Wednesday, 8 August 2012

Menulis di blog – cara saya


Ada orang bertanya pada saya: “tak sibuk dengan kerja ke? Nampak rajin je update blog”. Saya katakan padanya, soalan itu sudah selalu sangat saya dengar.

Merasakan jawapan saya kepada sahabat itu, mungkin akan dapat mendatangkan manfaat buat rakan pembaca di luar sana, maka di sini suka saya kongsikannya (jawapan tersebut).

Apa yang saya nukilkan di bawah ini terhasil oleh proses pembelajaran secara “learning by doing” dan perkongsian ilmu bersama orang-orang yang berpengalaman, telah lama berkecimpung dalam dunia penulisan dan penerbitan.

Tempoh masa menghasilkan artikel

Setakat ini urusan blog belum lagi mengganggu komitmen saya terhadap tugas hakiki kerana ianya tidak saya letakkan sebagai keutamaan yang mendesak. Dengan kata lain, tidak perlu menyesal jikalau gagal mengemaskini blog kerana kesibukan tugas. 

Berdasarkan pengalaman saya setelah beberapa tahun menjadi blogger, masa yang diperuntukkan bagi  saya menghasilkan sesebuah artikel boleh dibahagi kepada dua:

1- menulis artikel sendiri – bagi sesebuah artikel yang saya sendiri tulis, kebiasaannya mengambil masa yang lama (mungkin sebuah artikel/minggu). Ini kerana saya perlu mencari masa untuk membaca sesuatu bahan itu sebelum merangka dan menulisnya. Biasanya proses menulis artikel saya buat pada waktu pagi dan mengambil masa sekitar 1-2 jam untuk disiapkan. Pembacaan bahan-bahan pula lazimnya saya buat pada hujung minggu seperti petang Sabtu dan Ahad dan menulis di awal pagi hari Isnin. 

Saya tidak suka menulis artikel pada hari bekerja tetapi sering mendapat bahan dan idea pada hari bekerja. Kalau menulispun ianya dibuat sekiranya timbul isu tertentu yang saya rasakan perlukan respon yang segera.

2- artikel ‘cut n paste’ – menjadi kegemaran saya untuk menerbitkan artikel berbentuk ‘cut n paste’, sekurang-kurangnya satu artikel sehari. Ini kerana proses menerbitkan artikel ‘cut n paste’ adalah mudah, cepat serta tidak memerlukan saya berfikir. 

Saya biasanya memperuntukkan 5 minit bagi menerbitkan satu artikel ‘cut n paste’. Saya juga jarang merujuk banyak sumber dan lazimnya ‘cut n paste’ posting-posting dari blogserius kerana ianya mudah, menarik selain tidak mengganggu tugas harian saya.

Legal implications

Aspek ini merupakan satu elemen asas terpenting kepada seseorang penulis blog. Aspek ‘legal implication’ ini saya pelajari  secara langsung hasil perbincangan bersama Dr MAZA (waktu itu kami sama-sama di UK). Saya dan isteri sering menjemput beliau datang makan di rumah hampir setiap hujung minggu memandangkan beliau waktu itu “datang sebagai orang bujang”.

Mengenai Dr MAZA, saya secara peribadi mengkagumi beliau yang berpengalaman luas di dalam bidang penulisan karya ilmiah dan kemasyarakatan. Ini kerana impak daripada penulisan beliau bukan mendapat perhatian para pemimpin negara, bahkan diperdebatkan sehingga ke peringkat nasional.

Beliau mengingatkan saya, seseorang penulis itu perlu sentiasa beringat bahawa setiap apa yang kita siarkan di blog adalah terdedah kepada risiko “legal implications” (implikasi perundangan). Contohnya kemungkinan untuk didakwa di mahkamah atau disabit di bawah kesalahan jenayah. 

Ini penting untuk kita renungkan kerana di sebalik keghairahan sesetengah bloggers itu mengupas sesuatu isu dan menghentam sesetengah pihak atau pemimpin, mereka juga sebenarnya secara tidak langsung turut “menyerahkan tengkok” mereka untuk diadili oleh proses undang-undang, sekiranya wujud dakwaan tidak asas mahupun berunsurkan fitnah. Lihatlah bagaimana dengan hanya dengan komen di Twitter mengenai Lee Chong Wei, akhirnya Manoharan mendapat malu dan mungkin "dipotong markah" sebagai bakal calon.

Kerana pertimbangan-pertimbangan inilah, blog saya masih mempunyai lebih 145 artikel (kebanyakkannya artikel berbaur politik) yang tidak diterbitkan.

Peer review

Bersangkutan dengan pertimbangan terhadap ‘legal implication’, Dr MAZA juga menambah bahawa penerbitan sebuah artikel yang bagus juga perlu disokong oleh semakan/ulasan awal (second opinions) daripada rakan-rakan yang berpengalaman (sebagai tempat mendapatkan rujukan, nasihat dan bimbingan). 

Rakan semak (peer review) akan menyoal atau menyemak sebarang fakta (nama, jawatan orang, rujukan Al-Qur’an dan Hadith, etc) dan menasihatkan kita sekiranya wujud risiko untuk dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak-pihak tertentu (yang menjadi subjek penulisan), sekiranya artikel itu diterbitkan.

Fikir sebelum tulis, fikir sebelum posting

Bagi penulisan berbaur politik, biasanya saya akan “mengeramkan” artikel terbabit semalaman sebelum diterbitkan. Ini kerana apa yang telah saya tulis malam sebelumnya mungkin berbeza apabila saya membacanya keesokan harinya. Selalunya-lah akan ada benda yang diubah atau diperbaiki setelah bacaan kali kedua dilakukan. Dan juga, agak banyak kali jugalah saya menyesal dengan apa yang telah saya tulis dan terbitkan sebelumnya (sebab tidak fikir panjang).

Menulis kerana minat

Saya rasa apa yang memacu saya untuk terus "mengimarahkan" blog ini adalah disebabkan minat menulis. Setakat ini Alhamdulillah saya tidak menulis atau menjadikan blog ini sebagai tempat membuat duit. Saya mungkin tidak bijak mengambil peluang untuk mengiklankan pelbagai produk di blog, seterusnya dibayar. Saya tidak minat dan tidak pun merasa rugi. 

Malah saya bersyukur kerana tidak menyumbang sama di dalam mengiklankan produk-produk yang kurang cocok  seperti “visit to Israel”, “seluar dalam ajaib bergambar”, “gambar pisang yang sekejap panjang sekejap pendek – ubat seks”, “promosi poker”, “pusat judi dan hiburan keluarga di tanah tinggi” dan bermacam lagi.

Diharap dengan penerangan ini, sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat kepada anda yang membacanya. Ingatlah, sekiranya kita menjadikan minat menulis itu dengan niat untuk kebaikan, insyaAllah kita akan mendapat balasan yang baik dan kepuasan buat diri sendiri.

Allah lebih mengetahui.

No comments:

Post a Comment