Saturday, 14 May 2011

Berita Dari Kampung: Cukur kepala

Lama tidak dicoretkan khabar-khabar terbaharu dari kampungku. 

"Apa khabar orang di kampung?"

Dua-tiga menjak ini fikiran banyak melayang kepada keluarga dan saudara-mara di tanah air. Saya tiba-tiba teringat akan arwah Ayoh Long yang baru meninggal bulan lepas (akhir Mac), terutama bagaimana waktu itu, lepas SPM, saya (ayoh dan pok teh) ikut orang buat rumah di Pekan Ajil. Arwah adalah kontraktor yang bertanggungjawab terhadap projek tu.

Selama selepas SPM dan sementara menunggu keputusan dapat atau tidak ke universiti, saya bekerja berpanas dan berhujan membuat rumah banglo. Saya tidak dibayar gaji seperti orang lain, takut nanti duit gaji habis tak sempat simpan buat masuk U, kata arwah.

Maka, gaji saya hanya dibayar sekaligus apabila telah dapat tahu dapat masuk ke universiti. Dengan wang itu, cukuplah menampung kos-kos yang berkaitan.

Arwah sebelum meninggal tidaklah seuzur seperti Mok Long, tetapi itulah ketentuan Allah, tiada siapapun dapat menghalang. Akan saya kenang sampai bila-bila kebaikan arwah.

Kelmarin pula, saya menerima panggilan daripada Mak, (sebelum itu memaklumkan keadaan kesihatan Mak Ngah yang kurang baik selepas keluar hospital), tidak lama selepas itu, Mak telefon dan memaklumkan Mak Ngah telah meninggal dunia.

Sebelum ini juga orang rumah ada bersembang dengan kawan (yang tinggal di Salford, Manchester) yang 3 minggu sebelum itu datang ziarah ke Oxford bersama ibu, adik dan makciknya. Tidak lama kemudian, dikhabarkan kawan itu telah berlepas pulang membawa ibunya balik kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan (mempunyai sakit kanser).

Dan semalam, diberitahu kawan itu yang ibunya baru sahaja kembali ke rahmatullah.

Salam takziah kepada anggota keluarga arwah dan al-fatihah jua saya kirimkan.

--------------------

Patah tumbuh, hilang berganti.

Jumaat semalam telah berlangsung majlis cukur kepala, anak pertama Fendy, dibuat di rumah Mok-Ayoh @ Tok-Tokki di kampung.

Ramai nampaknya yang hadir, ada muka yang familiar dan ada yang saya tidak perasan. Begitupun, semangat kekeluargaan sesama jiran nampaknya kekal utuh. Alhamdulillah.

 Haji Ali (Gate)

 Tok Imam - Haji Mustafa (Pok Stopa) Khatib

 Tokki - 3 dari kiri

 Cik Yo tolong pegang dulang


Haji Jen (Zain) bilal

Kredit foto: Kakchik

Cepat sungguh masa berlalu, adik saya dah jadi ayah, Ayoh dah jadi Tokki dan saya pula dah jadi bapa saudara.

Pada sesetengah orang, it's not a big deal, but for me, it is still.

Ia melambangkan perkembangan keluarga, pertambahan zuriat dan 'muka-muka baru'. 

Tambahan pula, kehadiran 2 cucu perempuan dilihat menambahkan keceriaan dan kegembiraan Tok, yang selama ini kurang "ahli perkumpulan wanita" di rumah (9 anak, 7 lelaki + 2 perempuan = yang setelah berkahwin, akan ikut suami).

Doa saya, agar semangat dan keakraban sesama jiran sekampung tidak luntur, tidak dirosakkan oleh perkembangan politik tidak sihat yang berterusan melanda negara.

Peliharalah kerukunan hidup berjiran, susah sama bantu, senang sama tumpang.

Semoga mereka di kampung terus berada di dalam naungan dan lindungan Allah Taala, dan segala urusan berjalan dengan lancar.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment