Memandangkan ini merupakan hujung minggu terakhir kami di UK, jadual untuk 2 hari ini agak penuh -
dengan rumah terbuka.
Sebelum itu, berbanyak terima kasih saya sekeluarga ucapkan kepada A. Roslan sekeluarga dan A. Din sekeluarga di atas penganjuran rumah terbuka, masing-masing pada Sabtu dan Ahad yang sudah. Moga kalian dan keluarga dimurahkan rezeki oleh Allah Taala.
Perjalanan pulang kali pertama ke tanah air Rabu ini pastinya membawa kelainan, dengan kepulangan ber-3 (datang dulu ber-2). Bukan tambah orang rumah, tapi dengan kehadiran puteri sulung kami.
Di kesempatan menghadiri rumah terbuka juga, saya dapat bertemu dan berkenalan dengan beberapa rakan baru, tidak kira yang tinggal jauh, mahupun yang baru tiba melanjutkan pengajian di Oxford ini.
Bila sekali-sekala bertemu 'gu' - banyaklah perkara yang disembangkan. Dari yang melawak, hingga yang serius dan berbentuk ilmiah, juga hal berkaitan politik tanah air.
Dari cerita calon kontroversi yang menang di Bagan Pinang, politik wang, 'banyaknya' harta bekas MB Selangor, pembersihan dalam UMNO dan banyak lagi.
Memandangkan saya kurang terdedah dengan pelbagai maklumat, makanya sembang-sembang seperti ini banyak membantu menambah pengetahuan am saya terhadap sesuatu isu, dan isu yang terbaru.
Sambil sembang tu, saya turut berkongsi ilmu hasil pembacaan novel Sidney Sheldon yang menyentuh hal-hal dalam politik (sisi gelap politik).
Dalam kes saman bekas MB Selangor terhadap 'kekayaan beliau' oleh pembangkang, hal ini turut menjadi topik perbualan. Sama juga lain-lain hal termasuklah 'kekayaan Anwar Ibrahim' dan mengapa jika ada bukti Ezam tidak berani mendedahkannya?
Sama juga halnya dengan tuduhan (dalam ceramah) bahawa isteri seorang pemimpin tertinggi negara yang hantu bershopping hingga barang yang beliau beli perlu diangkut beberapa kereta semasa kunjungan suaminya ke luar negara.
Benar atau tidak tuduhan ini? Ada yang tidak percaya, tapi ramai yang percaya.
Wujudkah istilah 'rahsia'?Teringat akan saya akan novel S. Sheldon "Bloodline:358", katanya:
"Nothing was sacred, nothing was safe. Privacy in today's civilization was a delusion, a myth. Every citizen was exposed, his deepest secrets laid bare, waiting to be read. People were on record if they had a social security number, an insurance policy, a driving licence or a bank account.They were listed if they had paid taxes, drawn unemployment benefit or welfare funds. Their names were stored in computers if they were covered by private medical insurance, had made mortgage payments on a house, owned a car or motor bicycle, or had a deposit or current account.The computer knew their names if they had been in hospital, or had done military service; had a gun or a fishing licence; had applied for a passport, a telephone or electricity; or if they had been born, married or divorced."=========================
Nota:
Ironinya, semua orang lahir (born), bila lahir ibubapa akan buka buku bank untuk simpanan masa depan anak (open a bank account). Bila tamat SPM, kena masuk khidmat negara (military service or national service) dan bila dapat keputusan cemerlang, berpeluang belajar di luar negara, kena mohon pasport (applied for a passport). Lengkap!
Justeru, jika ingin tahu betul atau tidak seseorang itu banyak bershopping, semua rekod, resit atau transaksi kad kredit ada lengkap disimpan di bank.
Juga jika ingin tahu kekayaan (bilangan rumah, lot-lot tanah) boleh saja meneliti rekod di Pejabat Tanah, atau bahagian pembayaran cukai pintu.
Semua kita terdedah, tiada rahsia mampu kita simpan tentang diri kita. Email dan panggilan telefon kita juga akan ditapis dan dihantar kepada pelbagai organisasi keselamatan sebelum diterima.
