Thursday, 1 November 2012

UMNO & Unity (bahagian akhir)

Umno sudah seperti seorang pesakit kencing manis yang perlu dipotong kakinya demi menyelamatkan anggota badan yang lain - Tun Mahathir

Nota Kepala Penulis/Penterjemah:

1) Baiklah, hari ini saya ingin melunaskan tugas penterjemahan karya Tun Mahathir di bawah bab "UMNO & Unity". Rasanya saya tangguhkan artikel bahagian pertama dengan ungkapan "Hidup Melayu" (Long Live the Malays) yang mana ia telah menjadi laungan keramat parti terbesar yang mewakili kaum Melayu itu.

2) Sebelum ini saya telah membaca 2 naskah yang dikarang oleh pemikir PAS iaitu (1) Menuju PAS Baru oleh Dr Mujahid Yusof Rawa, dan (2) Menerjang Badai: 60 tahun mempersada perjuangan oleh Ridhuan Mohamad Nor. Kesimpulan yang dapat saya buat selepas meneliti kedua karya ini adalah, sejarah PAS, biarpun muncul setelah berpecah daripada UMNO, agak berbengkang-bengkok serta susah difahami (oleh saya), ditambah dengan pelbagai istilah Arab yang jarang saya dengar berbanding  sejarah parti UMNO. 

3) Jadinya, lebih mudah untuk saya mengupas perihal UMNO (berdasarkan naskah lama Tun M), manakala bagi mereka yang berminat mengetahui sejarah PAS, dijemput membeli dan membaca kedua buku yang saya nyatakan seperti di atas tadi.

- Dr Sepet (doakan saya untuk ke Palestin 2013, insyaAllah).

-------------------------

BAHAGIAN AKHIR "UMNO & UNITY"

Hidup Melayu telah menjadi slogan dan Bersatu (unity) telah menjadi amalan Umno. Namun, sekalipun semangat untuk bersatu itu kuat, sikap berpuak dan taat setia kepada kumpulan-kumpulan kecil yang perbagai itu dilihat masih menebal (sehingga dapat dilihat semasa pertemuan di Kelab Sultan Sulaiman) dan masih sukar untuk dikikis. Umno telah menjadi pertubuhan kebangsaan bagi orang-orang Melayu - terma 'United' bukanlah merujuk kepada 'Union' bahkan ditujukan kepada 'Federation' di dalam Umno - disebabkan terdapat pertubuhan Melayu yang bersetuju untuk bekerjasama dengan Umno. Setiap negeri Melayu waktu itu memiliki organisasinya sendiri dan wujud juga badan-badan separa politik yang terpisah daripada pengaruh organisasi politik negeri dan menjalinkan kerjasama dengan Umno.

Bendera Umno (google images)

Di Kedah, Kesatuan Melayu Kedah (KMK) merupakan parti politik rasmi negeri. Namun, SEBERKAS, sebuah organisasi yang tidak seratus peratus politik, juga menjadi 'ahli' kepada Umno. Hal yang sama boleh dilihat di negeri-negeri lain dengan beberapa organisasi yang mewakili orang Melayu, turut menjalin kerjasama dengan Umno (ahli bersekutu).

Penentangan terhadap gagasan Malayan Union yang digerakkan oleh Umno yang ketika itu masih dianggap sebuah pertubuhan yang tidak kukuh (a loose federation) dan masih belum menjelma sebagai sebuah entiti yang jelas.

Kejayaan di peringkat awal perjuangannya memberitahu Umno bahawa usaha penyatuan Melayu sebenarnya memberikan kelebihan, berbanding perpecahan di dalam perjuangan politik. Malah, perjuangan (dan penyatuan) ini perlu bukan sahaja untuk orang Melayu, bahkan demi survival perjuangan politik negeri-negeri Melayu waktu itu.

Seandainya waktu itu negeri-negeri Melayu hanya bertindak secara berasingan di dalam menentang Malayan Union, tentulah pihak British tidak merasa begitu gerun dan tergugat. Namun, manifesto perpaduan yang dicetuskan Umno telah menjadikan ianya (tentangan) sebagai suatu gelombang besar sehingga berupaya menggerunkan British (biarpun mereka adalah satu kuasa dunia waktu itu).

Setelah mencapai kejayaan dengan mengenepikan Malayan Union, Umno kemudiannya kembali mendapati dirinya tanpa tujuan dan halatuju yang jelas. Gagasan perpaduan yang disemai mulai hilang kelunakannya. Namun, disebabkan muncul krisis dalam kepimpinan, usaha ke arah penyatuan disegarkan kembali. Hasilnya, apa yang di peringkat awalnya hanya bekerjasama di antara Umno dan pertubuhan politik dan separa politik negeri-negeri, kini mulai bersatu dengan sebagai Umno negeri yang mewakili perjuangan Melayu dan mereka-mereka yang mempercayai motif penubuhan Umno.

