Monday, 31 January 2011

'Revolusi' Mesir = Sedia terima kenaikan harga minyak

Konflik yang berpanjangan akan meneruskan sokongan (kenaikan) terhadap harga minyak.

Bagaimana harga minyak boleh (dan bakal) naik, sehingga menjejaskan tangki kereta kita di rumah kita di Malaysia?

Sekalipun Mesir bukanlah negara pengeksport minyak utama dunia, tetapi satu fakta penting adalah Mesir 'penjaga Terusan suez', laluan perkapalan utama dunia yang digunakan oleh kapal-kapal tangki membawa minyak negara Teluk ke serata pasaran dunia.

Setiap hari, Terusan Suez menyaksikan sebanyak 2.4 juta tong minyak dialirkan keluar ke pasaran, jumlah eksport yang menyamai pengeluaran harian minyak negara Brazil atau Iraq!

Bila akan kita merasa kenaikan harga minyak? Bergantung kepada berapa lama konflik dan tension ini berlarutan dan sama ada sehingga memaksa Terusan Suez ditutup - langkah yang dianggap mustahil.

Jika protes dan 'revolusi' ini berjangkit ke negara-negara Teluk yang lain, bersiaplah kita dengan kereta hybrid atau berenjin kecil yang lebih ekonomi penggunaan minyaknya.

Penganalisa politik turut melahirkan kebimbangan sekiranya protes ini gagal disudahkan segera, dan harga yang perlu dibayar adalah 'minyak naik',  ianya bakal menambah parah kepada usaha-usaha pemulihan ekonomi negara-negara membangun (termasuklah Malaysia).

(nota: Minyak merupakan komoditi global. Justeru, sebarang perubahan luaran (external factors) seperti perang Iraq turut memberi kesan harga termasuklah kepada harga bahan api di Malaysia).

EPL: Perpindahan yang 'mengarut'

BBC1 News sebentar tadi membincangkan isu perpindahan pemain-pemain bola sepak dalam EPL. 

Umumnya, panel perbincangan bersetuju bahawa kecenderungan kelab-kelab bola EPL berbelanja secara luar biasa telah menciptakan fenomena perpindahan yang mengarut.

Bayangkan, perpindahan untuk seorang pemain, Torres dari Liverpool FC ke Chelasea FC sahaja mencecah nilai GBP50 juta (RM243.2 juta), diikuti nilai perpindahan Andy Carroll dari Newcastle ke Liverpool sebanyak GBP35 juta!


Bagi sebuah kelab yang mencatat kerugian besar tahun lepas, Chelsea mencatat rugi sekitar GBP70 juta (RM350 juta), perbelanjaan besar ini hanya telah meningkatkan lagi margin kerugian dan hutang kelab.

Penganalisa berpendapat matlamat pemilik kelab Chelsea sekarang ini bukanlah untuk mewujudkan kelab yang kuat dan stabil (dari segi memberikan jaminan kewangan jangka panjang), melainkan untuk memburu trofi yang akan menghiasi almari koleksi kejuaraan kelab.

Berbanding liga Eropah yang lain, semuanya mencatat purata bayaran perpindahan pemain yang rendah, serendah GBP3 juta di Liga Peranchis. Liga Sepanyol, Jerman dan Portugal juga menunjukkan purata bayaran perpindahan yang hampir sama (sekitar GBP4 - 6 juta).

Penganalisa juga berpendapat apa yang berlaku di EPL ini seperti tidak mengambil contoh daripada beberapa kelab besar Eropah yang tidak berbelanja secara 'mengarut' tetapi akhirnya mereka muncul sebagai kelab yang kukuh, kaya dan stabil - dan mencipta banyak kejayaan!

Ayah sebagai figura



Ada pengajaran berguna dapat kita peroleh daripada ceramah Ustaz Azhar ini.

Paling utama, pentingnya fungsi seseorang ayah itu sebagai figura kepada anak-anak. Sebagai ikon, tokoh yang memimpin keluarga dan tempat anak-anak memberikan rasa hormat mereka.

Ketidakupayaan (kegagalan) seorang ayah 'menjadi ayah' dalam erti kata menunjukkan ketokohan yang boleh menerbitkan rasa hormat di kalangan anak-anak tidak dapat tidak, turut menjadi penyumbang kepada krisis sosial dalam masyarakat kita hari ini.

Ironinya, jikalau anak-anak sudah tiada rasa hormat dan takut kepada ayah (kerana ayahnya penakut), apakah jaminan untuknya hormat dan takut kepada orang lain?

