Thursday, 18 October 2012

Renungan Jumaat: Mendekati al-Sunnah

Siri 1: Sunnah & Kepentingannya

Definisi Sunnah

Dari segi bahasa Arab, perkataan sunnah bermaksud tariqah atau sirah, iaitu jalan.

Adapun dari segi istilah para ulama hadith (al-muhaddithin) apabila disebut perkataan sunnah mereka maksudkan al-hadith. Dengan itu, 2 perkataan ini (sunnah dan hadith) di sisi ulama hadith bermaksud: Apa yang disandarkan kepada Rasulullah SAW sama ada perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat tubuh, sifat akhlak, sama ada sebelum diutuskan atau selepas diutuskan.

Berdasarkan takrif yang dinyatakan ini, maka kita lihat hadith atau sunnah terbahagi kepada 5:

1) Perkataan Rasulullah SAW yang dinamakan dalil qauli atau sunnah qauliyyah. Perkataan baginda dinamakan hadith atau sunnah. Bahkan hadith, atau sunnah dalam bentuk inilah yang terbanyak. Contoh-contohnya ialah sabda-sabda baginda.

2) Perbuatan Rasulullah SAW yang dinamakan hadith fi'li atau sunnah fi'liyyah. Dalam hadith-hadith Nabi SAW, kadang-kala tidak ada di dalamnya perkataan baginda, tetapi terkandung perbuatan atau tindakan baginda yang diriwayatkan oleh para sahabat. Ini juga dinamakan hadith atau sunnah. Sebagai contoh:

Daripada Anas, katanya:
"Rasulullah SAW mendengar tangisan bayi yang bersama ibunya ketika baginda sedang dalam solatnya. Maka baginda pun membaca surah yang ringan atau pendek."

Dalam hadith Anas bin Malik mencerita mengenai tindakan Nabi SAW menyegerakan solat apabila mendengar tangisan bayi. Dalam hadith ini tidak terkandung ucapan Nabi SAW, namun mengandungi perbuatan baginda. Ianya juga dinamakan sunnah atau hadith. Secara lebih khusus dipanggil hadith fi'li atau sunnah fi'liyyah.

3) Pengakuan Rasulullah SAW yang dinamakan hadith taqriri atau sunnah taqririyyah. Ia bermaksud berlaku sesuatu perbuatan atau perkataan di hadapan baginda, atau sampai perkara itu kepada pengetahuan baginda dan baginda mengakui atau tidak membantahnya. Ini kerana baginda SAW tidak mungkin mengakui atau tidak membantah sesuatu keadaan, atau kejadian yang menyalahi syarak sedangkan baginda melihat atau mengetahuinya. Ini akan menafikan sifat baginda sebagai penyampai risalah Allah. Justeru itu, jika baginda tidak membantah, tanda perkara itu adalah diizinkan syarak. Sebagai contohnya hadith 'Aisyah r.ha:

"Suatu hari Rasulullah SAW berada di pintu bilikku, ketika itu orang-orang Habsyah sedang bermain di dalam masjid. Baginda melindungiku dengan selendangnya, aku pula melihat kepada permainan mereka."

Dalam hadith tadi, tidak ada sebarang ucapan Nabi SAW. Namun sikap tidak membantah Nabi SAW terhadap permainan mereka menunjukkan perbuatan Habsyah membuat permainan senjata dalam masjid sesuatu yang diizinkan. Demikian juga baginda tidak membantah 'Aisyah melihat mereka, menunjukkan wanita boleh melihat permainan yang dilakukan oleh lelaki. Ini juga dinamakan hadith atau sunnah. Secara lebih khusus dinamakan sunnah taqririyyah.

4) Cerita Nabi SAW tentang sifat tubuh atau rupa jasad Nabi SAW juga dianggap sebagai hadith dan sunnah. Contohnya, hadith Anas bin Malik yang menggambarkan bentuk diri Nabi SAW. Kata Anas r.a:

"Adalah Rasulullah SAW pertengahan orangnya, tidak tinggi dan tidak rendah. Putih berseri kulitnya. Tidak putih yang keterlaluan, tidak juga terlalu kemerahan. Tidak terlalu kerinting (rambutnya) dan tidak pula lurus. Rambutnya ikal."

Riwayat sahabat mengenai sifat tubuh dan jasad Nabi SAW juga disebut sebagai hadith atau sunnah.

5) Cerita sahabat Nabi SAW tentang akhlak atau sikap Nabi SAW juga adalah dikira sebagai sunnah atau hadith. Sebagai contoh apa yang diceritakan oleh Abu Sa'id al-Khudri r.a mengenai akhlak Nabi:

"Adalah Nabi SAW lebih pemalu daripada anak dara yang berada di belakang tabirnya, dan apabila baginda membenci sesuatu dapat dikenali pada wajahnya."

Contoh yang lain hadith 'Aisyah yang mensifatkan kesukaan Nabi SAW:

Kata 'Aisyah: "Adalah Nabi SAW suka memulakan sesuatu pada sebelah kanan selagi baginda mampu dalam semua urusannya; dalam bersuci, menyikat rambut dan memakai kasut."

(InsyaAllah akan disambung pada siri yang akan datang: Kepentingan Memahami al-Sunnah.)


---------------------
Sumber: 
Mohd Asri Zainul Abidin (2004). Selangkah Ke Arah Memahami Al-Sunnah. Selangor: Karya Bestari Sdn Bhd.

No comments:

Post a Comment