Tuesday, 31 July 2012

Kos bagi servis rutin Toyota Rush 1.5 (Julai 2012)

Servis rutin untuk kereta jenama Toyota Rush telah dibuat pada hari Sabtu lepas (28 Julai 2012) di Vigor Auto Sdn Bhd, Klang Sentral.


Elemen dan kos terlibat adalah seperti berikut:

- Tukar minyak enjin (selepas setiap 10,000 km)
1 botol minyak enjin Lexus 5W-40 (fully synthetic 4 liter) = RM180.00

- Tukar oil filter (bersekali dengan tukar minyak enjin)
1 unit Yzzez = RM25.00

- Tayar (buat proses 'alignment') (lazim selepas 10,000 km)
Kos = RM20.00

- Tayar (buat proses 'balancing') (lazim bersekali dengan 'alignment' @RM5/tayar)
Kos = RM20.00

- Kos buruh = RM10.00

Belanja Keseluruhan = RM255.00


Nota:

1) Penting: Sekalipun had lazim menukar minyak enjin adalah 10,000 km, ia juga banyak bergantung kepada penggunaan kereta. Jika anda tinggal di kawasan bandar dan sering terperangkap di dalam kesesakan jalan raya, perlu diingatkan bahawa sekalipun kenderaan berhenti (mileage rendah, tak cukup 10,000 km), enjin kereta still running. Ini menjadikan bacaan speedometer 10,000 km itu tidak tepat kerana angka tersebut mungkin dicapai lebih awal berbanding yang ditunjukkan. Mungkin nilai yang sebenar telah sekali ganda daripada yang ditunjukkan di speedometer anda!

Pemilik kereta yang peka lazimnya akan menukar engine oil + oil filter sebelum mileage mencecah 10,000 km (contohnya selepas 7,000 km).

2) Bagi saya, elemen yang sama (kos yang hampir sama) akan diulang bagi servis selepas 10,000 km yang akan datang, dengan tambahan penggantian 1 unit air filter (RM60) + minyak gear (RM120). Sebagai nota, kenderaan dengan simbol 'VVT-i' umumnya perlukan strong air suction bagi kelancaran enjin. Justeru, anda disaran agar rajin membuka kotak angin dan memeriksa keadaan air filter. Habuk yang terkumpul oleh proses air suction lama-kelamaan akan menjejaskan prestasi enjin.

Prestasi minyak yang baru (Lexus 5W-40) sintetik sepenuhnya (fully synthetic) adalah baik, terutama memastikan pick-up kereta lancar terutama sewaktu pemanduan laju, memotong dan ketika naik bukit selepas Plaza Tol Duta ke arah Ipoh. Antara minyak enjin lain yang dicadangkan tetapi berharga lebih mahal ialah Caltex (RM228) dan Shell, kedua-duanya bagus bagi jenis sintetik sepenuhnya.

3) Umur tayar semasa hampir masuk 3 tahun. Hayat pemakaian lazim bagi tayar adalah 5 tahun tetapi banyak bergantung kepada had penggunaan/perjalanan. Memandangkan setiap hari saya berulang-alik dengan jarak perjalanan 98 km+ (lasak), pemeriksaan tayar adalah diperlukan bagi menilai tahap keselamatan terutama lapisan bunga, tanda haus, rekahan dan paras amaran botak (tread wear indicator) - lazimnya ukuran minima 1.6mm. 

4) Kedai "Tayaria" menawarkan pilihan tayar yang pelbagai (bersaiz 16') seperti berikut:
- Yokohama = RM300/tayar (paling ekonomik) @ RM1,200.00
- Bridgestone = RM380/tayar @ RM1,520.00
- Pirelli = RM540/tayar @ RM2,160.00
- Scorpion = RM840/tayar (paling bagus bagi long-distance frequent travels) @ RM3,360.00

5) Minyak petrol. Memandangkan perjalanan ulang-alik ke tempat kerja yang jauh setiap hari, saya perlu 'berkira' di dalam perbelanjaan bahan api. Setelah membuat perbandingan dengan mengisi tangki dengan 3 jenama minyak iaitu Petronas, Shell dan Esso, bagi setiap bulan yang berbeza, saya simpulkan bahawa Shell fuelsave menawarkan penjimatan maksimum bagi nilai wang yang sama.

