Saturday, 6 June 2009

Kelab Penyokong PAS: bermulanya tuntutan!

"Segera Angkat Kelab Penyokong PAS Menjadi Dewan" - Sumber berita: sini

Bukan pujuk, tapi tuntut!

Saya telah mengulas mengenai hal yang seakan sama ini pada posting di blog ini beberapa bulan yang sudah (posting bertajuk: Pujuk, bukan tuntut). Ianya berkaitan tuntutan parti komponen BN terhadap isu Ketuanan Melayu dan dominasi UMNO, dan bagaimana Artikel 153 pada Perlembagaan Persekutuan dikaitkan dengan hal ini.

Namun, itu hal yang serius. Isu kali ini lebih santai dan tidak menyentuh mana-mana artikel atau bahagian pada Perlembagaan negara.

Ianya berkisar tuntutan Kelab Penyokong PAS agar dapat diangkat status daripada Kelab kepada Dewan atau sayap di dalam parti PAS.

Sebagai orang di luar PAS, buat apa saya sibuk-sibuk nak ulas isu ini, bukannya menguntungkan diri sendiri pun. Namun, atas alasan yang lazim saya gunakan - sebagai warganegara yang prihatin.

Saya melihat di dalam PAS untuk beberapa bulan yang akan datang (malah sekarang pun) akan wujud suatu dilema dan perasaan berbelah-bahagi, di antara ingin terus mempertahankan tunjang utama perjuangan PAS - menegakkan agenda Negara Islam berlandaskan Al-Quran dan Hadith, atau membuka lebih luas pintu keterbukaan dengan memasukkan Kelab Penyokong PAS menjadi Dewan (seperti Dewan Ulamak, Dewan Muslimah, etc.), demi tujuan memastikan PAS kekal relevan dan mendapat sokongan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

Sokongan yang luar biasa diterima PAS pada PRU ke-12 yang lalu, tidak dapat tidak, turut disumbang oleh penubuhan Kelab Penyokong PAS (KPP) di pelbagai negeri.

Keanggotaan KPP ini adalah dari pelbagai kaum dan agama, (1) yang sama ada menyokong dengan dia faham perjuangan PAS, (2) atau menyokong kerana dia tidak puas hati dengan BN, (3) atau menyokong kerana dia mengikut rakan yang faham tentang kebaikan PAS berbanding lain-lain parti siasah tanah air.

Penubuhan dan gerak kerja yang dijalankan oleh KPP ini membuahkan hasil yang menarik, terutama melihatkan kejanggalan di peringkat awal (bagaimana) di antara Parti Islam dengan Kelab yang ditunjangi orang bukan Islam yang boleh wujud dan bekerja secara bersama, di mana lebih 20,000 ahli KPP telah berjaya didaftarkan.

Proses dan andaian pihak yang menuntut

Saya menghuraikan proses tuntutan KPP ini mengikut kronologi Peringkat 1 & 2 sahaja. Manakala untuk peringkat yang selepasnya merupakan andaian saya semata. Mungkin ada logik, namun banyak yang tidak tepat.

Justeru, para pembaca yang budiman, jangan sesekali terpengaruh dengan andaian, hujjah dan penerangan saya pada Peringkat 3, 4 dan 5 itu. Cukup sekadar anda baca sahaja.

Peringkat 1: Kumpul ahli = kumpul kekuatan suara (menumpang di bangsal di sebelah rumah dengan izin tuan rumah)

Kelab dengan ahli yang ramai akan menguatkan lagi suara dan tuntutan mereka (sama kes ulasan saya dalam posting "Serba Dua" sebelum ini). Justeru langkah penting paling awal adalah dengan merekrut seramai mungkin ahli yang berdaftar. Kemudian baru boleh bergerak ke peringkat seterusnya.

Peringkat 2: Buat tuntutan (bila bangsal sudah sempit, ketuk pintu tuan rumah, cakap nak masuk tumpang rumah pula)

Tuntutan ini telah dinyatakan secara terang oleh wakil KPP pada muktamar yang sedang berlangsung - angkat KPP menjadi Dewan Penyokong PAS atau menjadi salah satu daripada sayap parti. Pimpinan PAS yang "terhutang budi" nampaknya agak terbuka dan menyatakan kesanggupan untuk memperhalusi tuntutan ini, termasuk tidak mustahil untuk melakukan rombakan dan pengubahsuaian terhadap perlembagaan parti.

Peringkat 3 (andaian saya, jangan percaya): Dapat naik tetapi dengan syarat yang perlu dipenuhi (nak tumpang duduk serumah boleh tapi kena penuhi syarat tertentu dulu)

Jangan pula terkejut. Atas alasan untuk membalas jasa dan sumbangan serta sokongan ahli KPP, pimpinan PAS memberikan kenaikan pangkat buat KPP ke peringkat tertentu dalam parti. Namun, tidak mustahil KPP boleh diangkat menjadi sayap/dewan dalam PAS dengan bersyarat atau tidak menjejaskan fungsi dan pengaruh sayap sedia ada dan tunjang PAS iaitu Dewan Ulamak dan lain-lain Dewan sedia ada.

