Friday, 31 December 2010

2010 berlalu meninggalkanku

Ini merupakan posting yang ke-294 yang juga posting penutup jendela tahun 2010.

Harapan saya, di antara 293 posting tahun 2010 ini, dan di antara kalangan 721 posting terkumpul semenjak tahun 2008, para pembaca saya di luar sana telah beroleh serba-sedikit manfaat, ilmu, serta pendedahan yang berguna.

Saya bukanlah seorang penulis blog yang bercita-cita tinggi. Cukuplah sekadar dapat meneruskan minat saya menulis berkenaan pelbagai topik, yang menarik perhatian saya.

Maaf juga saya pinta kepada para sahabat yang minta buah pandangan mengenai sesuatu perkara, yang tidak dapat saya penuhi, disebabkan (alasan utamanya) sumber dan maklumat yang terhad sehingga menyukarkan menafsiran dibuat.

Saya juga mengharapkan agar keamanan negara dan kesejahteraan hidup rakyatnya terus dipelihara Allah SWT.

Moga rahmat dan kasih sayang Allah akan melindungi para pemimpin kita dan seterusnya membuka pintu-pintu hati mereka agar bekerja dengan lebih ikhlas, tidak rasis, beramanah dan berkebajikan.

Wassalam.

Selamat Jalan Wahai Sahabat

Antara gembira dan sedih.

Petang tadi kami menerima kunjungan Saudara Ruslan, Ida dan baby Alya. Saya kira ini merupakan ziarah beliau yang terakhir ke kediaman kami, sebelum berangkat pulang (back for good) ke tanah air 7 Januari 2011 nanti.


 Saya kenal Ruslan agak lewat tetapi kami jadi rapat kerana berkesempatan untuk bekerja bersama-sama (sekarang menyertai kumpulan pencen - Rosli dan Abg Arfian). 

Memandangkan beliau arkitek berdaftar (yang layak tandatangan pelan) beliau turut bertugas menyelia kerja-kerja kayu kontraktor Malaysia di OCIS (Oxford Centre for Islamic Studies) dan yang terbaru,menyiapkan projek ID bagi Tourism Malaysia di Paris.

Banyak kenangan sepanjang perkenalan kami yang tidak mungkin akan saya lupakan. Harapnya suatu hari nanti kami dapat bertemu semula, duduk untuk minum kopi sambil bersembang kisah-kisah suka dan duka yang dikongsi sepanjang hidup di bumi Oxford ini.





Ruslan akan pulang ke tanah air, kembali menguruskan kompeni arkitek beliau di Bandar Tun Razak. Tentunya banyak projek yang menunggu beliau.

Buat sahabat, terima kasih di atas doa, mudah-mudahan ianya kekal menjadi bekalan buat kami yang masih berjuang di bumi orang.

Moga segala urusan perjalanan pulang sahabat dipermudahkan Allah.

Kalau ada sumur di ladang
Boleh hamba menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi.

---------------
Dr. sepet
31 Dec 2010
Headington, Oxford

Thursday, 30 December 2010

Maafkan saya Profesor 'Ulung'

Segan sebenarnya untuk saya menulis artikel ini. Al-maklumlah, ianya seakan-akan mempersoalkan wibawa seorang tokoh, pakar yang mahir di dalam bidangnya.

Mungkin juga saya silap, tetapi semua manusia buat silap, termasuklah mereka yang kita kategorikan sebagai 'ulung'.

Penulisan ini tercetus setelah saya 'terbaca' artikel ini di akhbar 2 hari lepas (politik rasis).

Amat berjaya

Izinkan saya untuk berbeza pendapat.

Berdasarkan pengamatan (tanpa ilmu dan kajian mendalam), sebagai seorang rakyat Malaysia, pendekatan politik yang bertunjangkan sentimen perkauman, pada saya, adalah begitu berjaya di dalam menarik dan mengekalkan sokongan masyarakat dan kaum tertentu kepada parti tertentu, di negara kita.

Baik kepada parti kerajaan, mahupun parti pembangkang, isu perkauman sentiasa 'disegarkan' (didendangkan) bagi mengukur dan menilai sejauh mana tahap sokongan para pengikut kepada parti.

Contoh, di dalam isu Ketuanan Melayu.

UMNO telah mendapat sokongan kuat daripada orang-orang Melayu disebabkan mereka (orang Melayu) percaya bahawasanya UMNO-lah wadah terbaik politik Melayu kerana parti itu secara 'tradisinya' terus mendokong agenda Ketuanan Melayu. 

Namun, PKR, di barisan pembangkang juga turut mendapat sokongan orang Melayu dan bukan Melayu, sekalipun mereka dilihat 'enggan' lagi memperjuangkan Ketuanan Melayu.

Lihat! Kedua-dua pihak, mengetengahkan isu yang sama, tetapi memperjuangkannya menerusi konteks yang begitu berbeza, namun masih menuai 'laba' (yang menguntungkan) demi survival masing-masing.

Maknanya apa? Politik rasis sudah tidak berjayakah?

Saya bukanlah pakar sejarah, tidak mendalami sejarah seperti Khoo Kay Kim tetapi jika tidak salah, kebanyakan (jika tidak semua) parti siasah yang tertubuh pada awalnya adalah bertunjangkan kepada bangsa masing-masing, seraya menjadi wadah perjuangan yang membela nasib kaum masing-masing.

Melayu dengan UMNO-nya, Cina dengan MCA, India dengan MIC dan banyak lagi parti politik yang seangkatan dengannya, termasuklah dari Sabah dan Sarawak.

Pendek kata, panji-panji pembelaan kaum inilah yang membentuk asas perjuangan sesebuah parti politik.

