Tuesday, 20 December 2011

Edisi "Pas Ganti Umno, PGU": Keperluan Suara Majoriti, Di Dalam Sistem Demokrasi – suatu realiti


Pertamanya, saya berterima kasih kepada sahabat, En Alang, kerana telah melontarkan komen-komen sehingga membawa saya menulis artikel ini. Sungguhpun entri yang disentuh membincangkan mengenai DAP (di bawah tajuk: DAP mempelopori kerangka politik baru yang ‘lebih Malaysia’). Begitupun saya amat tertarik dengan angka dan statistik yang diberikan beliau. Saya gembira apabila orang yang turut ambil cakna mengenai perkembangan politik kini turut berhujah dengan fakta, bukannya bersandar kepada sentimen dan emosi.

HARAPAN & REALITI

Harapan adalah sesuatu yang kita belum dapat, tetapi amat berkehendak untuk mendapatkannya. Harapanlah yang memotivasikan, dan menggerakkan daya upaya kita untuk meneruskan kehidupan. Apabila hidup disandar kepada harapan, maka terasa lebih bermaknalah hidup ini. Sepertinya seseorang insan yang inginkan Redha Ilahi, maka hidup ini dijadikan tempat untuk beramal bagi mengejar bekalan ke syurga PenciptaNya.

Di dalam politik, penzahiran sesuatu harapan itu memerlukan suatu wadah atau platform perjuangan yang lazimnya dipenuhi oleh penubuhan sesebuah parti. Di dalam sesebuah parti, para pemimpin dan ahli sentiasa datang dan pergi, tetapi parti lazimnya akan kekal. Namun demikian, kekalnya sesebuah parti itu belum tentu menjamin yang ianya kuat kerana yang menentukan terbinanya atau runtuhnya parti adalah oleh sikap dan tindakan pemimpin dan ahlinya sendiri.

Melalui parti politik, aspirasi dan harapan rakyat (penyokong + pengundi) dapat dizahirkan, malah kepada kebijaksanaan para pemimpin merekalah diletakkan kepercayaan dan keyakinan yang menggunung. Pemimpin dan ahli bergerak seiring membina parti.

Saya sebenarnya telah agak lama memerhatikan perkembangan di dalam dan di luar PAS, sekalipun saya juga ada menulis berkenaan DAP dan UMNO.

Justeru, apa yang dinukilkan ini hanyalah pandangan dan pendapat peribadi saya sebagai pemerhati (bukan ahli), namun di masa yang sama ingin dikongsi apa yang saya coretkan ini saya anggap sebagai suatu “realiti”. Realiti ini dikupas dengan berpandukan angka-angka, statistik dan track records.

Saya inginkan realiti ini direnungkan bersama para penyokong (dan pemimpin) PAS secara khususnya, dan ada ketikanya saya cuba kaitkan secara tidak langsung dengan konteks PR.

Semoga coretan ini dapat dibaca dan difahami secara objektif dan rasional. Mana yang saya rasa baik saya puji, dan mana yang lemah perlu diakui dan dicari kaedah untuk memperbaikinya.

KERUSI TERBANYAK = WAKIL TERBANYAK

Saya secara umumnya bersetuju dengan fakta yang dibentangkan oleh sahabat saya, En Alang, iaitu sistem politik kita adalah berlandaskan kepada amalan demokrasi. Dan di dalam amalan demokrasi, sesuatu keputusan boleh dicapai dan ditentukan oleh pihak yang memiliki undi terbanyak (iaitu pihak yang miliki kerusi terbanyak = memiliki wakil terbanyak = undi terbanyak).

Mana-mana parti yang berupaya untuk mempastikan (secured) bilangan kerusi terbanyak (majoriti), maka pihak itulah ‘memiliki kunci’ yang akan menentukan outcome sesuatu proses pembuatan keputusan.

Boleh dikatakan di sini, andainya PAS Berjaya untuk “secure” bilangan kerusi terbanyak (melebihi DAP dan PKR) untuk ditandingi menjelang PRU13 kelak, bolehlah dikatakan PAS telah mendapat kemenangan moral yang pertama.

Manakala, kemenangan moral kedua ialah jika PAS Berjaya menyamai atau mengatasi jumlah kerusi yang dimenangi UMNO. Maka barulah ada harapan untuk direalisasikan Pas Ganti UMNO (PGU).

YANG DIRISAUKAN...

Berikut adalah beberapa perkara yang secara realitinya saya rasa perlu dirisaukan iaitu:

Risau1: Mampukah PAS ‘menang majoriti’ di dalam pembahagian kerusi sesama rakan di dalam PR?

Saya lihat cabaran/halangan pertama PAS adalah bagaimana memastikan PAS diberikan bilangan kerusi terbanyak (majoriti) melalui proses agihan kerusi bersama-sama DAP dan PKR.

Seperti yang telah saya jelaskan, di dalam amalan demokrasi, pihak yang berkuasa adalah pihak memiliki bilangan undi terbanyak (atau wakil paling ramai, Members of the Parliament, MPs). Perlulah diingat bahawa PAS tidak membuat keputusan secara bersendirian mengenai sesuatu perkara melainkan perlu berunding dan dipersetujui secara bersama dengan DAP dan PKR.