Inilah juga antara punca mengapa remaja hari ini sukar ditegur, didisiplin dan sering bertindak tanpa memikirkan sensitiviti orang lain.

"Eh, Ayah aku pun tak berani nak sound aku, yang engko busy body sangat ni kenapa?"

Inilah juga yang menyebabkan mereka buat sesuatu tanpa ada rasa bersalah seperti berpeleseran, balik tidak balik rumah , berkawan dengan siapa - pun tiada siapa yang berani bertanya dan ambil periksa. 

Mengusung dan membonceng anak orang ke sana ke mari pun tiada yang tegur, bunting dan sehingga buang bayi pun tiada yang berani nak marah.

Apabila si ayah gagal berperanan, penghormatan anak-anak akhirnya beralih, dengan si ibu pula dilihat sebagai figura dan idola kepada mereka (anak-anak). 

Si ibu harapkan si ayah. Tetapi ayah nakut (penakut). Anak-anak lebih hormat ibu dari ayah. Apa yang tinggal buat si ayah?

nota: Ustaz kata 'potong dan buang' jelah...

Lagu Pilihan: blood diamond soundtrack



- T.I.A = This is Africa!

- Government dont want to sustain in power until they have stole enough until they gone into exile somewhere else. Rebels dont want truly take over the power unless they have to govern these mess.

- Tell you what, in America it's 'bling-bling' but in here it's 'bling-bang', huh?

- My heart always tell me that people are inherently good, but my experience suggest otherwise.

- People is just people. Exactly, it what they do which decide either they are good or bad.

- In a moment of love, even the bad man can give meaning to a life.

- You don't know where the word 'infantry' come from? It mean child soldiers (infant + military).

Sunday, 30 January 2011

Tenang: terimalah kenyataan.

Kekalahan PAS-PR dengan perbezaan undi lebih besar pada PRK DUN Tenang hari ini telah mengesahkan lagi status dan tradisi negeri Johor sebagai kubu kuat UMNO-BN.

Di sebalik pelbagai corak berkempen yang agresif diatur sama ada melalui penampilan tokoh utama PR, siri ceramah, turun padang dan penggunaan seoptimum mungkin media alternatif (blog dan laman web pro PR), para pengundi masih lagi berkata "kami pilih calon UMNO-BN".

Justeru, apa lagi yang boleh dilakukan oleh pihak yang tewas, selain menerima kekalahan ini sebagai sebahagian asam garam bertanding dalam sesebuah pilihanraya.

Yang sedikit mendukacitakan (dan memalukan) saya adalah wujudnya sebilangan kecil individu yang kononnya mereka ini penyokong dan pendokong idealisme perjuangan Islam.

Tetapi apabila calon PAS-PR tewas di Tenang, pelbagai komen buruk, kutukan, emosional (seperti orang putus asa) dilontarkan. 

Paling laris dikritik adalah pengundi orang Melayu dan warga Felda. Seolah-olah para pengundi sekarang ini boleh dipaksakan keinginan mereka di dalam membuat pilihan / pilih pemimpin.

Ibarat 'lebih sudu dari kuah', komentar yang dikeluarkan  juga seolah-olah telah mendahului komen oleh pimpinan parti mereka sendiri. 

Contoh, boleh rujuk di bawah:

Sumber dinyatakan

Rugilah, setelah segala kerja keras (usaha), kemudian disertai doa dan tawakal, akhirnya gagal disudahi dengan redha (pasrah menerima ketentuan).

Menang atau kalah, belajarlah terima kenyataan.

Saturday, 29 January 2011

Seronok tengok, andai sendiri terkena?

Ramai orang sedang mengikuti penuh minat perkembangan terbaharu di Mesir, dalam apa yang disifatkan sebagai gerakan 'revolusi' menuntut pengunduran Presiden Mubarak.


Semakin hari, penulisan yang mengambil inspirasi dari apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir ini saya perhatikan semakin popular. Mempromosi agar rakyat Malaysia turut sama mengambil semangat daripada apa yang berlaku.

Untuk melakukan relovusi, matlamatnya, tukar kerajaan.








Sumber semua foto (SINI)

Namun begitu, ramai juga yang 'buat-buat' terlepas pandang akan perbezaan demografi dan kependudukan Malaysia berbanding negara-negara Arab ini.

Macamlah Malaysia ini 99% populasinya Orang Melayu sebagaimana Tunisia dan Mesir yang majoritinya bangsa Arab.

Malaysia berbilang kaum dengan setiap kaum ada keperluan dan kepentingan masing-masing.

