Friday, 27 July 2012

Aduan: Longgokan sampah HARAM di pinggir jalan (foto sampah)

Hati siapa yang tidak sayu dan marah melihat habis lengan, kaki dan muka anak kecil digigit nyamuk, yang entah dari mana datangnya.

Diperiksa segenap pelusuk rumah, atas atap, laman depan dan belakang, semuanya kering dan tiada air bertakung. 

Jiran? Mungkin, sebab jiran sebelah kanan ada kolam "air terjun" tetapi penghuninya tidak menetap di sini, hanya datang di hujung minggu bagi menyiram pohon-pohon bunganya. Jiran di belakang pula nampak semakin meriah daun-daun pohon pandannya.

Tapi itu mungkin sebahagian daripada faktor yang menyumbang kepada isu peningkatan jumlah nyamuk yang melampau ini. Sebelum inipun bukannya tiada nyamuk, cuma sejak kebelakangan ini (3 minggu sudah) bilangan nyamuk dan serangannya makin menjadi-jadi ganasnya.

Dua kali kami adukan permasalahan ini kepada pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) (untuk minta khidmat "fogging" nyamuk), tetapi sehingga sekarang belum ada sebarang perkembangan positif.

Setelah pulang ke rumah dan keluar sebentar untuk membayar zakat fitrah di Surau baru Taman Aman Perdana, mata saya terpandang panorama berikut:




Lantas saya hubungi Skuad Sinar Harian kawasan Klang melalui telefon, sebelum kemudiannya menyerahkan foto-foto yang sempat saya rakamkan, selain butiran lanjut kepadanya melalui email. 

Email kedua juga turut saya panjangkan kepada pihak MPK dengan harapan "salah satu akan mengena". Kalaupun MPK lewat menjalankan siasatan dan tindakan, sekurang-kurangnya wartawan Sinar Harian dapat mengambil berita ini.

Kami penduduk di sini cuma inginkan pihak yang berwajib segera bertindak ke atas aduan yang dibuat. Kalau lewat kerana tiada aduan itu saya masih boleh menerimanya sebagai alasan. Tetapi setelah diadu dan dilampirkan segala bukti, sewajarnya pihak yang berkenaan "turun padang" dan melihat permasalahan yang dihadapi rakyat.

Kepada anda di luar sana yang mungkin mempunyai aduan - tentang masalah alam sekitar, sosial dan sebagainya, gunakanlah hak dan ruang yang diperuntukkan untuk mengadu. Jangan takut jika ingin merasa perubahan.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment