Monday, 28 November 2011

Pendapat: Dah 'Orang Besar', bercakap pun kenalah 'Besar'

Habis madu, sepah pula tetap berguna

Saya sentiasa berpandangan seorang pemimpin yang bagus adalah pemimpin yang apabila dia bercakap, dia berupaya menyampaikan suatu visi dan menetapkan halatuju di minda para pengikut atau pendengarnya; sehingga dari amanat/ucapannya itu, mereka (pengikut/pendengar) boleh faham dan mampu merangka apa yang patut dilakukan selepas mendengar amanat itu (i.e. tindakan susulan).

Inilah di antara ciri-ciri penting yang secara idealnya perlu ada pada seseorang pemimpin. Sayangnya, tidak ramai pemimpin kita di Malaysia memiliki ciri-ciri ini. 

Namun, bagi pemimpin yang memiliki ciri sebegini, saya secara peribadi menyifatkan beliau adalah pemimpin yang  memiliki aura dan tarikan (bukan sahaja untuk meyakinkan orang, bahkan berupaya menggerakkan proses/perubahan).

Dengan aura yang ada, buah fikiran tokoh-tokoh tersebut tetap ditagih sekalipun telah bersara; atau tidak lagi memegang jawatan; atau tidak aktif sepenuh masa di 'arus perdana'. 

Maka tidak hairanlah saya melihat civil society, bahkan para pemimpin yang sedang berkuasa juga tertunggu-tunggu untuk mendengar sebarang luahan pendapat mahupun kritikan mereka terhadap sesuatu perkara dan isu sama ada yang melibatkan kepentingan agama, umat dan negara.

Barangkali anda tidak setuju dengan pernyataan "ramai yang tertunggu-tunggu". Iyelah, yang mendengar belum tentu akan menerima bulat-bulat nasihat/apa yang dicakap dan dikritik itu. Terpulang.

Bahkan, tidaklah masuk bakul angkat sendiri untuk saya katakan bahawa dalam sesetengah keadaan, pandangan serta kritikan mereka adalah berguna bagi membantu pemimpin yang ada, memperbetul kelemahan dan memperbaiki halajutu pentadbiran di pelbagai peringkat sama ada di peringkat parti, negara, negeri dan komuniti di peringkat akar umbi.

Nota: Saya sengaja tidak senaraikan pemimpin yang "masih berjawatan" seperti TGHH, TGNA, Dato' Najib, En. KJ, LGE etc.

Selain ada tarikan dan aura, saya juga melihat seringkali pemimpin-pemimpin "rujukan" ini (contoh, foto) akan bercakap besar

Eh! Cakap besar yang bagaimana?

Cakap benda besar, yang kecil itu bukan taraf anda!

Bukan cakap besar seperti cakapnya orang sombong dan angkuh. 

Tetapi cakap besar dalam konteks ini adalah sikap pemimpin yang apabila mereka berbicara, mereka akan berbicara tentang idea, gagasan dan meletakkan halatuju.

Mereka jarang (bukan tiada langsung) menyibukkan diri dan masa mereka untuk bercakap mengenai perkara-perkara yang kecil, yang tidak membantu masyarakat untuk faham dan seterusnya berfikir macam mana nak bertindak setelah mendengar ucapan mereka itu.

Datang kosong, balik pun kosong = buang masa! 

Saya pernah menghadiri satu ceramah politik semasa di Terengganu

Ucapan penceramahnya memang berapi-api (orang lain semua salah dia je yang betul). Dan beliau juga pandai buat lawak.

Tetapi sayangnya selepas selesai ceramah, saya tidak tahu apa kesannya terhadap saya (apa peranan saya "selepas itu").

Apakah saya ini hadir, menadah telinga, bergelak ketawa, namun akhirnya pulang dalam keadaan sama sepertimana awal datang tadi? 

Pada saya ini hanya cakap-cakap yang merugikan masa. Barangkali juga terdedah kepada dosa kering sebab mengata orang (sekalipun tidaklah sampai memfitnah).

Sedangkan alangkah bagusnya kalau seorang pemimpin itu, di dalam ucapannya, bukan sahaja mampu mengupas dan menjelaskan sesuatu isu, tetapi boleh mewujudkan "mental map" buat pengikutnya supaya mereka nampak ke mana nak tuju selepas itu.

Undi sebab sentimen tidak akan menang-kan anda

Inilah yang ingin saya kongsikan setelah membaca tampalan berikut (klik): Shahrizat belanja RM26,000 untuk beli pakaian, kata Nizar.

Maaflah kalau ada yang membaca ini terasa. Mungkin juga apa yang dilaporkan itu bukanlah kisah penuh, tetapi mahu tidak mahu, hal ini disentuh beliau.

Pada hemat saya yang tidak seberapa ini, sebagai "orang besar' (bekas MB Perak), Nizar tidak seharusnya membenarkan masa beliau diisi dengan bercakap tentang perkara-perkara yang kecil sebegini. 

Ini bukan tugas anda, biarlah orang lain yang ambil.

Pada saya, tugas Nizar sekarang ini adalah untuk "bercakap besar", menjelaskan kepada rakyat Perak apakah perancangan dan strategi yang sedang dirangka di peringkat Pakatan negeri Perak bagi memastikan "pisang tidak berbuah dua kali"

Nampakkan kepada rakyat (pengundi) yang pimpinan tertinggi Pakatan Perak telah belajar daripada peristiwa hitam tersebut.

Dan inilah yang ditunggu-tunggu civil society. Apabila perancangan dapat dihamparkan di minda setiap mereka, maka mudahlah sedikit untuk "faham dan bertindak selepas itu".

Malah, pengikut juga akan jadi sedikit lega sebab melihat pemimpin mereka sudah ada visi, selain panduan untuk mulakan kerja (di akar umbi) juga digariskan! 

--------------
Saya buat contoh: 
OK, sekarang ini (pelan x) yang sedang diusahakan untuk menang PRU dan ini (pelan xx) yang akan dibuat untuk pastikan pilihan rakyat tidak dikhianati selepas kita menang. Maka saya mahu para penyokong boleh menyumbang peranan anda dengan melakukan tugas A, B dan C.
--------------

Cakap senanglah. Memang bercakap ni senang. Tetapi eloklah bercakap benda yang lebih utama manfaatnya kepada parti dan rakyat daripada dok sibuk dengan perkara-perkara kecil, dan yang bukan tugasnya pun.

Maaf cakaplah, saya tak yakin pembangkang dapat menawan semula negeri tersebut jika hanya membicarakan isu sebegini dan mengharapkan undi sentimen (protest votes). 

Come on! Orang dah naik ke bulan, takkan kita masih nak ungkit si polan dan si polan belanja banyak mana.

Saya percaya DS Nizar adalah pemimpin yang bijak. Dan dah alang-alang memberikan pendapat ini, saya perlu selesaikan jua artikel ini dengan saranan berikut:

a) Sebagai "orang besar" (dan kalau nak jadi salah seorang "bekas pemimpin" seperti di dalam foto) beliau perlu "bercakap besar". 

b) Bercakaplah besar mengenai idea, visi, gagasan, malah mungkin memberikan kritikan, dengan niat supaya rakyat dapat idea apa nak buat selepas itu, dan juga demi memastikan yang "pisang tidak berbuah dua kali" di negeri Perak!

Sekian.

No comments:

Post a Comment