Bagi negara yang majoritinya Islam, mungkin elemen agama boleh menjadi penyebab utama gerakan revolusi. Begitupun, bagi Malaysia, yang pelbagai kaum, faktor agama mungkin tidak sepenuhnya didokong oleh kaum (faktor ekonomi, kesaksamaan, keselamatan, etc. mungkin lebih signifikan kepada kaum lain).

Sekalipun setiap kaum ada ketidakpuashatian tertentu kepada kerajaan, serasa saya tidaklah sampai ke tahap sanggup untuk meruntuhkan tamadun yang dibina sekian lama dan kebijaksanaan melalui gerakan 'revolusi' ini.

Sekian lama di tampuk kuasa, BN memang diakui sakit baik oleh kawan atau lawan. Setiap kali bertukar PM, sakitnya masih sama, tahapnya sahaja mungkin berbeza.

Seburuk-buruk BN dan sebaik-baik Pakatan pun, masing-masing ada bawa kebaikan dan kekurangan.

Yang mustahaknya, mana sakit boleh dirawat hendaklah dirawat. Mana yang rosak, hendaklah (diubah) dipotong atau diganti dengan yang baru secara demokrasi sebagaimana ditunjukkan selepas PRU ke-12 yang lalu (Kedah, Selangor, PPinang).

Kebimbangan saya apabila orang begitu ghairah bercakap mengenai revolusi adalah:

Mampukah bangsa Malaysia (yang berbilang kaum ini) bangkit membina tamadun bersama-sama andai kita terjebak ke dalam kancah 'revolusi' sebagaimana dihadapi Mesir sekarang ini?

Dengan keadaan sekarang, kaum manakah yang akan sanggup 'memperdagangkan' (trade) apa yang telah mereka kecapi demi menjayakan 'revolusi' (tukar kerajaan)?

Sanggupkah orang-orang Cina membenarkan perusahaan, kedai dan pusat perdagangan milik mereka dibakar, henti operasi, ditutup, bungkus, seperti di Mesir?

Atau setelah kerajaan lumpuh, tiada pentadbir untuk mengurus pentadbiran dan bayaran gaji kakitangannya, dan kaum Melayu yang majoritinya makan gaji akhirnya menganggur?

Jelasnya, pelbagai indikator wajar diambilkira sebelum kita ghairah dengan idea dan 'semangat' revolusi ini. 

Tengok orang ramai merusuh memang semangat dan seronok. Tengok orang bakar pejabat Presiden, terajang pintu kaca dan bakar kereta kebal seronok.

Tapi bagaimana pula perasaan kita sekiranya peristiwa itu terkena pada kita sendiri?

Bagaimana untuk kita menjustifikasikan tindakan tangan-tangan kita sendiri yang membakar dan merosakkan ketamadunan yang dibina secara susah-payah orang terdahulu dan kita sendiri?

Renung-renungkanlah.

Macam Celaka - kuasa dua

Sumber: utusan online

Ingin juga diketahui apakah perasaan 'orang' (mangkak) ketika mencampak bayi ini dan melihatnya meninggal dunia di dalam longkang berair, penuh sampah dan kotoran ini.

Tersenyumkah dia? Gugupkah dia, kerana bakal menjadi pembunuh? Takutkah dia oleh sebab kalau-kalau ada orang lain yang akan terlihat perbuatannya? Atau lupa bahawasanya Allah s.w.t itu Maha Melihat?

Kalau nak jadi manusia yang celaka pun, cuba nak jadi pembunuh yang paling celaka pun, kurang-kurangnya balutlah bayi tu, masuk dalam bakul, cari tempat yang ia (bayi) boleh diselamatkan. 

Yang orang ramai boleh selamatkan bayi yang tidak berdosa apa itu dengan di bawa ke tangan pihak hospital atau rumah perlindungan.

Di manakah nilai kemanusiaan. Lembu pun tak buang anak!

Friday, 28 January 2011

Belajar Sejarah: Pahit yang perlu ditelan

Saya telah berkali-kali menulis dan menekankan di dalam artikel saya peri-pentingnya sejarah dipelajari dan difahami oleh semua.

Saya ada menulis komen mengenai 'Interlok' dan 'mansuh hak bumiputra' sebelum ini - cari dalam posting Jan 2011 blog ini.

Memandangkan saya bukan seorang penulis dan blogger terkenal, makanya tidak banyak impak yang mampu saya sumbangkan ke arah memperkaya saluran dan input yang membincangkan isu-isu tersebut.

Makanya, eloklah juga buah fikiran tokoh blogger terkenal seperti Tun M ini dirujuk terutama oleh generasi terkemudian di dalam memahami sejarah, sama ada yang tertulis, mahupun yang tidak ditulis.

