Monday, 12 April 2010

Berita Dari Kampung: Sudahlah hidup miskin, belajar malas pula...

Bukan senang

Awal pagi tadi (sebelum subuh lagi) saya menerima panggilan telefon dari Ayoh.

Kali pertama Ayoh menelefon saya dalam tempoh beberapa (banyak) tahun kebelakangan ini. Entah, tidak dapat saya ingat bilakah kali terakhir Ayoh menalefon saya.

Justeru, bukan senang untuk menerima panggilan dari Ayoh. Adik-adik yang lain pun pastinya sedia maklum.

Tetapi dalam kes saya, mungkin dia tahu yang saya selamat dan sejahtera setelah berumahtangga ini.

Dalam keadaan separa jaga saya bertutur dengan Ayoh. Biasalah, ada 'lag' sikit, makanya dia bercakap, saya pun turut bercakap sama.

Lepas tu dua-dua bertanya soalan, lepas tu dua-dua senyap sebab menunggu siapa yang akan menjawab dahulu...Huhu.

Katanya Mok suruh saya telefon semula sebab ada benda yang ingin 'dikirimkan'.

Apabila tak pandai pilih kawan

Balik kerja pukul 8 tadi, menalefonlah saya akan Mok. Rupanya dia teringat yang dua orang adik ipar akan ke Oxford pertengahan bulan hadapan.

Ditanyalah saya jika ada pesanan dari kampung yang ingin dikirimkan kelak.

Tipikal orang Terengganulah, keropok keping dan ikan pari kering (ikan pari yang dijadikan ikan kering). Memang meleleh air liurlah jawabnya.

Selain bersembang kosong, bertanyalah saya akan keadaan kesihatan saudara-mara di kampung. Ada pakcik yang sakit jantung, tetapi Alhamdulillah makin pulih.

Apa lagi perkembangan dari kampung? - tanya saya.

"Ada tu ha budak yang tidak mahu bersekolah. Itulah padahnya apabila terlalu sayang (buta-tuli) pada anak, dibelikan motosikal, budak tu pulak semakin panjanglah langkah dia".

"Yang terbaru, dah tak nak sekolah. Rasanya baru tingkatan 4. Sekarang duduk merambu ke hulu ke hilir dengan motor macam orang tiada tujuan hidup. Lapar karang balik minta nasik kat mak dia".

Ini kisah benar yang berlaku dekat dengan rumah mok. Apakan daya, kesian juga melihatkan mak ayah dia. Mula-mula pujuk...tak makan pujuk. Lepas tu cikgu datang bertanya khabar....buat keras kepala. Jumpa tok bomoh (haha?), tok bomoh memang penipu je.

Sekarang duduk berkawan dengan pelesit-pelesit kampung yang 'gong', tapi apabila lapar balik minta nasi ngan mak depa juga. Bodoh tapi kelakar.

Apakah mahu susah dan miskin lagi?

Bagi generasi yang seusia dengan Ayoh, agaknya sudah terlewat untuk kembali ke sekolah dan belajar dan mengejar cita-cita yang tidak kesampaian - orang dulu-dulu ramai bercita-cita nak jadi bomba, polis, askar dan cikgu.

Tetapi apa kejadahnya dengan bebudak muda sekarang ni? Hendak bersekolah bukannya kena bekerja kumpul duit sendiri. Mak ayah masih mampu untuk tanggung.

Hidup di kampung pun susah. Ditambah pula tiada pelajaran, bertambahlah susah (ini susah yang dicari).

Kesihan melihat orang tua, dan adik-adik yang berderet kat belakang dia. Ada abang pun bukan boleh dibuat contoh.

Apabila Mok tegur, dijawabnya "tak belajar tinggi pun boleh hidup juga. Kerja @ membanting tulang pun boleh kumpul duit juga". Inilah mentaliti bodoh yang susah nak diajar.

Akhirnya Mok diam saja. Kalau tak fikir perasaan dan hati kedua-dua orang tuanya, mau saja dikerjakan budak tu.

'Kuasa' ilmu

"Kita nasihat sebab kita sayang. Tengok orang yang tinggal dekat dengan kita, yang kita bagi makan dan tumpang tidur masa kecil-kecil dulu, yang datang mengaji dengan Ayoh, berubah jadi macam ini".

"Kita nak malu pun benda dah jadi (tinggal persekolahan). Kita tumpang sedih jelah".

Saya pun terasa panas telinga juga setiap kali Mok mengadu, (mujur aku tinggal jauh.) Dulu masa saya pulang sekejap pun budak tu langsung dah tak melintas depan rumah. Segan ke, takut ke, entahla.

Semasa kecil kami adik-beradik sentiasa diingatkan untuk baiki hidup, hanyalah dengan menjadi orang yang berilmu - tidak kiralah apa jua lapangan ilmu yang dipelajari.

Alhamdulillah, rezeki Allah bagi dan berkat doa orang tua (di samping sedikit ikhtiar), kami adik-beradik merasa juga alam menara gading.

Ilmu yang bermanfaat ibarat pokok rendang, yang memberi teduhan kepada orang lain.

Contoh terdekat: Adik yang bekerja di UMT (perikanan), menggunakan ilmu yang dia belajar untuk buat projek ternakan ikan keli dan talapia di kampung.

Kalau ada ilmu dan ada kehendak, bukan susah manapun. Dapatlah juga menambah pendapatan, di samping ilmu yang dipelajari tidak hilang, malah makin berkembang pula (setelah teori menjadi praktis).

Malah dia kini banyak membantu orang kampung yang lain dalam urusan ikan ini. Good for you.

Jangan hanyut

Apa lagi yang boleh disandarkan.

Harapan saya - selalu saya cakap pada Mok, jika dia tidak ingin belajar pun, janganlah rosakkan diri sendiri, masa depan dan jangan diguris hati orang tua.

Susah payah membesarkan dia, belum tentu dapat ditebus dengan wang berjuta.

Selalu juga Mok 'busy body' - jaga tepi kain orang, tetapi dengan niat yang baik. Ditanya pada mak dia betul ke anak dia ke rumah nenek dia? Bukannya berkampung di ciber cafe kat kepala simpang ke Felda Bukit Bading tu?

Bukan apa, nak elakkan budak muda ni daripada hanyut, dan kelak akan terpalit dengan benda-benda yang negatif (minta dijauhkan).

-------------------->>>

Hidup di kampung pun macam-macam juga....

No comments:

Post a Comment