Sunday, 31 July 2011

Pasca 'Black Water'

Jumpa kereta

"Hello, saya Sarjan xxxxx dari Balai Polis Sungai Way. Kereta anda telah dijumpai, boleh hadir ke balai?" - begitulah lebih kurang bunyinya panggilan telefon yang diterima orang rumah, sewaktu kepulangan singkat kami ke tanah air 3 minggu lepas.

Setelah hampir sebulan dicuri, rezeki dan jodoh kami dengan Toyota Rush itu masih panjang (insyaAllah), berjaya diambil semula pihak polis dari dalam kontena di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, bersama-sama 98 buah kereta curi lain, yang sedang bersedia untuk dimuat ke dalam kapal yang akan belayar ke Dubai.

Sebaik tiba di balai, berbaris lebih kurang 9 buah kereta yang dilapor hilang di Balai Sungai Way (Police Report Sungai Way).

Sebuah Honda CRV, 7 Honda City dan sebuah Toyota tidak ber'hut' di sudut paling hujung - macam kenal je kereta ni!!

Operasi yang dilakukan oleh D4 dan Polis Selangor telah berjaya menumpaskan sindiket "Black Water" melalui rampasan sejumlah 98 buah kenderaan dan tertangkapnya 4 penjenayah (berbangsa Cina) di sebuah gudang di Klang.

Menurut pegawai Polis yang saya dok bersembang itu, kesemua kontena yang mengandungi kereta curi, sama ada yang telah belayar, mahupun yang berjaya dirampas kembali semasa operasi tempoh hari, telah diisytihar sebagai perabot.

Sekalipun operasi yang dilancarkan (sebagaimana dilapor akhbar) dianggap berjaya kerana sejumlah besar kereta curi berjaya dirampas, selain melibatkan tangkapan, kisah mengenai 180 buah kontena yang telah "selamat" ke Dubai itu masih belum dapat dipastikan.

nota: 180 kontena x 3 kereta/kontena = 540 buah kereta.

Tambah pegawai berkenaan juga, kontena yang transit ke Dubai kemudian akan meneruskan perjalanannya ke Sudan di mana di sana ianya akan dijual (ada yang kata hanya sekitar USD5,000/kereta).

nota: bayangkan harga Honda City "curi" hanya berharga USD 5,000 di Sudan. Pemilik di Malaysia pula beli dan bayar berapa setiap bulan?

Baik hilang terus

Ada orang berkata pada saya, kalau kereta hilang, baik hilang terus. Senang nak claim insuran dan beli kereta baru.

Tapi kalau jodoh masih panjang, kenalah terima hakikat. 

Inilah kali pertama saya berurusan di Balai Polis dan bukan mudah proses untuk "mengeluarkan" kereta itu dari balai. Ini kerana ianya "kes curi yang melibatkan tangkapan".

Justeru, pengeluaran kenderaan curi perlu diusulkan melalui bon mahkamah dengan syarat-syarat yang ketat, dan sebagai "barang bukti", ianya tertakluk kepada perintah mahkamah iaitu bila-bila sahaja ianya diperlukan untuk dibawa ke mahkamah sebagai barang bukti kes apabila penjenayah itu dibicarakan kelak perlu dituruti si pemilik.

Sayangnya, 4 orang yang ditangkap itu hanyalah "pemandu" yang mengambil kereta curi itu di 1 tempat untuk dibawa ke gudang di Klang, manakala si pencuri yang "pecah kereta" di parking LRT dan sebagainya, masih belum dapat ditangkap.

nota: hasil risikan pihak Polis, dianggarkan 8-10 buah kereta curi akan dipandu masuk ke gudang setiap hari. Dengan jumlah ini, saya pasti tangan si pencuri sudah "arif" dengan sistem penggera dan immobilizer kereta!

Setelah ke mahkamah, menandatangani dokumen tertentu dan bon berjaya diperoleh, pihak Balai kemudian akan keluarkan satu surat untuk membenarkan kereta terbabit dikeluar untuk dihantar ke bengkel.