Sudah lunturkah perjuangan kaum setiap parti politik ini? Tidak.

Disebabkan begitu relevennya parti-parti politik mengikut kaum, dan yang memperjuangkan agenda kaum masing-masing inilah, selepas lebih 50 tahun negara merdeka, sokongan rakyat terhadap mereka tetap utuh (sekalipun telah tidak 'solid').

Berjaya menakut-nakutkan

Mungkin hanya saya sahaja yang pernah mendengarnya.

"Habislah orang Melayu, dihalau tidak bertuan jika DAP berkuasa nanti". - Inilah di antara contoh ayat yang pernah saya dengar.

Orang Melayu begitu yakin bahawa jika DAP berkuasa, Orang Melayu tidak akan lagi menjadi 'tuan'. Seperti sekali kuasa politik Melayu bertukar tangan kepada bukan Melayu (dituju kepada DAP) akan hapuskan demokrasi dan ditiadakan pilihanraya, sehingga rakyat tidak lagi berupaya untuk menjatuhkan kerajaan bukan Melayu ini dan mengembalikan kuasa parti politik Orang Melayu, sebagaimana hari ini dan sebelumnya.

Apakah kita dikatakan tidak rasis (atau prejudis) dengan pernyataan ini? 

Bukannya saya ini pendokong DAP, cuma saya ingin kepastian, apakah yang profesor ulung ini katakan sebagai 'politik rasis' sebenarnya.

Mampukah 1Malaysia?

Kemunculan 'slogan' 1Malaysia saya lihat sebagai suatu petanda bahawa kerajaan mulai maklum bahawa setelah lebih 50 tahun merdeka, negara berbilang kaum ini masih belum dapat disatukan (hati dan pemikiran) mereka demi mendokong satu aspirasi bersama.

Tidak hairanlah jika kita baca artikel berkaitan 'brain drain', tidak sukar untuk menyelami sebab dan musabab mengapa ramai tenaga mahir dan profesional kita yang telah berkhidmat di luar negara, begitu 'liat' untuk diyakinkan agar pulang menabur bakti membangunkan tanah air mereka sendiri.


'Hujan emas di negeri orang' - bukan sahaja alasan kewangan, kerana rata-rata mereka sanggup hidup dengan status 'second-class citizen' di negara seperti Singapura dan Australia daripada pulang. 'Hujan batu di negeri sendiri' pula, digambarkan sebagai peluang sempit bagi bersaing dengan kaum 'bumiputra',  turut dijadikan alasan untuk tidak membawa keluarga mereka pulang dan menetap di Malaysia.

Persoalannya kini, sejauh manakah keberkesanannya 'slogan' 1Malaysia di dalam mengubat dan merawat simpton 'politik rasis' ini? 

Dan seterusnya mengembalikan semula matlamat membina sebuah negara-bangsa yang bersatu padu, aman dan makmur, sebagaimana dikehendaki oleh Perlembagaan, ke landasan asalnya?

Perkara ini tidak pula disebut oleh Profesor Ulung. Mungkin tidak penting kerana ianya hanya satu slogan, bukannya satu dasar.

Jika tidak menjadi satu dasar, itulah mungkin sebabnya isu slogan 1Malaysia ini sering dibahaskan oleh pelbagai pihak secara penuh emosi - lihat isu halangan penggunaan 1Malaysia oleh kerajaan Selangor baru-baru ini.

Kita seharusnya mengambil iktibar daripada sejarah. Dasar-dasar telah dibentuk bagi mencapai matlamat seperti yang dinyatakan (membina negara-bangsa) seperti Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru dan lain-lainnya.

Dengan adanya dasar ini, ruang untuk membiakkan politik rasis yang hanya mengisi kepentingan satu-satu kaum sahaja dapat dikecilkan di mana rakyat lebih berpeluang untuk melihat dan berpegang kepada dasar yang konkrit, tidak kabur.

Dan yang penting, prestasi kerajaan yang memerintah juga dapat dinilai oleh rakyat berdasarkan keupayaannya melaksanakan dasar-dasar yang tersebut, tidak semata bersandarkan kepada slogan atau sesuatu yang rethorik, yang samar (bukan sahaja rakyat bercelaru untuk faham, pemimpin pun turut celaru sama).

Celaru juga hingga siapa sebenarnya yang amalkan 'politik rasis' pun belum  terjawab sepenuhnya.

Sekian 

nota: harap-harap Profesor 'Ulung' tidaklah membaca posting saya ini.

Cari makan guna sistem e-tiket

Sebuah akhbar online hari ini melaporkan isu berkaitan penjualan tiket penerbangan (termasuk tawaran pakej pelancongan) oleh agensi pelancongan tidak berlesen sekitar ibu negara (baca lanjut SINI).

Isu yang dibangkitkan ini bukanlah sesuatu yang baru dan memeranjatkan. Kemajuan teknologi maklumat telah banyak mengubah corak perjalanan, dan penggunaan sistem tempahan tiket penerbangan secara online (secara e-tiket) telah membuka peluang yang luas kepada pelbagai pihak membuat duit dengan cara mudah. 

Syaratnya, perlulah ada premis (kerusi+meja), kad kredit dan aksess kepada internet.


Daripada rajah yang saya sediakan, terdapat 3 elemen penting yang memerlukan perhatian terutama oleh pihak berwajib iaitu:

1) Kehendak Pelancong
2) Penguatkuasaan terhadap agensi pelancongan tidak berdaftar
3) Sistem e-tiket

Pelancong, menurut laporan akhbar tersebut menekankan elemen keselesaan (premis dekat dengan hotel penginapan) mendapatkan tiket dan sanggup membayar caj lebih (hingga RM30), mengenepikan risiko lain memandangkan tempahan secara e-tiket dibuat premis itu juga sah diperakukan.

