atau 43%), manakala DAP pula mendapat 48/222 kerusi (22%). Sebanyak 13 kerusi tidak ditandingi PR

Bersandarkan angka dan statistik di atas, kita lihat dari segi agihan jumlah kerusi, PAS sudah pun ‘tewas’. Kalau anda rasa PAS sebenarnya ‘menang’, minta maklumkan pada saya semoga dapat diperbetulkan pernyataan saya yang tersebut.

Keupayaan PAS bertanding di 30% kerusi Parlimen ini bukanlah kesalahan penyokong PAS kerana rundingan dan persetujuan mengenai pembahagian kerusi ini dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi parti melalui persetujuan bersama DAP dan PKR.

Maka untuk PRU13, orang-orang PAS perlu dengan jelas, menyampaikan hasrat mereka kepada pemimpin tertinggi mereka supaya dipastikan yang PAS mendapat agihan kerusi lebih banyak. Berapa banyak? Jawapan saya, sebanyak yang menjamin PAS mendapat majoriti daripada keseluruhan 222 kerusi yang ada.

Risau2: Mampukah PAS ‘menyamai’ pencapaian UMNO?

Pada PRU12, UMNO bertanding di 117/222 kerusi dan menang di 79/117 kerusi, iaitu 68% kemenangan. Angka ini adalah jauh lebih tinggi berbanding mana-mana pencapaian parti di dalam PR. Pada PRU12, PAS menang 23/66 kerusi (35% kemenangan). PKR pula menang 31/95 kerusi (33%) dan DAP muncul TERBAIK di kalangan PR dengan menang 28/48 kerusi (58%).

Isu yang pertama di sini, jika PAS masih kekal dengan jumlah 66/222 kerusi untuk PRU13 akan datang, tentunya PAS boleh melupakan sahaja hasratnya untuk ‘memimpin perubahan’ di dalam PR, belum lagi dibicarakan hasratnya untuk ganti UMNO.

Keduanya, jika PAS bertanding di 66 kerusi (jumlah yang sama) dan MENANG SEMUA 66 kerusi, masih, MP PAS hanya mewakili 30% suara (dan kuasa undi) dalam proses pembuatan keputusan bersama di dalam PR. Persoalannya, mampukah PAS menang 100% bagi kerusi-kerusi yang ditandinginya?

Permasalahan yang pertama ataupun yang kedua, ‘kemenangan’ dilihat masih tidak memihak kepada PAS. Justeru, penentuan sama ada PAS berupaya menambah bilangan kerusi atau tidak, adalah terserah kepada kemampuan dan kepandaian pimpinan tertinggi PAS sendiri berbincang bersama-sama PKR dan DAP.

Risau3: Mampukah PAS tawan kubu kuat BN?

Topik yang sama telah saya kupas dengan panjang lebar di entri bertajuk: “checklist penting untuk PRU13”.

Untuk merealisasikan PGU dan untuk menerapkan nilai-nilai Islam yang syumul ke dalam sistem pemerintahan kerajaan PR, memerlukan PAS tampil sebagai “pemimpin perubahan”, atau istilah politiknya, pihak yang dominan (ada keterampilan untuk memimpin PR).

Sekalipun dilihat ramai pihak bahawa pengaruh PAS agak menonjol di 3 negeri iaitu Kelantan, Kedah dan ‘mungkin’ Terengganu.

Nota: Itupun belum mengambilkira berapa jumlah sebenar undi protes yang diberi kepada calon PAS oleh penyokong parti lawan yang ‘patah hati’ dengan parti mereka pada PRU yang lepas). Ini yang dimaksudkan undi yang diberi bukan kerana sokong PAS, tetapi kerana kecewa dengan parti sendiri, dan jika parti mereka ‘berubah jadi baik’, tidak mustahil yang protes akan kembali ke pangkuan jalan.

Matematik mudahnya, 3 negeri ini hanya memberikan 37 kerusi maksimum untuk dipertandingkan (Kelantan=14, Kedah=15 dan Terengganu=8). Sedangkan dari jumlah 37 kerusi tersebut PAS hanya mampu menang 16 kerusi (43%) iaitu (Kelantan=9, Kedah=6 dan Terengganu=1). Kemenangan ini mungkin sekali disokong oleh undi protes para penyokong parti lawan.

Bermaksud, di 3 negeri inipun pengaruh PAS belum cukup kuat untuk membolehkannya menyapu bersih kesemua 37 kerusi.

Dari sudut yang lain pula, kita perlu perhatikan parti manakah yang menguasai 56 kerusi di Sabah dan Sarawak pada PRU12 lepas? BN telah menang 54 daripada 56 kerusi (Sabah=24 dan Sarawak=30) atau 96% kemenangan.

Namun, ada kemungkinan pada PRU13 nanti DAP mampu untuk menambah bilangan kerusinya di kawasan-kawasan bandar di Sabah dan Sarawak. Ya, DAP, bukannya PAS. Memang kemenangan yang diambilkira nanti adalah kemenangan PR, tetapi seperti UMNO di dalam BN, tentunya ada yang kena jadi ‘Ketua’.

Sekali lagi saya tegaskan, untuk PAS boleh memberi impak yang sebenar-benarnya terhadap dasar perjuangan parti (menegakkan nilai-nilai pemerintahan yang berteraskan Al-Qur’an dan Sunnah) maka selepas mengambilalih Putrayajaya, PAS tiada pilihan, melainkan dipastikan memiliki bilangan MP paling ramai di dalam kerajaan pimpinan PR.

Soalan saya, bagaimana PAS nak menyediakan MP teramai seandainya PAS tidak bertanding paling banyak kerusi?

TERSERAH KEPADA KEBIJAKSANAAN PUCUK PIMPINAN PAS

PAS tidak boleh memberikan harapan yang tidak mampu direalisasikan kepada ahlinya. Mana mungkin untuk PAS mengetengahkan agenda Islam yang menjadi wadah perjuangannya ke dalam kerangka pentadbiran baru kerajaan PR selepas PRU13 (andai menang), sekiranya PAS hanya memiliki 30% wakilnya dalam kerajaan PR?

Lupakan dahulu hasrat untuk menyahut cabaran PGU.

Mana mungkin di dalam amalan demokrasi kita, kejutan (yang minoriti boleh jadi ketua). Ini agak mustahil untuk berlaku. Tidak mungkin DAP mahupun PKR yang mempunyai lebih ramai MP hanya akan berpeluk tubuh dan ‘bermain politik’ dengan PAS.

Sebagai rakyat biasa, tulisan ini tidak membawa apa-apa makna pun. Sekadar mengisi minat dan masa lapang saya yang sedikit ini.

Cuma alangkah baiknya jika pucuk pimpinan PAS dapat bertegas dan mendesak agar diberikan ruang untuk PAS bertanding di lebih banyak kerusi. Tetapi di mana tempat PAS boleh tambah kerusinya? Hitunglah walau macam mana cara sekalipun agar PAS dapat menambah bilangan kerusinya.

Saya berharap sekiranya PR menang, harapnya PAS dapat muncul sebagai pemimpin yang memimpin, dan bukannya pemimpin yang dipimpin (menjadi boneka mana-mana pihak).

Iyalah, semua penerangan ini hanya berkaitan dengan isu pembahagian kerusi di antara PAS, DAP dan PKR, belum lagi disentuh berkenaan cita-cita PAS melaksanakan undang-undang Hudud.

Untuk Hudud, selain kuasa politik, memerlukan gerakan massa di kalangan umat Islam supaya terbinanya suasana yang kondusif sebelum Hudud boleh dilaksanakan. Masyarakatnya terdidik untuk berkelakuan baik dan memahami keluasan Islam dan luasnya rahmat Allah sehingga mengatasi murkaNya.

Dan kalau PAS nak buat Hudud, maka PAS perlu ada kuasa, perlu ada suara perwakilan yang teramai untuk membuat keputusan secara demokrasi. Seperti yang telah saya tanya sebelum ini: bagaimana mungkin untuk PAS nak menang paling banyak, andainya PAS tidak bertanding kerusi paling banyak?

Sekian


NOTA KAKI:

- Strategi DAP pula dilihat mampu membuka ruang buat mereka menambah kerusi, dengan mengetengahkan calon-calon Melayu bertanding di kawasan Melayu, dan yang lain kekal di kawasan majoriti Cina. Saya tidak pasti dasar PAS, apakah agama calon (mesti Islam dan yang Sunni) juga dijadikan salah satu syarat? Bagaimana pula dengan Kelab Penyokong PAS yang bukan Islam, cukupkah syarat menjadi calon?