Berbanding dengan kenderaan lain yang tersadai di balai, kereta kami-lah yang paling sedih. Hut depan dicabut, begitu juga tempat tayar spare dan keduanya disumbat ke dalam but belakang.

nota: enjin terdedah dengan penutup minyak brek hilang + masuk air hujan, sensor-cam VTT-i patah, wayar immobilizer dipotong, dan bateri, yang kemudiannya "hilang" semasa visit ke-2 ke balai - siapa rembat kat dalam kawasan balai pun saya tak pasti. Juga terdapat 1 CD lagu Cina kat dalam dashboard - dah bakar pun!

Merasakan kos baikinya masih mampu ditampung (dan dikongsi), kami tidak claim insuran (supaya tidak effect NCB).

Ditunda kereta ke Playhouse Garage USJ1 - bengkel milik orang Melayu (muda - Rahmat) yang khusus dalam restoration kereta antik (oldschool, rare and classic cars), mengambil masa 1 minggu untuk pasang, baiki, upgrade alarm, re-wiring, VVT-i baru, internal wash, etc dan dipandu uji.

nota: Rahmat sempat bagi tutorial kepada saya bagaimana si pencuri pecah masuk, potong alarm, nyahaktif immobilizer dan "kopak" bawah stereng untuk hidupkan enjin. Memang kerja pakar dan kalau 1 hari sampai 10 buah kereta boleh curi, tentu tangannya dah macam tangan Tok Bidan - rasa sahaja sudah tahu!

Kerja yang beliau buat memang cermat dan di sini saya ingin promote bengkel beliau kepada pemilik-pemilik kereta antik yang ingin buat body kereta anda, memang cermat hasil kerja pekerja di bengkel tu.

Kurang rancak

Hasil perbualan dengan Polis, menurutnya selepas serbuan tersebut, aktiviti curi kereta sedikit berkurangan. Mungkin "si pakar" masih bersembunyi.

Di pihak Polis pula, akan sangkut Seksyen yang "paling kena" dengan kesalahan penjenayah itu, untuk sekurang-kurangnya 20 tahun atau "disimpan" di Simpang Renggam.

Ini kerana telah biasa bagi kes-kes yang dibenarkan ikat jamin, si penjenayah akan "hilang terus" setelah keluar balai.

Satu lagi input yang berguna yang saya dapat adalah apabila pegawai terbabit bacakan senarai kenderaan rampasan, di mana hanya 6 buah Toyota Rush, dengan Honda City sebanyak 59 buah!

Makanya, pemilik Honda City, perlulah lebih beringat dan tingkatkan sistem alarm dan second-lock kerana malang tidak berbau.

Sekian.

Saturday, 30 July 2011

Thursday, 28 July 2011

Fakta ulang tahun ke-4 i-phone

Kaki-kaki i-Phone pastinya ingin mengetahui serba-sedikit mengenai produk yang mereka gilai ini. Sumber: SINI

Klik imej untuk besarkan


Sumber: dinyatakan di awal posting

V22 Osprey - heli dalam filem Transformers

Klik foto untuk besarkan




Sumber & info lanjut: SINI

Kereta elektrik: Renault 4Lectric concept car

Klik foto untuk besarkan



Sumber: SINI

Polis China selesaikan rundingan tebusan

Perlu klik pada foto untuk besarkan
Sumber: SINI

Terkandasnya Harimau Malaya

Gigit jari lagi

Tiada apa yang boleh dibanggakan bilamana wisel penamat perlawanan timbal-balik dibunyikan sebentar tadi.

Kini, telah sah dan rasmi-lah yang cabaran skuad bola sepak negara ke kelayakan Olimpik 2014 berakhir, rentetan keputusan seri 1-1 yang dicatatkan sewaktu berdepan skuad jiran, Singa(pura).

Dengan bergayanya, Singapura telah kembali ke pentas persaingan komptetitif peringkat antarabangsa, bersama-sama sebuah lagi pasukan dari Asia Tenggara iaitu Indonesia (setelah membenam cabaran Turkmenistan dengan menang 5-4 secara agregat).

Harapan yang diletakkan oleh lebih 80,000 peminat Harimau yang hadir ke stadium malam tadi nampaknya masih belum cukup untuk menyuntik semangat dan memotivasikan para pemain negara agar "bermatian" mencari kemenangan, seterusnya melayakkan Harimau menyertai pentas pertandingan bola paling berprestij di dunia itu.