Kelemahan penguatkuasaan undang-undang, ini bukan perkara baru. Perkembangan ini secara terang-terang menunjukkan golongan peniaga tidak berlesen ini tidak takut dengan undang-undang kerana mereka tahu rekod penguatkuasaan undang-undang kita yang begitu lemah dan seringkali bertindak 'selepas terhantuk'.

Sistem e-tiket, telah memudahkan urusan mendapatkan tiket penerbangan, secara langsung menggalakkan minat melancong di kalangan rakyat (semakan dan tempahan boleh dibuat serentak). Manipulasi sistem e-tiket ini sekalipun dilihat menjejaskan agensi pelancongan yang berlesen, tidak menjejaskan tempahan yang diterima syarikat penerbangan yang menggunakan sistem ini.

Apa yang boleh dibuat?

Hebahan di pintu masuk kepada pelancong. Persatuan pengusaha agensi pelancongan haruslah tampil dengan inisiatif lebih proaktif mempromosikan khidmat mereka sebaik sahaja para pelancong menjejakkan kaki ke negara ini.

Kementerian pelancongan harus segera turun padang dan menguatkuasakan undang-undang terhadap premis tidak berlesen terbabit. Jika wujud premis yang menepati kriteria bagi mendapatkan lesen, boleh diusulkan untuk diberikan lesen.

Mewujudkan makenisma pemantauan terhadap sistem e-tiket. Pemantauan boleh dibuat dengan menyemak transaksi yang 'mencurigakan' dibuat atas nama individu. 

Pengusaha tidak berlesen seringkali menjalankan transaksi kad kredit menggunakan nama individu, bukan nama syarikat (sebab tidak berdaftar). Jika pembelian tiket kerapkali dibuat  di atas nama 1 individu sahaja, maka ianya mudah untuk dipantau dan disekat daripada sistem.

Apa-apapun, saya tidak jangka isu ini dapat dibanteras . Ingat lagi iklan Ah Long? Dan iklan khidmat mengurut? 

Andainya diserbu dan ditutup premis mereka (oleh pihak berkuasa), adalah tidak mustahil pelekat-pelekat iklan seperti Ah Long ini pula yang akan mewarnai jalan di sekitar Chow Kit dan Kampung Baru, menawarkan khidmat tempahan e-tiket melalui panggilan telefon.

Wednesday, 29 December 2010

Malaysia julang Piala Suzuki - Updated

Alhamdulillah, penantian para penyokong untuk melihat sukan bola sepak menggapai 'sesuatu' akhirnya terlaksana jua apabila pasukan negara menghadiahkan Piala Suzuki AFF, sebaik wisel penamat ditiupkan sebentar tadi.


(sekalipun tumpas 2-1 pada perlawanan tadi, Malaysia tetapi mendahului 4-2 secara aggregat)


Bermodalkan GBP2.50, kami dapat menonton dengan selesanya perlawanan langsung tadi daripada website AFC (bayar secara one-off).

Tahniah buat seluruh pemain dan (Dato'?) Rajagobal dan pegawai pasukan.

Saya tidak tahulah dengan penilaian anda terhadap permainan malam ini. Tetapi bagi saya secara peribadi persembahan Khairul Fahmi Che Mat memang terbaik, superb! Lama tidak melihat aksi tenang dan cekap seorang penjaga gol anak tempatan.


Harap beliau dan beberapa bakat muda ini (Kunalan, Safee) dapat pergi 'jauh', pergi untuk memajukan diri dan kembali menyumbang bakti buat negara di kala diperlukan.

Syabas sekali lagi! (errr...esok memanda menteri tak berkenan untuk beri cuti umum ke?...)

(nota: kesemua foto merupakan 'copy n paste' dari SINI

Update:

Dahsyat!

Tuesday, 28 December 2010

Petikan Minggu Ini

"Scars will remind us where we have been. But it will not dictate where we are going"

- David Rossi, B.A.U.

Tinggal baki-baki aje




Alhamdulillah, tiba juga kami dengan selamatnya di rumah.

Sunday, 26 December 2010

Kembali ke benua sejuk-beku

InsyaAllah, petang ini (Isnin) kami bertiga akan berangkat pulang ke UK menaiki pesawat Emirates jam 7 malam dari KLIA.

Jika tiada aral, akan tiba di Dubai jam 1 pagi dan mendarat di Heathrow jam 7 pagi, hari Selasa nanti.

Naik bas selama 45 minit ke bandar Oxford. Nazri dah setuju untuk jemput kami di Gloucester Green ke Roosevelt Drive.

Tidak sabar untuk kembali (ke meja kerja)....Woooooooo...

3-0

Alhamdulillah, 3-0 kemenangan yang dicapai di dalam pertemuan akhir pusingan 1 Piala AFF Suzuki telah menggembirakan semua peminat skuad bolasepak tanah air.

Sudah agak lama peminat bola kita menunggu aksi seperti malam tadi dan skuad muda negara nampaknya tidak sanggup lagi untuk menghampakan hasrat para peminat ini. 

Sekalipun bekal 3 gol yang diperoleh untuk dibawa ke Indonesia kelak dilihat agak selesa, harapnya Rajagobal tidak akan menukar corak permainan pasukannya dengan aksi lebih selamat / bertahan.