Banyak sebenarnya fakta sejarah yang tidak diketahui kerana tidak ditulis. Mereka yang hadir ke kursus-kursus BTN mungkin maklum berkenaan perkara ini.

Mengapa tidak didedahkan fakta-fakta itu? Emmm...

Selamat membaca.

-------------------------------------------------------------

SEJARAH

Bookmark and Share
1. Sejarah menceritakan apa yang telah berlaku dahulu kepada sesuatu negara atau bangsa. Tidak semua yang diceritakan diasaskan kepada fakta yang benar-benar berlaku. Tiap negara dan tiap ahli sejarah mengutamakan kepentingan negara apabila menulis berkenaan sejarah yang dilalui oleh negara masing-masing.

2. Demikian penulis sejarah British apabila menulis berkenaan pertempuran perang di Waterloo mendakwa bahawa pertempuran itu telah selesai dimenangi oleh Duke of Wellington, Jeneral yang mengetuai tentera British sebelum tentera Jerman yang diketuai oleh Blucher sampai ke Waterloo untuk membantu Wellington.

3. Ahli sejarah Jerman pula menulis bahawa Wellington hampir kalah di Waterloo apabila Blucher sampai dan menyelamatkan tentera British dan seterusnya memberi kemenangan kepada tentera gabungan Jerman dan British.

4. Banyaklah rencana dalam buku sejarah yang memberi gambaran yang berlainan dan berbeza berkenaan dengan peristiwa yang sama kerana kepentingan negara masing-masing.


5. Kita jarang membaca dalam buku sejarah Barat bahawa negara Sepanyol ditawan dan dikuasai orang Islam selama 800 tahun, atau kekalahan teruk tentera British di Gallipoli, Turki, di tangan tentera Turki pimpinan Mustafa Kamal.


6. Sekarang kita dengar pendapat bahawa dalam menulis sejarah negara kita sensitiviti semua kaum mesti diambil kira. Soalnya setakat manakah yang sensitiviti boleh menidak kebenaran sejarah? Jika ia keterlaluan maka sejarah yang akan dipelajari oleh penuntut kita akan menjadi cerita dongeng dan bukan sejarah.


7. Umpamanya ada dakwaan berkenaan dengan penduduk asal semenanjung ini yang bercanggah dengan kebenaran. Apakah kerana sensitifnya perkara ini maka kita tidak akan sebut berkenaan penduduk asal negeri-negeri Semenanjung, berkenaan orang asing yang datang menduduki semenanjung ini, yang menjadikan bahasa tempatan sebagai bahasa mereka, menerap sebahagian daripada budaya dan pakaian tempatan sebagai budaya dan pakaian mereka. Sekarang tidak ada lagi orang seperti ini kerana di zaman ini perlakuan seperti ini tidak dapat diterima oleh kaum tertentu.


8. Dan banyaklah lagi kebenaran sejarah yang boleh dianggap sensitif, sensitif kepada Melayu, Cina, Tamil, Iban, Kadazan dan lain-lain suku kaum. Jika semua yang sensitif kepada kaum-kaum di Malaysia ditapis maka tidak ada pelajaran yang akan diperolehi penuntut.


9. Sebaliknya satu daripada hasil dari matapelajaran sejarah ialah kita lebih prihatin dengan tidak melakukan kesalahan-kesalahan dahulu dalam tindak-tanduk rakyat dan pemerintah. Jika dahulu sistem raja berkuasa mutlak kerap membinasakan negara, maka sistem itu diganti dengan sistem pemerintahan oleh rakyat. Tanpa pengalaman dalam sejarah maka pembetulan cara pemerintahan negara tidak akan dapat dibuat.


10. Kata George Santayana, seorang ahli pemikir Amerika, "Mereka yang lupa akan sejarah akan didera dengan mengulangi kesilapan mereka berkali-kali".


11. Kita semua belajar dari pengalaman. Jika zaman ini lebih baik iklimnya daripada dahulu sebabnya ialah kerana kita tidak amalkan kesilapan-kesilapan dahulu. Kita telah belajar dari pengalaman kita dan pengalaman ini adalah sebahagian dari sejarah.


12. Jika kita lupakan atau ketepikan pengalaman dahulu yang kita alami tak dapat tidak pembaikan iklim dalam masyarakat manusia tidak akan menjadi lebih baik.


13. Saya telah baca buku teks sejarah dan saya dapati banyaklah peristiwa yang penting yang berlaku di zaman penjajahan British, Jepun, Siam dan sekali lagi British yang tidak terdapat dalam buku-buku ini.