Entah apa lagi alasan yang bakal dihadirkan untuk "menggula-gulakan" para peminat. Jersi-pun telah biru. Stadium juga penuh dengan peminat yang hadir dan tanpa jemu memberikan sokongan.

Yang boleh membuatkan peminat mendabik dada mungkin persembahan konsisten "mesin gol" Harimau, Safee yang semakin matang dan meningkat prestasinya setelah "keluar kepompong" dan meneroka dunia baru di Liga Indonesia, dan juga persembahan oleh Apek.

Tak berubah, rebah!

Sebelum ini telah ada pihak dan pemerhati yang mendedahkan kelemahan skuad Harimau, setelah kekalahan besar 5-3 sewaktu di Stadium Jalan Besar.

Saya kira apa jua teguran dan pandangan (yang membina) wajar didengari dan respon sewajarnya perlu dihadirkan, demi kebaikan sukan bola sepak negara secara seluruhannya.

Namun, kini semuanya telah terlewat untuk dilakukan apa-apa. Rebah tetap rebah. Pahit kekalahan ini perlu ditelan dan diterima sebagai sebahagian asam-garam permainan bola sepak.

Untuk kembali dengan peluang seperti ini, dengan skuad umur muda seperti hari ini, ianya tidak berlaku setiap tahun, dan ia sememangnya disedari ramai.

Selepas Piala Dunia 2014 (3 tahun dari sekarang), kebanyakan pemain yang beraksi malam ini juga bakal dilabel "kuda tua".

Memandangkan kita orang yang bangga, penggunaan tenaga luar seperti amalan di Singapura dan Indonesia juga dilihat hampir mustahil.

Justeru, jika tiada peluang untuk "orang luar dibawa masuk", eloklah FAM dan skuad bola sepak negeri-negeri memberi galakan dan sokongan lebih kuat agar lebih ramai pemain berbakat tempatan "dieksport keluar" untuk menerima pendedahan luar dan beraksi di liga luar sekitar Asia seperti Liga Singapura, Indonesia dan Thailand.

Prestasi konsisten Safee dilihat sebagai hasil yang positif apabila "orang kita dibenarkan keluar". 

Adalah tidak mustahil jika langkah sama dituruti pemain lain, suatu hari nanti bukan sahaja skuad Harimau akan mempunyai penyerang yang prolifik, tetapi juga pemain sayap dan pertahanan yang kental, sehingga mampu menghadirkan kegerunan kepada lawan serantau yang dahulunya telah "men-sayurkan" skuad Harimau.

Fikir-fikirkan.

Update Berkebun: Terima kasih kawan

Alhamdulillah, malam tadi, sekitar jam 11.00 pm kami selamat menjejakkan kaki ke rumah (bau karpet rumah yang begitu dirindui).

Tengok di belakang rumah, kereta ada, terima kasih kepada Ustaz kerana sudi menghidup dan memanaskan enjinnya.

Rumah sepertimana hari yang kami tinggalkan, terima kasih kepada Yi & Syikin kerana sudi menengok-nengok rumah dan tanaman di belakang sepanjang ketiadaan kami.

Budi baik, bantuan dan jasa kalian amat kami hargai dan hanya Allah sajalah tempat kami pohon pembalasan yang baik.

Tadi pagi, cerah sahaja tanah, terus saya meninjau-ninjau ke sekitar rumah. 

Memang semak-samun makin meninggi (walhal baru 3 minggu tinggalkan rumah), namun tidak sangka pula sayur kacang dan epal kami begitu banyak dan cepat pula membesar (semua diurus secara organik dan mapan).

Beberapa foto untuk dikongsi.





 

Pusing-pusing bersama Mawaddah

 Helllllloooooo....Mawaddah berposing ala gediks.

 Menunggu kapal terbang siap mengisi minyak di Hong Kong Airport

 Muka ceria

 Hong Kong Airport

 Dapat surprise semasa di dalam plane "mickey mouse stationary"

 Muka bertambah ceria

Cerderahati ini dapat menceria dan mengurangkan merenah dia semasa tempoh penerbangan yang panjang

 Macam-macam ada....