Tinggal saja kita mahu 'gali' rahsia itu atau tidak!
=========================
Itu perihal mitos 'kerahsiaan' maklumat diri setiap manusia yang dilahirkan dalam era moden yang serba canggih hari ini.
Bagaimana pula pendapat S. Sheldon tentang 'sisi gelap' dan kerahsiaan seseorang ahli politik?
Politik londeh-melondehSebagai orang biasa yang sekadar ambil tahu hal-hal politik ini secara serba-sedikit, seringkali kita 'geram' apabila mendengar khabar angin, spekulasi, tohmahan dan percakapan yang disampaikan sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik - "ahli politik ini terbabit dengan rasuah; dia bolot banyak projek untuk kayakan kroni dan anak menantu; seleweng wang PKFZ; etc".
Persoalannya, mengapa orang yang mendakwa itu, hanya sekadar melontarkan dakwaan tanpa 'menghabiskan' apa yang dicakapkan - dengan lapor kepada badan berkuasa, siasat dan hukum si pesalah jika memang dialah si pelakunya!
Seringkali juga, ahli politik saling serang-menyerang, terutama menjelang musim pengundian. Bermacam kisah lama dan baru akan ditimbulkan, dijaja bertujuan 'melondehkan' segala sisi gelap lawannya.
Seni politik 'londeh-melondeh' ini tidak mengejutkan saya setelah membaca sebuah lagi novel S. Sheldon bertajuk "The Best Laid Plans: 54-55":
"You see, people have got it wrong. It's NOT WHO YOU KNOW," Senator Davis explained, "it's WHAT YOU KNOW ABOUT WHO YOU KNOW".
"Everybody's got a little skeleton burried somewhere. All you have to do is dig it up, and you'll be suprised how glad they'll be to help you with whatever you need".
"It's grist for our mills".=========================
Nota:
Dalam politik, seseorang itu perlu 'kenal rapat' lawannya. Ini kerana dalam politik setiap orang ada menyembunyikan 'skeleton' (rahsia keburukan) mereka.
Skeleton ini boleh jadi rekod jenayah lampau semasa muda dan terbaru - pernah ditangkap khalwat, minum arak di dalam bilik dan bar, menari ronggeng, mempunyai wanita simpanan, pernah menerima rawatan mental di hospital gila, ditangkap mencuri lembu, etc.
Jika lawan mereka berjaya menghidu dan menggali rahsia tersebut, itulah yang akan menjadi senjata untuk menyerang dan perisai untuk melindungi dari diserang kelak.
Justeru, lawan yang telah 'dicuri' skeleton itu tidak dapat tidak perlu mengadakan kompromi dan membenarkan dia dicucuk hidung kerana bimbang segala 'skeleton' beliau didedahkan di khalayak oleh lawannya.
Namun, jika masing-masing lawan itu menyimpan 'skeleton' masing-masing, cara yang paling selamat adalah dengan 'pakat-pakat duduk diam sajalah'. Masing-masing angkat perisai daripada 'skeleton' lawan masing-masing.
Usahlah nak saman orang lain, kelak akan lebih banyak 'skeleton' anda yang akan dibongkarkan. Kelak, sendiri yang malu dan dihukum.
==========================
KesimpulanPara pembaca akan lebih memahami jika berupaya menghubungkan kedua-dua petikan Sheldon yang saya nyatakan.
Iaitu bagaimana dan mengapa orang politik 'nampak macam nak bergaduh', tetapi akhirnya tiada apa-apa yang signifikan (tiada tindakan susulan yang bermakna).
Mana satu kita (rakyat) nak percaya? Akhirnya, segala dakwaan kedua-dua pihak hanya untuk menaikkan nama dan reputasi masing-masing di mata para penyokong mereka, tetapi ianya sesuatu yang 'kosong'.
Justeru, mereka-mereka inilah yang bijak. Sama-sama makan, sama-sama simpan.
Yang nganga apa-apapun, rakyat jugalah!