Gol di gelanggang lawan perlu dicari, dan jika Malaysia mampu mencuri 1 gol di sana nanti, Indonesia-lah yang bakal lebih tertekan kerana mereka secara matematiknya perlu menjaringkan minima 5 gol untuk melayakkan mereka mendakap piala kejuaraan.

Ayuh Malaysia!

Kalau ayam itu berkata-kata

Sabung ayam di Hulu Langat


Seandainya ayam itu boleh berkata-kata:

Ayam: Bang Polis, tolong pasangkan balik taji-taji besi tu kat kaki ni. Aku nak taji muka sekor-sekor yang berbaris kat depan aku nih.

Saturday, 25 December 2010

Mansuh tol dan RM500: persepsi dan realiti

Mansuh Tol

Nampaknya resolusi yang dicapai di Konvensyen ke-2 Pakatan Rakyat, yang diterbitkan di dalam 'buku jingga' telah mendapat perhatian dan respon segera pelbagai pihak, baik di kalangan pemimpin Pakatan sendiri, pemimpin BN, ahli akademik dan pemikir serta NGO lainnya.

 Sumber: pada foto

Tidaklah saya berminat untuk mengulas apa yang terkandung di dalam buku jingga tersebut memandangkan intipatinya telah dikupas sendiri oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim - baca di sini (ubah sekarang, selamatkan Malaysia).

Jujurnya, sebagai seorang rakyat biasa yang tidak mempunyai ilmu berkaitan ekonomi, saya sebenarnya agak skeptikal dengan hasrat PR bagi memansuhkan tol di semua lebuhraya seandainya ditakdirkan mereka memerintah Malaysia selepas PRU ke-13 kelak (agenda 100 hari Pakatan).

Sekali imbas, memang hasrat tersebut adalah murni kerana akan banyak meringankan bebanan hidup rakyat yang saban hari mengeluarkan wang yang banyak membayar kos tol untuk pergi dan balik dari tempat kerja.

Berkemungkinan juga, dengan tiadanya bayaran tol ini menyebabkan kos pengangkutan dapat dikurangkan, seterusnya membolehkan harga-harga barangan keperluan rakyat untuk diturunkan.

(soalan: selain kos tol, harga barang keperluan juga naik disebabkan kos bahan api. Dahulunya Anwar sering mewar-warkan di dalam setiap ceramahnya untuk menurunkan harga petrol, tetapi kini kurang ditonjolkan pula agenda menurunkan harga bahan api ini?)

Pada saya, memiliknegarakan tol seraya memansuhkannya akan memberi impak yang positif kepada imej kerajaan melalui peningkatan sokongan rakyat untuk jangka masa pendek.

Ini kerana untuk keperluan jangka panjang, mahu tidak mahu, setiap lebuhraya perlu diselenggara, dibaikpulih dan dibersihkan untuk keselesaan para penggunanya.

Justeru, penerimaan kos berganda ini (pertama kos untuk membeli semula kesemua lebuhraya, dan kedua kos penyelenggaraan lebuhraya, kawasan rehat dan landskap setiap tahun) kepada pihak kerajaan perlu dilihat secara lebih serius lagi.

Bercakap untuk ambil wang dari point A, point B dan point C, untuk dibayar di point D tidaklah semudah mengumpulkan biji-biji 'Batu Seremban'.

Saya melihat memang ada kewajaran bagi kerajaan (yang baru) untuk membeli semula tol tersebut, tetapi biarlah sedikit realistik di dalam hal memansuhkan tol-tol terbabit.

Untuk mencapai situasi 'menang-menang' (istilah yang popular ketika ini), kerajaan perlu meneruskan kutipan tol, tetapi pada kadar potongan tertentu yang lebih mampu ditanggung rakyat, contohnya potongan sebanyak 50%.

Maknanya, dengan perubahan kerajaan kepada PR, rakyat dengan segera merasakan bebanan hidup mereka telah diringankan separuh.

Di pihak kerajaan pula, sekalipun tidak lagi mengecap hasil daripada cukai pengendali tol, setidaknya baki 50% yang masih dikekalkan itu boleh dimanfaatkan bagi menampung kos-kos penyelenggaraan dan landskap lebuhraya-lebuhraya secara jangka masa panjang.

Congak-congak matematik orang biasa.

Gaji guru naik RM 500

Di dalam resolusi kenaikan gaji golongan pendidik sebanyak RM500/bulan ini saya kira pihak PR berjaya 'memenangi' politik persepsi.

Manakan tidaknya, reaksi balas oleh Timbalan PM ternyata telah menyerlahkan lagi kegusaran kerajaan sekarang (RM500: kenapa Muhyiddin takut sangat?).

Seperti orang melatah, TPM pula menggesa dan mencabar supaya kerajaan-kerajaan negeri yang bawah PR untuk terlebih dahulu mengimplementasikan janji kenaikan gaji terbabit di kalangan kakitangan pentadbiran negeri.

Cabaran itu dengan segera pula dipandang sinis oleh pimpinan PR yang menekankan bahawa janji kenaikan tersebut hanya terpakai sekiranya PR mengambilalih kerajaan persekutuan selepas PRU kelak, bukannya janji yang perlu dikotakan sekarang ini.

Begitupun, 'gula-gula' inilah yang perlu pihak kerajaan BN telan. Mendakwa kerajaan bakal muflis jika menaikkan gaji guru dilihat hanya akan menyerlahkan lagi kekurangan kompitensi kerajaan untuk mentadbir.

Soal janji tersebut realistik atau tidak, tidak lagi berbangkit, kerana sudah agak lama golongan pendidikan ini menganggung keperitan hidup akibat peningkatan kos sara hidup.