Peringkat 4 (andaian saya, jangan percaya): Penuhi syarat dan diangkat menjadi dewan, kemudian mula meminta diberikan jawatan penting dalam parti (takkan duduk saja dalam rumah, maka dimintalah pula kerja-kerja untuk uruskan dapur atau ruang tamu)

Jangan pula kita terkejut kali yang kedua jika 5-10 tahun lagi kita mendengar KPP menuntut diberikan jawatan tertentu dalam PAS kepada pemimpinnya. Alasan biasa ialah supaya KPP dapat menzahirkan hasrat mereka melalui perwakilan mereka atau wakil tersebut mewakili suara dan aspirasi mereka di dalam KPP kepada pimpinan di peringkat pusat.

Peringkat 5 (andaian saya, jangan percaya): PAS akan jadi bukan PAS (PAS dah tidak istimewa di mata orang yang sayangkan Islam dan dakwah)

Maka hamba rakyat yang sayangkan syiar Islam dan usaha dakwah akan berpaling dari PAS dan mula mencari-cari wadah baru, yang lebih segar, yang lebih menampakkan kekuatan bagi menyebarkan syiar Islam dan dakwah di bumi Allah ini. Waktu itu mungkin akan wujud "parti baru" yang membawa perjuangan sebagaimana PAS pada awal pembentukannya iaitu perjuangan menegakkan Islam dan berdakwah kepada masyarakat secara seluruhnya. Parti baru ini akan muncul, membawa imej yang sama dengan imej PAS dahulu iaitu sebagai Parti Orang Kampung, Parti Kedai Kopi dan Parti Lebai. Kerja-kerja dakwah dan penyebaran kefahaman Islam akan bertunas kembali semasa itu.

Bagi "parti baru" ini, tidak menang pilihanraya dan membentuk kerajaan pun tidak mengapa, janji rakyat tidak kira Melayu, Cina, India dan lain-lain itu faham tentang Islam.

Jangan takut

Janganlah anda semua takut kerana semua ini ramalan saya saja - itupun senario terburuk jika ia tidak berlaku secara yang dirancang. Saya juga tidak ingin takutkan sesiapa mahupun menimbulkan fitnah. Ia cuma andaian yang boleh difikirkan secara logik mudah oleh sesiapa jua.

Ahli dan pimpinan PAS tidak perlu gusar kerana jika kena cara bimbingan dan dakwah, adalah tidak mustahil kesemua 20,000 KPP akan faham, diberikan hidayah dan akhirnya memeluk Islam, dan PAS secara langsung beroleh manfaat kerana rakan Cina dan India kini telah menjadi saudara seagama.

Makanya, bangunan-bangunan, gedung-gedung perniagaan, kilang-kilang dan perusahaan besar-besar itu telah berpindah ke tangan orang-orang Islam.

Jika saudara se-Islam ini faham bagaimana Islam dapat menyatupadukan ummah, makanya orang-orang Melayu yang beragama Islam juga bakal beroleh manfaat kerana "setiap muslim itu adalah bersaudara".

Saudara akan membantu saudaranya. Atas dasar se-Islam juga orang-orang Melayu ini akan diberikan pekerjaan, bersama buat kerja yang halal dan menjadi rakan niaga kepada saudara se-Islam dari kaum Cina, India dan lain-lain juga.

Untung, bukan?

Harapan

Kini terserah kepada pimpinan utama PAS untuk menilai tuntutan KPP ini. Rasanya, jika saya yang bukan orang PAS pun berminat untuk mengetahui apakah kesudahan perjalanan peristiwa ini, para penyokong PAS apatah lagi!

Harapan saya, biar apapun keputusan yang dibuat, Islam dan dakwah perlu dipelihara jika PAS atau lain-lain parti yang menampakkan perjuangan untuk Islam ini mahu kekal relevan.

Ini kerana yang akan menyelamatkan kita di dunia dan akhirat ialah dengan Islam, selain itu tiada yang boleh menyelamatkan kita. Maka tidak kiralah Melayu ke, Cina ke, India ke, Iban ke, Kadazan ke, kehidupan kita hendaklah tertegak berpandukan satu matlamat iaitu Islam.

Bagaimana untuk mengembalikan Islam kepada landasan yang sebenar? Giatkanlah kerja-kerja dakwah.

Di mana hendak bermula? Jika di dalam PAS, mulakan dengan Kelab Penyokong PAS!

Sekian.

No comments:

Post a Comment