Sunday, 7 November 2010

Kemenangan di Galas

Kebelakangan ini saya sering menonton siaran berita di  Astro501 (Awani), dengan harapan pemberitahuannya akan lebih telus sedikit berbanding TV kerajaan dan TV3.

Namun, apa yang saya harapkan nampaknya masih jauh untuk digapai. Laporan media yang beretika, berintegriti, telus dan seimbang, bebas emosi dan provokasi nampaknya semakin hari semakin menjadi 'mimpi di tengah hari'.

Bagitupun, saya gemar melihat dan mentafsir apa yang berlaku ini dari perspektif 'yang sebaliknya'. 

Maksudnya, jika ramai orang yang melihat bahawa orang Melayu dulu-dulu sanggup bergolok-bergadai menyerahkan gelang dan rantai emas mereka semata-mata untuk menampung perjalanan Tunku ke London bagi menuntut kemerdekaan negara, saya pula melihatnya - mengapa pemimpin kaum-kaum lain yang bersama-sama semasa itu (siapa mereka? buka dan baca balik buku sejarah) yang kaya kerana dasar 'pecah dan perintah' British, tidak tampil dan menanggung hamba Allah ini (Tunku) kerana tuntutan kemerdekaan negara adalah untuk mengembalikan hak-hak seluruh penduduk dan penghuni tanah bertuah ini?

Itu sekadar contoh, bagaimana kita boleh bertindak melihat sesuatu dari perspektif 'yang sebaliknya'.

Berbalik kepada tujuan posting ini iaitu tinjauan pasca-PRK Galas, yang jelas dimenangi BN, melalui perwakilan parti UMNO.

Hari-hari, selepas seluruh rakyat jelata tahu akan kemenangan 2-0 (kedudukan sekarang menjadi 5BN-8Pakatan), media tidak putus-putus mencanangkan berita bahawa rakyat telah kembali kepada BN, dalam erti kata, rakyat kembali memberikan sokongan dan dokongan setelah merasa yakin dengan usaha pemulihan yang sedang berlaku di dalam parti pemerintah kerajaan persekutuan ini.

Pengekalan 'Bank Undi' daripada masyarakat Orang Asli, karisma dan populariti pengarah piliharaya Tengku Razaleigh (KuLi), kepandaian jentera dan media pro-BN memainkan isu pembangunan dan setempat, dan peralihan 3-3.5% undi masyarakat Cina kepada BN adalah antara faktor yang menyumbang kemenangan bergaya calon BN - sebagaimana dibentangkan para penganalisa politik.

Benarlah apa yang dinyatakan oleh para penganalisa yang bijaksana. Semasa sesi perbincangan 'meja bulat' saya lebih tertarik dengan salah seorang ahli panel, dari IDEAS, jikalau tidak silap.

Beliau saya jangka, mungkin akan kurang tawaran untuk diundang dan tampil di kaca TV selepas ini, selepas menggunakan istilah 'rasuah-rasuah yang diofferkan', bagi mengulas langkah-langkah BN dan agensi-agensi Persekutuan yang menyediakan 'projek-projek' pembangunan, yang 'kebetulan' diumumkan semasa kempen PRK Galas mengambil tempat.

Sekalipun menang tidak mengubah apa-apa di Kelantan, faktor kemenangan moral tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

BN, UMNO khususnya begitu memerlukan suatu lonjakan (booster) bagi memacu pelan transformasi dan pemulihan parti dan ahlinya, sebagaimana yang dilaung-laungkan di perhimpunan agung yang baru selesai tidak lama sebelum PRK.

Perubahan ini nampak ketara, pada pengamatan saya. Di antara yang saya nampak adalah, pertama, KJ (ketua perusuh/Pemuda), telah tidak lagi bermulut celupar dan tidak lagi bercakap berdentum-dentum, merendah-rendahkan rakyat Kelantan dan tidak lagi 'mengusik' keperibadian Tuan Guru Nik Aziz. Bukan sahaja KJ, malah jentera UMNO secara keseluruhannya juga begitu. 

Agaknya, apabila 'sarang tebuan tidak dijolok' makanya kuranglah bahang dan serangan kepada mereka. Ini kerana isu dan serangan ke atas Tok Guru, terutama oleh orang UMNO luar Kelantan, bukan sahaja boleh menaikkan marah orang-orang PAS, malah mereka yang menjadi ahli UMNO juga. Tidak usik Tok Guru, tebuan tak datang serang.

BN, melalui semua media arus perdana menggunakan satu-satunya sumber maklumat para pengundi Gua Musang, TV dan Akhbar, bagi merobek segala kisah duka, kisah sengsara dan segala yang busuk dan buruk tentang kelemahan pentadbiran kerajaan negeri di bawah PAS kepada rakyat 1Malaysia.

Jika 1 hari, mungkin orang susah nak percaya, tetapi jika doktrin itulah yang disogok kepada minda pembacanya setiap hari selama seminggu? Yang 60% yakin dengan PAS, barangkali boleh menurun menjadi 40%. Apatah lagi yang 'di atas pagar'. Sana goyang kuat sikit, jatuhlah dia daripada pagar yang ditenggekinya.

(faktor luar: pengundian kacau PKR turut mencerminkan wujud kelemahan-kelemahan Pakatan, yang bercita-cita nak ke Purtajaya)

Setelah menang, TPM kata keyakinan rakyat kembali pulih buat BN-UMNO. Benarkah?

Bagi saya, kemenangan Galas hanyalah kemenangan moral. Ini kerana selain undi disebabkan 'betul-betul sokong', turut dibantu dengan pelbagai lagi 'habuan' menarik untuk rakyat, jika calon BN menang kelak. Anda mungkin berbeza pandangan dengan saya, tidak mengapa.

Jika dikira daripada segi statistik, kemenangan Galas tidak boleh digeneralisasikan untuk menggambarkan  sokongan terhadap BN secara keseluruhannya telah pulih. Ini kerana Galas hanyalah 1 daripada beratus kawasan DUN di Malaysia.

Sebagai penutup, saya kira kedua-dua pihak BN dan Pakatan harus sedar dan peka iaitu 'mesej' masyarakat Cina bahawa peralihan sokongan mereka kepada mana-mana parti/calon, boleh merubah haluan dan keputusan sesuatu PRK.

Dulu, orang Cina ramai sokong calon PAS (arwah), PAS menang. Kini sokongan mereka beralih kepada BN, dan calon BN dapat jadi YB.

Ini adalah petanda jelas bahawa undi 'kumpulan penentu' berperanan besar di dalam survival parti dan calon yang bertanding.

(soalan: Mengapa pengundi kumpulan minoriti begitu berpengaruh dan perlu dilakukan segalanya untuk mengambil hati mereka? Mengapa pengundi yang majoriti tidak boleh dijadikan kuasa penentu?)

Kedua, longgokan habuan dalam bentuk peruntukan pembangunan buat pengundi. Adakah PAS, pada masa depan perlu 'menari mengikut rentak' BN, iaitu berlumba-lumba menabur janji-janji pembangunan?

Atau mampukah PAS kekal dengan pendekatannya sekarang, malah sebetulnya para pengundilah yang seharusnya perlu berubah agar lebih pandai menilai (pilihan mereka dan natijahnya bukan sahaja di dunia, tetapi di akhirat kelak)?

Wama-alaina-illalbala-rulmubin. Wassalam.

No comments:

Post a Comment