 Jalan-jalan, lapar, pastu tu makan-makan

Inilah hobi Mawaddah sekarang, suka mewarna, menconteng dan obses dengan apa jua benda berkait dengan "Mickey".

Monday, 25 July 2011

Tuduh dulu, nanti-nanti mungkin siasat

Apa cerita ni? Ini saya dapati dari posting Dr MAZA di FB beliau.


Sumber: FB saya.

Nota kaki:

1) Luahan rasa oleh Dr MAZA ini telah mengingatkan saya akan kata-kata yang diluahkan oleh Dato' Zaid Ibrahim setelah beliau meletakkan jawatan dalam kabinet Pak Lah, seterusnya dipecat daripada UMNO, parti yang beliau perjuangkan selama lebih 23 tahun itu.

2) Zaid juga, melalui kata-katanya, memberikan "resepi" bagaimana untuk seseorang itu mampu berjaya di dalam UMNO. 

3) Katanya "...di dalam UMNO kita jangan terlalu pandai atau cuba sesekali hendak menunjukkan kepandaian. Jangan beri idea ataupun mengemukakan cadangan-cadangan baru walaupun boleh memberi kekuatan kepada parti. Kalau kita banyak bercakap kita akan sukar mendapat endorsement daripada pemimpin. Jangan sesekali mahu membawa apa-apa perubahan atau berfikiran dinamik. Lihatlah apa yang terjadi kepada Tengku Razaleigh" (sumber: Zaid Ibrahim, 2009. Saya pun Melayu, p. 193, ZI Publication Sdn Bhd.).

4) Dan kini, lihatlah apa yang berlaku.....

Monday, 18 July 2011

Me-raikan Cinta







Selamat menempuh alam rumah tangga buat Izad dan pasangan. Moga berbahagia hingga ke akhir hayat.


(nota: pengantin tiada di dalam gambar - pakcik tak pegang kamera hari tersebut. Kredit foto: FB Fendy, Azmi, Shahada)

17 Julai 2011
Duchess Place, Ampang.

Friday, 15 July 2011

Foto Minggu Ini - Errrr....

Aii....."kuning" nampak, Madam Queen?
Sumber foto (SINI)

Wednesday, 13 July 2011

Petikan Minggu Ini

"Janganlah kita membeli sesuatu yang kita tidak perlu, dengan wang yang kita tidak ada, demi menunjuk-nunjukkan kepada orang yang kita tidak suka" 

- Prof. Dr. Ruhaya (MHI, 14 Julai 2011).

Tuesday, 12 July 2011

A Samad Said: Peludah Warna

Kuasa gusar kini menggelegak murka
warna kuning diisytihar racun terbisa
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya

Tapi, kita jahit semula perca kain
menjadikannya panji terindah dan tulen
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam kalbu

Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya

Kerana nikmat amat lama berkuasa
kuasa pun seolah menjadi hartanya

Nukilan:
A Samad Said
Sasterawan Negara

Monday, 11 July 2011

Mengundi & pilih pemimpin


Oleh: Dr MAZA
.................Maka, kita tidak boleh mengundi seseorang calon hanya kerana hubungan keluarga, atau sahabat atau parti. Sebaliknya, hendaklah atas kelayakan dan kesan undian itu. Justeru itu Nabi s.a.w tidak memberikan jawatan kepada Abu Zar kerana beliau tidak berkemampuan. Sekalipun Abu Zar seorang sahabat baginda yang soleh dan disayangi oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda:
“Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. (Riwayat Muslim).
Maka, undi dalam pilihanraya itu bukan sesuatu yang tiada nilai di sisi Islam. Sebaliknya, undi itu boleh menyebabkan seseorang mendapat pahala, ataupun mungkin mendapat dosa. Undilah yang berkelayakan dan memberikan kesan yang baik kepada negara dan rakyat.

Tuesday, 5 July 2011

Jale* jauh

*(ber)jalan jauh.

InsyaAllah dalam sejam-dua lagi kami bertiga akan ke Thornhill Park n Ride, mengambil bas dari Oxford ke Heathrow.

InsyaAllah, jam 1.15 petang esok akan mendarat di Hong Kong sebelum perjalanan diteruskan dan bakal menjejakkan  kaki di KLIA kira-kira jam 7.55 malam esok.


Alhamdulillah, dalam sehari dua ini pelbagai urusan penting/besar berjaya diselesaikan. Benarlah, kita merancang, kuasa Allah jualah yang "menyelesaikan" segala urusan kita itu, disebalik ketatnya ruang masa yang ada. Syukur.

Buat ahli keluarga serta sanak-saudara semua (tidak dilupakan buah durian), tunggu ketibaan kami!

Dr Sepet
Roosevelt Drive, Headington
Oxford

5 Julai 2011

Sunday, 3 July 2011

Lagi kerajaan lemah di Asia Tenggara

Welcome to the club!

Rasanya semua telah maklum akan berita kemenangan parti pembangkang Thailand, yang pernah dipimpin bekas PM yang disingkirkan, T. Shinawatra.

Muka baru yang menjadi taruhan Parti Puea Thai, Yingluck yang juga merupakan adik perempuan kepada Thaksin sendiri, berjaya menumbangkan penyandang pemerintahan iaitu Parti Demokrat yang dipimpin Abhisit.

Tahniah, dan akhirnya Thailand telah menyertai beberapa negara jiran Asia Tenggara seperti Filipina dan Indonesia yang memiliki sejarah dipimpin oleh PM/Presiden wanita sebelum ini.

Namun, kegembiraan di sebalik sambutan kemenangan itu juga tidak wajar melalaikan mereka akan hakikat bahawa kemenangan tanpa majoriti solid (2/3), hanya sekadar meletakkan mereka pada landasan yang sama sebagaimana dilalui oleh Abhisit sebelum ini.

Di atas persamaan ini juga, Thailand kini menyertai Malaysia, jiran terdekatnya yang kini berterusan diuji dengan pelbagai isu disebabkan kehilangan solid majoriti (2/3) itu.

Elakkan sistem 2 parti, kalau boleh

Membaca keputusan PRU Thailand itu juga, saya dapati masih wujud kepelbagaian atau diversiti dari segi bilangan parti yang bertanding dan memenangi beberapa kerusi, dan ini adalah sesuatu yang positif.

Parti-parti lain seperti Bhumjai Thai, Chart Thai Pattana dan Chart Thai Pattana Phea Pandin masih mendapat dokongan rakyat dan membawa suara-suara untuk menyuburkan proses timbang-tara ke dalam pemerintahan kerajaan baru selepas ini.

Di sebalik keghairahan sesetengah orang untuk melihat kewujudan sistem 2 parti (di Britain pun tidak dua parti), saya secara peribadi merujuk pandangan ini dari perspektif yang berbeza.

Biar saya jelaskan dengan memberi contoh berikut:


Selalu juga saya dengar (atau anda juga, barangkali), orang Melayu hanya perlukan 1 parti, biarlah Umno dan Pas bergabung demi menjaga keutuhan politik orang Melayu dan Islam.

Persoalannya, majukah Melayu dan terbelakah Islam dengan Melayu Umno dan Pas bersatu dari segi fizikal (parti). Atau Melayu perlu dididik untuk bersatu dari segi aspirasi (memperjuang isu kepentingan bersama, tanpa perlu bubar mana-mana parti?)

Pada rajah di atas, inilah kemungkinan yang boleh berlaku dengan wujudnya sistem 2 parti di mana tidak ada pemenang yang akan mendapat solid 2/3 (mungkin sampai bila-bila) kerana undi pihak yang tewas juga cukup kuat, hingga hanya membenarkan majoriti mudah.

Kemudiannya:


Corak yang sama juga akan turut ditunjukkan sekiranya pihak yang tewas sebelum ini, menang pada pilihanraya selepas itu, iaitu hanya secara majoriti mudah, kerana pengaruh yang tewas juga masih kuat.

Corak ini akan berulang-ulang, sehinggalah rakyat atau pengundi naik muak kerana kerajaan tidak pernah kuat dan tiada inovasi baru ditonjolkan oleh sama ada Gabungan A mahupun B, namun apa boleh buat kerana rakyat tiada pilihan lain - itu sahaja yang ada.


Kemenangan tipis ini menyukarkan pembentukan dan perlaksanaan sesuatu polisi, dasar mahupun tindakan oleh mana-mana pihak yang membentuk kerajaan.