Kesatuan Melayu Kedah, Liga Melayu Perak, Kesatuan Melayu Singapura dan lain-lain organisasi seumpamanya, mula digantikan dengan Umno Kedah, Umno Perak, Umno Singapura dan seterusnya. SEBERKAS Kedah bagaimanapun masih kekal sebagai entiti yang 'bebas Umno' buat seketika, sebelum ia juga terpaksa/dipaksa untuk dibubarkan.

Begitupun, tugas menyatukan mereka dengan Umno itu sendiri tidak berakhir dengan menarik penyertaan pertubuhan-pertubuhan luar untuk bergabung bersama Umno semata. Umno negeri yang muncul waktu itu dilihat sangat berkuasa dan seringkali membuat keputusan dan mengeluarkan arahan secara tidak selaras dengan Umno Pusat. Begitupun, fenomena federalisma mulai berkurangan apabila kesemua bahagian diselaraskan mengikut arah Pusat, dan Umno negeri hanya berperanan sebagai badan pemudahcara.

Dengan fasa terakhir tersebut, Umno kini menjadi sebuah entiti yang sebenar. Setiap seksyen, setiap polisi, telah diputuskan oleh di peringkat pusat melalui sebuah badan yang diiktiraf oleh kesemua ahli. Ianya dipanggil Majlis Tertinggi Umno - yang memegang kuasa secara menyeluruh. Dan untuk itu (besarnya kuasa MT) ianya tertakluk kepada penganjuran Perhimpunan Agung, suatu pertemuan paling besar kesemua wakil dalam Umno, sebagai melambangkan perpaduan di kalangan ahli-ahli Umno disegenap peringkat.

Umno tidak wujud untuk Umno. Sebaliknya Umno wujud untuk orang-orang Melayu. Malah, perpaduan yang dicari adalah perpaduan orang-orang Melayu. 

Ini kerana perpaduan di kalangan ahli Umno masih tidak dianggap sebagai perpaduan orang Melayu. Namanya sahaja Melayu Bersatu (United Malays), namun Melayu masih berpecah dan terbahagi kepada pelbagai organisasi politik, yang setiap satunya saling menentang (oppose) yang lainnya.

Biarpun bangsa Melayu mula menampakkan jalan ke arah penyatuan (seperti di dalam Umno), kita perlu akui bahawa Kongress Pertubuhan Melayu pada tahun 1946 telah gagal untuk meyakinkan parti politik Melayu yang utama, Partai Nasionalis Melayu (PNM) untuk menerima konsep penyatuan yang dibawa Umno. PNM menolak penyatuan tanpa ideologi. Memandangkan PNM meletakkan kepentingan ideologi itu di atas kepentingan penyatuan kebangsaan (national unity), PNM tidak menyertai persekutuan yang dipanggil Umno, sekalipun jika disertai, semua parti gabungan masih diberi kebebasan untuk mengekalkan identiti masing-masing.

Kemudiannya, orang Melayu terheret ke kancah perpecahan ideologi politik yang lebih ketara apabila munculnya berbagai parti di atas pelbagai sebab. Partai Kemerdekaan Malaya (IMP), Parti Negara, Parti Al-Islam (PAS) merupakan antara parti yang menarik penyertaan dan juga sokongan oleh orang-orang Melayu. Daripada kesemua parti ini hanya PAS sahaja yang survived sebagai sebuah parti utama dengan mendapat sokongan yang signifikan daripada orang-orang Melayu.

Apa jua janji yang ditaburkan oleh Umno, ia tidak berupaya untuk menarik sokongan dan penyertaan keseluruhan orang Melayu. Sebahagian mereka teru menyokong PAS. Penyatuan Melayu tidak akan berjaya dicapai. Umno (atau di dalam 'bahasa Melayunya', PEKEMBAR) tidak berupaya mencapai objektif utamanya - untuk menyatupadukan orang-orang Melayu.

Fakta (kegagalan) ini akhirnya diterima jua oleh para pemimpin Umno. Apabila menyedari bahawa penyatuan Melayu itu tidak semestinya dicapai apabila kesemua parti menyertai Umno; dan Umno itu tidak diwujudkan semata untuk Umno, tetapi untuk orang Melayu seluruhnya; perubahan sikap mulai mengambil tempat. Perubahan sikap ini mempercayai bahawa tidak mustahil untuk mewujudkan 'kerjasama' di antara Umno dengan PAS - iaitu kerjasama Melayu sesama Melayu. Menyatukan PAS dengan Umno mungkin tidak berjaya, tetapi ada harapan untuk menyatukan orang Melayu di dalam kedua-dua parti ini.

