Tuesday, 31 July 2012

Melihat apakah KUALITI seorang pemimpin

Soal kepimpinan dan pemilihan pemimpin merupakan salah satu aspek yang amat dititikberatkan di sisi Islam. Ini kerana pemimpin itu akan memikul amanah, dan amanah tersebut tidaklah diberi tanpa dipersoal mahupun tanpa dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Azza Wajal di hari akhirat nanti.

Bercakap mengenai hasrat dan keinginan seseorang untuk menjadi pemimpin ini (tidak kiralah di peringkat mana dan di sektor apa pun), teringat saya kepada satu Hadith Nabi SAW, yang diriwayatkan oleh al-Iman Muslim, iaitu berkenaan permintaan seorang sahabat Nabi yang soleh lagi disayangi Nabi, Abu Dzar yang meminta jawatan kepada Baginda.

Lalu Nabi SAW bersabda:

"Aku bertanya: "Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?". Baginda menepuk bahuku dan bersabda: "Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya". (Riwayat Muslim).

Sesungguhnya Baginda Nabi SAW begitu teliti dan cermat di dalam pemilihan pemimpin yang berkelayakan dan kuat (mampu  menunaikan tanggungjawab), sehinggakan sahabat yang soleh lagi disayangi Baginda pun tidak terpilih setelah tidak memenuhi "syarat".


Indahnya Islam adalah kerana Al-Qur'an telah diutus bagi memberikan landasan panduan untuk manusia mengkaji dan berfikir. Aspek kepimpinan ini juga telah dinyatakan melalui firman Allah SWT di dalam Surah al-Maidah, ayat 55:


Yang bermaksud: 
"Sesungguhnya pemimpin kamu ialah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (memikul tanggungjawab kepada Allah).

Pada ayat di atas, Allah telah mendatangkan kepada kita suatu "garis panduan" serta ciri-ciri sebenar seseorang pemimpin kepada orang-orang mukmin.

Tentunya, pemimpin sebenar lagi terunggul bagi seluruh umat dan alam buana ini adalah Allah Azza Wajal yang menciptakan seluruh alam. 

Dia yang Maha Pencipta sudah pasti lagi Maha Mengetahui akan kehendak, kemahuan, kekuatan serta kelemahan diri insan ini. Justeru, apa jua panduan serta aturan yang telah Allah tetapkan di dalam Al-Qur'an adalah merupakan sebaik-baik aturan dan yang paling kena dengan tabiat dan perlakuan hidup manusia.

Kemudian, diikuti oleh golongan para Nabi dan Rasul yang diangkat sebagai kelompok pemimpin yang terbaik, terpuji dengan dibimbing secara langsung oleh Allah dan melalui ajaran yang terkandung dalam setiap kitab-Nya. 

Para Nabi dan Rasul jualah yang menguasai ilmu dan mengajar serta menyampaikannya kepada umat manusia. Ilmu mereka amat luas, meliputi ilmu dunia dan akhirat. Tiada dari kalangan manusia yang selain Nabi dan Rasul ini yang dapat melangkaui pengetahuan berkaitan alam ghaib dan alam akhirat, melainkan para Rasul Allah ini.

Pemimpin seterusnya adalah mereka-mereka yang muncul dan diangkat dari kalangan orang-orang yang beriman, dengan kualiti-kualiti tertentu sebagaimana telah dijelaskan pada ayat di atas.


Kualiti pertama, mereka (pemimpin itu) adalah orang-orang yang menjaga solat mereka. "Jaga solat" ini bukan sekadar tahu mengenai solat, malah seseorang pemimpin itu memiliki kemampuan untuk memberi panduan di dalam aspek berkaitan persoalan solat juga.

Seorang pemimpin yang berkualiti itu, solat mereka dalam erti kata yang sebenar adalah, suatu bentuk ibadat bagi mengabdikan diri serta mentaati perintah Allah (amal maaruf), dan juga berfungsi sebagai perisai yang membentengi (mencegah) berlakunya amalan keji dan merosakkan (nahi mungkar)

Dan bukannya menjadi pemimpin yang hanya menjaga solatnya, sedangkan tidak mencegah penularan perkara-perkara yang mungkar lagi merosakkan umat. Tambah malang lagi, jika pemimpin itu sendiri pula turut bersekongkol menganjurkan kemungkaran dan menghalalkan yang haram sekiranya "berlesen".

Manakala kualiti kedua bagi pemimpin orang-orang mukmin adalah mereka-mereka yang menunaikan zakat. Istilah "Zakat" di sini tidaklah sekadar meliputi pengeluaran zakat fitrah, tetapi turut merangkumi kesanggupan mereka (pemimpin) untuk mengeluarkan sebahagian dari hartanya bagi memenuhi keperluan dan kepentingan orang lain (rakyat).

Dan bukannya apabila diangkat menjadi pemimpin, mereka pula yang bertukar menjadi lebih rakus di dalam menggunakan kuasa (sebagai pemimpin), dengan membolot dan merompak segala macam hasil dan harta kekayaan negara bagi memuaskan nafsu haloba dirinya, keluarganya mahupun kroninya, melalui pelbagai cara dan penyelewengan.

Kualiti ketiga yang dinyatakan adalah pentingnya pemimpin bagi orang-orang mukmin itu tunduk (ruku') kepada peraturan Allah

Bukanlah dinamakan pemimpin bagi orang-orang mukmin sekiranya mereka enggan beriman (berhukum) dengan hukum dan aturan Allah. Tambah malang lagi, sekiranya wujud pemimpin-pemimpin golongan Islam hari ini yang telah dengan angkuh menafikan aturan dan ingatan Allah Taala, malah mengagungkan pula aturan ciptaan manusia yang lemah dan banyak kekurangan.

Sebagai penutup, eloklah kita sekalipun bukanlah pemimpin kepada sekumpulan manusia lain, masih berperanan sebagai pemimpin buat diri sendiri dan ahli keluarga. Latihlah diri dengan amal kebaikan dan hindarkan amalan serta perbuatan yang boleh menjerumuskan diri ke dalam jurang kebinasaan. 


Bersama kita hayati Firman Allah di dalam Surah al-Isra, ayat 14-15:


Yang bermaksud: 
"Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu itu sebagai penghitung terhadapmu."

"Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan orang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain dan kami tidak mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul."


Allah lebih mengetahui. Moga beroleh manfaat!

-----------------
Nota: 

Penulisan ini diinspirasikan daripada naskah yang ditulis oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (1996). Janji-janji Allah. Terbitan Dewan Muslimat Sdn. Bhd. <---kalau boleh dicari, carilah (bukan buku politik), dan kalau jumpa, belilah dan baca. Rasanya payah dah nak jumpa.

No comments:

Post a Comment