Untuk menang besar adalah sukar kerana penyokong kedua Gabungan A dan B adalah komited dengan pihak masing-masing, seterusnya tidak akan sewenang atau secara beramai-ramai memberikan sokongan untuk lawan.

Margin 1-2% sokongan mungkin ditentukan oleh mood pengundi "atas pagar" atau pihak "pemerhati berkecuali", atau andainya wujud isu besar yang mengubah asas sokongan majoriti sesuatu gabungan itu - menimbulkan ketidakpuas hatian ahli hingga berhijrah parti, etc.

Saya melihat secara jangka panjang, rakyat yang akan rugi kerana tanpa inovasi-pun salah satu gabungan tersebut akan dipilih memerintah dan akan banyak perkara akan "take for granted" oleh mereka.

Itulah pandangan saya dan mengapa saya melihat apa yang ada hari ini masih releven, cuma ianya perlukan inovasi dan inovasinya perlu berterusan agar rakyat atau pengundi "senang hati" melihat akan pilihan-pilihan yang ada buat mereka.

Sekian.

Titah YDP Agung

BeritaHarian Online hari ini menerbitkan laporan Titah Khas Yang Dipertuan Agung - mengkhusus kepada pengajuran "perhimpunan aman" 9 Julai.

Apa yang dititahkan pada saya tidak mengejutkan, malah ianya berpadanan dengan apa yang telah saya kongsikan pada posting saya yang sebelum ini "9 Julai: Pertimbangkan baik-buruk".

Sumber: SINI

--------------------------------------

Titah Khas Yang di-Pertuan Agong
2011/07/03

ISTANA Negara malam ini mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) pada 9 Julai ini. 

Berikut adalah teks penuh Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin:

Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan kumpulan BERSIH untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan menyerahkan memorandum kepada beta selaku Yang di-Pertuan Agong dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terbabit. 

Namun, beta yakin kepemimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu ‘Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran’. 

Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik. 

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanaan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara.

--------------
Nota kaki? 

- Seperti yang saya tekankan pada posting yang sebelum ini - ada perkara yang asalnya baik, dan kemudian bercampur dengan yang tidak baik.

- Timbanglah baik-buruknya, dan andainya pertimbangan yang buruk itu melebihi yang baik, maka alangkah baiknya jika ia dikaji dan diteliti semula.

Kreatif: Basikal + Gerudi Bosch

Sumber: blogserius








Tidak lama dahulu ada sekumpulan pengkaji universiti tempatan "mencipta" hovercraft. Agak panjang juga rasanya masa yang diambil selain kos kajian oleh sekumpulan Professor dan pengkaji terlibat. 

Namun, hingga ke hari ini, tidak pula kedengaran apa sudah jadi dengan kenderaan "ciptaan" mereka itu.

Jangkaan saya, paling tidak pun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat menempah beberapa unit hovercraft dari kumpulan ini, seterusnya mengurangkan kebergantungan negara kepada teknologi ketenteraan dari luar.

Selain hovercraft, saya juga pernah menonton berita di TV berkenaan hasil ciptaan mesin kupas kulit buah oleh kumpulan penyelidik dari universiti tempatan.

Sedihnya, "ciptaan" terbabit jauh terkebelakang berbanding apa yang sedang digunapakai oleh industri.

Q: Pernahkah anda bertanya bagaimana nanas dalam tin dapat dihasilkan pada kuantiti yang begitu besar untuk tujuan eksport? Apakah ianya dikupas "sebiji-sebiji" oleh pekerja? Atau mesin kupas kulit + buang empulurnya jauh lebih canggih?

Akhirnya, banyak produk ciptaan tempatan telah dipandang sepi (termasuk oleh saya). 

Namun, bukan itu sahaja. Yang menjadikan orang/pengguna tambah "turn-off" adalah harga produk yang jauh lebih mahal berbanding yang sedia ada atau yang "made in China".

Inilah dilemanya. Bukan kita tidak menyokong produk tempatan, tetapi "busuk-busuk" pun, pastikanlah ianya ada menampakkan sedikit citarasa (harga yang kompetitif, pembungkusan produk, servis, etc.) untuk menarik minat orang ramai.

Sekian.

