Saturday, 29 January 2011

Seronok tengok, andai sendiri terkena?

Ramai orang sedang mengikuti penuh minat perkembangan terbaharu di Mesir, dalam apa yang disifatkan sebagai gerakan 'revolusi' menuntut pengunduran Presiden Mubarak.


Semakin hari, penulisan yang mengambil inspirasi dari apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir ini saya perhatikan semakin popular. Mempromosi agar rakyat Malaysia turut sama mengambil semangat daripada apa yang berlaku.

Untuk melakukan relovusi, matlamatnya, tukar kerajaan.








Sumber semua foto (SINI)

Namun begitu, ramai juga yang 'buat-buat' terlepas pandang akan perbezaan demografi dan kependudukan Malaysia berbanding negara-negara Arab ini.

Macamlah Malaysia ini 99% populasinya Orang Melayu sebagaimana Tunisia dan Mesir yang majoritinya bangsa Arab.

Malaysia berbilang kaum dengan setiap kaum ada keperluan dan kepentingan masing-masing.

Bagi negara yang majoritinya Islam, mungkin elemen agama boleh menjadi penyebab utama gerakan revolusi. Begitupun, bagi Malaysia, yang pelbagai kaum, faktor agama mungkin tidak sepenuhnya didokong oleh kaum (faktor ekonomi, kesaksamaan, keselamatan, etc. mungkin lebih signifikan kepada kaum lain).

Sekalipun setiap kaum ada ketidakpuashatian tertentu kepada kerajaan, serasa saya tidaklah sampai ke tahap sanggup untuk meruntuhkan tamadun yang dibina sekian lama dan kebijaksanaan melalui gerakan 'revolusi' ini.

Sekian lama di tampuk kuasa, BN memang diakui sakit baik oleh kawan atau lawan. Setiap kali bertukar PM, sakitnya masih sama, tahapnya sahaja mungkin berbeza.

Seburuk-buruk BN dan sebaik-baik Pakatan pun, masing-masing ada bawa kebaikan dan kekurangan.

Yang mustahaknya, mana sakit boleh dirawat hendaklah dirawat. Mana yang rosak, hendaklah (diubah) dipotong atau diganti dengan yang baru secara demokrasi sebagaimana ditunjukkan selepas PRU ke-12 yang lalu (Kedah, Selangor, PPinang).

Kebimbangan saya apabila orang begitu ghairah bercakap mengenai revolusi adalah:

Mampukah bangsa Malaysia (yang berbilang kaum ini) bangkit membina tamadun bersama-sama andai kita terjebak ke dalam kancah 'revolusi' sebagaimana dihadapi Mesir sekarang ini?

Dengan keadaan sekarang, kaum manakah yang akan sanggup 'memperdagangkan' (trade) apa yang telah mereka kecapi demi menjayakan 'revolusi' (tukar kerajaan)?

Sanggupkah orang-orang Cina membenarkan perusahaan, kedai dan pusat perdagangan milik mereka dibakar, henti operasi, ditutup, bungkus, seperti di Mesir?

Atau setelah kerajaan lumpuh, tiada pentadbir untuk mengurus pentadbiran dan bayaran gaji kakitangannya, dan kaum Melayu yang majoritinya makan gaji akhirnya menganggur?

Jelasnya, pelbagai indikator wajar diambilkira sebelum kita ghairah dengan idea dan 'semangat' revolusi ini. 

Tengok orang ramai merusuh memang semangat dan seronok. Tengok orang bakar pejabat Presiden, terajang pintu kaca dan bakar kereta kebal seronok.

Tapi bagaimana pula perasaan kita sekiranya peristiwa itu terkena pada kita sendiri?

Bagaimana untuk kita menjustifikasikan tindakan tangan-tangan kita sendiri yang membakar dan merosakkan ketamadunan yang dibina secara susah-payah orang terdahulu dan kita sendiri?

Renung-renungkanlah.

No comments:

Post a Comment