Sedangkan nasib golongan peneroka Felda dan kakitangan keselamatan (Polis dan Askar) dilihat jauh lebih baik dan 'terjaga' berbanding mereka yang sebenarnya memainkan peranan terpenting di dalam pembinaan modal insan negara.

Tawaran oleh PR ini bolehlah dianggap sebagai 'penghargaan' kepada golongan pendidik. Tambahan pendapatan sebanyak RM6000 setahun (RM500 x 12 bulan), ditambah pula dengan penghapusan tol (dan jangkaan harga barang turut berkurangan), adalah tawaran yang begitu sukar untuk dikesampingkan.

Bukan sahaja golongan pendidik yang boleh tertarik, malah rakyat umum yang ingin merasakan 'ringan' beban hidup juga tidak akan terkecuali.

Rezeki susah nak ditolak

Sakit buat cara sakit

Lucu. Baca lanjut di SINI.

Dilaporkan di akhbar hari ini bahawa Presiden Perkasa, Ibrahim Ali telah mendesak Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz agar meletakkan jawatan MB yang disandangnya, berikutan keadaan kesihatannya yang kurang mengizinkan akhir-akhir ini untuk mentadbir negeri.

Ini bukanlah kali pertama kita dengar Nik Aziz diminta untuk 'turun', sudah banyak kali. Dan setiap kali itu jugalah isu ini datang dan pergi, tanpa meninggalkan apa-apa kesan, baik kepada yang meminta mahupun kepada yang dipinta.

Saya sebenarnya tertarik dengan 'sindiran' yang dilontarkan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri yang berbunyi:

""Pada pandangan saya, kenapa dia (Ibrahim) tidak letak jawatan kerana dia sendiri tidak sihat. Sakit mati bukan kerja manusia, itu kerja Allah. Jadi kalau nak suruh orang letak jawatan sebab kesihatan, itu tidak betul kerana itu kerja Allah."

Tambah melucukan, Ibrahim sendiri sebenarnya berada 'sekapal' dengan Nik Aziz dari segi kesihatan memandangkan beliau sendiri baru sahaja selesai menjalani pembedahan pintasan jantung, sekalipun usianya jauh lebih muda berbanding Nik Aziz.

Inilah yang pepatah sebutkan sebagai:
- Ibarat menepuk air di dulang, akhirnya terpercik ke muka sendiri, atau
- Ibarat meludah ke langit, akhirnya terkena ke muka sendiri, atau 
- Ibarat mengata dulang paku serpih, mengata orang, dia yang lebih.

Pada saya, usahlah diusik Tok Guru tu, biarlah dia menjalankan kerja-kerjanya. Kalau berkehendakkan beliau turun, Ibrahim bersabarlah sedikit hari lagi kerana PRU ke-13 pun sudah tidak lama lagi, kan?

Tambahan pula, urusan mentadbir negeri bukanlah 'a one man job', pastinya barisan Exco negeri yang ada mampu untuk melaksanakan amanah rakyat di Kelantan itu.

Tambahan pula, Ibrahim dan Perkasa sendiripun masih ada banyak lagi hal yang lebih mustahak untuk diselesaikan. 

Lainlah kalau Ibrahim sendiri merasakan sudah tidak lagi berupaya untuk terus menerajui Perkasa dek kerana masalah kesihatan beliau. Eloklah kalau beliau sendiri yang memulakan contoh "kepimpinan melalui tauladan", daripada menggesa orang lain seperti Nik Aziz itu.

Berahim...oh Berahim...

Friday, 24 December 2010

Salah urus Sime Darby: Satu pengkhianatan terhadap legasi Tun Abdul Razak

Merujuk kepada akhbar hari ini (baca: Sime Darby saman CEO, 2 exsekutif), (baca: Sime Darby saman lima).

Pagar makan padi

Adalah tidak sukar untuk menyelami perasaan sedih dan kecewa, yang dizahirkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah (KuLi) semasa diminta mengulas berkenaan kerugian yang dialami oleh konglomerat Sime Darby sebagaimana dilaporkan akhbar arus perdana iaitu sebanyak RM 1,700,000,000.00 itu.


Terma yang digunakan pihak akhbar dan televisyen bagi menjustifikasikan kerugian tersebut dilihat sedikit lunak iaitu 'akibat lebihan kos dan berkemungkinan wujud salah urus tadbir', bahagian tenaga dan utiliti konglomerat terbabit.

Namun, sebagai individu yang terlibat secara langsung di dalam peristiwa bersejarah mengambil alih firma Sime Darby daripada tangan penjajah, yang digelar oleh London Stock Exchange sebagai "The London down raid", laporan kerugian besar Sime Darby ini (selepas penggabungannya dengan Guthrie dan Golden Hope), disifatkan KuLi sebagai suatu 'pengkhianatan' ke atas legasi Tun Abdul Razak (Kamal Amir, 2010: 59).

Dan laporan akhbar hari ini telah membuktikan kerugian yang ditanggung adalah berpunca daripada penyelewengan dan salah urus tadbir dengan bekas CEO, yang juga bekas pengerusinya, Zubir Murshid, bersama empat yang lainnya diberikan notis saman oleh Sime Darby Group.

Lupakah sejarah?

Permodalan Nasional (Pernas) yang ditubuhkan pada tahun 1969 bolehlah dianggap sebagai 'enjin' yang menggerakkan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Di sebalik kejayaan kita mengembalikan hak ke atas hasil dan sumber petroleum dan gas asli melalui Petronas (seperti yang diketahui ramai), sektor perladangan juga merupakan nadi terpenting pembangunan negara sejak merdeka lagi.

