Wednesday, 4 January 2012

Mari ambil tahu mengenai 'Climate Change' (Siri 2) - Kesan Perubahan Musim Terhadap Kitaran Hidup Haiwan

Dengan bertambahnya bukti-bukti saintifik yang menunjukkan fenomena perubahan iklim kesan daripada pemanasan global bukan lagi suatu mitos, banyak wilayah di dunia ini juga mula dan telah menunjukkan kewujudan simpton-simpton yang sama (dan membimbangkan!).

Entri kali ini saya akan membawa para pembaca melihat (dan harapnya memahami) impak pemanasan global terhadap kitaran 4 musim sepertimana dialami negara-negara di Hemisfera Utama.

Empat musim yang kita semua tahu - Summer, fall, winter and spring, merupakan keajaiban alam (yang diatur Allah Taala dengan begitu sempurna). Namun kini kitaran keempat-empat musim ini mulai menunjukkan perubahan (lebih tepat, gangguan) setelah sesetengah tempat di bumi ini mula menerima iklim panas lebih cepat berbanding bahagian yang lain.

Satu kajian yang dijalankan di Netherlands (rujuk Rajah di bawah) bagi melihat kesan perubahan iklim terhadap kitaran hidup burung hijrah (migratory birds) mendapati kira-kira 25 tahun yang lalu, waktu puncak kehadiran burung hijrah adalah sekitar 25 April setiap tahun. Burung-burung yang singgah ini kemudiannya akan bersarang untuk bertelur.

Tempoh 6 minggu lazimnya diambil bagi penetasan telur burung dengan waktu puncak adalah sekitar 3 Jun. Tempoh ini juga adalah serentak dengan tempoh bermulanya penetasan ulat-ulat bulu (caterpillar) (lihat data tahun 1980).

Kitaran kelahiran ini adalah yang sempurna (bagi kedua anak burung dan spesis ulat bulu). Pertamanya, ia memberikan anak-anak burung yang baru lahir ini peluang yang tinggi untuk hidup memandangkan bekalan atau sumber makanan yang banyak. Keduanya, jumlah ulat bulu juga dapat dikawal daripada merosakkan tumbuhan berdaun yang turut menjadi sumber makanan hidupan lain (ringkasnya burung menjadi agen kawalan semulajadi).


Namun, 20 tahun kemudian (lihat data tahun 2000) yang mana perubahan iklim (suhu panas) berlaku lebih pantas, para saintis mendapati tarikh kehadiran burung hijrah walaupun masih kekal sekitar akhir April setiap tahun, tempoh bagi musim penetasan ulat bulu bagaimanapun telah awal kira-kira 2 minggu!

Perubahan "kalendar musim" ini sekalipun tidak memberi kesan nyata kepada kehidupan manusia, bagi koloni burung hijrah, ia menimbulkan masalah besar terutama untuk mendapatkan sumber makanan yang mencukupi bagi anak-anak yang belum lagi menetas (sedangkan ulat bulu telah hampir tiba ke penghujung musim menetas).


Daripada rajah di atas, dapat diperhatikan bahawa musim penetasan ulat bulu telah beranjak lebih awal (disebabkan suhu panas/selesa), begitu juga tempoh penetasan telur burung. Namun, secara umumnya "anjakan" ini masih belum dapat membantu menyediakan bekalan makanan secukupnya yang diperlukan bagi anak-anak burang yang baru menetas.

Perubahan ini ada impaknya, iaitu peluang untuk anak burung yang baru menetas untuk hidup bertambah tipis (kerana sukar mencari ulat), seterusnya mempengaruhi kitaran penghijrahan yang akan datang (bilangan burung akan berkurang dan terus berkurang).

Kesimpulannya, fenomena pemanasan global telah membawa perubahan (gangguan) terhadap kitaran hidup berjuta haiwan di dalam sistem rantaian ekologi yang sensitif dan kompleks. Sepertimana contoh yang dikupas, impaknya tetap serius sekalipun saya hanya sempat membicarakan kesan perubahan iklim ini di dalam konteks perubahan tempoh penetasan spesis burung dan ulat bulu.


Baca juga siri sebelum ini:
SIRI 1: Fenomena pencairan ais

------------------------
Nota: entri ini dibuat hasil pembacaan karya "an inconvenient truth", wikipedia dan lain-lain sumber berkaitan.

No comments:

Post a Comment