14. Saya tahu apa yang tertinggal atau apa yang tidak diberi ulasan yang tepat kerana saya melalui zaman-zaman ini. Saya harap penulis yang akan menulis buku teks yang baru, sambil mengambilkira sensitiviti tetapi akan berpegang kepada kebenaran.


15. Oleh kerana semua ini maka janganlah kita terlalu ghairah untuk tidak menyentuh sensitiviti kaum-kaum di negara tercinta ini sehingga hilang segala pelajaran yang boleh diperolehi dari sejarah kita yang benar. 

Sumber: SINI

Petikan Minggu Ini

Rasuah; bagi salah, tak bagi kalah.

Markom siasat Maarof?

Saya kira berita ini (Muhyiddin arah Jabatan Pelajaran Johor siasat cuti suami calon PAS) adalah pelengkap minggu yang penuh riang-ceria.

Tambahan menceriakan lagi, tugas menyiasat telah diserahkan kepada Ketua Pengarah Pelajaran, Markom Giran yang telah heboh diperkata ramai, setelah 'terkantoi' berkempen bagi BN - cari video ucapan Markom di YouTube.

Dengan pengumuman ini, Markom pastinya individu yang paling riang kerana ibarat pedang sudah di tangan, bersedia untuk memancung apa jua peluang yang terhidang.

Jika calon BN (Tok Ai) dipalit dengan tuduhan berkaitan urusan lelongan tanah, kini apa jua isu yang boleh memalit kredibiliti calon PAS akan dicanang dan dijual sebagai bahan pelaris kempen.

Kepada cikgu Maarof, selamat beriang-ria dengan Tuan Markom. Ini baru bahang sebab jadi suami 'calon'.

Man oh man!

Wednesday, 26 January 2011

Coming Soon in HD




 Coming Soon - Sky Atlantic HD

Di sebalik revolusi

Ringkas sahaja. 

Cerah vs Gelap

Idea penulisan dibantu hasil rumusan saya terhadap buku karangan Harun Yahya (Gerakan Freemason/FM Sedunia, 2005, pp. 130-132).

Pendekatan yang mendokong fahaman humanisme, materialisme, sekularisme dan bermacam lagi yang lazim kita dengar hari ini (kapitalisme, komunisme, evolusi, etc) merupakan pegangan golongan FM, Jacobin, Ikhwan as-Safa' (Sahabat Sejati a.k.a FM Dunia Islam) dan pelbagai lagi.

Fahaman-fahaman ini telah secara halus (diluah secara rahsia melalui simbol tertentu) cuba diserapkan oleh pemikir-pemikir Eropah sekitar abad ke 17 dan 18, bertujuan melemahkan institusi agama, ketika itu di bawah pimpinan gereja Kristian Katolik.

Pada zaman itu (hari ini pun), idea-idea materialisme dan evolusi (humanisme juga) telah diterima secara meluas di dalam masyarakat Eropah sehingga idea-idea ini berjaya meminggirkan fungsi dan peranan Tuhan dan agama di dalam nilai kehidupan mereka.

Zaman ini dikenali sebagai Zaman Kesedaran (Enlightment/pencerahan).

Terma 'Kesedaran' ini telah 'dipilih' dengan begitu cermat sekali oleh 'mereka', sebagai menandakan titik mula  kewujudan gerakan kesedaran di dalam masyarakat di Eropah untuk merangkak keluar daripada apa yang 'mereka' dakwa sebagai Zaman Kegelapan (Dark Age).

Dark Age - zaman di mana agama Kristian telah dituding sebagai penyebab kemunduran dan kejumudan melalui ajaran yang mengarut, penuh dengan perkara "mambo-jumbo", sehingga manusia gagal memahami dan membangunkan kuasa 'akal' ke tahap yang melebihi batasan 'peraturan' (agama).

Agama Akal

Maka, setelah Eropah berjaya disekularkan dan nilai-nilai agama diketepikan sepenuhnya daripada bercampur dengan kehidupan (agama suku, hidup suku - ramai orang macam ini dah wujud di Malaysia sekarang pun!), maka inilah yang mereka anggap sebagai bermulanya era baru, era di mana Agama Kristian dipinggir dan 'Agama Akal' diagung-agungkan.

Namun, apakah Zaman Kesedaran ini telah membawa hasil dan natijah yang positif kepada dunia Eropah?