Begitupun, situasi selepas merdeka menunjukkan ratusan ribu hektar tanah pertanian di seluruh negara (baik ladang getah, koko, kopi, kelapa dan kelapa sawit) masih di bawah milikan dan kawalan individu-individu kaya, a.k.a 'tuan-tuan besar' dari England.

Menurut KuLi, tidaklah lengkap kemerdekaan kita itu seandainya tanah-tanah warisan anak merdeka ini tidak kita milik dan uruskan sendiri. 

Terkecapkah nikmat kemerdekaan itu di kalangan ratusan ribu pekerja-pekerja ladang yang masih berkhidmat di bawah telunjuk penjajah asing tersebut?

Bertitik-tolak daripada kesedaran inilah, tanah tersebut perlu 'dikembalikan' kepada warisan merdeka ini, tidak kira dibeli secara individu, syarikat mahupun agensi kerajaan.

Suatu ikhtiar dan rancangan kemudiannya disusun oleh KuLi bersama-sama Tun Ismail Ali (Gabenor Bank Negara) dan Raja Tun Mohar mencari upaya kewangan untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Peluang untuk kembali menguasai sebahagian besar saham dalam Sime Darby (SD) ini akhirnya terbuka luas apabila tercetusnya krisis pentadbiran syarikat itu, yang ketika itu beribu pejabat di Singapura.

nota: 100 tahun SD - ditubuhkan pada Oktober 1910 oleh taikun British William Sime dan Henry Darby, yang membentuk Sime, Darby & Co. Syarikat terbabit merupakan pemain utama di bidang industri getah dan kemudiannya melebarkan sayap perniagaan melalui perladangan kelapa sawit dan koko yang kemudiannya mencipta banyak kejayaan kepada syarikat ini.

Cadangan bagi pembelian saham SD telah diajukan kepada Tun Razak, dan beliau menyetujuinya dengan lapang dada, selain mencadangkan supaya Pernas melaksanakan pembelian (saham) syarikat tersebut.

Bermula dengan pembelian sejumlah 20% saham, akhirnya sedikit demi sedikit, Pernas berjaya muncul sebagai pemegang saham majoriti, seterusnya mengambilalih teraju pentadbiran SD sekitar tahun 1974. 

nota: perancangan yang sama turut dibuat terhadap sebuah lagi gergasi perladangan negara iaitu Guthrie di mana KuLi bersama-sama dengan Tun Ismail dan Raja Mohar sekali lagi membuat kejutan di London Stock Exchange.

Guthrie telah ditubuhkan pada tahun 1821 di Singapura oleh Alexander Guthrie yang juga merupakan Syarikat perdagangan British yang pertama di rantau Asia Tenggara. Guthrie bertanggungjawab memperkenalkan tanaman getah dan kelapa sawit di Malaysia iaitu masing-masing pada tahun 1896 dan 1924. 

Sime Darby dan Guthrie akhirnya dipindah milik kepada Pernas dan setelah digabungkan di bawah satu bumbung (bersama-sama Golden Hope Plantation) pada tahun 2007 yang awalnya menggunakan nama Synergy Drive (juga ringkasnya SD).

Penggabungan ini telah membawa bersama kira-kira 104,300 tenaga kerjanya di samping mengawal pelbagai portfolio pelaburan. Yang biasa didengar adalah pemilikan saham SD di dalam Tesco Malaysia, Syarikat pembekal alatan rumah, Dunlopillo, hak pengedaran jenama Caterpillar dan BMW.

Selepas penggabungan, sektor perladangan masih menjadi penyumbang terbesar pendapatan kumpulan ini. Konglomerat ini mempunyai simpanan tanah ladang melebihi 633,000 hektar (1.564 juta ekar), dengan 300,000 hektar darinya di Indonesia. Dengan kapasiti ini, SD muncul sebagai salah satu syarikat perladangan terbesar di dunia.

Jangan dikhianati legasi ini

Sesungguhnya jalan yang dirintis oleh pemimpin terdahulu untuk menebus kembali tanah warisan merdeka ini daripada tangan-tangan orang luar bukanlah mudah dan tanpa liku.

Berbekalkan semangat dan keikhlasan untuk melihat segala hasil dan sumber kekayaan negara dapat dikembalikan kepada rakyatnya (melalui sumbangan pendapatan dan cukai) - bagi menggerakkan aktiviti pembangunan, sewajarnya generasi hari ini mengambil iktibar daripada apa yang berlaku ke atas SD ini.

Adalah menyedihkan sekali melihat legasi tinggalan Tun Razak ini sedikit demi sedikit telah dirosakkan oleh tangan-tangan anak bangsanya sendiri, demi memenuhi ketamakan dan kerakusan peribadi.


Rujukan:

- ringkasan bab "Tun Abdul Razak: Legasinya Dikhianati. Dalam 'Tengku Razaleigh Hamzah - Rahsia yang terpendam". Kamal Amir Kamal Hijaz (2010: 56-59) 
- Sime Darby (wikipedia - aksess 25 Dis 2010)

Wednesday, 22 December 2010

Selamat menyertai keluarga besar kami


Selamat pengantin baru diucapkan kepada Wan Mohd Azimin dan Mardiah Nor yang telah selamat diijabkabulkan baru-baru ini. Semoga kekal bahagia hingga ke akhir hayat dengan dikurniakan zuriat dan rezeki yang melimpah-ruah.

Selamat menyertai keluarga besar kami.

PKR pun kena muhasabah juga...

Chow Bing menulis.........

Saya terasa Anwar Ibrahim tidak lagi "gagah" sebagaimana yang dahulu selepas "Kes Sodomi II".  Hujah ucapannya berulangan, dan tidak menunjukkan prestasi yang terserlah setelah dilantik menjadi Penasihat Ekonomi Selangor.  