Namun, keadaan ini boleh berlaku bilamana kekuatan PAS, DAP dan PKR lebih kurang sama/setara. Mana-mana parti tiada majoriti dan ada agenda yang diperjuangkan parti perlu ‘diberi imej baru’ supaya sekutunya berlembut hati.

OK, berbalik kepada persoalan asal. Keseluruhan kerusi Parlimen di Malaysia adalah berjumlah 222 kerusi. Justeru, untuk menang dengan majoriti mudah, PR HANYA perlu menang 112 kerusi.

Pada PRU12, PAS telah bertanding di 66/222 kerusi atau HANYA 30%. Di sini sahaja, realitinya, PAS sudah menjadi pihak yang minority di dalam PR.

Berbanding PAS, rakannya PKR telahpun ‘secured’ 95/222 kerusi (atau 43%), manakala DAP pula mendapat 48/222 kerusi (22%). Sebanyak 13 kerusi tidak ditandingi PR

Bersandarkan angka dan statistik di atas, kita lihat dari segi agihan jumlah kerusi, PAS sudah pun ‘tewas’. Kalau anda rasa PAS sebenarnya ‘menang’, minta maklumkan pada saya semoga dapat diperbetulkan pernyataan saya yang tersebut.

Keupayaan PAS bertanding di 30% kerusi Parlimen ini bukanlah kesalahan penyokong PAS kerana rundingan dan persetujuan mengenai pembahagian kerusi ini dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi parti melalui persetujuan bersama DAP dan PKR.

Maka untuk PRU13, orang-orang PAS perlu dengan jelas, menyampaikan hasrat mereka kepada pemimpin tertinggi mereka supaya dipastikan yang PAS mendapat agihan kerusi lebih banyak. Berapa banyak? Jawapan saya, sebanyak yang menjamin PAS mendapat majoriti daripada keseluruhan 222 kerusi yang ada.

Risau2: Mampukah PAS ‘menyamai’ pencapaian UMNO?

Pada PRU12, UMNO bertanding di 117/222 kerusi dan menang di 79/117 kerusi, iaitu 68% kemenangan. Angka ini adalah jauh lebih tinggi berbanding mana-mana pencapaian parti di dalam PR. Pada PRU12, PAS menang 23/66 kerusi (35% kemenangan). PKR pula menang 31/95 kerusi (33%) dan DAP muncul TERBAIK di kalangan PR dengan menang 28/48 kerusi (58%).

Isu yang pertama di sini, jika PAS masih kekal dengan jumlah 66/222 kerusi untuk PRU13 akan datang, tentunya PAS boleh melupakan sahaja hasratnya untuk ‘memimpin perubahan’ di dalam PR, belum lagi dibicarakan hasratnya untuk ganti UMNO.

Keduanya, jika PAS bertanding di 66 kerusi (jumlah yang sama) dan MENANG SEMUA 66 kerusi, masih, MP PAS hanya mewakili 30% suara (dan kuasa undi) dalam proses pembuatan keputusan bersama di dalam PR. Persoalannya, mampukah PAS menang 100% bagi kerusi-kerusi yang ditandinginya?

Permasalahan yang pertama ataupun yang kedua, ‘kemenangan’ dilihat masih tidak memihak kepada PAS. Justeru, penentuan sama ada PAS berupaya menambah bilangan kerusi atau tidak, adalah terserah kepada kemampuan dan kepandaian pimpinan tertinggi PAS sendiri berbincang bersama-sama PKR dan DAP.

Risau3: Mampukah PAS tawan kubu kuat BN?

Topik yang sama telah saya kupas dengan panjang lebar di entri bertajuk: “checklist penting untuk PRU13”.

Untuk merealisasikan PGU dan untuk menerapkan nilai-nilai Islam yang syumul ke dalam sistem pemerintahan kerajaan PR, memerlukan PAS tampil sebagai “pemimpin perubahan”, atau istilah politiknya, pihak yang dominan (ada keterampilan untuk memimpin PR).

Sekalipun dilihat ramai pihak bahawa pengaruh PAS agak menonjol di 3 negeri iaitu Kelantan, Kedah dan ‘mungkin’ Terengganu.

Nota: Itupun belum mengambilkira berapa jumlah sebenar undi protes yang diberi kepada calon PAS oleh penyokong parti lawan yang ‘patah hati’ dengan parti mereka pada PRU yang lepas). Ini yang dimaksudkan undi yang diberi bukan kerana sokong PAS, tetapi kerana kecewa dengan parti sendiri, dan jika parti mereka ‘berubah jadi baik’, tidak mustahil yang protes akan kembali ke pangkuan jalan.

Matematik mudahnya, 3 negeri ini hanya memberikan 37 kerusi maksimum untuk dipertandingkan (Kelantan=14, Kedah=15 dan Terengganu=8). Sedangkan dari jumlah 37 kerusi tersebut PAS hanya mampu menang 16 kerusi (43%) iaitu (Kelantan=9, Kedah=6 dan Terengganu=1). Kemenangan ini mungkin sekali disokong oleh undi protes para penyokong parti lawan.

