Friday, 5 June 2009

Nasha menang & Unity Government

Sumber: sini, sini, sini, sini dan sini

"Perebutan telahpun berakhir, tetapi amanah baru telah dipikul dan kerja kuat kini bermula"

Keputusan penuh perebutan jawatan-jawatan utama di peringkat pusat Parti Al-Islam SeMalaysia (PAS) baru saja kita ketahui.

Buat calon yang menang, tahniah diucapkan kerana menjadi sebahagian daripada saf kepimpinan baru PAS dan takziah di atas kalungan amanah dan beban kerja yang terpikul di bahu masing-masing untuk tahun-tahun yang mendatang.

Buat calon yang kecundang, jangan risau, anda tidak menerima "0 undi", menandakan anda adalah "seseorang" di dalam proses pemilihan pemimpin pada muktamar kali ini.

Teruskan usaha anda memartabatkan usaha dakwah dan membantu pembangunan agama Islam di bumi Allah ini. Mungkin tanpa adanya jawatan dan tempat utama dalam parti, kerja-kerja dan pergerakan dakwah anda kepada masyarakat bakal menjadi lebih baik dan lancar. Siapa yang tahu, bukan?

Foto: Sumber

Nampaknya, rezeki dan ketentuan sekali lagi berpihak kepada YB Ustaz Nasha yang dipilih buat penggal ke-3 sebagai Timbalan Presiden PAS, mengalahkan dua saingan beliau iaitu YB Husam Musa dan Saudara Mohamad Sabu.

Berpandukan pengumuman yang dibuat oleh Pengarah JPP, Mustapha Ali, Nasha menang dengan memperoleh 480 undi menewaskan Husam (281 undi) dan Mat Sabu (261 undi).

Perbandingan secara stratum menunjukkan Nasha mengatasi Husam sebanyak 199 undi dan Mat Sabu sebanyak 219 undi.

Manakala perbandingan majoriti menunjukkan pecahan 480: 542 atau 47% : 53%.

Dari satu sudut, sememangnya disimpulkan bahawa Nasha tidak boleh "bersenang duduk" memandangkan beliau tidak mendapat sokongan 50% undi perwakilan, apatah lagi untuk mendapat sokongan solid melalui undi majoriti 2/3 daripada para perwakilan.

Ini menunjukkan 53% perwakilan memilih untuk pemimpin selain daripada Ustaz Nasha sebagai TP mereka. Ini angka dan statistik yang wajar diingati oleh Ustaz Nasha untuk merencana sebarang tindakan dan agenda beliau untuk parti di masa depan.

Namun, dari sudut yang lain pula ada pendapat menyatakan kemampuan Nasha mendapat 47% jumlah undi pada muktamar kali ini merupakan pencapaian yang cemerlang memandangkan lawan yang ditentangnya bukan calang-calang, bukan "nobody", tetapi "somebody" yang juga tokoh penting dalam organisasi parti.

Peluang dan peratusan Nasha mungkin lebih jika situasi "satu lawan satu" di mana perwakilan hanya perlu pilih antara A atau B, tanpa perlu fikir kaedah untuk mengurangkan bilangan undi majoriti calon tertentu.

Jika dipilih A atau B atau C, kemungkinan akan ada undi untuk mengurangkan majoriti calon tertentu.

==========
Sebagai contoh:

Ali (bukan nama sebenar) adalah Ketua Pengawas di sekolah untuk penggal lepas yang ramai pelajar ingin beliau dikekalkan. Manakala Abu dan Pe'ah (juga bukan nama sebenar) pula 2 orang Penolong Pengawas yang rajin dan ramai pelajar pun suka pada mereka. Ketiga-tiga mereka dicalonkan untuk jawatan Ketua Pengawas sekolah penggal ini.

Pelajar umumnya masih nakkan Ali, tetapi pada masa yang sama ingin 'menegur' Ali bahawa pada penggal yang lepas ada beberapa tindakan beliau yang tidak disukai pelajar, (lembab bertindak dan pasif) tetapi Ali secara keseluruhannya memang bagus buat kerja.

Justeru, ada kumpulan pendesak yang ingin Ali mempertingkatkan kualiti tugasan beliau dengan cara mengurangkan undi untuk Ali dengan menyokong Abu dan Pe'ah (tetapi tidaklah sampai memenangkan 2 calon ini).

