Wednesday, 30 September 2009

Pendapat: Meletakkan keutamaan

Termenung sejenak saya setelah mendengar kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Azhar, menyentuh perkara berkaitan meletakkan keutamaan sesuatu perkara dalam kehidupan.

Setelah itu, saya duduk bersembang pula dengan orang rumah. Cakap-cakap beliau pada saya berkenaan 'pilih yang utama' membuatkan saya berfikir lebih dalam.

Keindahan Islam memang tiada tolok bandingnya. Islam sebagai cara hidup telah mengajar dan memandu kita untuk mengenal dosa-pahala, baik-buruk, hak-bathil, halal-haram dan keutamaan.

Saya tidak arif untuk mengulas kesemua itu dari konteks agama kerana ia bukanlah kepandaian saya. Namun, menggunakan contoh hasil pemerhatian sehari-hari dan pengalaman hidup, menimbulkan keinsafan di hati bagaimana untuk meletakkan keutamaan di dalam suatu aspek kehidupan.

Lupa dan alpa

Kesenangan, atau kesusahan hidup seringkali menjadikan kita alpa dan terlupa akan keutamaan. Sewaktu tinggal di JB dahulu saya sering melihat bagaimana 'orang kita' yang sanggup mengutamakan kereta mewah, daripada mendapatkan ruang dan suasana hidup di rumah yang lebih selesa.

Kerapkali melihat bagaimana mereka ini sanggup membawa anak-anak menghuni kawasan setinggan, sedangkan penghuninya memandu kereta Proton Perdana.

Apakah keperluan berkereta mewah itu lebih utama dari keperluan menyediakan ruang rumah yang selesa dan selamat kepada anak-anak semasa proses pembesaran mereka?

Ramai orang kita begitu berkira (salah buat kira-kira) dan akhirnya salah meletakkan keutamaan.

Begitu jugalah ramai mungkin yang berhabis wang ringgit menghias rumah dan menukar perabot untuk berhari raya, sedangkan tabungan untuk persekolahan anak-anak perlu 'dikorbankan' seketika.

Malah, tidak salah jika saya katakan orang-orang bujang yang kerja makan gaji juga masih belum faham 'konsep menabung', biarpun bukan semua.

Ramai kita mengamalkan konsep - baki duit gaji selepas ditolak segala hutang, bil dan lain-lain perbelanjaan, maka baki itulah yang menjadi simpanan.

Sedangkan apa yang sepatutnya dibuat adalah menetapkan jumlah simpanan tetap setiap bulan, dan baki gaji selepas ditolak simpanan tetap itulah digunakan untuk berbelanja secara berhemat.

Ianya kerana, jika bulan tersebut terlalu banyak berbelanja, bisa sahaja tiada wang pun yang masuk ke akaun simpanan.

Justeru, fahamilah apa keutamaan kita - menyimpan dahulu, atau menyimpan kemudian (jika masih berbaki).

Menegur

Di dalam kuliahnya, Ustaz Azhar menegur sikap sesetengah jemaah yang setiap kali mendengar kuliah akan membimbit kitab, tetapi bab bersedekah (derma) kepada tabung masjid, liat sekali.

Bab liat (berkira) menderma juga sering dikaitkan dengan orang kita.

Ke masjid hanya untuk bersolat Jumaat, tetapi 'segan' untuk mengeluarkan RM1 sebagai derma, biarpun kiri dan kanan kerja yang dia buat. Adalah bagi 20 sen.

Sedangkan rezeki itu (kerja yang dia dapat) datangnya dari kurniaan Allah Taala.

Tapi kalau bab ber'shopping' bukan main lagi. Semua nak beli yang berjenama dan mahal-mahal. Tetapi untuk memakmurkan (dan membiayai aktiviti keagamaan) di Rumah Allah? Masya-Allah.

Pesanan buat diri

Saya sering juga alpa, kadang-kala apabila melihat rakan-rakan yang keluar melancong ke serata Eropah, rasa seronok juga.

"Inilah peluang nak melancong, sebab kalau dari Malaysia, takkan mampu kita". Betul juga.

Namun, tidak ramai yang nampak keutamaan untuk 'melencong' dahulu ke tanah suci Mekah, bagi menunaikan Umrah (jika tidak Haji). Bukankah murah juga jika bertolak dari UK ini?

Dr Sepet: Posting ini adalah untuk renungan saya, para pembaca usahlah terasa hati kerana bukanlah niat saya untuk mengata sesiapa, kecuali merenung kealpaan diri sendiri.

No comments:

Post a Comment