Bermaksud, di 3 negeri inipun pengaruh PAS belum cukup kuat untuk membolehkannya menyapu bersih kesemua 37 kerusi.

Dari sudut yang lain pula, kita perlu perhatikan parti manakah yang menguasai 56 kerusi di Sabah dan Sarawak pada PRU12 lepas? BN telah menang 54 daripada 56 kerusi (Sabah=24 dan Sarawak=30) atau 96% kemenangan.

Namun, ada kemungkinan pada PRU13 nanti DAP mampu untuk menambah bilangan kerusinya di kawasan-kawasan bandar di Sabah dan Sarawak. Ya, DAP, bukannya PAS. Memang kemenangan yang diambilkira nanti adalah kemenangan PR, tetapi seperti UMNO di dalam BN, tentunya ada yang kena jadi ‘Ketua’.

Sekali lagi saya tegaskan, untuk PAS boleh memberi impak yang sebenar-benarnya terhadap dasar perjuangan parti (menegakkan nilai-nilai pemerintahan yang berteraskan Al-Qur’an dan Sunnah) maka selepas mengambilalih Putrayajaya, PAS tiada pilihan, melainkan dipastikan memiliki bilangan MP paling ramai di dalam kerajaan pimpinan PR.

Soalan saya, bagaimana PAS nak menyediakan MP teramai seandainya PAS tidak bertanding paling banyak kerusi?

TERSERAH KEPADA KEBIJAKSANAAN PUCUK PIMPINAN PAS

PAS tidak boleh memberikan harapan yang tidak mampu direalisasikan kepada ahlinya. Mana mungkin untuk PAS mengetengahkan agenda Islam yang menjadi wadah perjuangannya ke dalam kerangka pentadbiran baru kerajaan PR selepas PRU13 (andai menang), sekiranya PAS hanya memiliki 30% wakilnya dalam kerajaan PR?

Lupakan dahulu hasrat untuk menyahut cabaran PGU.

Mana mungkin di dalam amalan demokrasi kita, kejutan (yang minoriti boleh jadi ketua). Ini agak mustahil untuk berlaku. Tidak mungkin DAP mahupun PKR yang mempunyai lebih ramai MP hanya akan berpeluk tubuh dan ‘bermain politik’ dengan PAS.

Sebagai rakyat biasa, tulisan ini tidak membawa apa-apa makna pun. Sekadar mengisi minat dan masa lapang saya yang sedikit ini.

Cuma alangkah baiknya jika pucuk pimpinan PAS dapat bertegas dan mendesak agar diberikan ruang untuk PAS bertanding di lebih banyak kerusi. Tetapi di mana tempat PAS boleh tambah kerusinya? Hitunglah walau macam mana cara sekalipun agar PAS dapat menambah bilangan kerusinya.

Saya berharap sekiranya PR menang, harapnya PAS dapat muncul sebagai pemimpin yang memimpin, dan bukannya pemimpin yang dipimpin (menjadi boneka mana-mana pihak).

Iyalah, semua penerangan ini hanya berkaitan dengan isu pembahagian kerusi di antara PAS, DAP dan PKR, belum lagi disentuh berkenaan cita-cita PAS melaksanakan undang-undang Hudud.

Untuk Hudud, selain kuasa politik, memerlukan gerakan massa di kalangan umat Islam supaya terbinanya suasana yang kondusif sebelum Hudud boleh dilaksanakan. Masyarakatnya terdidik untuk berkelakuan baik dan memahami keluasan Islam dan luasnya rahmat Allah sehingga mengatasi murkaNya.

Dan kalau PAS nak buat Hudud, maka PAS perlu ada kuasa, perlu ada suara perwakilan yang teramai untuk membuat keputusan secara demokrasi. Seperti yang telah saya tanya sebelum ini: bagaimana mungkin untuk PAS nak menang paling banyak, andainya PAS tidak bertanding kerusi paling banyak?

Sekian


NOTA KAKI:

- Strategi DAP pula dilihat mampu membuka ruang buat mereka menambah kerusi, dengan mengetengahkan calon-calon Melayu bertanding di kawasan Melayu, dan yang lain kekal di kawasan majoriti Cina. Saya tidak pasti dasar PAS, apakah agama calon (mesti Islam dan yang Sunni) juga dijadikan salah satu syarat? Bagaimana pula dengan Kelab Penyokong PAS yang bukan Islam, cukupkah syarat menjadi calon?

1 comment:

  1. Pandangan tuan nampak agak lebih adil dan realistik.

    Secara jujurnya, saya tidak meyakini PAS boleh mendominasi PR, biarpun saya dahulunya mengundi parti ini pada 2008.

    Pada saya, BN ada kelemahan dalam pentadbiran terutamanya semasa era Pak Lah, dan Najib harus menerima kesan yang bukan sedikit.

    Bagaimanapun, BN masih bertunjang kepada keharmonian dan persefahaman yang tiada pada Pakatan Rakyat.

    ReplyDelete