Pengisian petrol RM60.00 mampu bertahan selama 4 hari (perjalanan 98 km/hari), berbanding Petronas dan Esso (3 hari). Begitupun, dari segi kuasa enjin (penukaran gear dan pick-up) saya dapati lebih baik sewaktu menggunakan minyak Petronas dan Esso berbanding Shell. Namun, bagi pemandu berhemah macam saya, isu pick-up tidak mengatasi isu penjimatan kos bahan api.

Diharapkan info yang diberi dapat membantu pemilik Toyota Rush yang ingin buat servis kereta dan anda semua juga.

Melihat apakah KUALITI seorang pemimpin

Soal kepimpinan dan pemilihan pemimpin merupakan salah satu aspek yang amat dititikberatkan di sisi Islam. Ini kerana pemimpin itu akan memikul amanah, dan amanah tersebut tidaklah diberi tanpa dipersoal mahupun tanpa dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Azza Wajal di hari akhirat nanti.

Bercakap mengenai hasrat dan keinginan seseorang untuk menjadi pemimpin ini (tidak kiralah di peringkat mana dan di sektor apa pun), teringat saya kepada satu Hadith Nabi SAW, yang diriwayatkan oleh al-Iman Muslim, iaitu berkenaan permintaan seorang sahabat Nabi yang soleh lagi disayangi Nabi, Abu Dzar yang meminta jawatan kepada Baginda.

Lalu Nabi SAW bersabda:

"Aku bertanya: "Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?". Baginda menepuk bahuku dan bersabda: "Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya". (Riwayat Muslim).

Sesungguhnya Baginda Nabi SAW begitu teliti dan cermat di dalam pemilihan pemimpin yang berkelayakan dan kuat (mampu  menunaikan tanggungjawab), sehinggakan sahabat yang soleh lagi disayangi Baginda pun tidak terpilih setelah tidak memenuhi "syarat".


Indahnya Islam adalah kerana Al-Qur'an telah diutus bagi memberikan landasan panduan untuk manusia mengkaji dan berfikir. Aspek kepimpinan ini juga telah dinyatakan melalui firman Allah SWT di dalam Surah al-Maidah, ayat 55:


Yang bermaksud: 
"Sesungguhnya pemimpin kamu ialah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (memikul tanggungjawab kepada Allah).

Pada ayat di atas, Allah telah mendatangkan kepada kita suatu "garis panduan" serta ciri-ciri sebenar seseorang pemimpin kepada orang-orang mukmin.

Tentunya, pemimpin sebenar lagi terunggul bagi seluruh umat dan alam buana ini adalah Allah Azza Wajal yang menciptakan seluruh alam. 

Dia yang Maha Pencipta sudah pasti lagi Maha Mengetahui akan kehendak, kemahuan, kekuatan serta kelemahan diri insan ini. Justeru, apa jua panduan serta aturan yang telah Allah tetapkan di dalam Al-Qur'an adalah merupakan sebaik-baik aturan dan yang paling kena dengan tabiat dan perlakuan hidup manusia.

Kemudian, diikuti oleh golongan para Nabi dan Rasul yang diangkat sebagai kelompok pemimpin yang terbaik, terpuji dengan dibimbing secara langsung oleh Allah dan melalui ajaran yang terkandung dalam setiap kitab-Nya. 

Para Nabi dan Rasul jualah yang menguasai ilmu dan mengajar serta menyampaikannya kepada umat manusia. Ilmu mereka amat luas, meliputi ilmu dunia dan akhirat. Tiada dari kalangan manusia yang selain Nabi dan Rasul ini yang dapat melangkaui pengetahuan berkaitan alam ghaib dan alam akhirat, melainkan para Rasul Allah ini.

Pemimpin seterusnya adalah mereka-mereka yang muncul dan diangkat dari kalangan orang-orang yang beriman, dengan kualiti-kualiti tertentu sebagaimana telah dijelaskan pada ayat di atas.


Kualiti pertama, mereka (pemimpin itu) adalah orang-orang yang menjaga solat mereka. "Jaga solat" ini bukan sekadar tahu mengenai solat, malah seseorang pemimpin itu memiliki kemampuan untuk memberi panduan di dalam aspek berkaitan persoalan solat juga.

Seorang pemimpin yang berkualiti itu, solat mereka dalam erti kata yang sebenar adalah, suatu bentuk ibadat bagi mengabdikan diri serta mentaati perintah Allah (amal maaruf), dan juga berfungsi sebagai perisai yang membentengi (mencegah) berlakunya amalan keji dan merosakkan (nahi mungkar)

Dan bukannya menjadi pemimpin yang hanya menjaga solatnya, sedangkan tidak mencegah penularan perkara-perkara yang mungkar lagi merosakkan umat. Tambah malang lagi, jika pemimpin itu sendiri pula turut bersekongkol menganjurkan kemungkaran dan menghalalkan yang haram sekiranya "berlesen".