Emmm....tidak banyak. Salah satunya adalah tercetusnya 'Revolusi Peranchis', yang telah menukarkan negara terbabit menjadi lautan darah. Ada kisah suka? Kisah duka banyak. Tak percaya? Jengoklah sikit foto-foto di Wikipedia ini - KLIK

Seorang pemikir British yang mengkaji Revolusi Peranchis ini iaitu Admund Burke di dalam bukunya "Reflection on the Revolution in France (1790)" menyimpulkan bahawa tiada hasil positif yang dibawa oleh gerakan revolusi, melainkan menyumbang kepada konflik-konflik masyarakat yang berlarutan tanpa penyelesaian (sehingga ke abad yang ke-20).

Tambah beliau lagi, gerakan revolusi tersebut juga "telah memusnahkan nilai-nilai asas yang menyatupadukan masyarakat (seperti agama, moral, struktur kekeluargaan), selain membuka ruang kepada anasir jenayah dan kekacauan" (p. 130).

Lebih tepat lagi, 'kesedaran' yang dibentuk mengikut acuan 'mereka' sebenarnya merupakan "gerakan kemusnahan kepada kebijaksanaan manusia" (p. 130).

Sesungguhnya revolusi Peranchis ini adalah suatu gerakan ke arah meruntuhkan agama dan memisahkan manusia daripada terikat dengan peraturan (agama) bagi membimbing hidup mereka. 

Sehingga hari inipun, ramai warga Peranchis sendiri masih mempersoalkan sama ada revolusi ini adalah suatu perkara yang baik, atau sebaliknya.

Tunisia

Barangkali apa yang telah berlaku di Tunisia baru-baru ini tidaklah sama dengan revolusi Peranchis kerana rata-rata orang beranggapan ianya merupakan titik mula kepada agama Islam (peraturan) untuk kembali tertegak di negara yang sekian lama gersang daripada tarbiah. Alhamdulillah, harap kekal begitulah.

Kerisauan saya adalah, apakah revolusi Tunisia ini tidak dipacu (bebas) oleh idea-idea materialisme?

Materialisme yang saya maksudkan ialah kebangkitan rakyat menolak pemerintah kuku besi adalah disebabkan faktor kemiskinan dan kemelaratan hidup (ekonomi - pengangguran, inflasi, pendapatan rendah) dan sosial (jenayah, kekacauan, diskriminasi, etc), bukan bergantung kepada faktor agama semata.

Satu yang perlu diperhatikan, sebagaimana parut dalam yang telah ditinggalkan oleh revolusi Peranchis, apakah 'Zaman Kesedaran' Tunisia ini akan berjaya melepasi halangan ke arah mewujudkan kerajaan baru yang lebih Islamik, menyatukan semula masyarakat dan sistem kekeluargaan dengan menjadikan nilai-nilai Islam sebagai teras kehidupan?

Atau sekadar suatu lagi fasa yang akan memanjangkan tempoh kemusnahan kebijaksanaan manusia dengan mengkompromikan agama di atas nama materialisme dan humanisme?

Jangan pula nanti kita pula yang jadi makin muak menatap berita mengenai episod kekacauan demi kekacauan yang tidak berpenghujung di Tunisia!

------------------------------

nota: 

- Kenapa saya tulis artikel ini? Sebabnya kurma yang saya selalu makan baru sahaja habis. Kurma 'Sultan' dari Tunisia. Teringat Tunisia, itulah yang buat saya tergerak kumpul sedikit bahan untuk menulis. 

- Saya sudah tidak mengikuti lagi kisah Tunisia ini. Apakah telah ditubuhkan kerajaan baru setelah Ben Ali ditendang keluar?

- Sumber penulisan saya iaitu buku 'Gerakan FM Sedunia' ini menarik untuk dibaca sebagai penambah pengetahuan. Ianya menawarkan sisi yang berbeza daripada penulisan di internet. Di dalam usaha Harun Yahya menyiapkan buku ini, beliau telah ditangkap, difitnah sehingga dipenjara di penjara orang gila oleh 'mereka' dengan harapan beliau mati dibunuh orang gila semasa di penjara.

- Sumber yang beliau guna untuk menulis buku tersebut dipetik langsung daripada majalah FM sirkulasi dalaman yang memuatkan pernyataan ketua-ketua agung FM sendiri.

- Anda ingat FM itu dilahirkan untuk menjaga kepentingan Yahudi? Selalu didengari orang menulis di forum-forum dengan istilah YahudiFM, FMyahudi, Iluminati, etc. benarkah?

- Sebenarnya FM adalah gerakan yang anti semua agama (Islam, Yahudi, Kristian), dan sama ada anda percaya atau tidak, Yahudilah yang paling 'terluka' setelah diresapi gerakan rahsia FM, yang selama beribu tahun beroperasi secara sulit dan terlindung ini!

