Friday, 16 November 2012

PASTI, Endowment & Pendidikan Cina

Sekalipun saya bukanlah orang PAS akan tetapi keluhan yang dilontarkan berkenaan Pusat Asuhan Islam (PASTI) di bawah kendalian PAS sedikit sebanyak menyentuh hati saya sebagai seorang pendidik anak bangsa.

Laporan yang berkait dengan PASTI sebagaimana diutarakan wakil Muslimat Johor boleh anda lihat pada rajah dan pautan berita lanjut di bawah ini:

Berita sepenuhnya boleh dibaca di sini: KLIK

Adalah sesuatu yang mendukacitakan apabila mendapat tahu bahawa di sebalik laungan "berkebajikan" yang sering digembar-gemburkan oleh pimpinan PAS di pelbagai peringkat itu, menurut wakil Muslimat yang sudah 25 tahun bergiat dalam PASTI turut mengakui sehingga ke saat ini beliau tidak nampak wujudnya usaha terutama untuk menyediakan caruman kepada tenaga pengajar yang terlibat dengan PASTI.

Janganlah menurut kata pepatah "yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran" - janganlah hanya melihat segalanya akan baik (feel good) hanya setelah berkuasa di Putrajaya, sedangkan cabaran yang depan mata-pun belum tentu berjaya diatasi. 

Ambillah iktibar dan motivasi melalui pepatah "sikit-sikit, lama-lama jadi bukit" - biarpun dilihat kecil sahaja isu PASTI ini berbanding agenda menawan Putrajaya, jikalau mampu diselesaikan secara berhemat, tentu boleh memberikan impak yang besar terutama terhadap persepsi pendokong PAS terhadap pimpinan parti di dalam menterjemah agenda 'berkebajikan'.

Saya tidak boleh memberikan pandangan menerusi kacamata orang PAS dan pentadbir dalam PASTI kerana mereka jualah yang lebih layak dan maklum akan punca kebuntuan terhadap penyelesaian bagi isu ini. Apapun, yang boleh saya kongsikan serba-sedikit pandangan ada disebabkan sebelum ini saya telah menulis beberapa artikel yang mungkin berkaitan dengan isu pemerkasaan proses pendidikan.

Kempen Alumni PASTI

Artikel berkaitan yang telah saya tulis: Budaya Endowment (klik tajuk untuk baca lanjut)


Saya yakin PASTI sudah lama diwujudkan oleh PAS dengan satu hasrat yang murni. Dan sudah tentunya PASTI telah berjaya melahirkan ramai 'graduan' atau bekas pelajar yang kini telah menempa kejayaan di pelbagai bidang.

Justeru, di sinilah muncul keperluan bagi pihak PAS dan PASTI sendiri (selepas Muktamar) untuk menggerakkan KEMPEN mengajak ALUMNI PASTI agar mereka kembali menabur jasa kepada institusi yang dahulunya membantu mereka membentuk sahsiah diri dan memberikan ilmu untuk kehidupan sehingga mereka menjadi orang yang berjaya hari ini.

Inilah ketikanya puluhan ribu Alumni PASTI tampil membantu memperkukuhkan dana bagi meneruskan survival badan pendidikan ini. Tentulah di antara sumbangan yang diperlukan ialah sumber kewangan di samping lain-lain bentuk bantuan, wakaf atau derma.

Inilah model endowment fund sepertimana yang telah saya kupas pada artikel saya di atas, yang mungkin boleh diubahsuai berpandukan keadaan dan senario semasa di PASTI. 

Inilah satu bentuk internal empowerment (pengupayaan dalaman) di mana sumbangan alumni itulah yang menepati ciri-ciri "berkebajikan" tanpa perlu banyak bergantung kepada "wang rakyat". Selain itu, ia juga mampu membajai perasaan sense of belonging and sense of ownership - iaitu mewujudkan attachment di antara institusi dengan bekas pelajarnya.

Saya yakin sekiranya "yang sikit-sikit ini dipandang serius, ianya boleh diselesaikan dan menjadi bualan besar" di kalangan penyokong PAS.

Model Orang Cina Wujudkan Dana Pendidikan Komuniti

Artikel yang diterbitkan oleh akhbar Sinar Harian dimulakan dengan ayat "pelik tapi benar". Bagi saya, ianya tidak pelik langsung, cumanya masyarakat Melayu-Islam kita sahaja yang masih belum mampu untuk sampai ke tahap tersebut. Sedangkan kaum Cina (seperti laporan SH) sudah lebih 40 tahun mendahului kita di dalam membina pendidikan komuniti berpandukan kaedah "internal empowerment".

Perhatikan rajah di bawah. Boleh baca lanjut pada pautan yang diberikan.

Berita sepenuhnya boleh dibaca di sini: KLIK

Tanpa syak lagi, inilah model yang perlu dipelajari dan diambil iktibar seterusnya disesuaikan dengan permasalahan yang sedang membelenggu PASTI. 

Kerjasama secara "win-win" di antara (1) persatuan agama (kariah, kalau dalam Islam), (2) seluruh ahli dalam kampung dan (3) pengusaha syarikat ais bukan sahaja berjaya memperkukuh hubungan baik peniaga dan masyarakat, bahkan mewujudkan platform yang kukuh ke arah survival dan memperkasa sistem pendidikan sekolah Cina dalam komuniti mereka.

Konsep yang mereka gunapakai juga hampir sama dengan "endowment fund" iaitu mewujudkan "tabung dana pendidikan" yang diurus oleh organisasi (kariah). 

Lihat cadangan saya mengenai fungsi Kariah seperti di atas

Dana yang dikumpul ini juga tidak melibatkan "wang rakyat" tetapi berupaya mewujudkan sense of belonging and sense of ownership ketiga-tiga pihak yang terlibat. Memupuk rasa sayang kepada sekolah dan tempat mereka menyediakan pendidikan kepada anak-anak mereka.

Justeru, persoalannya di sini: Apa yang kurangnya pada orang Islam? Tambahan pula jika memperkatakan PAS itu sebagai parti yang 'berkebajikan'?

Jikalau saya ini penyelidik jurusan pendidikan, akan saya ke kampung tersebut dan mempelajari model pendidikan komuniti mereka, mendokumentasikan dan dibawa kepada pemimpin yang berkaitan untuk dibahas dan diperhalusi kesesuaiannya. 

Setiap tahun kita bercakap, lama-lama masyarakat akan naik muak juga kerana hasilnya kurang ketara nampak (retorik). Kini adalah masanya untuk pemimpin menampilkan usaha - mengeluarkan produk hatta yang berbentuk laporan teknikal dan cadangan sekalipun. 

Malulah kita orang Islam yang diingatkan secara khusus akan surah pertama yang diturunkan Allah kepada Nabi SAW - IQRA' masih tidak boleh meneroka contoh-contoh yang baik yang bertebar di serata alam ini untuk kita pelajari dan ambil iktibar. 

Jika komuniti Cina di perkampungan nelayan ini berjaya membina dan mengaplikasikan model yang sudah terbukti berkesan ini, mengapa tidak kita manfaatkan peluang ini untuk mengkaji dan memenuhi semangat IQRA'?

Sekian.

No comments:

Post a Comment