Manakala kualiti kedua bagi pemimpin orang-orang mukmin adalah mereka-mereka yang menunaikan zakat. Istilah "Zakat" di sini tidaklah sekadar meliputi pengeluaran zakat fitrah, tetapi turut merangkumi kesanggupan mereka (pemimpin) untuk mengeluarkan sebahagian dari hartanya bagi memenuhi keperluan dan kepentingan orang lain (rakyat).

Dan bukannya apabila diangkat menjadi pemimpin, mereka pula yang bertukar menjadi lebih rakus di dalam menggunakan kuasa (sebagai pemimpin), dengan membolot dan merompak segala macam hasil dan harta kekayaan negara bagi memuaskan nafsu haloba dirinya, keluarganya mahupun kroninya, melalui pelbagai cara dan penyelewengan.

Kualiti ketiga yang dinyatakan adalah pentingnya pemimpin bagi orang-orang mukmin itu tunduk (ruku') kepada peraturan Allah

Bukanlah dinamakan pemimpin bagi orang-orang mukmin sekiranya mereka enggan beriman (berhukum) dengan hukum dan aturan Allah. Tambah malang lagi, sekiranya wujud pemimpin-pemimpin golongan Islam hari ini yang telah dengan angkuh menafikan aturan dan ingatan Allah Taala, malah mengagungkan pula aturan ciptaan manusia yang lemah dan banyak kekurangan.

Sebagai penutup, eloklah kita sekalipun bukanlah pemimpin kepada sekumpulan manusia lain, masih berperanan sebagai pemimpin buat diri sendiri dan ahli keluarga. Latihlah diri dengan amal kebaikan dan hindarkan amalan serta perbuatan yang boleh menjerumuskan diri ke dalam jurang kebinasaan. 


Bersama kita hayati Firman Allah di dalam Surah al-Isra, ayat 14-15:


Yang bermaksud: 
"Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu itu sebagai penghitung terhadapmu."

"Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan orang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain dan kami tidak mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul."


Allah lebih mengetahui. Moga beroleh manfaat!

-----------------
Nota: 

Penulisan ini diinspirasikan daripada naskah yang ditulis oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (1996). Janji-janji Allah. Terbitan Dewan Muslimat Sdn. Bhd. <---kalau boleh dicari, carilah (bukan buku politik), dan kalau jumpa, belilah dan baca. Rasanya payah dah nak jumpa.

Sunday, 29 July 2012

Mari kita lihat kos-kos untuk menjadi IRONMAN (Grafik)

Dipetik dari: Blogserius


Lepas Batman.. Iron Man pulak

Tempohari kami telah paparkan kos untuk seorang individu menjadi adiwira Batman. Nyata sekali hanya seorang Billionaire sahaja yang mampu menjadi Batman. Rakyat marhaen seperti kita semua cuma mampu dan layak jadi Adiwira Papan Kekunci sahaja. Hari ini mari lihat apakah kos untuk menjadi seorang Iron Man? Adakah anda menampilkan karakteristik seperti Tony Stark yang super-kaya, playboy dan genius? Jom, kita terjah!! 




Laporan asal MoneySupermarket

INS Vikramaditya : Kapal Pengangkut Pesawat Terkini India (foto)

Dipetik dari: blogserius


Power

Selain China, India juga sedang meningkatkan keupayaan ketenteraan mereka. Sebagaimana China, India juga turut membeli pesawat pengangkut bekas Soviet untuk digunakan oleh tentera laut mereka. INS Vikramaditya ialah kapal pengangkut pesawat terkini milik India dan ianya merupakan pesawat pengangkut pesawat kedua milik mereka. INS Vikramaditya memulakan hayatnya sebagai Admiral Gorshkov, sebuah kapal pengangkut helikopter milik Kesatuan Soviet. Ia beroperasi dari 1987 hingga 1996 sebelum dinyah-atifkan kerana masalah kewangan Kesatuan Russia yang kronik. Setelah terbiar untuk sekian lama, Admiral Gorshkov diberi kepada India secara percuma dengan beberapa syarat.