Sekian.

Tuesday, 25 January 2011

Project Gutenberg

Pertamanya, terima kasih kepada Wakjeng di atas perkongsian info.

Anda tentu suka benda percuma bukan? Bukan anda sahaja, saya pun (terutama makan free).

Tetapi yang ini bukan mengenai makan, tetapi buku elektronik a.k.a e-book percuma. Layari Project Gutenberg bagi memilih buku-buku kegemaran anda (andai ada).

Mungkin anda, para pembaca buku generasi baru akan meminati medium bacaan elektronik, begitupun saya secara peribadi mendapati agak janggal dan kurang cocok kerana masih banyak bergantung kepada metod konvensional a.k.a buku/bacaan bercetak.

Apapun, semoga beroleh manfaat.

Jangan tak bayar saman!

Sekadar berkongsi email yang diterima oleh seorang kawan, mengenai 'ahli baru' dalam pasukan PDRM. Tengok kepada pegawai polis beruniform tu, foto ni betullah.

Sekalipun jentera yang diperkenalkan PDRM kelihatan garang dan mantap, tetapi tidaklah sehebat yang dipakai di negara lain. Rujuk senarai 12 jenis kereta Polis terhangat (KLIK).

Namun, sekiranya anda-anda yang disaman tidak bertangguh melunaskan bayaran saman, tidaklah mustahil kemampuan kewangan kerajaan dan agensi kepolisan akan bertambah, seterusnya memungkinkan koleksi kereta baru yang lebih 'cool' memecut di jalan-jalan raya kita di masa hadapan.

Mana mau lari Bang!






Yang ini pula contoh kereta peronda Polis luar negara:




Kepada anak muda, kalau nak merasa naik kereta yang 'cool', tak payah tunggu jadi kaya. Jadilah Polis!

Monday, 24 January 2011

Tanpa 2/3

Kegagalan kerajaan negeri Selangor melaksanakan pindaan ke atas Fasal 52 (1) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor hari ini secara langsung membuktikan kepada kita akan peri pentingnya sesebuah kerajaan itu mendapat sokongan 2/3 undi.

Kerajaan atau tidak, tanpa 2/3 undi, tiada apa yang boleh diubah/dipinda. 

Barangkali, inilah juga dilema yang dihadapi oleh kerajaan Persekutuan di bawah teraju Najib Razak selama hampir 3 tahun memerintah.

Kemenangan BN dengan majoriti mudah (lebih 50% dokongan) pada PRU yang lalu, sekalipun telah 'menyelamatkan' legasi pemerintahan yang mereka bina selama 50 tahun, masih tidak berupaya membantu mereka membina sebuah kerajaan yang 'kuat'.

Kuat dalam erti kata memiliki kelebihan melaksanakan pindaan, gubalan, penghapusan dan pembentukan dasar-dasar dan undang-undang ke arah memperkukuh dan memantapkan agenda pemerintahan.

Bagi sesebuah kerajaan, kedudukan yang selamat sahaja tidak cukup tanpa disekalikan dengan kekuatan.

Ini kerana jika tidak kuat, lama-kelamaan ia juga tidak akan  selamat.

Inilah yang mungkin sedikit menggusarkan kotak pemikiran PM, iaitu sama ada BN berpeluang menang 2/3 sekiranya PilihanRaya Umum (PRU) yang ke-13 diadakan pada waktu yang terdekat (tahun) ini?

Tanpa 2/3, tentunya sukar membentuk kekuatan bagi mencapai keselesaan - peringatan untuk Pakatan juga.

Saturday, 22 January 2011

NewScientist: Soal dan jawab

Fenomena 1: Mengapakah ada gangguan yang menyakitkan (irritant) yang menyebabkan mata berair sewaktu memotong bawang?

Jawapan: Bawang (onions and garlic), keduanya ada unsur 'sulphur-containing amino acids'. Apabila bawang dipotong, salah satu unsur ini iaitu S-1-propenylcysteine-sulphoxide, akan terurai secara enzim dan membentuk suatu unsur yang tidak stabil dipanggil propanthial S-oxide, yang akan mengganggu dan menyakitkan mata.

Apabila bersentuhan dengan air (dalam kes ini mata anda), gangguan ini akan menghasilkan tindak balas air dengan  propanol, asid sulfurik dan hidrogen sulfida. 

Pengaliran air mata, adalah tindak balas mata anda bagi mengurangkan 'gangguan' hasil tindak balas asid-asid ini.

Walau bagaimanapun, tanpa hadirnya unsur bersifat asid sebegini, akan tiadalah aroma menarik bawang yang kita hidu sewaktu ianya dimasak.

