Monday, 24 October 2011

Panduan Solat: Kayakan pengetahuan melalui dalil

Sewaktu menunggu waktu solat Maghrib di Surau Brookes baru-baru ini, terjumpalah akan saya buku berikut.

"A guide to prayer in Islam" tulisan Saqib.


Buku panduan ini tampil dengan ringkas tetapi padat dengan dalil dan hujjah berkaitan setiap perbuatan dalam solat kita. Tidaklah dapat saya nyatakan secara terperinci perbezaan mahupun persamaan dengan buku panduan solat karangan alim ulama kita di Malaysia tetapi ada satu bab dalam solat yang ingin saya dapatkan kepastian iaitu: perbuatan "bersedekap di atas dada".

Saya senantiasa berminat nak tahu mengenai perbuatan bersedekap ini kerana tidak lama dahulu (lihat rakaman beliau di YouTube: SINI) ada seorang Ustaz di Malaysia yang menyamakan perbuatan letak tangan atas dada sebagai perbuatan / ciri-ciri solat golongan Wahabi.

Maka, semakin berminatlah saya untuk tahu benarkah ianya "trademark" Wahabi semata, ataupun ianya perbuatan yang bersumberkan dalil dari Hadith / Sunnah yang mana Al-Qur'an dan Sunnah itu lebih tinggi kedudukannya berbanding pendapat manusia (termasuklah Ustaz dan Ulama yang tidak maksum).

Tidaklah saya ingin menyatakan sokongan terhadap mana-mana kelompok (Wahabi atau lain-lain), melainkan inginkan kepastian akan sumber/dalil berkaitan amalan ini.

Ini kerana dalam perkara ibadah khusus (Solat), kita memerlukan perincian dan ketelitian agar terhindar dari perbuatan yang tidak selari dengan tuntutan Qur'an mahupun Sunnah.

Menyelaklah saya akan halaman berkenaan perbuatan bersedekap sepertimana ditunjukkan pada foto di bawah:


Dinyatakan oleh Saqib sepertimana berikut:

(page. 32) Some people place their hands under the navel, others place them under the chest but there are hadiths which state that Prophet Muhammad (SAW) used to place his hands over his chest.

a) Halb Ataee (RA) reported: "I saw the Prophet (SAW) placing his right hand over his left hand over his chest." (Ahmad, Tirmizi)

b) Wail b Hajr (RA) said: "I prayed with Prophet Muhammad (SAW) and he put his right hand over his left hand over his chest." (Ibn Khuzaimah, Abu Dawud, Muslim)

There are some other narrations which state that some Fuqha used to place their hands under the chest but above the navel. Placing the hands in either of these positions is correct but it is better to place them over the chest according to the practice of Prophet Muhammad (SAW) as mentioned in the above authentic hadiths.

Terjemahan:

Sesetengah orang meletakkan kedua tangan mereka di bawah pusat, sementara yang lainnya meletakkannya di bawah dada, tetapi terdapat hadith-hadith yang menyebut bahawa baginda Rasul (SAW) lazimnya meletakkan kedua tangan baginda di atas dadanya.

a) Halb Ataee (RA) melaporkan: "Aku melihat baginda Rasul (SAW) meletakkan tangan kanan baginda di atas tangan kirinya di atas dadanya." (Riwayat Ahmad, Tirmizi)

b) Wail b Hajr (RA) berkata: "Aku bersolat bersama baginda Rasul (SAW) dan baginda meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya di atas dadanya." (Riwayat Ibn Khuzaimah, Abu Dawud, Muslim)

Terdapat juga riwayat-riwayat lain menyatakan sebilangan para Fuqha (Sahabat) yang lazimnya meletakkan kedua tangan mereka di bawah dada, tetapi di atas pusat. (Perbuatan) meletakkan kedua tangan sama ada di dalam kedua-dua kedudukan sepertimana dinyatakan adalah betul, namun adalah lebih baik untuk meletakkannya (kedua tangan) di atas dada sepertimana amalan Rasulullah SAW (As Sunnah) yang telah dinyatakan pada hadith-hadith di atas.

Penutup

Alhamdulillah, penerangan ringkas dan padat oleh penulis telah memahamkan saya yang jahil ini. Sesungguhnya wujud perbezaan di dalam perbuatan bersedekap di dalam solat. 

Begitupun, penulis sendiri berpesan yakni, sekalipun tiada kesalahan untuk menuruti mana-mana satu di antara kedua perbuatan yang dinyatakan, alangkah baiknya jika kita dapat menuruti amalan yang ditunjukkan oleh baginda Rasul SAW (As-Sunnah), sebagai tanda kita ini hamba yang cinta, kasih dan sayang kepada Allah dan Rasul-Nya.

Moga beroleh manfaat!

No comments:

Post a Comment