Syaratnya ialah India akan membayar USD800 juta untuk proses naik taraf dan modifikasi Admiral Gorshkov untuk keperluan tentera laut India. India juga harus membeli pesawat dan sistem eletronik milik Russia bernilai USD 1 Billion. Sebanyak 12 biji MIG-29K dan 6 helikopter Kamov Ka-31 Helix akan menjadikan INS Vikramaditya sebagai pengkalan terapung mereka.

Setelah menjalani proses modifakasi dan pemodenan, INS Vikramaditya dijangka akan mula beroperasi Disember depan setelah empat tahun tertangguh akibat masalah kewangan dan politik. Apabila ianya beroperasi kelak, INSVikramaditya bakal menjadi kapal yang menjadi kebanggaan bukan sahaja tentera laut India, tetapi rakyat India.






Laporan asal MilitaryPhoto

Saturday, 28 July 2012

Seandainya APPLE mencipta produk harian (foto menarik)

Dipetik dari: Blogserius


i whatever

Apakah akan terjadi jika semua benda kegunaan harian kita direka oleh Apple? Adakah anda sanggup menggunakan i-everything dalam hidup anda? Me? Aku hanpir semua device aku dah Samsung, so kalau semua benda rekaan Apple is not such a bad thing no?



Laporan asal Get Up Support NYC

Friday, 27 July 2012

UPDATED: Aduan Longgokan Sampah (terbit di Sinar)

Alhamdulillah dan berbanyak terima kasih buat wartawan Nor Azihan, dari Skuad Sinar Harian Klang di atas kepantasan menyiarkan aduan yang dibuat petang semalam. 

Harapnya akan ada tindakan yang positif diambil selepas ini.


Terkenang daku: Bonus raya & PKFZ

Minggu lepas saya ke Setia City Mall bagi menemani orang rumah yang hendak berurut kakinya yang sakit di Thai Odyssey. Bersebelahan "rumah urut" terletak kedai buku MPH.

Bagi mengisi masa terluang, berkampunglah saya lebih kurang 1 jam di dalam kedai buku sambil melihat-lihat koleksi buku-buku yang dipamerkan.

Lazimnya saya hanya melihat rak-rak buku yang hampir dengan pintu masuk kerana "best sellers" dan buku baru lazimnya dipromosikan di situ. Kali ini (sebab banyak masa), saya meronda-ronda ke dalam kedai ke semua seksyen.

Selain mendapatkan buku buat Mawaddah saya terjumpa satu seksyen berkenaan politik dan kemasyarakatan. Banyak buku politik, motivasi dan penulisan berkaitan isu-isu semasa, sosio ekonomi dan politik dijual (dalam hati - setelah sekian lama, kini baru aku tahu).

Memandangkan tidak membawa banyak tunai maka saya mengambil keputusan membeli buku yang OK, tapi berharga murah agar saya dapat membeli lebih buku (quantity and value for money). 

Selain buku Mawaddah, dua buah buku untuk saya, masing-masing berharga RM15 telah dibeli iaitu 1) Lim Kit Siang PKFZ - Mother of all scandals, dan 2) Menjawab buku "Menuju PAS Baru" karya Ridhuan Md Nor.

Kebetulan sungguh trip kali ini membeli buku-buku yang dikarang oleh pemimpin pembangkang. Namun, apakan daya, pemimpin UMNO-BN seperti Abang Bung dan MP Sri Gading masih belum menghasilkan karya buat pembaca buku seperti saya. 

Barangkali Abang Bung mungkin sibuk menjaga 2 isterinya dan Nazri Sri Gading pula mungkin sibuk mencari "petualang untuk digantung". Barangkali...

Di sini saya ingin kongsikan sedikit info yang tidak berkaitan secara langsung tetapi barangkali boleh dijadikan renungan bersama. Begini...

1) Di dalam bukunya, Kit Siang menjelaskan bahawa PKFZ asalnya merupakan sebuah projek yang dipacu swasta bernilai RM1b, tanpa melibatkan se-sen pun wang kerajaan (projek swasta). Namun, ianya terus ditimpa pelbagai masalah sehingga kerajaan akhirnya terpaksa masuk campur (step-in) dan kos projek terus "membelon" kepada RM8b dan terakhir kepada RM12.5b (rujuk Kit Siang).

(google image)

2) Dua-tiga hari lepas YB Perdana Menteri 1Malaysia Janji Ditepati telah dengan baik hati menghadiahkan Bonus Raya setengah bulan gaji atau minimum RM500 buat semua kakitangan awam, dengan kos keseluruhan RM2.2b.

RM2.2 b = 0.5 bulan gaji.
RM4.4 b = 1.0 bulan gaji. (sifir mudah)


3) Saya tiba-tiba terfikir (bukan sengaja tau), membayangkan sekiranya kerajaan kita tidak masuk campur di dalam projek dipacu swasta (private-driven) PKZF yang sehingga kini dianggarkan berkos RM12.5b, MUNGKIN kakitangan awam mampu menikmati pembayaran bonus lebih tinggi. 

Bagaimana?

RM12.5b (kos semasa, mungkin meningkat lagi)
RM12.5b - RM1b (kos awal oleh private) = RM11.5b duit kerajaan tidak keluar.

Bonus 1.0 bulan = RM4.4b.
Bonus 2.0 bulan = RM8.8b.
Bonus 3.0 bulan = RM13.2b

Bonus dan PKFZ:

RM13.2b (bonus 3 bulan) - RM11.5b ('belon' PKFZ) = RM1.7b.

Maknanya, berbanding pengumuman YB Perdana Menteri yang kerajaan perlu membelanjakan RM2.2b untuk bonus kali ini, MUNGKIN, tanpa campur tangan ke dalam skandal PKFZ, kerajaan hanya perlu belanjakan RM1.7b DI SAMPING 3 bulan bonus buat semua kakitangan awam.....


Katakan gaji pokok seorang pegawai itu RM4,000/bulan.
Andai diberi bonus 3 bulan; RM4,000 x 3 bulan = RM12,000 @ bersamaan RM1,000/bulan.
Nilai RM1,000 rasanya cukup untuk cover loan sebuah kereta baru.


Tidak perlulah menunggu "janji manis" PR untuk menurunkan harga kenderaan jika menang PRU... 

Sekali lagi diingatkan, tiada kaitan PKFZ dengan pemberian bonus, cuma saya menilainya dari segi penjimatan RM yang kerajaan boleh lakukan sekiranya "beringat-ingat dahulu", kerana hasil penjimatan itu boleh menampung "kesenangan di hari kemudian". Itu sahaja point saya.

Tapi, kita telah diasuh dan diajar supaya bersyukur. Maka kenalah kita bersyukur dengan apa yang diberikan...

Alhamdulillah.

Aduan: Longgokan sampah HARAM di pinggir jalan (foto sampah)

Hati siapa yang tidak sayu dan marah melihat habis lengan, kaki dan muka anak kecil digigit nyamuk, yang entah dari mana datangnya.

Diperiksa segenap pelusuk rumah, atas atap, laman depan dan belakang, semuanya kering dan tiada air bertakung. 

Jiran? Mungkin, sebab jiran sebelah kanan ada kolam "air terjun" tetapi penghuninya tidak menetap di sini, hanya datang di hujung minggu bagi menyiram pohon-pohon bunganya. Jiran di belakang pula nampak semakin meriah daun-daun pohon pandannya.

Tapi itu mungkin sebahagian daripada faktor yang menyumbang kepada isu peningkatan jumlah nyamuk yang melampau ini. Sebelum inipun bukannya tiada nyamuk, cuma sejak kebelakangan ini (3 minggu sudah) bilangan nyamuk dan serangannya makin menjadi-jadi ganasnya.

Dua kali kami adukan permasalahan ini kepada pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) (untuk minta khidmat "fogging" nyamuk), tetapi sehingga sekarang belum ada sebarang perkembangan positif.

Setelah pulang ke rumah dan keluar sebentar untuk membayar zakat fitrah di Surau baru Taman Aman Perdana, mata saya terpandang panorama berikut:




Lantas saya hubungi Skuad Sinar Harian kawasan Klang melalui telefon, sebelum kemudiannya menyerahkan foto-foto yang sempat saya rakamkan, selain butiran lanjut kepadanya melalui email. 

Email kedua juga turut saya panjangkan kepada pihak MPK dengan harapan "salah satu akan mengena". Kalaupun MPK lewat menjalankan siasatan dan tindakan, sekurang-kurangnya wartawan Sinar Harian dapat mengambil berita ini.

Kami penduduk di sini cuma inginkan pihak yang berwajib segera bertindak ke atas aduan yang dibuat. Kalau lewat kerana tiada aduan itu saya masih boleh menerimanya sebagai alasan. Tetapi setelah diadu dan dilampirkan segala bukti, sewajarnya pihak yang berkenaan "turun padang" dan melihat permasalahan yang dihadapi rakyat.

Kepada anda di luar sana yang mungkin mempunyai aduan - tentang masalah alam sekitar, sosial dan sebagainya, gunakanlah hak dan ruang yang diperuntukkan untuk mengadu. Jangan takut jika ingin merasa perubahan.