Untuk mengelakkan mata berair, adalah dicadangkan anda pilih salah satu langkah berikut:

- berhenti guna bawang (tetapi anda akan kehilangan rasa dan aroma yang menyedapkan itu)
- pakai goggle (anda pula akan kelihatan pelik!)
- potong bawang dalam air (dengan sebahagian besar aroma terbabit akan terhilang di dalam air)
- basahkan bawang dan sentiasa pastikan ianya basah sewaktu proses memotong dilakukan

(buku - Why Don't Penguins' Feet Freeze?, p.85)
--------------------------------------

Fenomena 2: Berapa lamakah masa diambil seekor lembu bagi memenuhkan the Grand Canyon dengan susunya?

Jawapan: sebelum menjawab soalan ini, syarat-syarat ini perlu dipenuhi terlebih dahulu iaitu:

- mengalihkan aliran Sungai Colorado, yang jika tidak, akan mengganggu proses ini.
- Canyon perlu diempang untuk mengekalkan simpanan susu tersebut.
- mengambilkira persekitarannya sebuah gurun, suatu sistem penyejukan mega perlu disediakan agar susu tidak bertukar kepada keju.
- untuk mengelakkan penyejatan cecair ke udara, Canyon tersebut perlu ditutup secara kalis haba.

OK, kembali kepada jawapan. Di UK, secara purata penghasilan susu oleh seekor lembu sehari adalah sekitar 15 - 20 liter (mari kita setuju dengan angka 17.5 liter).

Canyon pula bersaiz 446km panjang dengan purata 16km lebar dan sedalam 1.6km, yang memberikan selepas kiraan volume (isipadu) 10 juta bilion (1016 liter).

Ringkasnya, penghasilan susu dengan kadar yang kita setujui di atas pula akan mengambil masa kira-kira 1.8 juta juta tahun (1.8 x 1012 tahun) untuk memenuhkan Canyon ini. Itupun sekiranya kita mengandaikan Canyon ini secara keratan segi empat - bentuk lain mungkin lebih kecil nilai isipadunya.

Sekarang, anda mungkin tidak mahu menunggu sehingga 300 kali ganda umur planet ini untuk memenuhkan Canyon terbabit dengan susu.

Apa yang boleh anda lakukan (untuk cepatkan proses) adalah dengan mengalihkan seluruh jumlah penghasilan susu dunia ke Canyon ini.

Tetapi bagi tujuan ini, anda perlu jelaskan sama untuk memilih di antara 2 pilihan berikut:
- membina sistem paip saluran dari seluruh dunia ke Canyon ini
- memilih susu tepung (jimat kos daripada perlu bina paip), yang kemudiannya akan dicairkan semula setelah tiba di Canyon ini

UN FAO menganggarkan penghasilan susu global pada tahun 2004 adalah sebanyak 504 juta tan, iaitu bersamaan kepada 489 billion liter, memberikan anggaran masa untuk mengisi penuh the Grand Canyon hanya kepada kira-kira 20,000 tahun!!!!

Masih suatu kerja yang memakan masa amat panjang!

(buku - Do Polar Bears Get Lonely? pp.118-119)
---------------------------------------

SELAMAT MENAMBAH PENGETAHUAN

Petikan Minggu Ini

"Mesej yang ingin saya sampaikan adalah mudah. Kita merupakan sebuah negara dalam pembinaan. Adakah kita akan berjaya melakukannya? Adakah saya yakin kita akan dapat mencapainya. Tidak, kita tidak boleh berkata begitu. Mungkin akan berlaku kesilapan dan kita akan berpecah.

Ini adalah urusan generasi anda dan generasi yang membuatkan anda berjaya untuk memahami betapa rapuhnya masyarakat ini dan pastikan masyarakat dalam kepaduan, teruskan bersatu dan kekalkan seperti yang ada pada hari ini, bertoleransi dan bersikap tolak ansur antara satu sama lain.

Anda mempunyai sebuah negara seperti China atau Jepun. China boleh musnah, dirobohkan tetapi rakyatnya kembali bersatu untuk membina semula negara. Saya tidak pasti jika Singapura rosak, musnah atau dirobohkan, rakyatnya akan mampu untuk datang bersatu semula". - Lee Kuan Yew

Nota kaki:

Lupakan seketika persoalan sama ada kita suka atau tidak dengan Kuan Yew. 

Ini kerana peringatan ini mungkin juga berguna dan terpakai untuk dijadikan renungan di dalam proses membina bangsa Malaysia yang bersatu-padu dan berjaya.