Kemampuannya untuk menyatukan parti, mengawal situasi turut dilemahkan.  Jelas, kes ini telah banyak melunturkan dayanya dan membazir masanya - strategi BN yang cukup tajam untuk melemahkan musuhnya.

BN menyasar pada Anwar - bahagian yang paling kuat dan pada masa yang sama paling lemah untuk PKR.  Setelah penat lelah Anwar dibuatnya, kekuatan parti berjaya dilemahkan.  Di kalangan pemimpin PKR, ramai yang berimejkan "akar umbi" atau "politik", tetapi terlalu kurang "pakar/profesional".

(baca selanjutnya di SINI)

Tuesday, 21 December 2010

Renungan

Asas tanggungjawab orang-orang beriman ialah menyerahkan diri kepada Allah dalam urusan kemanusiaan, "tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta, apabila mereka diingatkan dengan ayat-ayat Allah".

Kerana tanggungjawab ini, seseorang itu akan terselamat daripada keegoan yang mementingkan diri sendiri, kemarahan yang meluap, angan-angan dan keinginan untuk menjadikan dirinya seperti orang lain.

Moral yang disebutkan di dalam ayat-ayat (Surah al-Furqan: 63-73) terkandung di dalam pengertian ini.

Kerana itu, di dalam sebuah masyarakat yang TIADA CINTA DAN TAKUT KEPADA ALLAH dan beriman kepada-Nya, TIDAK AKAN ADA MORAL.

Tiada apa pun yang boleh ditentukan sepenuhnya, setiap orang menentukan apa yang betul dan apa yang salah berdasarkan kepada keinginannya sendiri (Harun Yahya, 2005: 77).

----------------

Sebagai respon kepada individu yang kata "I'm gay, I'm OK".

Monday, 20 December 2010

BBQ @ Kapar






Foto-foto tambahan bakal menyusul............

Saturday, 18 December 2010

'Tenang' yang dah mula tak tenang

Kembalinya Datuk Sulaiman Taha ke Rahmatullah semalam turut menandakan bahawa gendang Pilihan Raya Kecil (PRK) yang ke-14 telah dipalu.

Yang telah pergi tidak akan kembali, dengan kehidupan pula perlu diteruskan. Semoga segala amal kebaikan Allahyarham semasa hayatnya akan menyediakan bekal yang berguna bagi menempuh perjalanan di sana yang kekal abadi.

Kerusi DUN Tenang yang 'tenang' selama ini telahpun kosong. Dan kekosongan ini bagaimanapun, telah menimbulkan suasana yang 'kurang tenang' dengan pengganti kepada Allahyarham perlu dicari untuk meneruskan tugas-tugas pentadbiran bagi DUN tersebut.

Akhbar arus perdana hari ini juga telah mengeluarkan pernyataan oleh Timbalan Presiden UMNO yang menyeru supaya BN bukan sahaja melipatgandakan usaha ke arah mempertahankan kerusi DUN Tenang, malah perlu meningkatkan jumlah sokongan rakyat dan pengundi kepada BN (sumber).

Saya sepatutnya mengulas perkara ini semalam, tetapi hambatan masa dan tugas-tugas yang lain menyebabkan kemas kini ini terpaksa saya tangguhkan.

Seperti dijangka, jika anda 'tertangguh' 1 hari, keesokannya entri anda sudah jadi 'ketinggalan zaman'. Semaklah di mana-mana web blog dan laman web 'think tank' hari ini, pelbagai ulasan serta analisa dikeluarkan.

Sekalipun agak ketinggalan, dengan beberapa isu yang ingin saya ketengahkan telah turut dikupas terlebih dahulu oleh pihak-pihak lain, saya merasakan masih ada keperluan untuk menulis dengan 'bahasa saya sendiri'.

Profil Pengundi

N5 Tenang terletak di dalam Parlimen Labis, Daerah Segamat, Johor. Jumlah dan pecahan pengundi bagi DUN ini (berpandukan daftar pemilih 2008) adalah seramai 14,511 orang dengan 49.59% adalah pengundi Melayu, 38.24% Cina dan 12.07% India. DUN Tenang juga mempunyai 13 buah pusat mengundi.

Menariknya di DUN ini, pecahan peratusan pengundi adalah menggambarkan pecahan komposisi kaum utama yang ada di negara ini (majoriti Melayu, kemudian Cina dan diikuti India).

Populasi Orang Melayu di Tenang, selain menghuni kawasan pinggir bandar dan desa, turut disumbangkan melalui kewujudan 3 buah tanah Rancangan FELDA iaitu Chemplak, Chemplak Barat dan Tenang.

Manakala Orang Cina pula kekal menghuni kawasan bandar dan pekan, selain mendominasi kegiatan ekonomi terutama di sektor perniagaan dan perladangan.

Orang India pula masih menetap di ladang-ladang.

Pada saya, pofil penduduk dan pengundi kali ini agak jelas dan sebarang keputusan yang terhasil daripada PRK ini kelak, akan dapat 'dipelajari' dengan lebih jelas lagi untuk mengetahui pola kecenderungan mereka, baik kepada parti kerajaan mahupun kepada pembangkang.

Penilaian terhadap prestasi PAS

Sama ada telah sembuh atau tidak, dan sama ada mampu bangkit atau tidak - (terutama selepas tewas di PRK Galas di tangan wakil UMNO-BN), PAS perlu membuktikan 'sesuatu' kepada masyarakat Malaysia.