Dengan cara ini, Ali masih terpilih sebagai Ketua Pengawas, tetapi dia 'sedar' bahawa kejayaannya ini adalah juga satu bentuk 'teguran' pelajar lain supaya beliau terus mempertingkatkan daya kepimpinan beliau di masa depan.
==========

Dengan kemenangan ini juga, memungkinkan Ustaz Nasha memuhasabah diri dan merenung kembali tindakan dan peranan beliau sepanjang 2 penggal yang sudah menjawat amanah sebagai TP parti.

Mungkin untuk penggal ke-3 ini beliau dapat merangka pendekatan baru bagi parti kerana cabaran masa depan adalah lebih besar dan keupayaan pemimpin pastinya akan diuji sehingga ke puncak "bumbung stadium".

Tugasan pertama beliau selepas diumumkan pemenang kerusi TP adalah untuk merapatkan kembali jemaah dan saf kepimpinan PAS. Beliau perlu memastikan kemenangan ini tidak membawa luka dan perpecahan terutama kalangan pengikut Husam dan Mat Sabu.

Ahli parti juga berharap beliau akan lebih cepat tampil ke depan menjelaskan isu-isu tertentu yang timbul mahupun isu berbangkit. Jangan hanya TGNA sahaja muncul mengulas itu dan ini.

Tambahan pula, ketiadaan Husam yang sering muncul menjawab pelbagai isu melibatkan parti sewajarnya akan membuka peluang kepada Nasha agar lebih proaktif.

Kerajaan Perpaduan

Muktamar kali juga ditimbulkan idea Unity Government (UG) a.k.a Kerajaan Perpaduan, cetusan TGHH, Presiden PAS.

UG, mengikut apa yang saya faham ialah:

1. Bukan menggabungkan Parti-Parti PR dengan BN (atau membubarkan PR dan BN membentuk pakatan baru), tetapi lebih kepada penyatuan di dalam bidang pentadbiran negara (PR dan BN sama-sama mentadbir kerajaan Persekutuan).

2. Pemilihan Jawatan Menteri berdasarkan peratusan (%) undi popular.

3. Yang layak menjadi menteri adalah mereka yang dapat peratusan (%) undi tertinggi - tidak kira calon menteri itu datang dari PR atau BN, janji dia dipilih oleh majoriti rakyat.

4. Pendekatan ini dilihat akan membolehkan PR mendapat jawatan menteri tanpa menggadaikan prinsip keadilan PR.

5. Dijangka akan membawa penambahbaikan kepada pelbagai aspek yang sering dipertikai kewibawaan dan ketelusannya sebelum ini seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), badan kehakiman, pihak berkuasa Polis, SPRM dan sebagainya lagi apabila PR dan BN bersama di dalam pentadbiran UG.


6. Dan sebagainya lagi.

Tetapi itu yang di atas kertas, ideal dan menarik dibaca sesiapa jua. Realitinya boleh jadi amat kompleks dan memeningkan.

Jika selama ini PR dan BN dicop sebagai "minyak dengan air" - ideologi tidak sama. UG perlu pada peringkat awal lagi menawarkan formula bagaimana untuk membolehkan "minyak bercampur dan melarut bersama-sama dengan air". Jika tidak jelas, jadilah "minyak di atas, air tetap di bawah".

Soalan mudah

Saya tidak kata salah terhadap sesiapa yang menyokong idea UG ini. Bagus dan positif aspirasi yang didokongnya. Namun soalan saya mudah saja, iaitu berkenaan konsensus (persefahaman):

"Bagaimana jika berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK)? Siapa yang lebih layak untuk meletakkan calon? Apakah pemimpin BN akan tunduk kepada PR dengan meletakkan calonnya? Atau masing-masing akan bergaduh untuk membolot peluang bertanding?"

"Bagaimana jika undian ke jawatan menteri menyaksikan majoriti calom PR layak dan dilantik sebagai menteri kabinet, apakah kerugian (hasil pilihan rakyat) ini dapat diterima BN dan menteri sedia ada ini?"

"Apakah jika PR secara majoriti memerintah Malaysia, BN akan ditendang keluar dan berjuang di medan pembangkang pula?"

Banyak lagi persoalan yang ingin diutarakan, namun biarlah kita tunggu dan lihat apakah penerangan lanjut para pimpinan PAS mengenai idea UG ini.

Orang di bawah mungkin kurang ambil pusing UG atau tidak UG. Namun sebagai orang ada sedikit ilmu ini, janganlah hanya di pihak ini yang beria-ia dengan UG-nya bak kata pepatah 'bertepuk sebelah tangan, masakan boleh berbunyi", sedangkan "pasangan" yang di sebelah sana buat diam-diam saja!

Wassalam.

No comments:

Post a Comment