Kerjasama Umno-PAS (google images)

Dan dengan pencapaian kerjasama ini, penyatuan dan perpaduan nasional telah dicapai dalam tempoh dua tahun. Melayu yang dahulunya mustahil bersatu akhirnya bersatu jua. Orang-orang Melayu mula nampak masa depan yang cerah kerana mereka mula bersatu. Parti politik itu hanyalah wadah (platform). Apa yang penting adalah penyatuan. Penyatuan inilah yang membawa kejayaan.

Umno telah kembali mencapai sasaran matlamat asal penubuhannya - untuk menyatupadukan orang-orang Melayu. Sedari awal lagi Umno telah bekerja keras ke arah penyatuan. Tetapi di dalam sistem demokrasi yang memiliki amalan pilihanraya, agenda penyatuan sekali lagi dipinggirkan. Insiden Mei 1969 telah mengembalikan kejutan dan kesedaran. Hasil kesedaran itu, usaha penyatuan kembali orang Melayu telah digerakkan dan kerjasama Umno-PAS berjaya dibentuk. Peristiwa ini menandakan titik tertinggi pencapaian perjuangan Umno yang ketika itu di bawah pimpinan Tun Razak.

Namun tabiat dan budaya tidak selalunya boleh kita tinggalkan. Sementara aliran pemikiran-kanan Melayu, yang mewakili majoriti, gembira dengan penyatuan yang dicapai melalui kerjasama Umno-PAS, sesetengah kelompok pula melihatnya dengan penuh kecurigaan. Penyatuan ini menjadikan mereka tiada peranan untuk dimainkan dan tidak lagi mendapat perhatian orang ramai. Ia diumpamakan seorang raja yang tidak bertakhta yang sedang bersiap-sedia untuk mengkhianati rakyatnya di dalam ketamakan mengejar kuasa. Kelompok ini bersedia menggunakan apa jua cara untuk mengorbankan penyatuan Melayu yang sedang dinikmati rakyat demi memenuhi kepentingan mereka. Bahasa, agama, bangsa dan lain-lain isu mula dieksploitasi untuk tujuan tersebut.

Penyatuan Melayu kembali diancam, sedangkan mereka belum menikmati jaminan keselamatan (untuk bina hidup yang lebih baik). Mampukah Umno mendepani cabaran ini? Dapatkah Umno mengekalkan perpaduan yang dicapai ini? Atau orang Melayu yang telah dijajah selama lebih 400 tahun ini, sekali lagi kembali terpinggir, lemah dan tidak dihormati hanya kerana "perpaduan itu bukanlah adat bangsa Melayu?".

TAMAT

Diterjemah (dengan penambahan kata minima), sumber asal: Mohamad, M. (1986). The Challenge. Pelanduk Publications. (petikan muka surat 156-158).

-------------------------
Nota Kaki Penulis/Penterjemah:

1- Melayu, tambahan Islam lagi, memang perlu bersatu. Mana-mana bangsa yang berpecah-belah sekalipun majoriti jumlah mereka, tetap akan menjadi lemah dan tak dihormati. Justeru, mampukah Umno menjadi wadah penyatuan Melayu seluruhnya dan bukan hanya ekslusif kepada ahli Umno semata? Ataupun, agenda penyatuan Melayu ini perlu melangkaui garis politik dan ideologi kepartian tidak kiralah Umno, PAS ataupun PKR? Saya juga telah turut melontarkan tentang "bagaimana saya melihat isu perpaduan Melayu-Islam di Malaysia" (klik tajuk untuk membacanya).

2- Sebagai satu-satunya parti yang membentuk gabungan di bawah Barisan Nasional yang sudah memerintah Malaysia sedari era kemerdekaan, Umno juga tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan pelbagai tuduhan korupsi dan salah guna kuasa.

3- Anda yang celik politik tentunya lebih maklum perkara ini berbanding saya yang kurang membaca ini. Apapun, berikut saya pautkan artikel-artikel lama yang telah saya tulis berkaitan "Korupsi & Kesannya Kepada Negara" (di dalam 3 siri yang menarik), serta kupasan buku oleh Jomo "Warisan Ekonomi Mahathir" (di dalam 3 artikel berkait dengan penswastaan PLUS, PROTON dan 'Kejayaan' Penswastaan).

3 Siri "Korupsi & Kesannya Kepada Negara (klik tajuk)

- Siri 1 - Korupsi: bagaimana ianya bermula.
- Siri 2 - Korupsi: penyakit yang berulang.

3 artikel oleh Jomo (klik tajuk)


Moga beroleh manfaat melalui perkongsian ilmu yang terbatas ini. Sekian.

No comments:

Post a Comment