Tuesday, 9 November 2010

PKR...oh PKR...

Saya buka posting ini dengan memetik kata-kata bekas Timbalan Presiden S46 kepada The Time (1996) yang berbunyi:

"The worst job in politics is No. 2, because you can't survive if you stay there".

Bahana jadi no.2?
Peringatan tersebut, asalnya menjadi sebahagian nasihat berguna buat tatapan Anwar Ibrahim sendiri, yang ketika itu masih berada di dalam kabinet Mahathir sebagai Menteri Kewangan.

Waktu itu telah timbul cakap-cakap bahawasanya Mahathir (Tun) bakal bersara dan akan menaikkan penggantinya ke kerusi Perdana Menteri dan Presiden Parti.

Ingatan tersebut juga dilihat selari dengan fakta sejarah politik dan kepimpinan negara di mana kerusi no.2, calonnya sering tidak kekal lama.

- Ada no.2 yang merajuk dan meletakkan jawatan.
- Ada no.2 yang berundur selepas ditekan oleh bahana undi bonus 10
- Dan selepas 1998, no.2 juga telah dipecat dan dilucut jawatan.

No.2 dalam PKR

Ironinya, sejarah 'badi no.2' kini berulang kembali.

Bezanya kali ini bukan melibatkan Anwar secara langsung, tetapi melibatkan perebutan jawatan no.2 dalam parti yang dipimpinnya, PKR.

Minggu ini, selain kisah kemenangan BN di PRK mulai mengendur, media arus perdana mendapat modal baru untuk dihangat, dibakar dan disemarakkan, iaitu isu penarikan diri Zaid Ibrahim daripada bertanding kerusi no.2 PKR.

Sehari selepas itu, seorang lagi calon yang bertanding untuk kerusi yang sama, Mustaffa Kamil turut tampil bersama-sama Zaid pada satu sidang media dan membuat gesaan supaya proses pemilihan PKR ditangguhkan bagi menyiasat kepincangan yang didakwa berlaku, atau berdepan penarikan dirinya daripada pertandingan.

Terbaharu, Zaid terus menghangatkan suasana dengan meminta pula Anwar dan Azmin berundur daripada PKR, kerana kedua-dua figura ini dianggap sebagai pencetus segala permasalahan yang kini mengambil tempat di dalam PKR (sumber).

Pulak dah!

Penarikan diri Zaid telah diulas pelbagai pihak. Jika anda jenis yang berminat untuk ambil sibuk, bak kata ramai orang kini "google sahajalah".

Ada ulasan dan kupasan yang pro dan ada yang kontra. Ini merupakan sesuatu yang sihat bilamana seseorang berminat untuk mencari keseimbangan terhadap maklumat berkait dengan sesuatu perkara - perlu buka kedua-dua mata dan telinga.

(bacaan tambahan: komen Prof Aziz Bari - politik apa yang Zaid mainkan?)

Persoalan mengenai Zaid dan masa depan beliau dalam politik bukanlah mampu sesiapapun ramalkan. Ini kerana politik adalah seni segala kemungkinan.

Buktinya: Ku Li, daripada perjuangan dalam UMNO, kemudian melawan Mahathir (Tun) dan tewas tipis. Kemudian mengetuai Team B 1987, keluar UMNO dan tubuhkan S46 yang kemudian membentuk APU dengan PAS + DAP, menentang BN-UMNO pada PRU 1990 (dosa besar Ku Li yang terang-terang menentang UMNO dan Mahathir, yang tidak akan dilupa oleh para pendokong UMNO), bubar S46, kembali ke pangkuan UMNO, dilantik menjadi Ketua UMNO Gua Musang dan kekal sebagai 'Raja Ulu Kelantan' hingga ke hari ini.

Barangkali sejarah jatuh-bangun Ku Li ini tidak boleh disamakan dengan perjalanan politik dan masa depan Zaid ketika ini. Begitupun, segalanya boleh jadi, kan?

Berkenaan Anwar dan PKR pula, ramai yang ditemubual oleh TV3 - pemimpin BN tentunya, melihat PKR ini bakal runtuh, rebah mengembah bumi. Hanya masa sahaja yang akan menentukan bila - kata mereka.

Untuk salahkan 'musuh' pun tidak boleh juga, sebab itulah peranan musuh. Tambahan pula, "peluru dan senapang" sudah disediakan oleh Zaid, tinggal saja penempak BN untuk menggunakannya bagi menyerang PKR sahaja.

PKR memang sedang bergoncang dan retakan-retakan kecil dan besar mulai kelihatan.

Namun, apakah yang 'retak ini akan membawa belah', membawa perpecahan dan meruntuhkan organisasi seperti PKR?

Adakah langkah mengadakan pemilihan sebegini sebenarnya suatu kesilapan besar kepada PKR sendiri?

Apakah Anwar pimpinan tertinggi PKR akan dapat tampil dengan suatu penyelesaian yang sebenarnya dan seterusnya menamatkan 'badi no.2' yang terus membelenggu PKR?

Perihal Anwar pula, saya secara peribadi melihat, keributan yang ditimbulkan oleh Zaid ini tidak akan menggugat status quo Anwar dalam PKR.

Pada saya, datang dan pergi Zaid adalah sama sebagaimana ramai lagi 'rakan-rakan' Anwar yang meninggalkan beliau lama sebelum Zaid seperti Chandra Muzaffar, Marina Yusuf, Ezam (Senator), Roslan Kassim, Zahrain, ZulKulim dan ramai lagi.

Anwar dan PKR masih juga di situ!

3 comments:

  1. Inilah dunia politik, hari ini berkawan, esok berlawan. Bagi warga DK, isu ini hanyalah penambah perisa semasa menghirup teh susu bersama nasi minyak, tak menjadi 'kudis gatal'.

    Namun begitu timbul juga pertanyaan samada mampu atau tidak Anwar mentadbir negara jika dia menjadi PM kerana ramai rakan-rakan UMNO yang menyertai PKR hanya sekadar bertandang, tak lama selepas itu akan mohon untuk berundur diri.

    Soksek2 di kedai Pok Weil juga kedengaran, siapa pengganti Anwar jika beliau tiada. Azmin Ali..? Haji Hadi..? Nik Aziz..?, mereka masih berwajah Melayu tapi mereka tidak diyakini oleh warga DK. Dibimbangi akan diganti pula dengan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh... apa akan jadi kepada Islam agama rasmi.

    Warga DK juga sudah pandai berpolitik, sudah ada facebook sendiri....

    ReplyDelete
  2. Buat Dr.Sepet. Durian Kassim juga sudah ada Facebook untuk berkongsi maklumat dengan seluruh warganya dimana jua berada.

    Kami juga telah mewarwarkan blog Dr Sepet di Facebook Durian Kassim

    ReplyDelete
  3. terima kasih banyak2 di atas promosi. saya baru sahaja menjengah fbDK. Tahniah! kerana bukan sedikit komitmen untuk kerja-kerja sebegini - perlu masa dan kesungguhan untuk 'update' kisah dan berita.

    baguslah jika orang/ahli di peringkat akar umbi sendiri mula berbicara secara 'kritikal' isu-isu politik tanah air.

    saya pun tiada jawapan (buat masa ini), sama ada selain UMNO, pimpinan pakatan mampu untuk membela nasib dan masa depan orang2 melayu dan anak cucu kita kelak.

    begitupun, kita perlu ambil cakna, dan yang penting kena sanggup menerima 'both side of the stories', baru tidak berat sebelah pertimbangan kita.

    terima kasih sekali lagi. salam

    ReplyDelete