Wassalam.

Wednesday, 25 July 2012

Lain padang lain belalang: Upacara berkhatan kaum Kurdish (foto)

Dipetik dari: blogserius


Edukesyenel!

Berkhatan ialah rights of passage bagi seorang lelaki muslim. Berkhatan menandakan seorang budak lelaki sudah bersedia untuk memasuki alam dewasa. Kita semua sedia maklum di Malaysia ada beberapa perkara unik yang dilakukan oleh orang Melayu apabila upacara khatan dilakukan. Antaranya ialah upacara rendam di dalam air dan duduk di atas batang pisang ketika tok mudim melakukan "kerja". Sejak kebelakangan ini perkara yang disebutkan tadi telah tidak lagi diamalkan kerana ternyata ianya useless. Tok Mudim pun sudah moden dan tidak memerlukan budak lelaki berendam atau berbaring di atas batang pisang ketika dikhatankan.

Mari kita melihat bagaimana upacara khatan dilakukan dan diraikan oleh kaum Kurdish di Kazakhstan. Tidak seperti adat istiadat Melayu, upacara khatan kaum Kurdish siap dengan upacara tarian dan nyanyian sehari sebelum budak lelaki dikhatankan. Beberapa ekor kambing turut dikorbankan pada hari keraian. Pada hari khatan itu sendiri si bapa akan bersolat dahulu bagi meminta upacara khatan anaknya selamat. Selepas itu semangkuk air gula diletakkan pada tingkap bilik upacara khatan akan dilakukan bagi memastikan tiada makhluk halus akan menjenguk tingkap. Akhir sekali, kaum wanita di dalam rumah harus membasuh kaki mereka di dalam sebuah baldi bagi menyucikan diri. Jika kaki kaum wanita rumah itu bersih adalah dipercayai acara khatan akan menjadi lebih lancar. Di akhir majlis, budak yang dikhatankan itu tadi akan menerima hadiah (lazimnya wang) dari saudara-mara yang hadir.





Laporan asal VoxPopuli

Hobi unggul - rumah kecil (miniature houses)

Istilah "Unggul" ini saya pinjam daripada Bapak Oli, pengajar dari Universiti Ponogoro, Semarang, Indonesia, sewaktu saya bertemunya lewat 2 minggu yang sudah...waduhh, berbatik Jawa sekali ya Pak!

Bapak Oli mengistilahkan produk hasilan warga desa sebagai "produk unggul" bagi melambangkan keunikan dan keistimewaan sesuatu hasilan itu.

Justeru, saya terapkan aspek "keunggulan" itu ke dalam konteks hobi yang saya kira agak istimewa bagi saya - iaitu hobi unggul mengumpul rumah-rumah kecil (miniature houses).

Namun, hobi tersebut telah lama saya dan isteri hentikan setelah pulang ke tanah air. 

Begitupun, jumlah rumah kecil yang berjaya dikumpul setakat ini sudah agak banyak, melangkau 150 buah. Itupun setelah ditolak rumah-rumah kecil yang kami hadiahkan kepada kaum-keluarga terdekat sebagai "tanda-mata" dari kami.

Saya tidak larat membuka kotak-kotak, dan mengeluarkan kesemua rumah kecil ini untuk dibuat inventori memandangkan ketiadaan ruang untuk mempamerkannya. InsyaAllah jika memiliki ruang yang sedikit selesa kelak, bolehlah dikeluarkan dari stor.

Saya suka dan asyik memerhatikan kehalusan dan ketelitian hasil kerja (tangan, saya kira) para pereka rumah-rumah kecil ini. 

Bagi saya yang tidak berseni ini, memang terketar-ketarlah tangan dan boleh juling mata, hanya untuk siapkan dinding batu-bata itu. Belum lagi diambilkira ketelitian dan kreativiti di dalam mewarna hasil karya secara individu

... Patutlah harga setiap satu rumah kecil yang baru boleh tahan juga mahalnya.

Rasa saya banyak juga rumah kecil ini rosak, retak dan pecah semasa transit barang tempoh hari. Sedih juga mengenangkan sukarnya kami mencarinya setiap kali berpeluang ke carboot sale waktu itu.

Di bawah, beberapa foto rumah kecil yang "tersesat kotak" dan telah saya letakkan ia di atas rak buku di bilik (sebab malas nak bukak balik kotak kat dalam stor). Dipersilakan enjoyceee...!