Tuesday, 29 September 2009

Bagan Pinang: Pemulihan sukar bagi UMNO

Masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat bertanding dan selamat maju jaya buat Tan Sri Isa Abd Samad, calon BN-UMNO yang bakal berentap bagi mengekalkan kerusi DUN Bagan Pinang, 11/10/09 nanti.

Sumber: Berita harian online

Nampaknya Isa telah berjaya melepasi satu lagi 'hurdle' (halangan) di dalam perjalanannya untuk kembali bergelar wakil rakyat - halangan untuk dicalonkan.

Kini Isa boleh dilihat sebagai sedang meneruskan larian untuk melepasi 'hurdle' terakhir iaitu menjadi pemenang di dalam PRK ini.

Baru bermula

Sebetulnya, perjalanan Isa baru sahaja bermula. Sebelum ini ianya dilihat sebagai penuh ketidaktentuan dengan peluang beliau terpilih begitu diselimuti pelbagai spekulasi negatif, yang nyata tidak begitu berpihak kepadanya.

Malah, sehingga beberapa hari yang lalupun, penentang utama beliau, Tun M masih dilihat belum berputus asa dengan terus mengasak hingga ke saat akhir bagi 'menutup' peluang Isa diangkat menjadi calon.

Justeru, fasa berkempen yang kini mula disusun Isa dan orang-orangnya pasti akan lebih mencabar.

Ini kerana, tentangan dan bangkangan dilihat tambah sulit kerana ia bukan sahaja datang dari rakan dalam PR, tetapi dari 'dalam' UMNO sendiri.

Kumpulan Isa pastinya akan mengerah sepenuhnya keringat yang ada bagi menjustifikasikan pencalonan Isa, yang telah disabitkan bersalah oleh partinya berhubung amalan rasuah empat tahun yang sudah.

Belum mampu dipulih

Disebalik ulasan ringkas oleh Timb. Presiden UMNO, T.S. Muhyiddin bahawasanya pemilihan Isa adalah sebagai memenuhi aspirasi 1Malaysia ciptaan PM iaitu 'pilihan rakyat didahulukan', banyak hati yang masih sangsi dengan keputusan yang dibuat.

Tun M pastinya antara individu tersebut.

Sebagaimana ulasan beliau (Tun) sebelum ini, keputusan hari ini bagaikan 'mengesahkan' keresahan beliau bahawasanya UMNO masih 'ketandusan' pemimpin yang bersih (daripada tindakan disiplin oleh parti) untuk diketengahkan sebagai calon di dalam menghadapi sesuatu pilihan raya.

Keputusan ini juga menunjukkan proses memulihkan imej UMNO bukanlah semudah yang dicanang dan bukan semua ahlinya bersetuju untuk bersama-sama (dan berminat) bagi memulihkan imej UMNO di mata rakyat terbanyak.

Rumit

Adalah perlu diakui akan jasa dan pengorbanan Isa terhadap UMNO dan orang Melayu. Namun apakah situasi ini bakal memulihkan kembali UMNO setelah kebanyakan siri PRK sebelum ini nyata tidak berpihak kepada mereka?

Apakah akan terjadinya konfrantasi berpanjangan di antara Isa dan Tun M? Dan adakah ianya (pertembungan dalaman ini) baik untuk parti dalam jangka masa panjang?

Tentu sekali tidak.

Inilah 'imbangan untung-rugi' yang bakal ditanggung UMNO selepas ini. Ironinya, situasi dalam UMNO ini ibarat meneruskan slot yang sedang dilalui MCA dan MIC.

Kemenangan (bakal) Isa di Bagan Pinang akan dilihat dari satu sudut sebagai suntikan semangat dan motivasi buat ahli BN dan sebagai petunjuk pemulihan sokongan rakyat setempat kepada calon BN.

Namun, tidak dapat disangkal juga dari sudut yang lain, ianya menunjukkan sikap dan penerimaan rakyat setempat dan pimpinan parti terhadap calon yang bermasalah (disiplin) untuk memimpin mereka masih belum dapat diubah, dan ini dianggap mencemarkan imej UMNO dan BN.

Perihal kain

Perkembangan ini pastinya turut diikuti rapat oleh rakan seangkatan UMNO dalam BN terutama MIC dan MCA yang kerapkali juga pergolakan dalaman parti mereka menerima 'teguran' oleh para pemimpin UMNO.

Dan kini ibarat 'memulangkan buah keras', pemimpin UMNO sendiri nampaknya harus lebih berhati-hati untuk 'menegur kain orang lain, jika kain sendiri pun tidak dikilas dengan betul'.

Sebab bila kain sendiri yang dah nak terlodeh tu, susahlah untuk menegur kain orang lain - pakat-pakat jaga kain sendiri sudahlah.

Saya secara logik turut berkongsi kebimbangan Tun akibat yang bakal ditempuh UMNO dengan percalonan Isa ini.

Mungkin soal sokongan penduduk tidak menjadi masalah kepada BN, ditambah pula undi Pos tentera yang berjumlah 5000 itu kelak, yang menungkinkan kemenangan Isa dan BN.

Tetapi bagaimana pula orang 'di luar' Bagan Pinang melihat imej UMNO-BN selepas ini, terutama golongan muda yang berpendidikan dan profesional Melayu?

Ramai mereka mengharapkan 'angin perubahan' akan benar-benar bertiup untuk menyegarkan dan mengusir keluar 'udara kotor' yang menyeliputi parti utama Orang Melayu ini.

Namun akhirnya, bukan sahaja udara kotor itu belum dapat dibersihkan, malah angin perubahan yang diwar-warkan pula hanyalah sekadar 'angin sepoi-sepoi bahasa' sahaja (bukan angin dalam kain ye).

- berubahlah sebelum diubah -

No comments:

Post a Comment