Bertanding di negeri yang telah sekian lama dilabel sebagai kubu UMNO, cakap-cakap mengenai kemenangan calon dari PAS (jika PAS dipersetujui untuk menurunkan calon mewakili PR) perlu dinilai dari konteks yang lebih realistik.

Begitupun, sikap optimistik perlu ada, untuk sekurang-kurangnya PAS memastikan sokongan pengundi di DUN Tenang kepada mereka pada PRU yang lalu tidak menurun.

Dan jika berlaku penurunan pun kelak, ianya perlu berada di paras yang 'boleh diterima'.

Ini kerana di sebalik beberapa kelemahan dan halangan, Pakatan Rakyat secara amnya masih boleh 'membuktikan sesuatu' terutama dengan kewujudan populasi pengundi Melayu yang besar di tanah-tanah Rancangan FELDA.

Cuma persoalannya, mampukah PAS dan PR menembusi dominasi dan pengaruh kuat parti pemerintah di kawasan-kawasan FELDA, seterusnya membawa mereka (peneroka) untuk bersama-sama dengan PR?

Inilah medan untuk PAS (terutama melalui ANAK, pimpinan Mazlan Aliman) dinilai prestasi mereka sama ada pendedahan ANAK di dalam isu-isu yang melibatkan peneroka FELDA benar-benar menyentuh hati dan perasaan golongan peneroka, atau sebaliknya.

Penilaian terhadap persefahaman MCA-UMNO

Chua Soi Lek adalah salah seorang ikon (bukan idola) penting bagi DUN Tenang amnya, dan Parlimen Labis khasnya.

"Bangun - jatuh - bangun" karier politik beliau mungkin menjadi kisah khayalan untuk sesetengah orang politik. Ini kerana selain Soi Lek, kebanyakan orang politik yang 'bangun - jatuh', tidak akan bangun lagi. 

Sedang sebahagian lagi (yang masih bangun) pula mungkin menunggu saat-saat untuk jatuh sahaja.

Sekalipun tidak lagi menjadi ahli perlimen (setelah menjadi pelakon terkenal), pengaruh beliau dan MCA di Labis tidak boleh dipandang sebelah mata.

Buktinya, sekalipun ramai calon MCA lain di Semenanjung telah 'dibelasah' dengan teruknya oleh DAP dan PKR semasa PRU ke-12 yang lalu, warisan Chua (Chua Tee Yong) nampaknya tiada masalah untuk mengekalkan kerusi Parlimen Labis tersebut.

Tetapi senario DUN Tenang ini sedikit unik pada saya. 

Ianya bersandarkan pemerhatian saya terhadap rekasi Soi Lek (sekarang ini merupakan Presiden MCA, sekutu utama UMNO di dalam perikatan BN) semasa beliau mengulas isu 'Melayu' di Konvensyen BN baru-baru ini.

Ramai orang risau apabila Soi Lek tidak bertepuk tangan di akhir ucapan Pengerusi BN, Najib Razak di konvensyen itu. 

Soi Lek kemudiannya tampil mengeluarkan pernyataan bahawa sebagai rakan kongsi di dalam BN, MCA sepatutnya diberi layanan yang setaraf dengan UMNO, dan bukannya diperlakukan seperti small brother oleh big brother (UMNO).

Ironinya apabila MP Batu Pahat sendiri, Dr. Puad Zarkashi tampil membela UMNO dan mematahkan hujah Soi Lek (diikuti beberapa pemimpin UMNO lainnya selepas itu).

Apa yang dikatakan Soi Lek itu merupakan luahan isi hatinya. Isu ini perlu jelas, iaitu MCA sentiasa taat setia kepada 2 pemimpin ulung BN iaitu Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BN. 

Manakala pemimpin lain, adalah dianggap dan dilayan dengan setaraf, termasuklah naib-naib presiden UMNO dan parti-parti komponen yang lain.

Justeru, adalah sesuatu yang betul mengenai 'big brother' apabila ramai pemimpin selain 2 yang ulung itu tadi bertindak 'lebih sudu dari kuah' - mengenai isu ini.

'Kekecewaan' Soi Lek juga boleh difahami kerana di peringkat bahagian, lazimnya Ketua UMNO bahagian akan dilantik sebagai Pengerusi BN bahagian, sekalipun MP (Ahli Parlimen) bukan daripada parti UMNO.

Pemimpin MCA yang rata-rata mereka yang berpendidikan tinggi dan profesional pastinya 'tidak rela' terus diperintah oleh orang UMNO, terutama jika mereka berpangkat Ahli Parlimen mahupun ADUN.

Justeru, DUN Tenang kini juga boleh dijadikan medan untuk rakyat menilai sejauh manakah keutuhan persefahaman yang lama terjalin di antara UMNO dengan MCA dapat berkekalan.

Tenang menuju PRU

Tiada siapapun di antara kita yang dapat menjamin Tenang sebagai PRK terakhir sebelum tirai PRU ke-13 dibuka.

Begitupun, outcome daripada PRK ini kelak boleh juga digunapakai oleh agensi kerajaan terutama PEMANDU bagi menilai maklum balas rakyat terhadap langkah rasionalisasi subsidi yang baru dilakukan pihak kerajaan.

Jika calon BN menang lebih besar, dari satu sudut pandang, menandakan langkah kerajaan menarik subsidi sebagai rasional dan tidak mempengaruhi persepsi pengundi dan rakyat terhadap kerajaan.

Dan seandainya calon BN menang 'secukup makan', mungkin itu akan menjadi teguran yang berguna untuk direnungkan kerajaan sebelum menarik subsidi itu dan ini dari Rakyat, di atas nama "rakyat didahulukan".

Sekian.