Saturday, 2 July 2011

Layan moden progresif: Train - Hey, Soul Sister


Saya suka mendengar lagu-lagu lama, tetapi bukanlah classical songs seperti oleh Ludwig van Beethoven mahupun Wolfgang Amadeus Mozart. 

Minggu lepas saya ada buat posting sebuah lagu lama "Ain't no sunshine" oleh Bill Withers.

Saya juga mendengar lagu-lagu "zaman ini", terutama yang berentak moden progresif seperti dinyanyikan kumpulan Train di atas.

Integrasi irama "ukelele" memberikan rentak yang segar dan rasa macam nak menari pulak (dengan Mawaddah di ruang tamu...) haha.

LOL!

Friday, 1 July 2011

9 Julai: pertimbangkan baik-buruk


Nota: Pertamanya saya ingin mohon maaf jika ada dari kalangan pembaca, yang juga bakal peserta perhimpunan 9 Julai, terasa hati dengan penulisan saya kali ini.

Sejarah bakal berulang?

Sama ada pihak yang ingin berhimpun, mahupun yang menentang mereka-mereka yang akan berhimpun, semuanya menggunakan alasan "keamanan" bagi menjustifikasikan perbuatan mereka.

Tiadalah dapat dijamin bahawasanya perarakan itu nanti "bersih" daripada sebarang bentuk provokasi dan kekacauan.

Tiada juga dapat dijamin yang ianya terhindar daripada berlakunya perbuatan merosakkan harta benda, malah lebih buruk lagi, kehilangan nyawa.

Harapnya tiada perkara yang buruk berlaku. Harapnya hanya berjalan dengan aman hinggalah memorandum tersebut dapat diserahkan.

Di dalam posting sebelum ini saya menulis berkenaan peranan YDP Agung untuk menggunapakai segala bentuk "wisdom" baginda untuk mereda dan mendamaikan pihak-pihak yang terlibat agar "sakit tidak melarat" dan menjadi lebih parah.

Jika para pembaca perhati foto di atas, ia adalah alasan mengapa posting susulan ini saya tulis. 

Sejarah boleh berulang, malah sejarah selalu berulang. Cuma sama ada kita mampu mengambil iktibar atau sebaliknya, itu perkara yang lain.

Kalau sejarah itu yang indah, betapa gembiranya kita. Tetapi kalau ianya celaka, berdukalah kita.

Artikel ini, pada saya, berguna untuk anda baca, sekalipun ianya mengupas isu Mei 13 daripada perspektif seorang (penulis dan pengkaji) Cina - baca dengan fikiran terbuka.

Ianya bukanlah penulisan lekeh atau tanpa fakta seperti diterbit dan boleh dibaca di sesetengah blog. Ianya dikeluarkan oleh Jurnal Berwasit "Race & Class" (2007), Vol 49(3): 33-53.

Sekiranya diteliti laporan ini, timbul soalan kepada diri sendiri kerana takut sejarah hitam tersebut akan berulang. 

Ini kerana bibit-bibit ke arah itu semakin nyata kelihatan dari hari ke hari.

 Gambar "penyapu" pun dah keluar...sejarah lama?
Sumber foto: sini

Cuma, jangkaan saya, andainya (harapnya saya silap dan harapnya tidak berlaku), mungkin tidak berlaku di Kuala Lumpur, mungkin di salah sebuah negeri di utara Semenanjung. Wallahua'lam, tiada siapa yang tahu.

Kita hanya merancang, namun tuhanlah yang menentukan. Segelintir kita mungkin merancang untuk benda baik, tetapi tidak dinafikan kemungkinan ada juga yang merancang untuk benda tidak baik.

Lebih yang buruk berbanding baik?

Pesanan saya, kepada anda yang bersemangat untuk menyertai "perjalanan aman" pada 9 Julai nanti, masih ada masa untuk duduk seketika dan menghitung kebaikan dan keburukan. 

Beratkanlah mana yang lebih utama (baik atau buruk) dan bermohonlah petunjuk Allah Taala.

Pastikan aspek keselamatan dititikberatkan semasa di sana nanti dan moga Allah sejahterakan tanah air kita walau apapun hasilnya selepas 9 Julai nanti.

Wassalam.