Thursday, 1 September 2011

Siapa yang tulis dan susun fakta-fakta sejarah?

Sekarang ni riuh-rendah orang dok memperkata (dan mempertikai) kesahihan kandungan dan fakta sejarah negara, yang telah lebih 50 tahun diajarkan di sekolah-sekolah dan universiti.

Pihak yang ini tidak mempercayai sejarah sepertimana ianya dipercayai pihak yang satu lagi. Dan begitulah sebaliknya.

Seperti contoh: Seorang tokoh itu diangkat sebagai pejuang. Namun, tokoh yang sama juga dijulang sebagai petualang oleh pihak yang berbeza pendapat.

Sudahnya, siapa pejuang dan siapa petualang tidak lagi jelas. Yang jelas, fakta sejarah pula dianggap salah. Garisan yang memisahkan keduanya telah menjadi begitu kabur.

Saya masih lagi memerhati polimek ini. Minat saya terhadap perkara ini telah menimbulkan satu soalan yang ingin saya kongsikan bersama anda sebagai pembaca yang budiman.

Soalan saya: Dalam kita dok sibuk menyalahkan sesama kita (kebetulan yang berbalah itu majoritinya Melayu), mengapa tidak kita secara bersama, mempersoalkan siapa yang selama ini menulis serta menyusun fakta-fakta dan seterusnya membentuk silabus matapelajaran Sejarah untuk diajar di sekolah-sekolah dan universiti kita, sedari negara mula Merdeka lagi?

Tolonglah fikir dan cari jawapannya. 

Ini kerana daripada apa yang saya faham, semasa negara dalam proses mendapatkan kemerdekaan, hatta selepas Merdeka, hanya segelintir kecil (kurang 30% barangkali) kakitangan yang berkhidmat dengan kementerian yang menjaga pelajaran/pendidikan adalah orang-orang Melayu. 

Dan sejarah juga "memberitahu" kita bahawa orang-orang Melayu ketika itu (di bawah British) hanyalah berkhidmat sebagai kakitangan peringkat rendah seperti kerani, jurutaip dan budak pejabat. Bukannya yang duduk di kerusi pembuat dasar yang secara langsung terlibat menggubal dan menyusun silabus matapelajaran Sejarah untuk diajar di sekolah. 

Jadinya, "tangan-tangan siapa" yang bertanggungjawab mengatur fakta sejarah yang kita orang Melayu Pas dan Melayu Umno galak dok bertelagah hari ini?

Kalau rasa saya salah minta betulkan.

No comments:

Post a Comment